KELUARGA Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penganugerahan yang membawa kepada gelaran ‘Tan Sri’ buat bekas mursyidul am PAS itu adalah satu penghormatan besar.
Anaknya, Nik Omar Nik Aziz, walaupun anugerah itu diberikan ketika ayahandanya telah tiada namun ia amat bermakna, terutama bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.
“Alhamdulillah, walaupun ayahanda tiada bersama, penghargaan itu dirasai bonda. Ia juga menunjukkan jasa ayahanda Tok Guru sentiasa dihargai, junjung kasih Tuanku,” katanya kepada FMT.
Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga bekas Mursyidul Am Pas dań bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang adalah antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Nik Aziz dan Kit Siang dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.
Nik Aziz, yang meninggal dunia pada 2015, turut berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.
Turut dianugerahkan PSM, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, dan dua bekas Menteri Persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.
Wan Junaidi, dari Sarawak, ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), manakala Anifah merupakan Menteri Luar dari 2009 hingga 2018. Anifah, dari Sabah, kini merupakan Senator di Dewan Negara.
SEPASANG suami isteri dipercayai pengedar dadah antara tiga individu ditahan bersama lebih 7 kilogram (kg) heroin dan lebih 3kg ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung dan Kampar, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suami isteri berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 7.04kg dan ganja dianggar seberat 3.05kg bernilai RM64,570.
“Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah selain menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting serta satu subang hidung yang kesemuanya dianggar berjumlah RM72,332,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.
Menurut Mohd Yusri kedua-duanya yang negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mohd Yusri berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini manakala dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah.
Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Kampar, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, kira-kira 12.30 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan polis merampas dadah dipercayai serbuk ekstasi sebanyak 2.7kg, kafein (1.67 kg), Methampetamine (22 gram), heroin (21 gram), pil erimin 5 (5 gram) serta pil ekstasi (6 gram) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM38,792,” katanya.
Menurut Mohd Yusri polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah manakala lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine serta memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 6,700 penagih dan lelaki yang aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lepas itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.
Al-Sultan Abdullah bertitah ini memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.
“Kerajaan Beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka bertitah sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.
Titah Seri Paduka ini selaras dengan prinsip pertama rukun negara iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.
Al-Sultan Abdullah bertitah ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” titah Seri Paduka, lapor BERNAMA.
Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara selain, tidak mempersoal dan mencampuri serta memandang rendah urusan dan kepercayaan agama yang diamalkan bangsa lain.
“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera. Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi.
Pada 17 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.
Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.
PEMIMPIN-pemimpin DAP gembira dan mengucapkan tahniah kepada Lim Kit Siang yang menerima anugerah ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Mereka menyifatkan bekas Pengerusi DAP itu layak mendapat gelaran itu berikutan sumbangan beliau kepada perkembangan politik dan demokrasi negara.
Memetik portal FMT, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berkata gelaran berkenaan sudah sepatutnya diberikan kepada bekas pemimpin DAP itu, yang digambarkannya sebagai seorang negarawan teladan.
“Ini sesuatu yang tepat pada masanya dan memang layak untuk seorang yang telah mengabdikan hidupnya kepada demokrasi dan tadbir urus yang baik.
“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kerana mengiktiraf sumbangan beliau kepada perkembangan politik dan demokrasi negara,’’ katanya.
Exco negeri Pulau Pinang yang juga ADUN Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari, senada dengan Rayer, sambil menambah bahawa Kit, gelaran yang selalu digunakan untuk Kit Siang, adalah “seorang anak Malaysia yang cemerlang yang telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya kepada negara dan rakyat.”
Naib pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula berkata, pemimpin dan ahli akar umbi parti itu gembira bahawa sumbangan Kit Siang kepada politik negara dan pembangunan negara selama setengah abad terakhirnya akhirnya diiktiraf.
“Saya telah membaca mesej dalam kumpulan perbincangan di semua gembira (untuknya). Mereka berpendapat bahawa beliau berhak menerimanya ,” katanya.
Rayer juga berkata bahawa keputusan Kit Siang untuk menerima gelaran itu sekarang menunjukkan beliau berpegang kepada tradisi lama parti bahawa tiada seorang pun wakil rakyatnya harus menerima anugerah negeri atau persekutuan semasa berkhidmat.
“Ia adalah konvensyen tidak rasmi (yang telah dilaksanakan) sejak zaman mendiang Karpal Singh, yang sentiasa berpegang bahawa Ahli Parlimen atau ADUN yang sedang berkhidmat (daripada DAP) tidak boleh menerima sebarang gelaran kehormat,” tambah beliau.
Kit Siang mengumumkan pada Mac tahun lalu bahawa beliau bersara selepas 56 tahun aktif dalam politik dan tidak akan bertanding dalam PRU15.
Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif pusat DAP (CEC) sejak 1966, bermula sebagai setiausaha organisasi kebangsaan sebelum kemudiannya memegang jawatan setiausaha agung selama 30 tahun dari 1969.
Beliau telah berkhidmat dalam beberapa kawasan Parlimen sepanjang kerjayanya dalam politik sebagai Ahli Parlimen, bermula dengan Bandar Melaka dari 1969 hingga 1974. Ini diikuti oleh Kota Melaka (1974-1978), Petaling (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999), Ipoh Timor (2004-2013), Gelang Patah (2013-2018), dan Iskandar Puteri (2018-2022).
Perjalanan beliau dalam politik Malaysia adalah penuh liku, kerana bersama anaknya Lim Guan Eng, beliau ditahan tanpa bicara selama 18 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Oktober 1987 selepas Operasi Lalang ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka adalah tahanan terakhir yang dibebaskan pada April 1989.
SERAMAI 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Datuk Ng Hook.
Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Datuk Seri Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Datuk Seri Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.
Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group See Hong Cheen @ See Hong Chen, Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited Datuk Jaganath Derek Steven Sabapathy, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (PERSTIMA) Berhad Datuk Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.
Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies Datuk Seri Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd Datuk Koh Chui Ming, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Datuk Paul Latimer.
Selain itu Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Datuk Seri Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Datuk Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Datuk Seri Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
Turut dikurniakan PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali @ Mat Jali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, bekas pemain badminton negara Tan Aik Huang dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave merupakan antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pula ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Aini Atan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Seramai 33 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
Bagi penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, 33 individu disenaraikan sebagai penerima antaranya penggiat seni Fauziah Nawi, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Tiga penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Pangkalan Udara Subang Brig Jen Baharudin Abu Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Bahagian Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman SAC Mohammad Azlin Sadari.
Seramai 116 individu dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Dr Abdul Halim Husain dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Dr Ong Shin Ruenn.
Tahun ini juga menyaksikan seramai enam orang menerima darjah kebesaran Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 individu menerima darjah kebesaran Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurutera Sokongan Bernama Mohd Halim Esham.
Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Bahagian Modal Insan Bernama Rusliza Sahran pula antara 316 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 individu dikurniakan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).
SEORANG lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran kawasan Taman Jeselton, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi kelmarin dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada polis.
Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai salah seorang ahli kumpulan jenayah pecah rumah dan samun di kawasan kediaman elit berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Gerakan Am menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.
Jelasnya, semasa sedang melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan berkenaan telah terserempak dengan tiga suspek lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.
”Pasukan berkenaan kemudian meminta suspek berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak diketahui kerana keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, pasukan berkenaan telah membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut, namun tidak menjumpai apa-apa.
Bagaimanapun, ujar beliau, kira-kira pukul 4.45 pagi hari sama, polis menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebuah bag galas yang berada di sebelah mayat.
”Di dalam beg ini mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.
”Turut dijumpai sebilah pisau pemotong daging, namun pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Bantuan daripada pasukan forensik dan Unit K9 juga gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya.
Kok Chin berkata, mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan cap jari serta DNA lelaki berkenaan diambil bagi tujuan mengesan identit.
Jelasnya, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Polis juga menasihati orang awam sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya.
DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kestabilan negara itu bergantung kepada dasar pentadbiran yang dibawa dan bukannya dengan jumlah Ahli Parlimen sesebuah etnik adalah tidak tepat.
Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pengaruh sesebuah kaum atau etnik dalam menentukan kekuasaan nasional sangat penting.
Kata Ahli Parlimen Marang itu, ia dibuktikan dengan pandangan ilmuan Islam yang mana pemilihan ketua negara mesti berdasarkan etnik atau kaum yang memiliki pengaruh tinggi.
“Para ulama berhujah bahawa syarat supaya pemimpin daripada kalangan Quraisy itu bermaksud bahawa ketua negara itu wajib daripada kalangan kaum penganut Islam yang paling kuat pengaruhnya iaitu kaum yang mendominasi umat Islam.
“Maka, dalam politik Malaysia, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir masyarakat majmuk yang termasuk rakyat bukan Islam,” katanya dalam ruangan Minda Presiden.
Baru-baru ini, Anwar menganggap dakwaan Abdul Hadi mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan merupakan perkiraan yang tidak betul.
Jelas beliau, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil ia tidak bergantung kepada jumlah Ahli Parlimen mana-mana etnik di parlimen sebaliknya dasar yang dilaksanakan.
Bahkan Anwar juga menganggap menilai kestabilan kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada faktor bangsa adalah pertimbangan yang jumud.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menambah, falsafah politik Pakatan Harapan (PH) membawa konsep sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang menolak kepimpinan Melayu Islam tanpa mempedulikan aspek iman, akhlak dan integriti.
Kata beliau, kepimpinan sebegini tidak akan bertahan lama kerana terdapat kelompongan dalam pentadbiran.
“Kita menyaksikan contoh kerajaan seperti ini hanya dapat bertahan buat sementara waktu yang pendek dan rapuh, kerana pemilihan pemimpin bukan daripada kaum dominasi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, Chile, Fiji, dan terkini di United Kingdom,” jelasnya.
AKAR umbi UMNO diminta berlapang dada dan terbuka menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Khamis ini.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ahli UMNO tidak perlu terpengaruh dengan hasrat sesetengah pihak yang enggan hadir persidangan sebaliknya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.
Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, langkah menjemput Anwar dan juga 18 Presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.
“Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor, di Bangunan UMNO Johor, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis ini dan disertai semua presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.
Pada 14 Mei lalu, Anwar menjejakkan kakinya semula ke WTC, yang sinonim dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas lebih 25 tahun, apabila menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan segelintir ahli UMNO yang kononnya akan memboikot PAU 2023, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, golongan ini perlu memahami konsep demokrasi negara yang berlaku hasil titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, itu adalah asas utama yang perlu difahami golongan yang sengaja menimbulkan polemik kehadiran Anwar dan 18 presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
“UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan apabila baginda menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan diwujudkan supaya kerajaan tidak tergantung, kami patuh. Itulah tindakan UMNO yang setia dan taat pada payung negara,” katanya.
JURUKAMERA agensi berita Channel NewsAsia, Khairul Azman Zainuddin maut akibat kemalangan motosikal di KM43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku ketika Khairul Azman, 45, dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
“Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan mangsa juga dilanggar sebuah motosikal di laluan itu yang tidak dapat mengelak,” katanya dalam kenyataan.
Penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.
Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di 09-2222 222.
SEORANG wanita ditahan susulan video tular tindakannya mencuri rantai seorang kanak-kanak perempuan di tapak karnival di Stadium Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejadian berlaku pada 5.40 petang dengan suspek mengambil rantai dipakai kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara memotongnya menggunakan objek lain, sebelum barang kemas itu ditarik.
“Sejurus kejadian suspek wanita tempatan berusia 35 tahun berjaya ditangkap di lokasi terbabit berdasarkan rakaman video,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes curi.
“Suspek direman tiga hari hingga Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, tular video berdurasi 17 saat menunjukkan tindakan seorang wanita menarik rantai seorang kanak-kanak.