Category: Semasa

  • PRK:PN tampil calon berwibawa di DUN Simpang Jeram

    PRK:PN tampil calon berwibawa di DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menampilkan calon berwibawa daripada Pas yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, calon berkenaan akan diumumkan di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram, Muar malam esok.

    “Calon PN itu berusia bawah 50 tahun dan merupakan anak jati negeri ini selain diyakini parti boleh diterima pengundi dan mendapatkan menang.

    “Kita ketengahkan calon yang berwibawa dan tidak terlalu tua atau terlalu muda, kirakan golongan pertengahanlah. Saya tidak mahu memberitahu namanya kerana biarlah diumumkan secara rasmi pada malam esok.

    “Pada majlis pengumuman malam esok akan dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noh yang juga Menteri Besar Kedah.

    “Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim juga ada menyatakan kesediaannya untuk hadir,” katanya ketika dihubungi.

    Abdullah berkata, PN percaya mempunyai peluang untuk menang dalam berhadapan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Nazri Abdul Rahman.

    “Kita merasakan tidak mustahil untuk menang. Ini ditambah lagi dengan ‘gelombang hijau’ dan perubahan sokongan rakyat terhadap PN dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini,” ujar beliau.

    Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili DatuK Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.

    Sementara calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

    PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.

  • Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 penumpang cedera selepas bot yang mereka naiki untuk ke Pulai Aur meletup di bahagian lantai pada kedudukan lebih kurang 7.6 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, Mersing pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, mangsa merupakan empat lelaki dan enam wanita berusia 32 hingga 48 tahun.

    Beliau memberitahu, dua mangsa wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki, manakala seorang mangsa lelaki cedera parah pada bahagian dan belakang pinggang.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kaki terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki, manakala dua orang kru bot hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke bot Perkasa 44 serta bot awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

    Tambah beliau, semua mangsa dibawa ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.

    “Punca sebenar letupan berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa,” ujar beliau.

  • Pemuda UMNO kaji punca rakyat tak undi BN pada PRN

    Pemuda UMNO kaji punca rakyat tak undi BN pada PRN

    PEMUDA UMNO akan melakukan kaji selidik bermula esok untuk kenal pasti punca rakyat tidak mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos lalu.

    Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkata, kaji selidik itu bukan bertujuan mencari salah sesiapa tetapi demi mencari punca dan penyelesaian.

    “Pemuda UMNO turut mendapatkan pendapat pihak media, selain melantik firma tinjauan pendapat awam bagi melaksanakan kaji selidik tersebut.

    “Seandainya dapat keputusan yang sama, ini adalah cerita sebenarnya dan kalau dapatan itu ada yang tidak sama, kita boleh berbincang kerana Umno ini parti keluarga,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menghadiri program di Ayer Keroh, Melaka.

    Akmal berkata, kaji selidik itu akan dibuat secara dalam talian yang mana dibuka kepada seluruh pengundi, manakala hasil dapatan dikumpul dan dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.

    “Sudah tentunya ini penting bukan sahaja untuk menghadapi PRU16 tetapi yang lebih penting adalah untuk survival UMNO itu sendiri,” katanya.

    Pada PRN lalu, UMNO hanya menang 19 kerusi daripada keseluruhan 108 DUN ditandingi.

    Parti itu menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan Pulau Pinang, serta satu di Kelantan.

    Namun, UMNO gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

  • Lelaki maut dilanggar kereta api di Bukit Mertajam

    Lelaki maut dilanggar kereta api di Bukit Mertajam

    SEORANG lelaki maut digilis kereta api di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Taman Sri Kijang, Machang Bubuk Bukit Mertajam malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui orang awam yang menghubungi polis kira-kira pukul 8.30 malam.

    “Berdasarkan pemerhatian, mangsa dianggarkan berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia.

    “Mangsa dipercayai dilanggar oleh kereta api yang berada di landasan laluan arah Bukit Mertajam ke Simpang Ampat.

    “Siasatan awal polis di tempat kejadian, tiada kesan suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) ditemui pada si mati selain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

    Cheng San meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-538 2222 bagi membantu pengecaman mayat.

    “Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintas landasan KTMB kerana boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • Pasca PRN: Adakah tiba masa UMNO bertanding atas tiket sendiri, atau masih di bawah BN? – Azalina

    Pasca PRN: Adakah tiba masa UMNO bertanding atas tiket sendiri, atau masih di bawah BN? – Azalina

    DATUK Seri Azalina Othman Said hari ini membangkitkan persoalan adakah sudah tiba masa untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang, atau masih di bawah bendera Barisan Nasional (BN).

    Ketua Penerangan UMNO itu juga berkata, adakah BN perlu menyertai pilihan raya bersama dengan gabungan baharu?

    Itu kenyataan terbaharu daripada Azalina susulan pelbagai reaksi yang disuarakan ekoran prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu termasuk wujud desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri.

    “Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN; ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu,” soalnya dalam kemas kini dalam Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, ujian pertama BN dalam pilihan raya lalu telah selesai dan kini gabungan itu melangkah masuk ujian kedua iaitu bekerjasama dalam pentadbiran negeri di Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

    Katanya, memang mudah untuk menuding jari dan mendesak Pengerusi BN (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid) mengundurkan diri apabila berdepan kekalahan, tetapi tegasnya gabungan itu adalah satu institusi.

    “Paling penting sebenarnya, dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran. Apa yang perlu kita ubah bukan Presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita.

    “Antara cabaran utama yang kita masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital. Pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen hingga ada ceramah fizikal tidak mendapat sambutan walhal, kempen sebenar adalah di platform digital,” kata Azalina.

    Selain itu, beliau berkata, adalah pelik dan ajaib ketika calon dikemukakan, mereka diterima dan (para penyokong) bersorak di dalam dewan.

    Hakikatnya, Azalina berkata, BN meletakkan calon di 108 kerusi yang berpotensi menang dan kalah, selain menyifatkan ia realiti sistem demokrasi pilihan raya.

    “Sebenarnya bagi kepimpinan BN; parti boleh sahaja ambil jalan mudah, iaitu fokus pada kerusi-kerusi yang mudah menang atau di negeri-negeri yang kita tahu, telah menerima dan faham formula perpaduan di peringkat Kerajaan Pusat.

    “Tetapi ketika kita kemukakan 108 kerusi untuk ditandingi, tiada siapa merungut malah ada juga yang berasakan jumlah itu tak cukup. Tetapi hari ini, ada pula suara-suara sinis apabila ada kerusi yang kalah.

    “Suara-suara ini tidak pula kedengaran ketika watikah diserahkan. Pengerusi BN sendiri beri kebebasan kepada perhubungan negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak. Sebab itu saya katakan, ia tanggungjawab bersama,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu mengatakan Malaysia tidak ada peraturan atau undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan, yang didakwa yang menggunakan platform-platform media sosial bagi mempengaruhi pengundi.

    Dakwanya, pihak lawan menggunakan dana yang begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpangkalan di luar negara.

    “Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital,” kata Azalina, lapor Astro Awani.

    Pada PRN lalu, BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi mereka di enam negeri.
    Susulan prestasi buruk itu, wujud pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pemerhati politik, bekas pemimpin UMNO serta ahli UMNO sendiri, yang mahu ‘sesuatu’ dilakukan demi menyelamatkan parti Melayu itu.

  • Kestabilan apa tanpa sokongan Melayu, Afif soal Anwar

    Kestabilan apa tanpa sokongan Melayu, Afif soal Anwar

    SETIAUSAHA Perikatan Nasional (PN) Selangor Dr. Afif Bahardin hari ini mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kestabilan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, mengatakan Perdana Menteri sudah hilang keyakinan majoriti pengundi Melayu.

    Afif, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, mengatakan PRN baru-baru ini, menunjukkan penurunan sokongan orang Melayu terhadap gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), manakala PN memperoleh 73% sokongan masyarakat.

    “Bagaimana Perdana Menteri boleh mengatakan kestabilan politik sedangkan beliau jelas kehilangan undi dan keyakinan majoriti orang Melayu?

    “Tiada Perdana Menteri sejak merdeka yang mendapat kurang sokongan orang Melayu berbanding Anwar Ibrahim. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ini terjadi. 

    “Daripada membuat rancangan yang kukuh dan berkesan untuk menangani masalah ekonomi rakyat, Anwar dan rakan-rakannya dalam PH menghabiskan masa dengan menyalahkan lawan mereka sebagai ‘pengkhianat’. 

    “Ini jelas tidak menyentuh hati pengundi, yang tidak berminat dengan Anwar dan permusuhan kecil dan mementingkan diri PH,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Semalam Anwar dilaporkan sebagai berkata kerajaan gabungannya berjaya mengekalkan kuasa dan kestabilan politik pada PRN. 

    Dalam wawancara eksklusif dengan CNBC, beliau juga berkata PH dan rakan kongsinya masih memegang majoriti “sangat selesa” dua pertiga di Parlimen. 

    Afif bagaimanapun menyifatkan kenyataan Anwar sebagai “kosong, khayal dan menggelikan”. 

    Beliau juga mempertikaikan kenyataan yang menganggap pengundi Melayu sebagai “pelampau” dan sebahagian daripada “gelombang hijau”, menyifatkannya “terang-terang tidak benar”.

    “Pengundi Melayu sebenarnya sedang menghantar mesej kepada PH-BN tentang kebimbangan mereka terhadap kos sara hidup dan kebimbangan ekonomi.

    “Mereka juga menunjukkan melalui peti undi rasa jijik mereka terhadap gandingan Anwar yang tidak suci dengan presiden UMNO yang dicemari rasuah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

    “Sudah tiba masanya untuk Anwar dan PH-BN menghentikan cubaan yang tidak berkesudahan untuk menggambarkan bahawa semuanya baik-baik saja dalam kerajaan mereka yang goyah tanpa sokongan Melayu. 

    “Sebaliknya, mereka harus cuba mentadbir dengan berkesan dan mengurangkan masalah ekonomi rakyat yang semakin meningkat,” katanya.

  • PAC sasar bentang laporan pengurusan COVID-19 pada sidang Parlimen Okt-Nov

    PAC sasar bentang laporan pengurusan COVID-19 pada sidang Parlimen Okt-Nov

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) komited untuk membentangkan laporan berhubung Pengurusan Wabak COVID-19 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023, yang dijadual bersidang mulai 9 Okt hingga 30 Nov ini.

    Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata lima saksi telah memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding kedua yang diadakan pada hari ini.

    Beliau berkata mereka yang memberi keterangan dan penjelasan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Norazman Ayob, mantan Ketua Setiausaha (KSU) KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, mantan KSU KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, mantan Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan mantan Ketua Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan KKM Datin Seri Dr Asmah Samat.

    “PAC ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada saksi-saksi yang hadir pada hari ini terutamanya saksi utama yang telah bersara daripada perkhidmatan awam.
    Seterusnya, PAC akan memanggil pihak Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd bagi memberi keterangan dan menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung peralatan ventilator yang tidak dapat digunakan,” katanya.

  • Pemandu lori maut, 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan

    Pemandu lori maut, 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan

    SEORANG pemandu lori maut, manakala 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohamad berkata dalam kejadian pada 10.40 malam itu, pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian serta dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

    “Siasatan awal mendapati bas yang membawa 22 penumpang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Seremban, Negeri Sembilan, manakala lori itu pula dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

    “Apabila tiba di lokasi, lori terbabit telah bertembung dengan bas dan kemalangan itu mengakibatkan bas itu bergerak ke sebelah kiri jalan lalu melanggar penghadang keselamatan,“ katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Suzaimi berkata kelindan lori dan pemandu bas mengalami kecederaan ringan, manakala 22 penumpang bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa oleh pihak syarikat bas berkenaan ke lokasi dituju dengan selamat.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Laporan berita disekat, Malaysia menuju negara polis – Wan Saiful

    Laporan berita disekat, Malaysia menuju negara polis – Wan Saiful

    SEKATAN demi sekatan tanpa henti kerajaan campuran dibidas Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan pemerintahan ‘zalim’ semakin menjelma.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tidak menolak negara sedang menuju menjadi negara polis yang dipimpin oleh seorang pemerintah yang berdendam dan tanda-tanda awalnya sudah kelihatan sekarang.

    “Malaysia menuju negara polis (police state) yang dipimpin oleh seorang diktator pendendam. Tanda awalnya boleh dilihat dengan meningkatnya sekatan ke atas kebebasan bersuara dalam negara.

    “Sekatan yang dikenakan adalah secara terpilih. Mereka yang mengkritik, mendedahkan kepincangan, atau menegur sang diktator akan disekat. Tetapi fitnah dan pemfitnah yang membantu sang diktator membalas dendam dibiarkan berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor Agenda Daily.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu membangkitkan tekanan dan tindakan yang diambil terhadap aktivis politik hanya kerana tidak cenderung menyokong kerajaan campuran.

    “Saya sudah “lost count” berapa orang aktivis media sosial yang dizalimi. Platform media online juga disekat tanpa sebarang “due process” yang telus.

    “Terkini, TV Pertiwi telah disekat. Habis seluruh website tidak boleh diakses termasuklah semua berita yang tepat pun tak dapat dicapai lagi. Apa yang salah tidak dijelaskan, tapi berita benar pun kena sekat,” ujarnya lagi.

    Malah, Wan Saiful mendakwa kerajaan campuran bertindak berat sebelah apabila tiada tindakan diambil terhadap penyokong mereka walaupun sudah terdapat laporan polis, malahan tindakan saman sivil juga sudah dikemukakan sebelum ini.

    “Sikap ini berbeza dengan fitnah yang dibuat oleh seorang macai parti kerajaan. Saya buat laporan terhadap Shukri Samsudin pada 12 Julai 2023. Laporan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), laporan polis dan saman mahkamah semua dah dibuat. Sehingga hari ini akaun macai parti kerajaan ini masih boleh diakses dan tiada sebarang tindakan terhadap dia.

    (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=789903953136604&id=100063510198957&mibextid=Nif5oz)

    “Kerajaan ini amalkan double standard tanpa malu. Sikap mahazalim yang sebenar semakin terserlah,” ujarnya lagi.

  • Kerajaan boleh dedah perjanjian dengan Indonesia dalam PSC, cadang Khairy

    Kerajaan boleh dedah perjanjian dengan Indonesia dalam PSC, cadang Khairy

    BAGI memastikan ketelusan dan merungkai segala persoalan berhubung perjanjian maritim dengan Indonesia, kerajaan campuran digesa mendedahkannya kepada Ahli Parlimen dan wakil di Sabah.

    Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menjelaskan berhubung isu Triti Laut Sulawesi antara Malaysia – Indonesia.

    Gesaan itu dibuat bekas Ahli Parlimen Rembau itu susulan susulan dakwaan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian, kononnya kerajaan campuran menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia, baru-baru ini.

    “Tapi saya ada cadangan, cadangan yang saya buat sewaktu kita bincang perkara ini buat kali pertama… Apa kata triti itu di bawa masuk ke dalam Jawatankuasa Pilihan Khas hal ehwal antarabangsa dan hubungan luar.

    “Bawa triti itu tunjuk kepada Ahli-ahli Parlimen supaya kita tidak hanya bergantung kepada kerajaan yang sepatutnya cukup, tapi dalam keadaan kenyataan kerajaan pun orang tak percaya, jadi bawa tunjuk perjanjian itu.

    “Macam saya tunjuk perjanjian vaksin supaya tidak ada pertikaian,” katanya dalam program Keluar Sekejap yang dikongsi dalam media sosial.

    Untuk rekod, Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa dipengerusikan oleh MP Subang, Wong Chen.

    Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Ronald Kiandee juga mencadangkan langkah sama bagi memastikan ketelusan berhubung isu sama ada Triti Laut Sulawesi ditandatangani Perdana Menteri (PMX) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini, tidak membabitkan blok Ambalat.

    Menurutnya, ia juga dapat menghentikan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.

    “Blok Ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama, maka ia tidak boleh digadai sama sekali.

    “Apatah lagi pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia,” katanya dalam kenyataan sebelum ini, lapor Agenda Daily.

    Pada 15 Ogos lalu, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin menjelaskan Triti Laut Sulawesi ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat tetapi hanya membabitkan sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi.

    Penjelasan itu susulan kenyataan Tungku Assaffal pada DUN Sabah 10 Ogos lepas yang mendakwa kononnya Malaysia menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

    Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

    Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.