Category: Semasa

  • Lagi Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    Lagi Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    SEORANG lagi Ahli Parlimen DAP dari Pulau Pinang membuat lapo ran polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor.

    Jika sebelum ini Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berbuat demikian hari ini Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap Sanusi berhubung video ceramahnya yang didakwa menggunakan kata-kata kesat.

    Syerleena berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9.17 pagi berikutan Muhammad Sanusi dalam satu video tular semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang didakwa biadab.

    “Seorang pemimpin tidak boleh buat perkara sebegini, ia telah menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.

    “Kita cukup hairan melihat kualiti (pemimpin) sebegini yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini, lapor BERNAMA.

    Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

    Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menekankan bahawa budaya orang Kedah bukanlah budaya biadab sebaliknya bersopan santun dan berbudi pekerti.

    “Saya sendiri orang Kedah, kalau beliau kata itu cara orang Kedah berbicara, itu salah. Ini amat memalukan, beliau seorang MB (Menteri Besar) Kedah yang mewakili nama baik negeri dan Sultan Kedah. Beliau sepatutnya menunjukkan imej yang baik,” katanya.

    Sementara itu, Lim menasihati pihak pembangkang untuk tidak memilih politik kotor melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) semata-mata ingin mengejar populariti dan meraih undi penyokong menjelang Pilihan Raya Negeri ini.

  • Kalimah Allah : Jangan politikkan sehingga Majlis Raja-Raja buat keputusan – Sultan Selangor

    Kalimah Allah : Jangan politikkan sehingga Majlis Raja-Raja buat keputusan – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak tidak mempolitik, membangkit atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sehingga Majlis Raja-Raja membuat keputusan muktamad.

    Dalam satu kenyataan, Sultan Sharafuddin menegaskan baginda telah menyatakan pandangannya berhubung perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk dibincangkan.

    Titah baginda, pandangannya itu turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandangkan ia selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat persekutuan.

    “Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segara oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda, lapor Astro Awani.

    Sultan Sharafuddin bertitah, Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan baginda untuk membawa isu tersebut kepada MKI pada Ogos sebelum ia diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.

    “Beta percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

    “Beta menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” titah baginda lagi.

    Perdana Menteri telah menghadap dan menyembah taklimat kepada Sultan Sharafuddin berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

    Pada 23 Mei lalu, Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat , kerajaan sedang mengkaji untuk meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.

    Menafikan tindakan menarik balik rayuan kes mahkamah baru-baru ini sebagai suatu kelemahan, Anwar berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan ia tidak boleh dipertikaikan lagi di mana-mana mahkamah.

  • 3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    TIGA beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini terhadap pertuduhan bergaduh di tempat awam bulan lepas.

    Oo Teck Yeon, 55, isterinya, Chuah Chew Teng, 54, dan anak mereka, Oo Cheng Sing, 28, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, di George Town pukul 11.20 pagi, 8 Mei lepas.

    Semua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala semua tertuduh diwakili oleh Zainal Akram Zainal Azahar.

    Majistret Mohamad Azlan Basri menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam individu daripada dua keluarga selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Tanjung Bungah, yang dipercayai berpunca setelah tidak berpuas hati dengan punca kemalangan.

  • Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal yang videonya tular kerana meminta wang RM200 daripada seorang wanita tempatan berikutan rakannya warga China gagal menunjukkan pasport, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

    Mohamad Ikhwan Mahat, 32, mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah menyebabkan ketakutan dengan niat untuk melakukan pemerasan terhadap Lee Log Ling, 26, dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan wanita itu yang merupakan warganegara China untuk membawa pasport semasa diperiksa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 malam, 23 Mac lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

    Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.

    Pada 3 April lalu, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatarbelakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman, berkata siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

  • Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan pasangan suami isteri atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua bulan lalu.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu terhadap S. Nagendran dan A. Sangeetha yang kedua-duanya berusia 23 tahun selepas mendapati terdapat penduaan terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

    Mahkamah menetapkan hukuman ke atas pasangan berkenaan dijatuhkan hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan pertuduhan pindaan.

    Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan seterusnya mohon dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, keduanya didakwa mencapai niat bersama bertindak secara cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, Johor Bahru, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Nagendran yang juga bapa tiri kanak-kanak berkenaan dan Sangeetha pula ibu kandung kepada kanak-kanak itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.

    Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan baharu ke atas dua-dua tertuduh pada esok.

  • Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    PASUKAN bomba membantu polis mengeluarkan dua mayat yang ditemui dalam Taman Tasik Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Peyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan menerima panggilan kecemasan kes itu menerusi talian MERS999 pada pukul 10.21 pagi tadi.

    Katanya, seramai 14 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi untuk operasi membawa naik dua mayat berkenaan.

    “Mangsa pertama, seorang wanita dewasa warga tempatan berumur 30 tahun ditemui terapung, berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis.

    “Pada operasi sama, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) bomba turut menemui seorang lagi mangsa yang tenggelam dalam tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun dan mayatnya juga diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Setakat ini belum dapat dipastikan punca kejadian dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis lapor BH.

  • Tanah rizab Melayu: Ketua Pembangkang Perak lapor SPRM

    Tanah rizab Melayu: Ketua Pembangkang Perak lapor SPRM

    KETUA Pembangkang Perak, Razman Zakaria hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengurusan tanah rizab Melayu di negeri ini.

    Isu berkenaan membabitkan 1,600 ekar tanah rizab Melayu yang dipercayai dipecah kepada 317 lot dan dijual kepada bukan Melayu dengan harga RM412,800 bagi satu lot di Sitiawan.

    Beliau berkata, laporan yang dibuat itu merupakan rentetan daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini selepas pihak Perikatan Nasional (PN) membawakan satu usul.

    “Ia bagi dibahas secara terperinci mengenai pindah milik tanah di Sitiawan, sebab kita dapati terdapat pelanggaran peruntukan yang menyebabkan pertukaran tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu.

    “Namun usul tersebut telah ditolak oleh Speaker dan jawapan secara umum diberi YAB Menteri Besar ketika menjawab soalan YB Trong, mengenai pindahan tanah berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di pekarangan pejabat SPRM Perak, di Meru Raya, Ipoh hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Perak, Rosli Abd. Rahman dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr. Najihatussalehah Ahmad.

    Katanya lagi, tindakan itu dibuat bagi memastikan hak perlembagaan yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Enakmen Rizab Tanah Melayu dipelihara, seperti kewajipan bagi mewujudkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah rizab Melayu.

    Pihaknya menggesa kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan perlu beri pencerahan kepada rakyat supaya imej kerajaan yang memerintah dilihat bersih.

    “Besarlah harapan saya dan rakan-rakan supaya siasatan ini dapat meleraikan kegusaran rakyat negeri ini khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti,” katanya, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Razman diiringi Rosli dan Dr. Najihatussalehah menyerahkan laporan berhubung isu tersebut kepada pihak SPRM.

    Sebelum ini media melaporkan Perak akan membawa isu pemilikan tanah rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu sebagaimana berlaku di Sitiawan, kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

    Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan para pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, berkenaan hal tersebut.

    Menurutnya, hasil perbincangan itu, SSM memaklumkan tiada mana-mana peraturan di bawah Akta Syarikat Malaysia 2016 yang boleh menyekat atau menghalang mana-mana syarikat meminda perlembagaannya termasuk bagi tujuan penjualan saham syarikat, sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu.

  • Sejak bila ‘bak kut teh’ jadi makanan tradisi Malaysia

    Sejak bila ‘bak kut teh’ jadi makanan tradisi Malaysia

    AHLI Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah hari ini mempersoalkan sejak bila ‘bah kut teh’ tersenarai dalam kategori makanan tradisi Malaysia.

    Perkara itu dibangkitkan susulan soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai usaha kementerian itu untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bah kut teh, dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan.

    Mempersoalkan perkara itu, Mohd. Suhaimi daripada Perikatan Nasional (PN) berkata, berdasarkan semakan 10 makanan tradisional Malaysia, bah kut teh tidak pun tersenarai dalam kategori tersebut.

    “30 makanan tradisional kaum-kaum di Malaysia, tidak ada bah kut teh. Soalan saya, sejak bila bak kut teh dimasukkan dalam makanan ini, dan adakah menteri bersetuju nak masukkan seperti mana permohonan oleh YB Tebrau itu,,” soalnya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Berdasarkan carian di Google, bak kut teh merujuk kepada sejenis hidangan sup berserta daging rusuk (terutamanya babi) yang dimasak dalam herba tradisi Cina dan dilaporkan berasal dari Klang.

    Sebelum itu, Puah ketika bangkit mengajukan soalan tambahan menjelaskan beliau mengajukan soalan tersebut selepas menonton sebuah dokumentari yang disiarkan stesen televisyen negara jiran, yang seolah-olah mempertikaikan asal usul sajian bak kut teh adalah dari negara jiran, dan bukan Klang.

    Justeru, beliau meminta pandangan sama ada kerajaan akan mengubah persepsi tersebut, dan mencadangkan agar Institusi Makanan Kebangsaan ditubuhkan bagi memperkasakan makanan tradisi.

    Sementara itu, menjawab soalan Mohd. Suhaimi, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, untuk memasukkan sesuatu jenis makanan dalam kategori tradisi, ia perlulah boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

    “Saya sedikit sebanyak bersetuju dengan pandangan Langkawi, kerana ia memerlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

    “Kalau bak kut teh itu menyediakan bak kut teh ayam, boleh lah (dipertimbangkan sebagai makanan tradisi) YB Langkawi.

    “Tetapi bak kut teh yang dibangkit oleh YB Tebrau, dia tak bagi secara spesifik bak kut teh jenis apa, dan saya pun tak boleh jawab spesifik. Tetapi pokoknya di sini, untuk kita masukkan dalam makanan warisan, ianya harus dimakan dan dirasai oleh kaum di negara kita,” jelasnya, lapor Astro Awani.

  • Bekas pengurus didakwa salah guna jawatan beli kad sim daripada anak

    Bekas pengurus didakwa salah guna jawatan beli kad sim daripada anak

    BEKAS pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan bekalan kad sim daripada anaknya untuk syarikat tahun lepas.

    Shahrizal Ridzuan Ambak, 46, yang ketika itu bertugas di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan bekalan kad sim untuk 117 pekerja, berjumlah RM4,428.60, daripada ejen kad sim yang merupakan anak tertuduh, di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh di Kemaman, antara Julai hingga September 2022 .

    Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Yusoff dan Nur Athikah Aziz menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

    Peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Shahrizal Ridzuan memohon jaminan diringankan dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai juruaudit bebas dan kerap ke luar negara bagi melaksanakan tugas.

    Hakim Mohd Azhar Othman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat beliau tidak mengganggu saksi pendakwaan, selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

    Pasport Shahrizal Ridzuan tidak diminta untuk diserahkan dan 3 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

  • DAP ‘rungkai’ hubungan masyarakat majmuk dengan Malaysian Malaysia, sekularisme-Hadi

    DAP ‘rungkai’ hubungan masyarakat majmuk dengan Malaysian Malaysia, sekularisme-Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, DAP mempunyai langkah sumbang yang tidak disedari oleh generasi muda kaum Cina dan India di Malaysia.

    Abdul Hadi mendakwa DAP yang ditubuhkan selepas merdeka, cuba menggantikan dua parti yang ditubuhkan sebelum merdeka iaitu MCA dan MIC dan ingin merungkai hubungan masyarakat majmuk yang telah wujud di Malaysia sejak sebelum kemerdekaan.

    “…Masyarakat majmuk yang telah bertapak dengan harmoni tanpa paksaan beragama Islam, walaupun disebutkan Islam itu agama bagi Persekutuan. Namun, juga diberikan hak kebebasan beragama dan tanpa merubah rupa bangsa, bahasa dan budayanya,” katanya dalam tulisan Minda Presiden, hari ini.

    Abdul Hadi berkata usaha DAP untuk ‘merungkai’ hubungan masyarakat majmuk adalah dengan membawa agenda Malaysian Malaysia dan sekularisme.

    “Mungkin generasi muda daripada kalangan kaum Cina dan India tidak perasan dengan langkah yang sumbang ini kerana kebanyakan mereka lahir selepas kemerdekaan.

    “Alasannya cuba menggambarkan kalangan bangsa Melayu itu rasis, tanpa melihat wajah yang sebenar di lapangan. Padahal kaum Melayu ialah kaum yang paling tidak rasis, walaupun dipaksa oleh penjajah menerima jus soli menjadi syarat kemerdekaan dengan menerima pendatang daripada kalangan kaum Cina dan India menjadi warganegara,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Katanya lagi, orang Cina dan India bebas untuk mengamalkan agama mereka dan menjalankan kegiatan seperti berniaga dan bertani, serta boleh menggunakan bahaasa ibunda masing-masing.

    “Hanya mereka yang buta akal sahaja menuduh Melayu ini bersikap rasis,” katanya lagi.

    Hadi sekali lagi membangkitkan perkaitan antara DAP dengan parti pemerintah Singapura, PAP.

    Beliau mendakwa, idea Malaysian Malaysia yang dibawa mendiang Lee Kuan Yew dan tokoh-tokoh lain dalam Konvesyen Solidariti Malaysia pada 1965 untuk menentang kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan terus diperjuangkan menerusi DAP yang ditubuhkan sebagai parti serpihan PAP selepas Singapura keluar dari Malaysia.

    “Itulah sebabnya orang Melayu dan bumiputera sekarang terus-menerus menolak konsep ini yang bakal melenyapkan ketinggian Islam, ketuanan Melayu, hak keistimewaan dan kelebihan mereka di bumi asal mereka.

    “Orang Melayu dan bumiputera ialah keturunan Nusantara (The Malay Archipelago), bangsa asal Gugusan Kepulauan Melayu. Orang Melayu dan bumiputera tidak akan sekali-kali menerima pakai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.

    “Bangsa Melayu yang menganut Islam dan melaksanakan Islam yang sempurna sebelum kedatangan penjajah, telah menentang penjajah sejak awal kedatangannya bermula tahun 1511 sehingga beberapa abad lamanya dengan mengorbankan ramai para syuhadah daripada kalangan rakyat sehinggalah para ulama dan raja-raja,” katanya lagi.

    Konsep Malaysian Malaysia sememangnya menjadi beban kepada DAP dan antara senjata utama yang digunakan dalam kritikan terhadap parti itu.

    Para pemimpinnya terpaksa berulang kali menegaskan parti itu menghormati Perlembagaan Persekutuan, antaranya oleh setiausaha agungnya Anthony Loke pada Oktober 2020.

    Anthony Loke ketika itu sebagai setiausaha organisasi, Loke berkata parti itu mempertahankan institusi diraja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.

    Katanya, DAP sentiasa diserang menentang sistem Raja Berperlembagaan dan ingin menghapuskan institusi diraja.

    “Ini adalah tohmahan yang langsung tidak berasas. Dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

    “Dasar ini telah pun termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012,” katanya ketika itu.

    Hari ini, Abdul Hadi yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu mengingatkan orang bukan Islam sepatutnya menghargai sumbangan negara ini yang memberikan tempat kepada mereka.

    “…Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara. Kedudukan Islam yang dianut oleh rumpun Melayu dengan akrab tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya.

    “Malah, sepatutnya sikap toleransi yang diberikan kepada mereka itu hendaklah dihormati. Konsep sekularisme dan Malaysian Malaysia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Pernah berlaku ketegangan di Singapura, ketika konsep tersebut mula diperkenalkan.

    “Malaysia pernah mengalami peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam dalam hubungan masyarakat majmuk. Maka, peristiwa hitam itu jangan diulang sekali lagi dengan membawa agenda yang salah,” katanya.