Category: Semasa

  • ‘Ia bukan lawak, anak saya masih bersedih kerana kehilangan ayahnya’, kata Isteri mangsa MH370

    ‘Ia bukan lawak, anak saya masih bersedih kerana kehilangan ayahnya’, kata Isteri mangsa MH370

    ISTERI mangsa MH370 kecewa dan mengecam
    tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia kerana menjadikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai bahan jenakanya yang disifatkan keji dan menjijikkan.

    Isteri kepada pramugara pesawat MH370, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman menyifatkan tindakan pelawak solo berkenaan juga tidak peka terhadap sensitiviti kehilangan kapal terbang berkenaan.

    “Jocelyn Chia mengetahui bahawa lawak yang digunakan menyinggung perasaan orang ramai namun tetap mahu menjadikannya sebagai jenaka.

    “Lihatlah dia (Jocelyn) tertawa dengan gurauannya sendiri. Ia bukan lawak. Seteruk mana pun kamu, tetapi jangan buat jenaka dengan menyebut MH370. Anak saya Muhammad masih bersedih sehingga hari ini disebabkan kehilangan ayahnya.

    “Tahukah kamu berapa ramai lagi ibu yang masih menangis hingga sekarang. Kamu memang tidak tahu sebab tiada empati dan perasaan.

    “Atau mungkin anda juga tidak mempunyai keluarga. Jika kamu ada keluarga pun saya pasti mereka malu dengan tindakan bodoh kamu,” katanya menerusi hantaran video di TikTok dan tulisan dalam Facebook.

    Katanya, secara peribadi dia melihat jenaka Jocelyn sebagai tangisan yang mahukan pertolongan daripada manusia terdesak dan keji.

    Pada masa sama, Intan Maizura turut berkata, orang ramai akan mendapat lawak hambar apabila menghadiri sesuatu acara dengan menampilkan seseorang yang tidak mengetahui cara sebenar berjenaka.

    Menurutnya, tiada keperluan menggunakan isu kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan begitu cepat dan normalisasi menggunakan topik mengguris perlulah dihentikan.

    “Ingatlah bahawa perasaan rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri kadangkala boleh mengubah perilaku seseorang.

    “Ia boleh membuatkan seseorang membenci diri sendiri dan mencerminkan diri sebagai individu yang tidak berhati perut atau mungkin tiada otak,” katanya.

  • Sanusi nafi sasar jawatan Timbalan Presiden

    Sanusi nafi sasar jawatan Timbalan Presiden

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan seorang ahli akademik bahawa beliau sedang menyasarkan jawatan Timbalan Presiden Pas.

    Sanusi berkata, pandangan ahli akademik Azizuddin Sani mengenai perkara itu jauh tersasar.

    “Jangankan timbalan presiden, pencalonan naib presiden pun saya tolak,” kata Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, kepada portal FMT.

    Selasa lalu  Azizuddin, daripada Universiti Utara Malaysia, berkata matlamat jangka panjang Sanusi adalah untuk menjadi Timbalan Presiden Pas.

    Katanya, “serangan” berulang Sanusi ke atas Pulau Pinang adalah sebahagian daripada strategi untuk memenangi hati pengundi Melayu, terutama di Kedah.

    Bagaimanapun, katanya, dari semasa ke semasa, retorik ini menjengkelkan rakyat Kedah, yang kebanyakannya bekerja dan mendapat manfaat daripada ekonomi Pulau Pinang.

    “Tiada bukti orang Kedah suka taktiknya,” kata Azizuddin.

    Membidas kenyataan ahli akademik itu, Sanusi berkata: “Beliau (Azizudin) tidak kenal Pas.”

    “Pensyarah-pensyarah UUM terkenal sebagai pembodek kerajaan. Lebih banyak lalang tumbuh di situ berbanding manusia,’’ katanya.

  • Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    ANAK saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tiga tuduhan rasuah berhubung tindakan tidak melaporkan mengenai kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, enam tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membebaskan R. Naveen Kularasa, 51 yang juga pembantu peribadi Sivarasa dan pemandu van, Nico Kam Joo Hoe, 25 selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat bahawa Pejabat Peguam Negara menerima representasi kedua-dua tertuduh.

    Noralis berkata, sehubungan itu pendakwaan menarik balik tuduhan dan melepas tanpa membebaskan Kularasa dan Joo Hoe.

    Bagaimanapun, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Joo Hoe memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan kerana aduan mengenai kes itu dibuat pada 2017 manakala dia pula dituduh pada tahun lalu yang memakan masa yang lama.

    “Adalah tidak adil untuk membiarkan kedua-dua tertuduh terus dibelenggu dengan pertuduhan itu dan sepatutnya kes berkenaan dibawa kepada pengakhiran,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, malah pendakwaan tidak memberikan alasan kenapa mereka tidak harus dilepas dan dibebaskan.

    Selepas mendegar hujahan itu, Azura memutuskan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin berjumlah RM10,000 seorang dikembalikan kepada penjamin masing-masing.

    Mengikut pertuduhan pertama, Kularasa dan Joo Hoe didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman iaitu lelaki warga Bangladesh.

    Wang itu sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik lelaki itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

    Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Joo Hoe) berhubung perkara sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, Kularasa diwakili peguam M. Puravalen.

  • Jenaka hina Malaysia: Jangan lagi bertolak ansur, gesa Wan Ahmad Fayhsal

    Jenaka hina Malaysia: Jangan lagi bertolak ansur, gesa Wan Ahmad Fayhsal

    TINDAKAN pelawak Singapura, Jocelyn Chia menghina Malaysia dan menjadikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 sebagai bahan jenaka tidak boleh diterima.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan dal hantaran menerusi Facebook miliknya berkata, perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan dan wajar diprotes seluruh rakyat negara ini.

    “Ini bukan lawak, tapi satu penghinaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib protes dan mengecam tindakan jijik pelawak dari Singapura yang secara terang-terangan menghina Malaysia.

    “Sebagai seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional yang menjaga hal ehwal portfolio Kementerian Luar Negeri, saya akan segera menghantar notis kecaman dan bantahan terhadap Kedutaan Besar Singapura di Kuala Lumpur,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jelasnya, tindakan Jocelyn bukan sahaja boleh mencemarkan hubungan antara dua hala malah dapat mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat di kedua-dua buah negara.

    “Kita harus memastikan individu seperti Jocelyn ini bertanggungjawab atas perkataannya,” katanya.

    Malaysia tegasnya, tidak boleh lagi bertolak ansur dalam perkara yang membabitkan maruah negara.

    Sementara waris mangsa MH370, Intan Maizura Othaman menyatakan individu yang mempersenda misteri kehilangan pesawat berkenaan sebagai tidak berhati perut.

    Dia berharap Jocelyn menjadi wanita lebih baik.

    Dalam pada itu Intan Maizura turut menyindir komen daripada rakan-rakan Singapura dan beberapa rakyat Malaysia yang bertepuk tangan kerana jenaka yang hambar.

    “Adakah anda benar-benar terhibur? Kalian sepatutnya malu kerana mempunyai selera yang teruk,” ujarnya.

  • Thailand tingkat kawalan keselamatan pelancong Malaysia

    Thailand tingkat kawalan keselamatan pelancong Malaysia

    PIHAK berkuasa Thailand mempertingkatkan kawalan keselamatan supaya pelancong Malaysia termasuk dari Kelantan berasa selamat ketika berkunjung ke negara Gajah Putih itu.

    Timbalan Komander Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Phongsiam Meekhanthong berkata, antara langkah yang diambil termasuk pemeriksaan dan rondaan di destinasi-destinasi pelancongan utama di negara itu.

    Beliau memberitahu, Thailand mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong dari Malaysia lebih 20,000 setiap bulan selepas pandemik Covid-19.

    “Mereka memilih untuk berkunjung ke Selatan Thailand seperti Songkhla, Bangkok dan Chiengmai.

    “Demi keselamatan mereka, kami melakukan pemeriksaan berkala termasuk di pantai-pantai bagi memastikan para pelancong bukan sahaja Malaysia tetapi dari seluruh dunia yang berkunjung ke Thailand mematuhi peraturan seperti memakai jaket keselamatan dan menggunakan pemandu pelancong serta mengelak daripada kemalangan jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Kota Bharu, semalam.

    Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun; Komander Polis Divisyen 3 Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Krit Warit dan Timbalan Konsul Jeneral Marisa Indramangala.

    Phongsiam berkata, pelancong asing yang berdepan sebarang kesulitan atau mempunyai pertanyaan boleh menghubungi pihaknya 24 jam.

    Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, seramai 91,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Thailand melalui tiga pintu pemeriksaan utama di Kelantan sejak awal tahun ini.

    Katanya, dalam tempoh enam bulan itu juga, kira-kira 88,000 warga Thailand memasuki Malaysia melalui pintu sama.

    “Tahun lalu, 157,000 rakyat Thailand memasuki Malaysia melalui Kelantan dan 131,000 rakyat Malaysia pula berkunjung ke negara itu,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    POLIS menembak mati dua penyamun bersenjatakan parang sebelum mereka sempat memecah masuk sebuah rumah di Cheras awal pagi tadi.

    Harian Metro melaporkan, polis menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki, disyaki warga asing di sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, kira-kira 3.30 pagi.

    Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang membuat rondaan kemudian diarahkan melakukan pemeriksaan.

    Apabila polis tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia 30 hingga 40-an itu cuba menyerang anggota menggunakan parang.

    Dalam usaha mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek dan membunuh dua daripada mereka, sementara dua lagi suspek lolos.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, anggotanya menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah, termasuk pemotong besi dan parang.

    Bagaimanapun, tiada senjata api dijumpai pada kedua-dua suspek yang ditembak mati.

    Shuhaily berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut dan dalam usaha mengenal pasti identiti suspek.

    “Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka, baru kita boleh tahu siapa dia (suspek) dan kaitkan dengan kes lain.

    “Kita dapat maklumat…dua (suspek lain) melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Menurutnya, usaha mengesan suspek yang meloloskan diri giat dijalankan.

  • Lawak melampau: Singapura mohon maaf, Jocelyn Chia bukan lagi warganegara

    Lawak melampau: Singapura mohon maaf, Jocelyn Chia bukan lagi warganegara

    KERAJAAN Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

    Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini.

    “Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

    “Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Foto viral media sosial

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn yang memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

    Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

    Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

    Dalam masa sama, Vanu Gopal berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat, dengan ikatan yang cukup mendalam.

    “Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.

    “Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal lagi.

  • Pertahan Kerajaan Perpaduan matlamat politik UMNO – Tok Mat Hasan

    Pertahan Kerajaan Perpaduan matlamat politik UMNO – Tok Mat Hasan

    MEMPERTAHAN dan menjayakan Kerajaan Perpaduan adalah matlamat politik UMNO waktu ini dengan menggembleng segala kepakaran dan pengalaman yang dimiliki parti, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Beliau berkata usaha menjayakan Kerajaan Perpaduan sangat penting kerana UMNO mesti melakukan perkara yang betul untuk tanah air.

    “Telah empat tahun Malaysia terumbang-ambing, tanpa matlamat jelas dalam bernegara dan berbangsa. Masakan kita mahu membiarkan ia berterusan.

    “Justeru, kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini, untuk membezakan UMNO dari parti politik lain bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serentak yang turut dihadiri tiga Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

    Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan telah membuka potensi baru untuk parti.

    “UMNO dan BN sedang melalui ‘eksperimen politik’ yang sangat penting. Panggillah apa pun. Jajaran baru, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’ iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional.

    “Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’, namun, trend yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’. Kita melihat kemunculan politik kerjasama dan muhibah, politik perpaduan, politik permuafakatan,” katanya.

    Menyingkap kembali penyertaan UMNO untuk membentuk kerajaan, Menteri Pertahanan itu berkata bersandarkan realiti dan kedudukan bahawa parti telah tewas, kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik untuk bersama Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari kerajaan. Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” katanya.

  • UMNO seolah-olah hilang fokus, Tok Mat minta ahli bermuhasabah

    UMNO seolah-olah hilang fokus, Tok Mat minta ahli bermuhasabah

    DATUK Seri Mohamad Hasan malam ini mengajak ahli UMNO bermuhasabah, dengan menegaskan parti itu seolah-olah hilang fokus kepada kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui masyarakat Melayu.

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO juga gagal menampilkan penyelesaian yang bernas untuk kaum itu.

    Berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Putra, Mohamad berkata masyarakat Melayu mahu tahu apa sebenarnya rencana UMNO untuk mereka, dari segi ekonomi, pendidikan, dan sosial yang masih lagi dikatakan tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

    “UMNO mesti ada jawapan untuk semua ini dan jawapan UMNO tidak boleh ‘piecemeal’, juga secara ‘ad hoc’,’’ tegasnya.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata UMNO mesti melibatkan pemikir terbaik negara untuk membantu usaha menghasilkan rangka tindakan agenda Melayu baharu itu.

    “Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati. Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja,”katanya.

    Sehubungan itu Mohamad berkata, UMNO  perlukan suatu blueprint baharu agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, untuk kelangsungan parti itu.

    Kata beliau, jika  UMNO mahu meyakinkan masyarakat Melayu bahawa ia mempunyai rencana yang jelas untuk mereka, ia perlu mulakan langkah berani dan tegas dengan suatu rangka tindakan agenda Melayu yang moden dan maju.

    “UMNO nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Empat tahun terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair,” katanya.

    Mohamad berkata rangka tindakan itu harus menunjukkan UMNO sedar masalah yang melingkari masyarakat Melayu, serta memaparkan strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.

    “Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa.Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi kelangsungan politik,’’katanya.

  • Sanusi nafi tidak beradab dengan Persekutuan

    Sanusi nafi tidak beradab dengan Persekutuan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan kononnya beliau tidak beradab dan tidak bersopan sepanjang menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan selama ini.

    Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri itu berkata, semua pihak harus membezakan peranan dimainkannya selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar dalam membuat penilaian.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan bahawa Menteri Besar lain ada sopan dan adab dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan. Saya tak tahu ukuran diambil dari mana tetapi sepanjnag hubung government to government (G2G), hubungan saya dan Perdana Menteri adalah teratur, bersopan, beradab dan bertatakelola.

    “Ada pun ceramah, ucapan dalam kempen pilihan raya itu adalah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya. Saya tengok semasa ceramah pilihan raya Perdana Menteri pun sakan juga dan ada keluar macam-macam perkataan seperti bodoh dan bangang.

    “Saya tak ambil kenyataan itu sebagai ucapan Perdana Menteri sebaliknya itu adalah ucapan Presiden parti yang berkempen dalam pilihan raya. Jadi jika diambil ucapan dan tindakan saya sebagai ketua pengarah pilihan raya yang bersaing dlm sistem demokrasi di medan politik untuk diletak dalam kasut Menteri Besar, itu satu penilaian tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Ketika menjawab soalan tambahan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri berkata, beliau sudah empat kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu selain telah meluluskan kebanyakan peruntukan diminta Menteri Besar Perlis kerana perkara tersebut, ditanya secara sopan dan beradab melibatkan hubungan antara negeri dan Persekutuan.

    Kenyataan dibuat Perdana Menteri itu bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan mengapa tiada pertemuan berlaku antara Perdana Menteri dengan Muhammad Sanusi ketika Menteri Besar Kedah itu sudah tiga kali menghantar surat untuk bertemu.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, sebagai Menteri Besar, beliau telah memenuhi garis panduan seperti mana telah dalam sumpah jawatan antaranya memelihara kepentingan negeri ini.

    “Itu sumpah saya dan tak ada saya buat ucapan di luar tatasusila seorang pemimpin negeri apabila memakai kasut dan topi selaku Menteri Besar. Jadi apabila diambil kerja saya yang lain (selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN) dan diletak dalam kasut saya sebagai Menteri Besar, itu tak adil.

    “Lebih-lebih lagi perkara itu diucapkan di Parlimen dengan saya tiada di situ untuk menjawab. Jadi perlu saya jelaskan, watak-watak yang ada di media sosial dan di mana-mana tempat sekali pun, adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti serta fungsi saya sebagai Menteri Besar,” katanya.