Category: Semasa

  • Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan bersubahat bagi memalsukan invois dan pesanan pembelian bernilai RM13.8 juta, tiga tahun lepas.

    Ng Shih Chiow, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Shih Chiow didakwa bersubahat dengan Cheng Choon Choon iaitu pengurus syarikat Accucom Solutions PLT dan Golden Infor Services dengan memalsukan 10 invois bernilai RM8.7 juta untuk tujuan menipu.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Revenue, No 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park di Kuala Lumpur, antara 22 Mei 2020 hingga 8 Ogos 2022.

    Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh juga didakwa bersubahat dengan Choon Choon yang juga pengurus syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd dengan memalsukan dua pesanan pembelian bernilai RM5.1 juta untuk tujuan menipu di lokasi sama, antara 7 April hingga 12 Mei 2022.

    Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Allan Suman Pillai mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya berada dalam simpanan pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

    Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan selain memaklumkan isteri serta adik tertuduh hadir di mahkamah hari ini sebagai penjamin.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

  • DAP tak perlu minta maaf – Zahid

    DAP tak perlu minta maaf – Zahid

    TIDAK sampai beberapa jam, Ketua Pemuda UMNO, Dr.Muhamad Akmal Saleh mahu DAP meminta maaf kepada UMNO atas tohmahan yang pernah dilemparkan ke atas parti, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan semula.

    Tegasnya perkara itu ktelah dibincangkan beberapa kali ketika fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Perkara itu tidak perlu timbul lagi (permohonan maaf) kerana mereka (DAP) telah nyatakan perkara ini beberapa kali malah dalam rundingan kita membentuk kerajaan.

    “Perkara ini menjadi syarat utama kepada kita dan mereka setuju seratus peratus jadi tidak perlu ulangi perkara yang telah mereka persetujui,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, lapor Astro Awani.

    Ahmad Zahid pada masa sama berpendapat, isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu yang tidak senang duduk melihat kestabilan politik yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

    Beliau turut berkata, isu berkenaan juga telah menerusi fasa penjelasan terhadap peringkat akar umbi dalam memahami kerjasama yang sedang dibentuk ketika ini.

    “Kita mempunyai prinsip bahawa kerjasama ini antara BN dan PH maka asas inilah yang terbentuknya kerajaan ketika ini.

    “Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang tidak senang dengan kewujudan apatah lagi kestabilan kerajaan sekarang kerana hakikatnya kebersamaan BN dan PH ini telah terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah.

    “Mungkin di peringkat akar umbi itu kita mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk kita lakukan penjelasan di dalam sesi ‘townhall’ oleh Ketua Penerangan, perkara ini telah jelas malah penjelasan kronologi oleh Setiausaha Agung juga jelas maka perkara ini tidak timbul lagi,” katanya lagi.

    Dr Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dasarnya hari ini menggesa DAP untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Gesaan itu katanya bagi membuktikan keikhlasan DAP dalam bekerjasama bersama UMNO selain usaha untuk melembutkan hati parti itu khususnya orang Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

  • Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    PEKEBUN sayur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Som Phong Chem, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berumur 22 tahun itu, berhampiran Pam Air Kampung Kok Klang, Jalan Felda Chuping, Arau pada 5.30 petang 4 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memohon hukuman berat dan sebatan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Som yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan dia juga menjaga ibu yang kurang sihat.

  • Dera budak lelaki: Suami isteri didakwa semula di mahkamah

    Dera budak lelaki: Suami isteri didakwa semula di mahkamah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASANGAN suami isteri yang dibebaskan tanpa dilepaskan semalam atas pertuduhan pindaan berkait kes penderaan kanak-kanak lelaki, April lalu, didakwa tuduhan baharu hari ini.

    Kedua-duanya dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan baharu kerana kecuaian yang menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak berkenaan.

    S. Nagendran dan A. Sangeetha yang sedang mengandung tiga bulan, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

    Pasangan berusia 23 tahun itu didakwa dengan mencapai niat bersama bertindak secara cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak mereka berusia 4 tahun.

    Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di Skudai Villa Apartment, Skudai Johor Bahru, pukul 12.30 pagi, 28 April lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen sama, dibaca bersama seksyen 34.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000, atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan penjamin.

    Suami isteri terbabit turut diarahkan untuk melaporkan diri sebulan sekali di Balai Polis terdekat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala mereka tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Terdahulu pada 3 Mei, mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pertuduhan mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang berada di bawah pemeliharaan mereka itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Bagaimanapun semalam, mereka dilepaskan tanpa dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal mempertahankan pertuduhan pindaan selepas pasangan itu menukar pengakuan kepada mengaku tidak bersalah.

  • Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    TEMPOH reman sepasang suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas, disambung enam hari bermula esok.

    Perintah reman hingga 14 Jun terhadap kedua-duanya yang berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nurhaliza Md Ali bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Pada 2 Jun, pasangan itu dibenarkan direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kangar untuk membantu siasatan polis.

    Pasangan itu disyaki memukul ibu kepada suspek wanita sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Arau pada 1 Jun.

  • Pemuda UMNO seru bekas ahli kembali ke pangkuan parti

    Pemuda UMNO seru bekas ahli kembali ke pangkuan parti

    KETIKA Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi dilihat menyindir bekas-bekas ahli UMNO, Ketua Pemuda UMNO Dr.Muhamad Akmal Saleh mengambil langkah sebaliknya.

    Ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Ketua Pemuda di Persidangan Tahunan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur, Dr.Muhamad Akmal menggunakan kesempatan itu menyeru bekas ahli-ahli parti yang telah meninggalkan UMNO agar kembali ke pangkuan parti bagi mewujudkan kembali era kegemilangan parti berkenaan.

    “UMNO tak mampu untuk berpecah, UMNO tak mampu untuk bertelagah, jangan kita sindir-sindir ahli parti kita yang di luar, jangan perkecilkan mereka di luar (ahli parti keluar UMNO)… mereka juga mempunyai jasa kepada parti kita.

    “Tugas kita (Pemuda) adalah ambil mereka kembali duduk dalam UMNO bantu UMNO, rapatkan saf kita, bila terlalu banyak perbezaan pendapat, orang itu salah orang ini salah… hakikatnya kita perlu sedar bahawa kedudukan UMNO berada pada tahap paling bawah,” katanya.

    Beliau mengingatkan  kekuatan UMNO tiada gunanya jika hanya gah pada bilangan ahli parti yang ramai sedangkan kedudukan angka itu tidak diterjemahkan di dalam kerajaan yang memerintah.

    “Sekarang, kita berada dalam situasi yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana kepimpinan Pemuda sebelum ini. Parti yang selama ini kita lahir dan dewasa di dalamnya, menuntut kita menterjemahkan nilai kematangan, hasil dari proses pendewasaan yang kita lalui selama ini.

    “Di sebalik gahnya UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dan Malaysia, hakikatnya UMNO merupakan antara parti terkecil dalam konfigurasi politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini. Ada apa pada nama jika angka tidak segah namanya,” katanya lagi. Sehubungan itu beliau menegaskan, 

    UMNO perlu kembali memperkukuhkan soal penjenamaan parti itu dalam usaha untuk menjadikannya kekal relevan dalam kalangan rakyat.

    ” UMNO perlu bekerja keras untuk mengembalikan semula sifat parti yang dahulunya diminati, disayangi dan diingini,” tegasnya.

    Dr.Muhamad Akmal berkata, era kebangkitan semula UMNO dapat dilihat sewaktu zaman pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi beberapa siri pilihan raya yang selain ia menjadi bukti bahawa UMNO tidak pernah ketandusan dalam menyediakan ‘supply’ yang baik kepada rakyat.

    “UMNO sebenarnya masih mempunyai kualiti untuk menyediakan penawaran kepada rakyat. Di hadapan saya inilah (Pemuda) ‘supply’ yang UMNO ada kepada rakyat.

    “Rumah Pemuda UMNO sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa. Tetapi walau sebagus manapun kualiti ‘supply’ yang kita ada, ia hanya sia-sia jika tiada ‘demand’ daripada rakyat jelata.

    “Kita perlu akur, pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), jenama UMNO telah terjejas teruk. Saya sendiri menerima face to face feedback berkenaan ‘branding’ parti kita ketika turun berkempen pada PRU15,” katanya.

    Bagaimanapun kata beliau, ada tempat yang langsung tidak bercakap tentang calon Parlimen tersebut pun, sebab para pengundi terlalu banyak menekan UMNO berkenaan isu-isu nasional dan isu dalaman parti yang berlaku sebelum PRU15.

    “Untuk UMNO kekal relevan, UMNO perlu berubah mengikut kehendak rakyat. Sekarang zaman parti politik perlukan pengundi, rakyat boleh hidup tanpa parti politik. Parti politik dengan rakyat, umpama badan dan jantung.

    “Kalau badan berhenti, jantung masih berjalan, tapi kalau jantung berhenti (pengundi), kita orang-orang politik yang ‘jalan’ (kalah),” tegasnya.

  • Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak

    Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak

    SEORANG wanita yang baharu bersalin tiga bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan mencuri rantai leher seorang kanak-kanak pada Sabtu lalu.

    Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas dengan niat telah mencuri seutas rantai leher emas kepunyaan seorang kanak-kanak.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam, Selangor pada 3 Jun lalu sekitar pukul 5.30 petang.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, ibu kepada seorang anak itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Oon Guo Chen memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang minimum terhadap anak guamnya itu memandangkan tertuduh baru sahaja bersalin.

    Majistret Nur Faizah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen, lapor UtusanTV.

    Media sebelum ini melaporkan pihak polis menahan wanita berkenaan selepas menerima aduan daripada pengadu yang merakam kejadian semasa suspek mengambil rantai leher dengan cara memotong menggunakan sesuatu objek lalu menarik rantai tersebut.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau jenayah melibatkan kes curi.

  • ”Kalau mahu hati orang Melayu lembut, DAP perlu mohon maaf” – Dr.Muhamad Akmal

    ”Kalau mahu hati orang Melayu lembut, DAP perlu mohon maaf” – Dr.Muhamad Akmal

    DAP perlu memohon maaf kepada UMNO atas segala tohmahan terhadap parti itu kerana ia mengguris hati semua ahli sehingga kini.

    Ketika membuat desakan itu, Ketua Pemuda UMNO Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, permohonan itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan UMNO supaya memilih mereka pada PRN akan datang.

    “Kalau mahu hati orang (Melayu ) lembut, DAP perlu mohon maaf dengan tohmahan dibuat sebelum ini kepada UMNO,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Ketua Pemuda UMNO di persidangan tahunan pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO turut menuntut DAP membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

    “DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centrict’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

    “Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada UMNO dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya.

    Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau faham dalam UMNO ramai yang risau apabila parti itu bersama DAP.

    ” Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba. 

    ”Ada yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan, risau sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual. Risau bila bersama DAP, keris UMNO terperosok ke bumi. Risau bila bersama DAP, UMNO diam terbisu, kampung tergadai,” katanya.

    Dr.Muhamad Akmal menegaskan, dalam bahasa mudahnya, akar umbi risau, bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, UMNO tak boleh bercakap soal kedaulatan raja-raja, UMNO tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera. 

    ”UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Ini yang orang UMNO risau. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara. Kita bersama untuk membentuk kerajaan. 

    ”Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas,” tegasnya.

    Beliau berkata,  UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP, dan tidak pernah minta DAP menjadi UMNO dan  Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP. 

    ”Ini sumpah dan ikrar Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi,” katanya.

    Dr.Muhamad Akmal yang mengimbas kembali bagaimana UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan turut menegaskan, Pemuda  mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan, menjadi parti yang membela nasib Melayu, pertahankan Islam dan menjunjung kedaulatan raja. 

    ”Kita mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan ini berfungsi sebagai penjaga, pelindung dan  Melayu, Islam dan Bumiputera, tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain. 

    ” Kalau ada ada mana mana pihak yang cuba, waima terlintas walau sedikit pun untuk mengganggu gugat agama, bangsa dan institusi raja, tengok muka ini, tengok muka Pemuda-pemuda ini, langkah mayat kami dulu,”katanya.

  • Rafizi digesa perjelas butiran, dana projek kecil

    Rafizi digesa perjelas butiran, dana projek kecil

    SEBUAH badan pemikir menggesa kerajaan memberikan butiran mengenai sistem dicadangkan untuk membolehkan orang ramai memohon pembiayaan secara langsung daripada Kementerian Ekonomi.

    Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu memastikan sumber pembiayaan serta kriteria kelulusan untuk mendapatkan pembiayaan didedahkan sepenuhnya.

    “Menteri juga perlu memastikan kelulusan dan pelaksanaan projek sentiasa dipantau dan didedahkan kepada awam demi kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan.

    Khamis lalu, Rafizi berkata, sistem itu akan beroperasi menjelang minggu ketiga Jun.

    Bagaimanapun, katanya peruntukan diberikan hanya untuk projek berskala kecil, seperti menangani longkang tersumbat di kawasan perumahan.

    Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menerima permohonan pembiayaan langsung oleh sesiapa sahaja di Malaysia.

    Pada masa ini, hanya wakil rakyat, pegawai daerah dan majlis tempatan boleh menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan. Permohonan itu diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

    Walaupun Ideas memuji usaha itu, institut berkenaan berkata, penjelasan diperlukan mengenai peruntukan yang dirujuk Rafizi dan jumlah dana akan disediakan untuk tujuan tersebut tahun ini.

    Ketika ini, katanya antara peruntukan yang diketahui untuk projek berskala kecil disalurkan melalui Ahli Parlimen dan Adun melalui peruntukan pembangunan kawasan (CDF).

    Bagaimanapun katanya, CDF ‘tidak sepenuhnya telus’ memandangkan jumlah peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), dan mekanisme pembahagian peruntukan ditentukan sepenuhnya oleh perdana menteri, dan ketua menteri atau menteri besar pada peringkat negeri.

    “Kerajaan yang memerintah memiliki kuasa penuh dalam memutuskan jumlah pembahagian peruntukan CDF dan natijahnya, kawasan Ahli Parlimen kerajaan mendapat peruntukan yang lebih banyak secara tidak adil,” katanya menurut laporan FMT.

    Ideas menggesa kerajaan melaksanakan reformasi CDF bagi memastikan pengagihan dana dilakukan secara saksama, mengambil kira keperluan kawasan tanpa mengira parti politik Ahli Parlimennya.

  • Kerajaan masih tunggu jawapan Arab Saudi berhubung kuota haji, kata menteri

    Kerajaan masih tunggu jawapan Arab Saudi berhubung kuota haji, kata menteri

    KURANG tiga minggu bermulanya ibadah haji, Malaysia masih belum menerima jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota tambahan bagi jemaah haji tahun 2023.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat kerajaan masih berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dengan mengemukakan rayuan kepada Arab Saudi.

    “Dan kita masih lagi menunggu kerajaan Arab Saudi untuk jawapan kepada rayuan yang kita telah buat kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai (PN-Pas) Abdul Latiff Abdul Rahman yang bertanyakan apakah hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut beberapa bulan lalu khususnya melibatkan perbincangan mengenai kuota jemaah haji Malaysia.

    Terdahulu, media melaporkan Malaysia mendapat semula kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan pertambahan kuota tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.

    Kemudian, kerajaan dilaporkan membuat rayuan kedua iaitu penambahan sehingga 10,000 lagi kuota, yang sepatutnya diumumkan pada Mei lalu.

    Dasar kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berkenaan.

    Ini menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 31,600 orang berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa ini lapor Malaysianow.