Category: Semasa

  • Vaksinasi walk-in diperluas di semua negeri

    Vaksinasi walk-in diperluas di semua negeri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SISTEM vaksinasi secara walk-in akan diperluaskan ke semua negeri dalam masa terdekat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

    Menurutnya, selepas Lembah Klang, semua negeri akan turut memberikan kemudahan tersebut namun keutamaan pemberian vaksin adalah kepada warga emas.

    “Berkenaan walk-in, banyak juga bergantung kepada kedudukan bekalan vaksin, cuma di kebanyakan negeri kita akan umumkan walk-in untuk warga emas.

    “Saya rasa hampir semua negeri akan memberikan kemudahan walk-in bagi warga emas dalam masa terdekat, ia akan diumumkan esok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Kampung Orang Asli Batu Peti, Jempol hari ini.

    Mengulas pertanyaan ramai pihak berkenaan kelonggaran yang akan diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19, Khairy memaklumkan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri.

    “Saya difahamkan Perdana Menteri akan buat pengumuman dalam masa terdekat, kita sedang perhalusi draf tersebut dan insya-Allah akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

    Dalam pada itu jelas Khairy, setakat hari ini 59 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 29 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

    “Di Negeri Sembilan, 72 peratus dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 35 peratus populasi dewasa Negeri Sembilan telah lengkap menerima dua dos,” katanya.

  • PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    “KITA tak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan dirinya sebagai calon sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Interim bagi meredakan ketegangan politik ketika ini.

    Sambil menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu memerangi COVID-19.

    Ismail Sabri malah berkata jawatan Perdana Menteri Interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

    “Memang saya ada baca dalam laporan portal dan juga media sosial mengaitkan nama saya tetapi itu hanya khabar angin.

    “Bagi saya, kenyataan sedemikian mungkin sengaja mahu melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk di Masjid Kampung Cheruk Puting, Bera,hari ini.

    Lawatan itu juga merupakan kali pertama beliau pulang ke kawasan Parlimennya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

    Semalam, tular dalam media sosial dan portal berita bahawa Ismail sabri mempunyai sokongan kukuh termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

    Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan dan pihak istana, Ismail Sabri berkata, semua pihak wajar menyejukkan keadaan dengan tidak memburukkan lagi suasana.

    Kata beliau, tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar kerana rakyat ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

    “Kita tak perlu terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan. Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah-belahkan.

    “Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah dan perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.

    “Kenapa kita tak fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan paling penting menyelesaikan masalah COVID-19,” jelas beliau. – UtusanTV

  • Majlis Aidiadha ‘sembunyi-sembunyi’ antara punca kes naik di Terengganu

    Majlis Aidiadha ‘sembunyi-sembunyi’ antara punca kes naik di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEDEGILAN orang ramai tidak mematuhi SOP ketika Aidiladha lalu menjadi salah satu penyumbang peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada antara mereka mengadakan majis keraian secara ‘sembunyi-sembunyi’.

    “Selain itu terdapat aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan. Faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes ialah kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring sehingga mencetuskan kluster di antara mereka,” katanya dalan kenyataan hari ini.

    Turut menyumbang kepada peningkatan kes di negeri tersebut ialah saringan bersasar melibatkan kontak rapat dan komuniti di seluruh negeri itu.

    Beliau berkata, 883 kes baharu yang dicatatkan semalam merupakan tertinggi dilaporkan sejak negara dilanda pandemik tersebut.

    ‘’Faktor lain ialah peningkatan kes  bergejala akibat penularan dalam komuniti di Terengganu,’’ katanya.

    Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersama pihak penguatkuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dan sedang mengambil berapa langkah termasuk meningkatkan saringan kontak rapat dan juga saringan di lokaliti berisiko yang dikenalpasti.

    Susulan daripada aktiviti pengesanan itu kata Dr. Ahmad Samsuri, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang.

    “Kita juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan bilangan kes Covid -19 tinggi dipercepat dan dipertingkatkan khususnya di Dungun dan Kemaman,” jelasnya.

    Dalam laporan harian dikeluarkan JKNT semalam, Kemaman merekodkan 291 kes, Kuala Terengganu (195 kes) Dungun (179 kes), Marang (79 kes), Setiu (60 kes), Besut (23 kes) dan Hulu Terengganu (3 kes).

  • Siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja diserah untuk pendakwaan

    Siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja diserah untuk pendakwaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERTAS siasatan berhubung kejadian sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja pada 23 Julai lalu telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes tersebut diserahakan selepas selesai dan lengkap Jumaat lalu.

    “Saya difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan lanjut. Buat masa ini kita tunggu keputusan mereka (untuk pendakwaan),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, tiada pihak lain dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut selain lima individu termasuk seorang bergelar Datuk.

    “Siasatan telah dijalankan terhadap lima individu yang dikenal pasti termasuk pengadu iaitu kakitangan DBI (Dewan Bandaran Ipoh), pengusaha restoran nasi ganja dan tiga yang lain,” katanya.

    Menerusi laporan akhbar pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

    Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.

    Mior Faridalathrash sebelum ini mengesahkan, helikopter Bell 505 Global Ranger itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis Selangor.

    Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.

  • Pembangkang jadikan Parlimen bagai ‘pasar lelong’ – Pas Johor

    Pembangkang jadikan Parlimen bagai ‘pasar lelong’ – Pas Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA  Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, ahli Parlimen pembangkang yang majoritinya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempamerkan wajah dan perangai jelek apabila menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.

    Beliau berkata, persidangan bertukar menjadi gelanggang pertengkaran yang menjengkelkan untuk ditonton meskipun ia diperuntukan bagi membincangkan isu pandemik Covid-19 serta menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

    “Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan institusi istana.

    “Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina Raja-raja Melayu dan kalangan mereka juga yang telah meminda Perlembagaan dengan menghadkan imuniti Raja-raja. Kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tidak dapat dinafikan kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara .

    ‘’Namun kita kena sedar kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu Covid-19,’’ katanya.

    Justeru, ujar Rusman, Pas sekali lagi mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan negara.

  • Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan dikeluarkan pada 29 Julai lalu yang menyatakan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri adalah sah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama-sama 40 ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.

    “Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

    “Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN.

    “Kami berpandangan, kami ahli Parlimen BN, takkan hendak guna kepala surat Pas, mestilah kita guna kepala surat BN sebab kita merupakan ahli Parlimen yang mewakili BN,” katanya.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting, Bera hari ini.

    Khamis lalu, Ibu pejabat BN menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat seperti tersebar dan tular pada hari berkenaan.

    Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

    Terdahulu, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Ismail Sabri.

    Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pun membenarkan ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.

    “Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.

  • Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    PERAK mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 121 pesakit Covid-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU setakat semalam dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, malam tadi.

    Beliau turut memuat naik beberapa gambar lawatan kerjanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Tapah dan Hospital Slim River, semalam.

    Menurut Dr Noor Hisham, sebuah bilik gerakan ditubuhkan bagi memastikan ketersediaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Perak.

    Beliau menjelaskan, sebanyak 223 katil wad serta 42 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di HRPB yang mula merawat pesakit wabak itu mulai Januari tahun lalu.

    Ujarnya, bagi hospital lain di Perak, Hospital Taiping yang mula merawat pesakit Covid-19 pada Mac tahun lalu mengalami peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 sejak akhir Jun lalu.

    “Sebanyak 237 kes baharu telah dilaporkan di daerah Larut, Matang dan Selama termasuk 175 kes adalah di mukim Taiping.

    “Persiapan sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang diramalkan memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Kerjasama semua pihak adalah penting dałam menghadapi peperangan getir yang mendatang,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, lima wad dengan kapasiti 120 katil dan 16 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di Hospital Taiping setakat ini.

    Beliau berkata, Hospital Tapah yang merawat pesakit Covid-19 mulai November tahun lalu, terdapat 100 katil dan daripada jumlah tersebut, 28 katil dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

    “Secara kumulatif setakat Jun lepas, pesakit Covid-19 yang telah dirawat di hospital ini berjumlah 527 orang. Selain itu, hospital ini juga memberikan perkhidmatan kesihatan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Tapah,” katanya.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, persiapan juga sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Hospital Slim River yang turut menerima rujukan kes Covid-19 kategori 3 hingga 5 dari Selangor, khususnya PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Petaling.

    Hospital itu mula merawat pesakit Covid-19 pada April tahun lalu dan mempunyai kapasiti 250 katil iaitu 69 katil wad dan 4 katil ICU (diubah fungsi) telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

  • PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang yang dianggotai Parti Bersatu, Pas dan Gerakan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Pusat.

    Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, PN Pulau Pinang akan terus bersama-sama kepimpinan rakan-rakan PN di semua peringkat lapisan dalam memastikan kelestarian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan sempurna.      

    Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang menyeru  semua kepimpinan dan parti politik bersatu hati, bekerjasama dan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas usaha menangani pandemik Covid-19 yang masih  berlarutan sehingga kini.

    “Rakyat menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pada waktu sekarang  berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing.

    “Kestabilan politik amat penting dan menjadi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan Kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia dalam  mendepani pendemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersama PN dan Bersatu Pulau Pinang hari ini.

    Dalam masa sama, katanya, PN dan Bersatu Pulau Pinang terus menghormati, menjunjung kasih dan memelihara sistem Raja  Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

  • Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing memberikan perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) bagi membawa tiga pesakit Covid-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, Mersing semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Mersing menerima panggilan Pejabat Daerah Mersing memohon bantuan membawa tiga penduduk Pulau Aur yang dijangkiti Covid-19 ke Hospital Mersing.

    “Berikutan itu Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama-sam lima anggota Maritim Malaysia lengkap berpakaian Personal Protection Equipment (PPE) telah ditugaskan ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat MedEvac.

    “Perkasa 31 tiba di lokasi sekitar jam 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia 15 hingga 77 tahun untuk dibawa ke Jeti Syahbandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa selama lebih kurang dua jam.

    Sebaik tiba di Jeti Syahbandar katanya, pesakit terus dipindahkan ke ambulan yang telah bersedia menunggu untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut.

    Kesemua anggota Maritim Malaysia dan Bot Perkasa 31 telah disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

    “Pihak maritim Johor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini,” katanya.

  • [VIDEO]  ‘Wira tak didendang’ urus 2,306 jenazah Covid-19

    [VIDEO] ‘Wira tak didendang’ urus 2,306 jenazah Covid-19

    TANGGUNGJAWAB menguruskan jenazah hukumnya ialah fardu kifayah termasuklah mengendalikan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus (Covid-19).

    Namun pengurusan bagi jenazah mangsa Covid-19 sedikit berbeza kerana perlu disempurnakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Tugas mengurusan jenazah turut dikendalikan Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atau lebih dikenali sebagai PPJC-19.

    Tanpa mengira waktu, selain berdepan ririko dijangkiti wabak pembawa maut itu, PPJC-19 menguruskan puluhan jenazah pesakit Covid-19 pada setiap hari.

    Setakat semalam sahaja, PPJC-19 telah menguruskan sebanyak 2,306 jenazah berbanding lebih 600 jenazah awal Jun lalu.

    Pengurusan jenazah terbanyak dalam sehari dikendalikan PPJC-19 adalah sebanyak 93 jenazah yang dicatatkan minggu lalu.

    Ia dipercayai berkaitan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Lembah Klang sehingga mencecah ribuan angka sejak kebelakangan ini.

    Jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan di tiga Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) di bawah selian Jawi iaitu TPIRS KL- Karak 2, TPIRS Bukit Kiara 1 dan TPIRS Kampung Melayu Kepong.

    Sejak unit itu ditubuhkan tahun lalu, PPJC-19 menguruskan jenazah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Difahamkan, PPJC-19 dianggotai 70 petugas terdiri daripada 51 lelaki dan 19 wanita.

    Mereka bertanggungjawab dan sentiasa bersiap sedia menguruskan jenazah dari 10 hospital dan pusat perubatan di 3 wilayah berkenaan.