SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi pemilik nombor plat FF 1 bernilai RM1.2 juta.
Jumlah berkenaan merupakan yang tertinggi pernah dikutip oleh kerajaan bagi satu nombor plat kenderaan.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya semalam yang diterima mengadap baginda.
“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.
“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut.
“Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.
Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.
POLIS menahan seorang lelaki berbadan sasa yang menggunakan pelbagai taktik sebelum melarikan iPhone terpakai dari beberapa premis di bandar Kulai, akhirnya berjaya terperangkap semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutera Utama di Skudai, Johor Bahru, pukul 2 petang semalam sebelum merampas telefon bimbit tiruan jenama iPhone Pro Max.
“Semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah berkaitan, dipercayai turut terbabit mencuri iPhone 14 Pro Max berharga RM7,350 dari sebuah kedai di pusat beli-belah di Bandar Indahpura, Kulai, pada pukul 5.30 petang, 9 Jun lalu.
“Dalam kes itu, pengadu mendakwa suspek ke kedai telefon bimbit. Dia kemudian mendakwa membayar RM6,850 secara dalam talian dan menunjukkan resit pembayaran transaksi itu yang kemudian didapati palsu.
“Pengadu bagaimanapun mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek ketika urusan jual beli itu sebelum membuat laporan polis selepas mendapati tiada transaksi bayaran diterima dalam akaun milik syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Ibrahim, 50, berkata, dia dan rakan yang menjalankan perniagaan menjual gajet lega apabila lelaki berkenaan ditahan polis.
“Kami menyalurkan maklumat kepada polis selepas kejadian berulang dan kami percaya ia membabitkan individu sama berikutan keadaan fizikalnya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
“Dia terperangkap kerana selepas kes di Bandar Indahpura, Kulai, dia kemudian menghubungi pekerja sama untuk menukar telefon bimbit berkenaan kerana mendakwa isterinya tidak gemar warga ungu.
“Lelaki itu menetapkan untuk bertemu di pusat beli-belah di Taman Sutera Utama di Skudai. Dia meletakkan telefon bimbit palsu atau klon dalam kotak untuk ditukar dengan yang baru, namun taktiknya tidak berjaya,” katanya, lapor Berita Harian.
Modus operandi suspek yang berbadan sasa dan berkulit gelap serta selalunya memakai pelitup muka, bercermin mata serta bertopi ialah berpura-pura mahu membeli iPhone 13 Pro Max dan iPhone 14 Pro Max terpakai.
Antara kes sebelum ini, dia melarikan iPhone 13 Pro Max terpakai dianggar bernilai RM5,000 dan menggantikannya dengan yang palsu, ketika pekerja kedai sibuk melayan pelanggan lain.
Lelaki itu juga dipercayai melarikan iPhone 13 Pro Max terpakai pada pukul 6 petang, 21 April lalu dari sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Rini di Skudai.
KEJAYAAN manis pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang memperoleh keputusan 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, bertukar duka apabila ibunya meninggal dunia akibat angin ahmar semalam.
Nenek saudara Muhammad Syahril, Zainab Othman, 58, berkata, pengorbanan Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, perlu dijadikan contoh terbaik kerana sanggup berkorban membesarkan enam anaknya seorang diri selepas pemergiaan suaminya pada 2012.
“Muhammad Syahril kehilangan bapanya ketika dia berusia tujuh tahun, jadi segala tugas itu digalas oleh ibunya untuk membesarkan anak-anaknya sehingga dia (Muhammad Syahril) berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
“Saya dan keluarga begitu kagum dengan pencapaiannya dan diharapkan hasrat Muhammad Syahril untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya akan tercapai,” katanya ketika ditemui di Kampung Kandis, Bachok, hari ini.
Turut hadir menziarahi keluarga Syahril ialah Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Mengulas lanjut, Zainab berkata, walaupun mereka hidup dalam sederhana namun ia tidak menghalang kesemua anak-anaknya untuk cekal dan tabah berbakti kepada arwah ibunya sehingga akhir hayat, lapor Bernama.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Muhammad Syahril sedaya-upaya cuba menutup cerita penderitaan keluarganya tetapi terbuka juga selepas dapat keputusan cemerlang SPM.
Ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 8.20 malam tadi.
Jenazah Allahyarhamah ibu pelajar itu dijangkakan disolatkan di Masjid Pondok Moden, Kandis sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati pagi tadi.
Ibu pelajar berkenaan terlantar selepas diserang angin ahmar pada 2019 sebelum semakin lemah empat hari sebelum keputusan SPM diumumkan.
Keadaan ibunya menyebabkan Syahril tidak sampai hati untuk meninggalkan ibunya bagi mengambil keputusan SPM.
Dia mencatatkan kuputusan 11A tunggal di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dan diraikan warga sekolah yang hadir ke rumahnya untuk menghantar keputusan SPM sehingga videonya menjadi tular dalam media sosial.
TIDAK diketahui adakah tersirat sesuatu apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh meminta DAP memohon maaf kepada semua ahli UMNO atas segala cacian terhadap parti keramat itu kerana mengguris hati mereka bertahun-tahun lamanya.
Bagi beliau, cara ini sahaja dapat melembutkan hati pengundi UMNO dan Melayu untuk menyokong Pakatan Harapan menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Desakan ini kemudian disokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang melihat permohonan maaf DAP kepada UMNO adalah satu langkah yang baik.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengingatkan bahawa sebelum ini permohonan maaf DAP kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh dijadikan contoh menyokong pendirinya itu.
Namun, cadangan permohonan maaf ini terus dipatahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap polemik itu tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah ada persepakatan ketika berunding membentuk Kerajaan Perpaduan.
Bunyi dan nada ucapan Dr. Akmal tidak tumpah samanya dengan pemuda Bersatu yang bertubi-tubi memomokkan DAP sewaktu menjadi kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 yang menyaksikan kerajaan itu bertahan selama 22 bulan.
Pandangan ‘melawan’ arus ketua pemuda itu disambut oleh bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang terang-terang anti Zahid Hamidi. Soalnya, apakah mereka tidak berbincang tentang isu-isu ini sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 bermula?
Pandangan menangkuh arus sayap pemuda bukanlah sesuatu perkara janggal dalam parti politik di Malaysia. Cuma, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, ucapan seperti ini sedikit-sebanyak menimbulkan persoalan. Adakah ini plot untuk ‘sabotaj’ kerajaan atau lebih ditujukan kepada usaha menyingkirkan Presiden UMNO?
Presiden terpaksa jual cerita Najib
Dalam banyak hal yang boleh dibahaskan, PAU kali ini dibanjiri dengan naratif hasrat membawa ‘Bossku’ keluar dari tirai besi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin
GAMBAR: Warta Rakyat
Soal PRN dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan terus tenggelam. Fanatik untuk mengembalikan Najib Razak ke pangkuan UMNO tanpa segan silu disebut di hadapan muka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tetapi, naratif memperjuangkan ‘Bossku’ dalam PAU lebih terarah untuk melawan Zahid Hamidi dalam senyap-senyap. Mengapa?
Pertama, pemimpin UMNO yang tidak berkenan dengan presiden, baik digantung atau dibuang UMNO, sudah mati akal untuk menyingkirkan Zahid yang selesa dengan Kerajaan Perpaduan.
Justeru, mengembalikan Najib adalah satu-satunya jalan untuk meraih sokongan dan simpati akar umbi dan kemudian menaikkan tekanan kepada Zahid berundur.
Tekanan naratif ‘Bossku’ ini sehingga Zahid terpaksa menjual cerita makan bersama Najib sewaktu melawatnya di Penjara Kajang dalam ucapan penggulungan PAU di hadapan perwakilan UMNO untuk memastikan dia masih geng bossku.
Kedua, PRN adalah peluang terbaik untuk meruntuhkan blok Presiden UMNO. Ahli-ahli UMNO seperti tahu yang mereka akan ‘bungkus’ dalam enam PRN ini.
Kekalahan teruk ini akan menjadi kemenangan besar buat pemimpin UMNO terpinggir untuk memanjat tangga kepimpinan tertinggi parti itu.
Ini juga menunjukkan bahawa pemimpin dan ahli Umno yang dipinggir dan disingkirkan hanya menumpang dalam Perikatan Nasional (PN). Sekiranya presiden UMNO digulingkan, aktor-aktor ini akan kembali ke pangkuan UMNO.
Dan, mungkin sebab itu proses Tan Sri Annuar Musa masuk Pas agak lama jika dibandingkan dengan Datuk Eizlan Yusof (artis) yang baharu sahaja menyertai Pas.
Mungkin Pas tahu, kumpulan ini tidak akan membawa impak kepada parti yang sudah menjadi parti berpengaruh buat orang Melayu sekarang.
Menunggu peluang naik takhta
Soalnya siapa yang akan ganti Zahid sambil menunggu Najib keluar penjara?
Ada yang kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kononnya kerana rapat dengan ‘Bossku’ dan popular dalam kalangan akar umbi. Namun, calon yang boleh menggantikan Zahid dalam waktu terdekat mungkin juga timbalannya, Mohamad.
Barisan Nasional (BN) nampaknya akan kembali memenangi kerusi ditandingi di Negeri Sembilan dengan selesa. PRU15 telah menyaksikan BN negeri itu dapat merampas semula kerusi Kuala Pilah dan Tampin yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU14.
PH Negeri Sembilan kekal di kerusi tradisi sejak PRU12 (Seremban, Rasah, dan Port Dickson) dan PN pula tidak memenangi sebarang kerusi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar bersama sebahagian perwakilan UMNO ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin.
GAMBAR: Warta Rakyat
Sebab itu, BN Negeri Sembilan ingin menambah dua kerusi DUN, daripada 16 kerusi menjadi 18 kerusi bagi PRN akan datang. Bermaksud, PH akan hilang dua kerusi daripada 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Kemenangan selesa BN di Negeri Sembilan akan menjadi ‘senjata’ utama buat Mohamad membuktikan bahwa dirinya mampu memikul tugas yang baik sebagai Presiden UMNO.
Malah, rekod Mohamad dalam PRN Melaka dan Johor sebagai Pengarah pilihan raya bersih kerana berjaya mengembalikan BN sebagai kerajaan negeri dengan majoriti besar.
Jika BN menang besar di Negeri Sembilan dan jawatan Menteri Besar dikembalikan kepada parti itu, boleh dikatakan BN menguasai negeri-negeri di bahagian Selatan tanah air dengan bersih. Mohamad akan diangkat sebagai ‘kepala BN’ di Selatan.
Apa harapan yang ada?
Jika PAU hanyalah persediaan UMNO untuk membersihkan rumah sendiri tetapi masih tunggang-langgang menghadapi PRN, suka atau tidak, Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan PH sendiri.
Bekerjasama dengan UMNO bukan mudah. Lihat sahaja rundingan pengagihan kerusi, UMNO akan mendesak lebih banyak kerusi diberikan berbanding PH kerana itu simbol dominan BN dalam politik Melayu, berpaksikan mentaliti Abang Besar.
Sebab itu, BN sukar bekerjasama dengan PN kerana peluang UMNO bertanding dengan kerusi yang lebih banyak agak tipis.
PRN Johor dan Melaka juga menyaksikan BN ‘solo’ dan memang besar. Tidak terkejut sekiranya rundingan kerusi akan menjadi sukar untuk Kerajaan Perpaduan.
UMNO sebenarnya paling untung dalam PRN. Undi penyokong PH dalam PRN sekurang-kurangnya dapat memastikan parti itu tidak hilang deposit dan kalah majoriti besar kepada PN. Malah, ia juga dapat memenangkan BN seperti yang berlaku di DUN Tioman pada Disember 2022 meskipun tipis.
Nampaknya, UMNO memasuki PRN kali ini dengan kecelaruan dan kurang yakin akan dinamik politik semasa. Apa yang mampu dibuat UMNO sekarang adalah mengekang undi protes akar umbi untuk mengundi PN dalam PRN.
Jika itu pun tidak mampu, lebih molek jika UMNO memberi tumpuan dan kerjasama untuk kekal menjadi Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Boleh UMNO mencongak semula langkah pada PRU16 dengan baik, lapor Malaysiakini.
Sebahagian daripada perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin.
GAMBAR: Abd Razak Aid
MAYAT bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebuah perkampungan atas air di Kota Kinabalu, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.
“Sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Bayi terbabit disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penelitian itu perlu dilakukan bagi membolehkan kementerian membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
“Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir untuk mengambil peperiksaan. Jadi, ia perlukan penelitian dan bagi masa untuk teliti, kita akan buat intervensi sewajarnya.
“Bagi menentukan perkara itu membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dapat selepas kita teliti nanti…sebab calon kita ini pelbagai ada calon bukan sahaja bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan sebagainya jadi perlu pecahan yang lebih teliti,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah ahbar tempatan hari ini yang menyatakan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.
Sementara itu Fadhlina berkata jumlah calon yang memperoleh sijil SPM juga lebih baik iaitu lebih 90 peratus berbanding sebelum ini dengan lebih 80 peratus sahaja, dan tumpuan KPM adalah untuk meningkatkan lagi peratusan calon yang mendapat sijil.
Semasa dirujuk mengenai cadangan untuk penambahbaikan silibus subjek Sejarah yang melibatkan Kedah dan Pulau Pinang pula, beliau berkata ia tidak akan dilakukan buat masa ini kerana setiap silibus subjek mempunyai kitarannya sendiri.
“Kurikulum ini dipantau oleh pakar-pakar dan murid-murid pun ada kitarannya… jadi setakat ini kita kekal seperti sedia ada sehinggalah kitaran itu habis dan akan lihat dari segi keperluan untuk semua, bukan Sejarah sahaja tapi semua subjek,” katanya.
MELAKUKAN aktiviti judi dalam talian dengan cara berpindah dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun seorang wanita berusia 40 tahun yang melakukan aktiviti menjual tambah nilai dipercayai untuk permainan judi dalam talian itu berjaya dikesan di Taman Makmur, Kluang pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan awam berkenaan wanita itu sebelum satu intipan dan serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Kluang pada pukul 12.15 tengah malam.
“Pihak polis menahan wanita suspek berkenaan selepas dikesan menjalankan aktiviti tersebut dari dalam sebuah kereta.
“Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai bercampur-campur bernilai RM250.
“Kegiatan ini mula dikesan melakukan aktiviti secara berpindah randah kawasan jualan bagi mengelak daripada dikesan pihak polis,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, hasil soal siasat ke atas tangkapan mengaku menjalankan penjualan tambah nilai perjudian atas talian di lokasi tangkapan tersebut.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 jika sabit kesalahan.
“Tahanan dikenakan reman selama tiga hari sehingga hari Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya.
SEORANG pesara di Miri kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan penyamaran melalui panggilan telefon.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 66 tahun berhubung kes itu semalam.
Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 April lalu.
“Panggilan itu kemdian disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah.
“Suspek mengatakan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.
“Selepas itu, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan suspek membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuka akaun bank baru pada 19 dan 20 April sebelum memberikan maklumat akaun baru serta pengenalan diri (ID) bersama kata laluan perbankan atas talian kepada suspek selepas itu.
Menurutnya, mangsa diarahkan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja miliknya ke akaun baharu dibuka itu.
Mangsa ujar beliau, hanya menyedari ditipu selepas memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baru miliknya kelmarin sudah tiada dan mendapati dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.
KELANTAN dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini bagi membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengumuman tarikh itu dijangka dibuat selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis (Exco) Kerajaan Negeri Kelantan pada Rabu.
“Insya-Allah kita tunggu masa mesyuarat Exco minggu ini,” katanya, lapor Astro Awani.
Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut memaklumkan perkara sama.
“Tentang pembubaran, MB akan isytihar. Minggu ini dia isytihar tarikhnya. Tunggulah,” katanya.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dengan tujuh diwakili Ahli DUN (ADUN) UMNO, satu ADUN Bersatu dan selebihnya ADUN Pas.
Sebelum ini, Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, proses pembahagian kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional di enam negeri yang terlibat dalam PRN, hampir selesai.
Tempoh tamat penggal DUN Kelantan berakhir pada penghujung bulan ini.
BEKAS Exco Pemuda, Fariz Hadi Raihan Husni dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dikongsikan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo menerusi hantaran dalam Facebook semalam.
“Alhamdulillah, tahniah dua sahabat seperjuangan yang juga mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia penggal 2018, Fariz Hadi mengumumkan menyertai PN mengikut jejak langkah mantan Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali atau Bozz Jebat, malam tadi.
“Makin bertambah kuat PN dalam nak berdepan PRN enam negeri ini.
“Malah dijangkakan ramai lagi yang akan bersama memastikan gelombang kebangkitan Melayu membadai Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga merupakan bekas Exco Pemuda UMNO.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa secara rasminya telah menjadi ahli Pas.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban.
Selain itu, Takiyuddin hari ini mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof turut menyertai parti itu.