Category: Semasa

  • Kit ujian Covid-19 jadi barang kawalan

    Kit ujian Covid-19 jadi barang kawalan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KIT Ujian kendiri Covid-19 akan dijadikan sebagai barangan kawalan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

    Menurut Rosol, langkah kerajaan adalah untuk memastikan ia dijual dengan harga berpatutan dan mampu dibeli oleh semua pengguna.

    Bagi tujuan itu kata beliau, pihaknya kini sedang berbincang dengan pengilang, pengimport dan penjual kit ujian kendiri terbabit.

    “Kami mendapat maklumat setiap satu kit ujian ini dijual dengan harga RM39.90, saya rasa ia akan membebankan pengguna dan tidak ramai yang mampu membelinya.

    Menurut Rosol, pihaknya kini sedang berbincang bagi mendapatkan harga munasabah dan tidak rugikan peniaga di samping tidak bebankan pengguna.

    “Harapan kita agar semua orang mampu membeli. Kita dalam proses jadikan ia sebagai barang kawalan,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Bas di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, hari ini.

    Felda Bukit Bading merupakan lokasi pertama Program Movak Bas di Hulu Terengganu di mana seramai 360 penduduk kawasan tersebut menerima dos pertama vaksin Covid-19.

    Program itu yang bertujuan untuk memberi kemudahan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan bergerak ke enam lokasi lain iaitu Bukit Tadok, Tapah, Tok Randok, Getang, Kua dan Binjai Kertas dengan sasaran 3,500 penduduk bakal divaksin.

    Rosol juga memaklumkan, selain memastikan harga dijual mampu milik, KPDNHEP juga kini bersedia dengan kemungkinan wujudnya jualan kit ujian kendiri Covid-19 tiruan dalam pasaran.

    “Kami khuatir apabila kit ujian ini dijual, ada yang cuba menjual barangan tiruan, jadi tugas kita akan memastikan barang yang dijual itu adalah tulen dan pengguna tidak ditipu,” katanya.

  • Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

    Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 3,647 laporan insiden keselamatan siber direkodkan Kementerian Pertahanan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

    Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd. Aziz berkata, laporan itu melibatkan antaranya penipuan dalam talian, pencerobohan dan kod jahat, dengan pihak kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima kesannya.

    “Oleh itu, kami telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan memuat naik bahan yang telah diluluskan (di media sosial milik Kementerian Pertahanan),” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan yang diadakan secara maya, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan.

    Muez berkata, seperti sedia maklum, Kementerian Pertahanan dan ATM mempunyai isu-isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya, sehubungan itu pihak berkenaan digalakkan agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat.

    “Adalah penting setiap maklumat yang dimuat naik perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan ia tepat, sahih dan benar,” katanya.

    “Trend perkongsian dan penyebaran maklumat kini semakin meluas membuatkan lebih mudah terdedah kepada isu-isu keselamatan, ketirisan maklumat, perkongsian berita palsu serta penyebaran sumber yang kurang tepat dan sahih,” katanya.

  • Industri pelancongan Pahang rugi RM20 bilion akibat PKP

    Industri pelancongan Pahang rugi RM20 bilion akibat PKP

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    INDUSTRI Pelancongan di Pahang kerugian RM18 hingga RM20 bilion akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tempoh 17 bulan lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, jumlah kerugian berdasarkan kepada penilaian ekonomi hasil perbelanjaan pelancong yang melawat negeri ini bermula bulan Mac tahun lalu.

    Menurut beliau, dalam tempoh 17 bulan, boleh dikatakan semua sektor industri tidak beroperasi secara konsisten yang turut menjejaskan sumber pendapatan penggiat dan pemain industri pelancongan.

    “Tidak kira berskala besar hingga sekecil-kecilnya, semua turut terjejas dan amat mendukacitakan apabila kebanyakan bergantung 100 peratus sumber pendapatan dalam industri tersebut.

    “Keadaan ini boleh dianggap ‘parah’ dan jangan membiarkan ia lebih parah. Justeru kerajaan negeri berpendapat sektor pelancongan perlu dibuka, kembali beroperasi dalam keadaan yang terkawal, berkala, berperingkat dan bersyarat,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 251 operator pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, semalam.

    Mohd. Sharkar berkata, sektor pelancongan di negeri ini dijangka mula menerima kunjungan bermula 8 Ogos ini apabila kawasan peranginan Bukit Fraser di Raub akan dibuka selepas seluruh penduduk tempatan di situ lengkap dua dos vaksin Covid-19.

    “Selang beberapa hari kemudian, Pulau Tioman juga akan di buka untuk pelancong luar diikuti dengan Taman Negara dan seterusnya Cameron Highlands, Genting Highlands, Kuala Gandah,” katanya.

    Katanya, antara syarat ke pusat-pusat tarikan itu ialah pengunjung diwajibkan membuktikan bahawa mereka telah lengkap menerima vaksin.

  • Iran puji inisiatif vaksinasi Covid-19 Malaysia

    Iran puji inisiatif vaksinasi Covid-19 Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IRAN memuji kejayaan Malaysia dalam melakukan inisiatif vaksinasi Covid-19 yang merangkumi semua warga asing di negara ini.

    Kedutaan Iran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur memberitahu, pihak berkuasa Malaysia harus dipuji atas tindakan bersepadu, adil dan saksama, semua penduduk diletakkan di bawah payung penjagaan kesihatan awam,

    “Di bawah inisiatif vaksinasi kebangsaan ia turut merangkumi semua warga asing, satu langkah yang sangat membina dan tanpa diskriminasi.

    “Koordinasi antara Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan komuniti diplomatik di Kuala

    Lumpur, vaksinasi untuk semua staf dan diplomat telah dilaksanakan.

    “Warga Iran di sini menghargai segala kerjasama dan bantuan ikhlas pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Kebanyakan rakyat Iran di Malaysia mendapat manfaat serta berpeluang diberi vaksin Covid-19, ada yang telah menerima dos pertama dan ada

    lengkap dua dos.

    “Malaysia telah melancarkan Program Vaksinasi Kebangsaan tepat pada masanya, dan telah memberikan 20 juta dos vaksin dalam beberapa

    bulan,” menurut kedutaan itu.

  • ‘Awang Belantik’ akhirnya ditangkap

    ‘Awang Belantik’ akhirnya ditangkap

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEBIMBANGAN penduduk terhadap ancaman seekor gajah liar yang sering merosakkan tanaman di Kampung Kubang Belantik dekat Sik sejak sebulan lalu, berakhir apabila haiwan tersebut berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

    Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah yang dianggarkan berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggotanya dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kedah.

    Menurutnya, mamalia itu yang diberi nama ‘Awang Belantik’ bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perlakuan agresif ketika usaha menangkapnya dijalankan.

    “Awang mungkin sudah terbiasa dengan penempatan manusia. Disebabkan itu, gajah tersebut tidak bertindak agresif ketika dijejaki dan ditangkap.

    “Gajah tersebut ditangkap dalam kebun getah di belakang rumah penduduk kampung. Kerja-kerja menangkapnya mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya kepada pemberita di Sik, hari ini.

    Jamalun menambah, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran Awang yang sering merosakkan tanaman mereka.

    “Kelibat Awang sering kelihatan di kampung itu kebelakangan ini, mungkin disebabkan musim buah.

    “Awang dipercayai terpisah dari kumpulannya dan itu menyebabkan haiwan tersebut mencari makan bersendirian,” katanya.

    Tambahnya, Awang akan dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Temenggor di Perak dengan bantuan dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

    “Pasukan dari PKGK dan dua gajah denak itu dijangka sampai pagi esok.

    “Ketika ini Awang sudah pun ditambat dan keadaannya sentiasa kami pantau,” katanya.

    habis..

  • DPMM seru gencatan politik, fokus masalah rakyat

    DPMM seru gencatan politik, fokus masalah rakyat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyeru semua pemimpin parti politik agar gencatan politik dengan mengenepikan perbezaan dan mengutamakan masalah rakyat.

    Presiden DPMM, Abdul Halim Husin berkata, semua pemimpin politik perlu bersatu hati membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 hingga membolehkan sektor ekonomi dibuka semula.

    “Tumpukan usaha memulihkan segera ekonomi rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang bergelut dengan masalah aliran tunai akibat dibuang kerja oleh majikan yang terpaksa gulung tikar terutamanya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

    “Ini dibuktikan melalui perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu kadar pengangguran menjangkau seramai 742,700 orang atau pada kadar 4.6 peratus April lalu.

    “Menurut kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Jun 2021, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menumpukan pada strategi untuk keluar daripada ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik adalah langkah yang patut disokong semua pihak.

    “DPMM menyokong usaha kerajaan meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini,” ujarnya.

  • 17,105 kes baharu Covid-19 hari ini

    17,105 kes baharu Covid-19 hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA hari ini melaporkan 17,105 kes baharu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1,163,291 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan sebanyak 5,836 kes diikuti oleh Kuala Lumpur (2,309 kes); Johor (1,275 kes); Kedah (1,036 kes) dan Sabah (1,010 kes).

    “Perak merekodkan 967 kes; Kelantan (915 kes); Negeri Sembilan (816 kes); Pulau Pinang (798 kes); Pahang (628 kes); Melaka (508 kes); Sarawak (494 kes) dan Terengganu (429 kes).

    “Putrajaya pula (72 kes), Perlis (tujuh kes) dan Labuan (lima kes),” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

  • Lelaki naik rakit ‘styrofoam’ rentas negeri

    Lelaki naik rakit ‘styrofoam’ rentas negeri

    SEORANG lelaki bertindak berani menyeberang dari bahagian pulau ke tanah besar Pulau Pinang menggunakan laluan laut untuk merentas daerah dipercayai kerana tidak mempunyai surat kebenaran daripada polis.

    Tindakan lelaki itu yang menyeberang menggunakan sebuah pelampung ‘styrofoam’ semalam dikesan pihak berkuasa ketika dia berada di tengah-tengah laut.

    Lelaki itu ditemui dalam keadaan meniarap di atas pelampung ‘styrofoam’ bersaiz kira-kira satu meter persegi yang dijadikan sebagai rakit.

    Ketika diselamatkan, dia yang berseluar pendek dan memakai kemeja-T berwarna biru itu turut membawa sebuah beg galas dan menyarungkan sehelai kain pelikat.

    Tindakan nekad lelaki itu tular di dalam media sosial hari ini dengan beberapa keping gambar dan videonya yang terapung di tengah-tengah Selat Pulau Pinang dikongsi pengguna.

    Dalam pada itu, beberapa pengguna Facebook  mendakwa lelaki berkenaan adalah individu sama yang diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) setelah dikesan cuba merentas daerah dengan berenang dari Georgetown ke Seberang Perai pada 14 Julai lalu.

    Dalam kejadian yang turut tular di dalam media sosial itu, lelaki berkenaan nekad berenang dari jeti feri di Tanjung City Marina menuju ke Seberang Perai untuk bertemu rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah.

    Lelaki itu bagaimanapun kemudiannya berpatah balik menghala ke jeti kerana keletihan sebelum diselamatkan petugas PPSB dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.

  • Tukang rumah rugi diperdaya pelaburan tak wujud

    Tukang rumah rugi diperdaya pelaburan tak wujud

    GARA-GARA terperdaya dengan syarikat pelaburan dikenali, seorang tukang rumah mengalami kerugian sejumlah RM3,051 apabila pelaburan dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, lelaki berusia 58 tahun itu mula berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook yang menawarkan satu pelaburan dengan menjanjikan pulangan ‘tidak masuk akal’ pada 18 Julai lalu.

    Menurut beliau, selepas berminat dengan tawaran tersebut, mangsa dari Seberang Takir, Kuala Nerus terus berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dinyatakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi sekiranya mahu meneruskan pelaburan berkenaan.

    Beliau berkata, tertarik dengan tawaran dan syarat dinyatakan, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju sebelum membuat pembayaran pertama berjumlah RM500 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada 15 Julai.

    “Mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran kedua berjumlah RM961 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada hari sama.

    “Kemudian, suspek meminta mangsa memasukkan lagi RM1,590 ke dalam akaun diberikan sebelum mangsa berbuat demikian pada 26 Julai lalu,” katanya lapor Sinar Harian.

    M.Zambri berkata, pada keesokan harinya (27 Julai), mangsa sekali lagi menerima satu pesanan WhatsApp daripada suspek yang meminta RM2,550.

    “Ketika itu, suspek menjanjikan mangsa akan memperoleh keuntungan RM26,000 serta-merta dan keuntungan itu akan terus dimasukkan ke dalam akaunnya sejurus pembayaran dibuat.

    “Mangsa mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mengambil keputusan tidak berbuat demikian seperti diarahkan,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa yang percaya ditipu dalam pelaburan itu membuat laporan di balai polis Gong Badak, Kuala Nerus pada 27 Julai lalu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

    Dalam pada itu, M Zambri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan bagi mengelakkan penipuan dan kerugian

  • Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) nyaris lemas apabila tongkang dinaiki mereka merempuh bot pihak maritim pada kedudukan 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang, semalam.

    Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, semua PATI berusia 20 hingga 45 tahun sedang menyusup keluar dari perairan negara menuju ke Indonesia dengan tongkang kayu tersebut.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, Bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tongkang yang bergerak tanpa sebarang lampu itu ketika rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Ehsan.

    Menurutnya, tekong tongkang itu bagaimanapun bertindak agresif dan merempuh bot tersebut bagi meloloskan diri.

    “Rempuhan kemudian mengakibatkan tongkang berkenaan karam dan semua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga nyaris lemas.

    “Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.