Category: Semasa

  • Ahli-ahli Parlimen PN mohon menghadap Raja-Raja Melayu

    Ahli-ahli Parlimen PN mohon menghadap Raja-Raja Melayu

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan memohon untuk menghadap raja-raja Melayu selepas usul persendirian untuk membincangkan isu kalimah “Allah” ditolak di Dewan Rakyat.

    Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata beliau kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran Pindaan Akta 388 berkait kalimah “Allah” daripada dibahas.

    “Saya berharap, saya bersama beberapa Ahli Parlimen PN akan mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Selangor dan juga Majlis Raja-Raja untuk menerangkan mengenai usul persendirian ini,” kata Zulkifli pada sidang media di Parlimen, rapor FMT.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri  Hamzah Zainudin berkata Ahli Parlimen PN berhasrat menerangkan kepada Raja Melayu bahawa pindaan pada Akta Tafsiran 1948 dan 1967 antara cara bagi memastikan kalimah “Allah” tidak disalah guna.

    “Sesiapa saja boleh guna, tapi biarlah dengan tafsiran yang betul. Apa yang kami bimbang kalimah itu boleh disalah tafsir oleh pihak tertentu dan ini boleh menyebabkan kekeliruan,” katanya.

    Hamzah berkata kalau semua pihak faham kalimah “Allah” mengikut tafsiran yang ada dalam undang-undang, mudah untuk diterima pakai semua pihak dalam negara.

    Pada 2 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Zulkifli mengemukakan usul persendirian bagi mencadangkan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu kalimah “Allah”.

    Hari ini, Zulkifli berkata beliau menerima jawapan dari Speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan usul itu ditolak.

    Timbalan Speaker Alice Lau memberitahu Zulkifli sekiranya tidak berpuas hati, beliau boleh mengemukakan rayuan.

    Zulkifli berkata pindaan pada Akta Tafsiran bukan satu “pilihan” tetapi sesuatu yang perlu dilakukan untuk melindungi kepercayaan orang Islam di negara ini.

  • Kerajaan Perpaduan guna strategi 2R hadapi PRN 6 negeri – Zahid

    Kerajaan Perpaduan guna strategi 2R hadapi PRN 6 negeri – Zahid

    KOMBINASI retain and regain akan menjadi strategi parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua parti bukan sahaja akan berusaha untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu, malah bekerja keras untuk mendapatkan semula kawasan-kawasan yang mereka tewas sebelum ini.

    Timbalan Perdana Menteri berkata strategi berkenaan telah pun dibincangkan bersama rakan-rakan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Ini yang akan kita lakukan, retain and regain, dan perkara ini kita akan susun atur gerak bersekali dengan rakan-rakan politik lain, insya-Allah apabila kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) bubar akhir bulan ini, gerak kerja kita akan bertambah rancak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini, lapor BERNAMA.

    Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Sementara itu mengulas mengenai desas-desus mengenai 10 pemimpin UMNO yang didakwa akan menyertai parti lain menjelang PRN, Ahmad Zahid berkata perkara itu sekiranya berlaku tidak sesekali akan melemahkan sokongan pengundi kepada parti itu.

    “Telah beberapa kali keadaan itu berlaku (pemimpin keluar parti), (namun) insya-Allah UMNO tetap UMNO, rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam akan terus sokong UMNO. 

    “Tapi kita mesti melampiaskan soal fitnah dan mehnah yang dilontarkan kepada kita oleh mereka-mereka yang agak tertekan pasca-PRU (Pilihan Raya Umum) 14 dan 15, insya-Allah dengan Ketua Penerangan baharu (Azalina), Setiausaha Agung baharu (Asyraf) cara kita bergerak akan berbeza berbanding lampau,” katanya. 

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata pembahagian kerusi antara parti di dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan menegaskan gabungan itu mempunyai formula tertentu jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti pertindihan kerusi.

    Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

  • Polis kesan penumpang lelaki cabul pelajar perempuan

    Polis kesan penumpang lelaki cabul pelajar perempuan

    SEORANG penumpang lelaki yang disyaki meraba pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam sebuah bas ekspres di Gerik kelmarin kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada mangsa berusia 22 tahun yang membuat laporan di Balai Polis Banggol Judah, Kelantan.

    “Mangsa mendakwa telah diraba seorang lelaki berusia lingkungan 20an yang duduk di kerusi belakang semasa dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Tanah Merah, Kelantan.

    “Kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang tidur dan bas ekspres berada berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Gerik hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu cabul, lapor Sinar Harian.

    Orang ramai yang mengetahui kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

  • Warga emas didakwa rogol anak tiri usia 11 tahun

    Warga emas didakwa rogol anak tiri usia 11 tahun

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan merogol anak tirinya.

    Tertuduh berusia 63 tahun dihadapkan di hadapan Hakim Nooriah Osman atas tuduhan merogol mangsa berusia 11 tahun di sebuah rumah di daerah ini, antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada April lalu.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lelaki berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Terima keputusan cemerlang SPM di bumi Makkah

    Terima keputusan cemerlang SPM di bumi Makkah

    NUR Saffiyah Nasuha Ramlan, 18, tidak menyangka menjadi pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Raub, Pahang setelah memperolehi keputusan 8A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Ibu bapanya berkongsi khabar gembira itu melalui panggilan video dari tanah air memandangkan Nur Saffiyah ketika ini berada di Tanah Suci bersama empat adik beradik dan abang iparnya bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

    “Saya gembira kerana pertamanya dapat tunai haji pada usia muda dan pada masa sama mendapat keputusan cemerlang di bumi penuh barokah ini,” katanya ketika dihubungi di Mekkah hari ini, lapor Sinar Harian.

    Berkongsi kejayaannya, Nur Saffiyah berkata, rahsia kejayaannya ialah fokus ketika cikgu mengajar di dalam kelas dan menyiapkan kerja rumah mengikut masa ditetapkan.

    “Saya tak ikuti tuisyen di luar. Apabila lepas Maghrib akan mengaji al-Quran dan berdoa setiap masa agar cemerlang dalam akademik, siasah dan agama serta berjaya di dunia dan akhirat.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih ibu bapa, adik-beradik dan guru-guru sekolah yang tanpa penat lelah membantu saya,” katanya.

    Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Nur Saffiyah merancang untuk menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysai (UIA) dalam jurusan Asasi Ekonomi, Sains dan Pengurusan.

    “Jika memperoleh tawaran ke luar negara saya berminat untuk sambung pengajian ke Kanada dalam bidang yang sama,” katanya.

  • Titah Sultan Selangor bukti isu kalimah Allah belum dirujuk ke Majlis Raja-raja, kata Hamzah

    Titah Sultan Selangor bukti isu kalimah Allah belum dirujuk ke Majlis Raja-raja, kata Hamzah

    TITAH Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam membuktikan perkara ini dikeluarkan oleh perdana menteri sendiri, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, titah baginda yang meminta supaya isu itu dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja jelas menunjukkan bahawa isu ini belum dirujuk Majlis Raja-raja seperti yang didakwa oleh Anwar sebelum ini.

    “Kes Jill Ireland dikeluarkan oleh (ahli Parlimen) Tambun sendiri apabila kata dah rujuk kepada Majlis Raja-raja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    “Semalam kita dapat tahu Sultan Selangor telah keluarkan kenyataan selaku pengerusi MKI bahawa baginda mahu isu ini dibawa ke Majlis Raja-raja.

    “Maknanya isu ini belum dirujuk lagi,” katanya lapor Malaysianow.

    Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

    Seterusnya pada 23 Mei lalu, Anwar ketika di Dewan Rakyat menafikan dakwaan bahawa keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah tidak dirujuk kepada Majlis Raja-raja.

    Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan perkara itu telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja.

    Pada masa sama, Hamzah turut memaklumkan bahawa usul persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah di negara ini ditolak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, semalam.

  • Kos bahan mentah naik tak jejas kualiti hidangan jemaah haji

    Kos bahan mentah naik tak jejas kualiti hidangan jemaah haji

    PENINGKATAN kos bahan mentah makanan di Arab Saudi tidak menjejaskan kualiti dan kuantiti hidangan yang disediakan untuk jemaah haji muassasah pada tahun ini.

    Ini kerana Tabung Haji (TH) telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengimbangi kenaikan tersebut supaya kebajikan jemaah haji terus menjadi keutamaan.

    Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, antaranya dengan mengurangkan kos bayaran pekerja di syarikat katering melalui penggunaan rempah ratus pra campur (premix) dalam penyediaan masakan dan aplikasi beberapa peralatan canggih.

    “Contohnya untuk memotong bawang, kentang, sayur-sayuran dengan menggunakan mesin dapat dibuat dalam masa singkat, tanpa pekerja ramai dan dapat sediakan untuk 4,000 sajian.

    “Nak masak ayam dan ikan tak perlu panaskan minyak, goreng angkat satu persatu kerana menggunakan oven khas yang boleh masak ratusan ketul ayam dan menjimatkan masa penyediaan makanan,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke tiga syarikat katering yang menyediakan hidangan untuk jemaah haji di  Tanah Suci itu.

    Sementara itu, beliau berkata, pada tahun ini TH turut menambah jumlah menu makanan daripada 28 jenis kepada 42 jenis menu masakan citarasa Malaysia.

    Katanya, ia dilakukan untuk mempelbagaikan citarasa supaya tidak timbul keadaan di mana jemaah makan menu yang sama dalam masa yang singkat.

    “Dari segi penyediaan menu dirancang dari Malaysia lagi dan setiap tahun kita adakan post mortem jenis masakan yang digemari rakyat Malaysia kita akan sediakan untuk jemaah.

    “Mana yang kurang kita akan tambah baik lagi dan TH turut adakan perbincangan dengan pakar berkaitan makanan supaya hidangan yang disediakan lengkap dengan nutrisi,”katanya.

    Syed Saleh berkata, 18 tukang masak yang berpengalaman dari Malaysia turut dibawa bertugas di syarikat katering supaya penyediaan makanan mengikuti piawaian ditetapkan.

    “Katering juga dipantau dengan rapi dari sudut kebersihan, stor penyimpanan, perolehan bahan mentah dan perlu mematuhi piawaian ditetapkan kerajaan Arab Saudi,”katanya.

    Dalam perkembangan sama, katanya, beberapa penambahbaikan turut dilakukan dalam pembungkusan makanan agar kualiti dapat dikekalkan.

    “Cetakan pada penutup hidangan dinyatakan makanan untuk makan tengah hari atau malam serta maklumat hidangan,” katanya pada tahun ini sebanyak 2 juta pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia.

    Beliau berkata, kesemua usaha itu dilakukan bagi memastikan jemaah mendapat makanan yang terbaik agar mereka dapat fokus kepada ibadat yang ingin dilakukan.

    Sementara itu, jemaah haji yang ditemui ternyata berpuas hati dengan hidangan yang disediakan TH kerana memenuhi citarasa mereka.

  • Jocelyn Chia nyah aktif akaun media sosial

    Jocelyn Chia nyah aktif akaun media sosial

    AKAUN Instagram (IG) dan Twitter komediri Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia dan tragedi MH370 telah dinyah aktif lewat malam tadi, mungkin disebabkan oleh banyak laporan yang dibuat oleh netizen Singapura.

    Semakan pada akaun IG pelawak di https://www.instagram.com/chiacomedy/ mendorong mesej: “Maaf, halaman ini tidak tersedia. Pautan yang anda ikuti mungkin rosak atau halaman itu mungkin telah dipadam. Kembali ke Instagram.”

    Lawak Jocelyn yang menyinggung perasaan juga tidak disukai rakyat Singapura, dengan seorang pengendali IG mendakwa seorang warga Singapura menyatakan jenaka komediri itu hanyalah ucapan kebencian.

    “Saya warga Singapura, saya telah membuat laporan polis mengenai ucapan kebencian ini. Cuba lebih gigih lain kali,” tulisnya di IG Chia malam tadi sebelum akaun komediri itu dinyah aktif.

    Seorang lagi warga Singapura memuat naik komen pada akaun Facebook Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral di Johor Bahru dengan idea untuk ‘mengajar Jocelyn’.

    “Memberi komen secara negatif tentang Jocelyn Chia di Facebook tidak akan menyakitinya.

    “Jika anda ingin memberinya pengajaran, cara terbaik ialah memberikan komen 1 bintang pada ulasan Google Comedy Cellar. Itu akan menggesa pemilik Comedy Cellar (kelab komedi) untuk bertindak balas,” katanya.

    Menurutnya, antara 6 pagi hingga 8 pagi pada 8 Jun lalu, rating Comedy Cellar turun daripada 4.7 kepada 4.4.

    Video Jocelyn mempersendakan Malaysia dalam persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat kini tular.

    Jenaka dibuat oleh peguam yang kemudian menjadi pelawak itu antaranya menyentuh mengenai pesawat malang Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selain membandingkan kemajuan antara kedua-dua negara.

    Sementara itu, rakyat Singapura dalam komen mereka yang dilihat di IG Intan Maizura Othaman, isteri kepada kru MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan tampil memohon maaf.

    “Rakyat Singapura sememangnya tidak menganggap perkara ini lucu. Saya juga marah. Dia tidak sepatutnya bergurau tentang perkara seperti ini.

    “Kerana dia seorang yang buat salah kami yang tak bersalah pun terpalit. Kami mintak maaf banyak-banyak kepada semua ahli keluarga dan kakitangan MH370. Maafkan kami!,” kata pengendali IG itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Malaysia dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan turut mengecam Jocelyn.

    Dr Zambry dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap perbuatan individu terbabit yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi MH370.

    Vivian dalam ciapannya berkata; “Saya terkejut dengan kenyataan jeliknya. Dia sememangnya tidak bercakap untuk rakyat Singapura. Kami menghargai hubungan kami dengan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia dan memohon maaf atas kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan kepada semua rakyat Malaysia.”

    Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon menegaskan kenyataan Chia tidak sama sekali mencerminkan pandangan Singapura dan beliau dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kenyataan wanita itu yang menyakitkan hati.

  • Pelajar OKU penglihatan dapat 7A SPM

    Pelajar OKU penglihatan dapat 7A SPM

    SEORANG pelajar Orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

    Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Khairulanwar Zakaria, 19, merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) terbaik Terengganu dengan memperoleh keputusan 7A (5A,2A) dalam peperiksaan itu.

    Anak bongsu daripada empat beradik itu mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tasawwur Islam serta A bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

    Khairulanwar mengalami akibat masalah pada bahagian korteks otak yang telah disahkan sebagai ‘both eyes cortical blindness’ ketika berada di Tingkatan Satu.

    Menurutnya, walaupun perubahan ke atas dirinya agak mengejutkan, kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk lebih cemerlang dalam pelajaran.

    “Waktu Tingkatan Satu hingga tiga pencapaian saya dalam pelajaran agak sederhana dan biasa sehinggalah saya bertemu seorang rakan yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk bersaing secara sihat dalam pelajaran.

    “Kami sama-sama bersaing untuk berjaya. Saya ada seorang kawan lama yang dapat ‘straight A’, saya pun semakin bersemangat nak cuba juga dapat ‘straight A’ dan hasilnya, berkat doa ibu bapa dan guru saya mendapat keputusan cemerlang hari ini,” ujarnya.

    Khairulanwar ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

    Bercerita mengenai penyakit yang dialami, katanya, dia terpaksa menjalani proses pembelajaran sistem tulisan sentuh atau braille selama setahun ketika berada di Tingkatan Dua.

    “Agak sukar untuk saya menguasai sepenuhnya tulisan braille dalam tempoh yang singkat namun untuk berjaya saya perlu kuasai tulisan itu.

    “Sebab itulah saya perlu ulang kembali Tingkatan Dua ketika berusia 15 tahun,” katanya.

    Ditanya cabaran sepanjang proses pembelajaran setelah tidak lagi mampu melihat, Khairulanwar berkata, dia menjadikan kekurangan itu untuk terus bangkit dan tidak jemu menelaah pelajaran bersama rakan.

    “Disebabkan saya agak kurang membaca, saya akan buka YouTube untuk dengar apa yang saya pelajari dan akan belajar secara berkumpulan bersama rakan secara dalam talian,” katanya yang ditemani ayah, Zakaria Yunus, 59, dan ibu, Maznah Mohd., 56.

    Menurut Khairulanwar, dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang pendidik dan berhasrat menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras.

    “Saya menyimpan impian nak jadi seorang guru untuk mengajar Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam,” ujarnya lapor Sinar Harian.

  • SPM: Prestasi Pulau Pinang meningkat, 19 calon dapat A+ semua subjek

    SPM: Prestasi Pulau Pinang meningkat, 19 calon dapat A+ semua subjek

    SERAMAI 19 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pulau Pinang berjaya mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil berbanding hanya 17 orang pada SPM 2021.

    Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, mereka merupakan sebahagian daripada seramai 688 calon SPM 2022 yang berjaya mendapat kombinasi A+, A dan A-.

    Jelas beliau, jumlah calon yang mendapat kombinasi A bagi SPM 2022 itu juga menunjukkan peningkatan berbanding seramai 666 orang bagi keputusan SPM 2021.

    Tambahnya, secara keseluruhan pula, seramai 15,479 orang daripada 17,692 calon (90.21 peratus) yang menduduki peperiksaan SPM 2022 di Pulau Pinang layak mendapat sijil peperiksaan itu.

    “Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.18 peratus berbanding prestasi SPM 2021.

    “Bagi Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2022 untuk Pulau Pinang pula ialah 4.60, iaitu peningkatan 0.17 berbanding SPM tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2022 di Penang Free School (PFS), Georgetown hari ini.

    Tambah beliau, secara keseluruhan juga, prestasi SPM 2022 Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dari segi peratusan calon yang mendapat sijil apabila buat pertama kali berjaya mencapai angka 90 peratus selain peningkatan dari segi GPN.

    Selain itu, katanya, sebanyak 24 buah sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapati sijil SPM masing-masing.

    Dalam pada itu, tambah beliau, bagi prestasi mata pelajaran pula, seramai 4,989 calon (29.23 peratus) yang menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu mencatatkan keputusan cemerlang manakala 16,344 (96.07 peratus) lulus subjek itu.

    “Bagi mata pelajaran Sejarah pula, seramai 4,864 (28.39 peratus) calon mencatatkan keputusan cemerlang manakala 15,588 calon (90.99 peratus) lulus subjek itu,” katanya.