Category: Semasa

  • PPV tanpa janji temu buat individu 40 tahun ke atas, komorbiditi di Lembah Klang 2 Ogos

    PPV tanpa janji temu buat individu 40 tahun ke atas, komorbiditi di Lembah Klang 2 Ogos

    PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) secara terus tanpa janji temu atau walk-in di Lembah Klang akan memulakan operasi pada 2 Ogos ini khusus buat golongan 40 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi.

    Namun tidak semua PPV boleh menerima individu tanpa janji temu kerana senarai premis dibenarkan hanya akan dikeluarkan oleh Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bukan semua PPV menerima individu tanpa janji temu itu.

    Katanya, senarai PPV yang dibenarkan akan dikeluarkan dalam masa terdekat hari ini menerusi siaran media CITF bagi mengelakkan daripada masalah berita palsu.

    “Saya harap mereka yang menerima mesej tular di WhatsApp berkenaan senarai PPV dengan vaksin tertentu untuk walk-in itu adalah tidak benar.

    “Bagi walk-in kaedah adalah first come first serve atau siapa dulu dia dapat. Ia bergantung kepada kapasiti PPV itu,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai yang datang un tuk vaksinasi tanpa janji temu di PPV akan dimaklumkan mengenai berapa ramai atau kapasiti sehari untuk imunisasi.

    Ujar beliau, mereka yang tidak dapat suntikan vaksin akan diberikan keutamaan pada keesokan harinya dan ia menjadi kaedah pelaksanaan PPV walk-in bagi Lembah Klang dan perinciannya nanti akan diedarkan kenyataan media.

    “PPV yang terbabit juga akan mengutamakan individu yang sudah mempunyai janji temu untuk suntikan vaksin,” jelasnya.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, kaedah walk-in untuk PPV ditetapkan juga akan dibuka kepada 18 tahun ke atas bermula 5 Ogos ini.

    “Jadi ditegaskan sekali lagi vaksinasi di Lembah Klang, apabila kita selesai Operasi Lonjakan Kapasiti pada 1 Ogos seterusnya pada 2 Ogos akan dimulakan dengan vaksinasi secara walk-in di Lembah Klang bukan esok (1 Ogos),” tambahnya.

  • Azhar berkecuali usul ambil tindakan ke aras Idris,Takiyuddin

    Azhar berkecuali usul ambil tindakan ke aras Idris,Takiyuddin

    YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat keputusan untuk mengecualikan diri dalam membuat sebarang ketatapan berkait usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

    Menerusi satu kenyataan media, Azhar berkata usul tersebut mempunyai hal-hal yang bersangkutan dan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    “Sebagaimana yang diketahui umum, Tan Sri Idrus Harun ialah abang kandung saya. Oleh kerana itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri saya daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan usul tersebut,” katanya dalam kenyataan.

    Sehubungan itu beliau memaklumkan, apa-apa keputusan  berhubung usul  berkenaan atau yang berkaitan usul tersebut diserahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukan kekananan iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

    “Saya tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas Timbalan-timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan,” ujarnya.

    Menerusi usul tersebut, Kulasegaran meminta supaya tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Menurut surat yang dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai itu, Kulasegaran berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

    Tindakan itu kata Kulasegaran dibuat mengikut Peraturan Tetap 26 (1) (p) dan 36 (12).

  • Pegawai Tun Mahathir positif varian Delta

    Pegawai Tun Mahathir positif varian Delta

    SEORANG pegawai kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikesan positif Covid-19.

    Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pegawai tersebut antara 11 individu yang didapati positif dalam saringan yang dilakukan di Parlimen Khamis lalu.

    Tambah sumber kepada Astro Awani, pegawai kepada Ahli Parlimen Langkawi itu juga didapati positif melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta.

    Astro AWANI difahamkan KKM sedang giat menjalani langkah pengesanan kontak rapat dan individu berkenaan menjalani perintah kuarantin.

    Pejabat Ahli Parlimen Langkawi itu ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut dan memaklumkan pegawai yang bertugas di Parlimen itu didapati tidak bergejala dan sedang menjalani kuarantin.

    Ujian saringan ke atas Dr Mahathir juga didapati negatif dan beliau juga tiada sebarang kontak dengan pegawai berkenaan ketika di Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata semua yang akan hadir ke sesi sidang Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    Katanya, mereka yang bergejala juga perlu membuat pemeriksaan dan tidak menghadiri sesi di Parlimen.

    Sehingga Khamis keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di Parlimen mendapati 11 kes positif secara keseluruhan.

    Dewan pada Khamis ditangguhkan disebabkan kebimbangan peningkatan kes di Parlimen.

    Sementara itu, Sementara itu, Dr.Mahathir dikatakan menjalani kuarantin kendiri. Beliau menjalani dua ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva, termasuk satu yang dilakukan di Parlimen pada 29 Julai.

  • 270 penduduk Palestin di Tebing Barat cedera akibat keganasan askar pengganas Israel

    270 penduduk Palestin di Tebing Barat cedera akibat keganasan askar pengganas Israel

    SEKURANG-KURANGNYA 270 orang penunjuk perasaan Palestin cedera, kebanyakannya akibat terkena gas pemedih mata berikutan keganasan askar pengganas Israel di Tebing Barat yang dijajah rejim, semalam, kata Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin.

    TRT World melaporkan, ketegangan paling ketara berlaku di Kampung Beita, dekat Nablus di utara Tebing Barat di mana penduduk sering mengadakan sering demonstrasi, sejak Mei lalu.

    Situasi tegang tercetus apabila pendatang Yahudi mula meletakkan karavan dan membuka jalan di kawasan puncak bukit yang dipertikaikan penduduk Palestin.

    PBSM Palestin berkata, kebanyakan mereka yang cedera memerlukan rawatan akibat terkena gas pemedih mata manakala tujuh penduduk Palestin cedera akibat terkena peluru hidup selain 50 lagi terkena peluru getah.

    Askar Israel memberitahu AFP, kira-kira 150 orang penduduk Palestin di Beita melempar batu dan membakar tayar ke arah tentera yang bertindak balas bagi tujuan menyuraikan termasuk melepaskan tembakan.

    Dalam pada itu, dalam insiden berasingan di selatan wilayah tersebut, tentera bertembung dengan penduduk Palestin di Beit Ummar yang berkabung selepas kematian Shawkat Khalid Awad, 20, yang terbunuh akibat tembakan tentera Khamis lalu ketika pengebumian seorang kanak-kanak.

    Kanak-kanak itu terbunuh Rabu lalu setelah askar Israel melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dipandu bapanya menyaksikan tentera Israel mendakwa akan melakukan siasatan.

    Sebanyak dua orang Palestin cedera parah selepas ditembak tentera Israel di Beita sejak seminggu lalu.

  • Penunggang motosikal maut terperosok bawah van

    Penunggang motosikal maut terperosok bawah van

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG penunggang motosikal KTM Duke 250 meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah van di Jalan Skudai

    Lama, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu pada pukul 10.24 malam.

    “Seramai 12 pegawai dan anggota dengan sebuah jentera Fire Resuce Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi didapati penunggang motosikal tersebut yang berusia 39 tahun tersepit di bahagian bawah van berkenaan.

    “Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas namun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemandu van yang berusia 49 tahun bagaimanapun selamat dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, operasi tamat pada pukul 11 malam.

  • Maqis Rampas 1,260kg isi ikan sejuk beku dari Indonesia

    Maqis Rampas 1,260kg isi ikan sejuk beku dari Indonesia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan sebuah lori dan merampas 63 kotak mengandungi isi ikan sejuk beku dari Singapura seberat 1,260 kilogram di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri, semalam.

    Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Maqis Johor, produk sejuk beku itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari kerana mengemukakan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan kepada Pegawai Pemeriksa Maqis semasa pemeriksaan dijalankan.

    “Kesalahan ini kita kesan semasa lori berkenaan diperiksa di laluan kenderaan import KSAB. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati isi ikan tersebut dipercayai dari Indonesia yang
    dibawa masuk ke Malaysia melalui Singapura.

    “Isi ikan tersebut bernilai RM31,500 dan telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana telah mengemukakan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan kepada Pegawai
    Pemeriksa Maqis,” ujar Maqis dalam kenyataan itu, hari ini.

    Jelas kenyataan itu, seorang lelaki tempatan yang berusia 34 tahun yang memandu lori itu diambil keterangan sebelum dilepaskan.

    Menurut Maqis, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta
    728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

    Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Tindakan undang-undang menanti penjual ubat Ivermectin

    Tindakan undang-undang menanti penjual ubat Ivermectin

    PIHAK yang mempromosi penjualan ubat Ivermectin sebagai penawar Covid-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

    Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) yang dipetik Sinar Harian, Amrahi Buang, kesalahan itu berdasarkan Akta Racun 1952 mengenai penjualan ubat tersebut.

    Katanya, sesiapa yang melakukan perkara itu telah menyalahi undang-undang dan boleh dihukum tanpa mengira sama ada mereka doktor, ahli farmasi dan sebarang pihak.

    “Mereka (ahli farmasi atau doktor) perlu memaklumkan kepada pesakit mengenai ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat Covid-19,” katanya.

    Dalam pada itu, Amrahi pada masa sama membidas penjualan ubat tersebut secara meluas termasuk dalam talian.

    Ujarnya, ubat itu boleh didapati menerusi dalam talian dan jika diimport, ia boleh melepasi pelbagai peringkat seperti kastam.

    “Sedangkan ubat berkenaan belum diluluskan penggunaannya bagi rawatan Covid-19 di negara ini,” katanya.

    Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pihaknya berasa bimbang dengan pembelian Ivermectin oleh pengguna sama ada di luar negara atau dalam talian adalah ubat yang palsu.

    “Macam mana seseorang itu boleh tahu itu bukan ubat palsu? Sebab ia tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan terhadap penjualan ubat ini sama ada secara dalam talian atau dibawa masuk dari luar negara.

    Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label untuk kajian klinikal sahaja.

  • Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada ATM, PDRM

    Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada ATM, PDRM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan atas pengorbanan mereka membantu memerangi penularan wabak Covid-19.

    Penghargaan itu dizahirkan kepada petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas sebagai barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah.

    Penghargaan kepada seluruh perwira atas pengorbanan mereka itu dimuat naik dalam Facebook Istana Negara, hari ini.

  • Vaksin Covid-19: Lebih 20 juta dos diberikan

    Vaksin Covid-19: Lebih 20 juta dos diberikan

    SEBANYAK 20,014,549 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13,500,479 merupakan suntikan vaksin dos pertama manakala 6,514,070 lagi adalah dos kedua.

    “Sebanyak 41.3 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama ketika 19.9 peratus lagi telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Adham berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 512,097 dos diberikan setakat, semalam.

    Tambahnya, sebanyak 315,737 dos pertama diberikan manakala 196,360 lagi melibatkan dos kedua.

  • Cubaan seludup 24 tan ayam sejuk beku digagalkan MAQIS

    Cubaan seludup 24 tan ayam sejuk beku digagalkan MAQIS

    CUBAAN sebuah lori kontena menyeludup 24 tan keratan ayam sejuk beku dari negara jiran dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam satu kejadian, Rabu lalu.

    Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, kenderaan itu ditahan kira-kira pukul 6.15 petang dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

    “Pemeriksaan mendapati muatan 2,000 kotak paha ayam tanpa tulang itu cuba dibawa masuk dengan mengemukakan maklumat tidak tepat dan dokumen mengelirukan.

    “Nilai rampasan tan keratan ayam sejuk beku itu dianggarkan bernilai RM390,240,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Lily berkata, kegagalan mengemukakan maklumat yang tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

    Ujarnya, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta sama.