Category: Semasa

  • Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    SEORANG wanita berusia 55 tahun rugi RM1.18 juta setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, yang dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon.

    Menurut laporan polis dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu daripada seorang lelaki tidak dikenalinya yang mendakwa dari Putrajaya.

    Pemanggil itu mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan, menurut laporan itu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada dua individu, kononnya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, yang menuduh mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

    “Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wangnya. Mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas namanya dan memindahkan wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa yang panik membuka tiga akaun bank di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun, kemudian memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000, ke dalam akaun bank baharu tersebut.

    Wanita itu turut diarahkan oleh ‘lnspektor Khoo’ untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

    “Mangsa juga dikehendaki mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM (bagi akaun-akaun baharunya),” kata Mohd Azman.

    Tambahnya, mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya, serta menghubungi pihak bank tentang transaksi terbabit.

  • Anggota polis maut ditembak di Pattani

    Anggota polis maut ditembak di Pattani

    SEORANG anggota polis yang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api maut ditembak sekumpulan lelaki di Khok Pho, Pattani, selatan Thailand.

    Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Sabtu, anggota polis yang berusia 22 tahun itu bersama dua lagi pegawai State Railway of Thailand (SRT) sedang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api.

    Ketua Polis Na Pradu Kol.Pol.Chatchai Chanasit berkata enam lelaki yang menyamar sebagai wanita lengkap bertudung, menunggang tiga buah motosikal telah melepaskan tembakan ke arah pondok pengawal terbabit.

    “Anggota polis itu terkena tembakan di bahagian kepala dan badan manakala dua lagi pegawai SRT dilaporkan selamat. Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Khok Pho kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau menambah bahawa suspek turut merampas pistol milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    POLIS menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tular memandu kereta Proton Saga di sebuah rumah di Pandamaran, Klang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama ayahnya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pukul 1.15 pagi.

    “Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkod keterangan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

    “Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

    Selain itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

  • ‘Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam’ kata Kor Ming

    ‘Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam’ kata Kor Ming

    PEMUDA UMNO perlu melupakan kisah silam, bergerak ke depan dan meninggalkan sebarang persengketaan serta permusuhan politik antara dua parti itu sebelum ini.

    Sebaliknya kata Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mereka perlu fokus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut berharap supaya tidak sesekali merencatkan ‘momentum’ pencapaian yang berjaya diperoleh sepanjang tempoh enam bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).

    “Oleh kerana itu, saya dengan rendah hati memohon semua pengundi supaya mengundi parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya kita jangan mematahkan momentum yang kita susah payah hendak bina ini.

    “Jangan patahkan momentum yang sudah pun ada ini, biarkan kita ada kestabilan politik dalam tempoh lima tahun. Bagi masa kepada kerajaan yang ada pada hari ini, selain kepada agensi kerajaan untuk mempamer dan melaksanakan apa yang kita mampu lakukan bersama.

    “Kita sudah ‘move on’, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pun sudah ‘move on’.

    “Sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO membantu DAP untuk memperkukuhkan kerajaan Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau kemudahan asas dan keperluan kemudahan awam serta infrastruktur berkaitan di Pasar Kampung Simee, Ipoh, hari ini.

    Kor Ming mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menuntut permohonan maaf DAP serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.

    Dr. Muhamad Akmal mendakwa tindakan tersebut berupaya melembutkan hati ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

  • Isu LCS: AMK tempelak Syed Saddiq

    Isu LCS: AMK tempelak Syed Saddiq

    ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menempelak kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa penolakan usulnya bagi membincangkan isu kapal tempur pesisir (LCS) baru-baru ini adalah kerana dilihat bukan berkepentingan orang ramai.

    AMK menegaskan, seperti yang dijelaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, laporan berkaitan projek pembinaan LCS dibentangkan di Parlimen setiap tiga bulan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengikut ketetapan.

    “Usul Syed Saddiq tersebut hakikatnya ditolak disebabkan kerana tidak lengkap,” menurut AMK dalam satu hantaran dalam Facebook hari ini.

    Menurut sayap tersebut, Syed Saddiq dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan melindungi siasatan LCS.

    “Tindakan Syed Saddiq Muda secara terus menerus menyebarkan kenyataan separa benar yang memburukkan kerajaan secara tidak adil adalah perkara yang harus diteliti dan ditegur oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sayap itu turut menambah, tindakan Syed Saddiq itu menjadi isyarat buat Pakatan Harapan (PH) untuk berhati-hati membuat penilaian bagi menerima parti tersebut ke dalam gabungan berkenaan.

    Projek LCS adalah perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

    Projek itu mendapat perhatian banyak pihak pada tahun lalu selepas PAC mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.

  • Sanusi tempelak Saifuddin berkenaan sesi townhall di UUM

    Sanusi tempelak Saifuddin berkenaan sesi townhall di UUM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KENYATAAN dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution kononnya Kedah tidak dianaktirikan kerana diberikan peruntukan RM1.6 bilion oleh Kerajaan Persekutuan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah satu dakwaaan bersifat naif dan poyo.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi ‘ Md Nor berkata, projek berjumlah RM1.6 bilion yang digembar-gemburkan itu bukan projek bahawa kerajaan Persekutuan sebaliknya projek-projek dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah disenaraikan sejak beberapa tahun lalu.

    Menurutnya, ada dalam kalangan projek tersbeut sememangnya sedang disiapkan dengan sebahagiannya adalah projek sambungan.

    “Ada juga yang akan siap beberapa tahun lagi dan mungkn tak akan siap dalam RMK-12 pun. ‘Mengklaim’ RM1.6 bilion itu seluruhnya adalah datang bersama kerajaan baharu ini sangatlah naif dan poyo.

    “Duit Kerajaan Persektuan atau negeri sememangnya akan diluluskan dalam Bajet tahunan mengikut anggaran kemajuan projek dalam tahun anggaran belanjawan itu diluluskan.

    “Projek yang belum siap akan masuk dalam belanjawan tahun berikutnya pula hingga seluruh projek itu siap sepenuhnya. Ada yang sudah mengambil masa tujuh atau lapan tahun sejak RMK-10 dan RMK-11 lagi,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

    Dalam sesi Townhall Ikon Madani semalam, Saifuddin ketika menjawab soalan seorang mahasiswa menafikan dakwaan kononnya Kedah dianak tirikan kerajan Persekutuan.

    Menurut Saifuddin, peruntukan berjumlah RM1.6 bilion dengan 453 projek itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah sedangkan sumbangan Kedah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sangat kecil berbanding Selangor, Pulau Pinang serta Johor.

    Mengulas lanjut Sanusi berkata, RM1.6 bilion bagi projek-projek yang sedang berjalan di Kedah bukanlah angka yang mengujakan dan mengibaratkannya seperti menjamah nasi goreng kunyit sewaktu sarapan daripada nasi yang tidak habis dimakan malam tadi saja.

    “Dalam keadaan itu, tentulah lebih baik daripada ‘tak dak’ apa langsung nak menyerok (bersarapan). Yang menghairankan saya ialah, banyaknya masa yang para menteri sekarang ini ada untuk menyebar propaganda berbanding kerja hakiki sebagai menteri.

    “Orang ini Menteri Dalam Negeri (KDN) tau, bukan Menteri Kerja Raya. ‘Awat’ (Kenapa) beliau bersyarah kepada mahasiswa yang cerdik pandai tetapi sembunyi-sembunyi tak bagi ada rakaman?

    “Takut apa? Owhh Madani…. kelentong mau kencang, kerja hakiki ke laut,” katanya.

    Mengulas dakwaan Saifuddin kononnya kerajaan negeri Kedah tidak menulis surat kepada kerajaan Persekutuan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Muhammad Sanusi berkata, kalangan mahasiswa UUM tersebut boleh memeriksa kronologi Kedah Aerotropolis sejak 2013.

    “Sepanjang garis masa itu, gerombolan ‘orang tua ini’ (Saifuddin) ada pembabitan dan ada sentuhan mereka juga. Terima kasih atas jasa mereka. Dulu mereka pun usaha nak buat juga, tapi sekarang tidak lagi, mungkin terpaksa mementingkan negeri sebelah daripada negeri sendiri kerana nyawa politik ada di sana.

    “Pembangunan projek-projek seperti itu tidaklah semudah mengisi borang UPU atau menulis sepucuk surat memohon mini tar dalam kampung. Boleh dengar kronologi daripada link di bawah.,” katanya sambil berkongsi capaian kepada klip video Tik Tok memaparkan dirinya membentangkan satu demi satu kronologi usaha Kedah untuk merealisasikan Kedah Aerotropolis sejak 2013 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

  • Bola oh bola! TFC mangsa terbaharu kelemahan pengadil?

    Bola oh bola! TFC mangsa terbaharu kelemahan pengadil?

    SEJAK dari dahulu lagi, isu mutu pengadilan dan kelemahan pengadil yang ditugaskan mengawal perlawanan bola sepak membabitkan liga di Malaysia menjadi rungutan bukan sahaja para peminat, tetapi juga dalam kalangan pengawai pasukan kelab di negara ini.

    Malah, beberapa tahun lalu, berpunca daripada kelemahan pengadil pernah berlaku perkara tidak diingini termasuk rusuhan oleh para penyokong tuan rumah.

    Di Terengganu penulis masih ingat peristiwa pembakaran bas penyokong Negeri Sembilan berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu sekitar tahun 1980an gara-gara para penyokong tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

    Begitulah bola sepak yang merupakan antara sukan paling berpengaruh dan diminati ramai di dunia ini.

    Memandangkan bola sepak sentiasa menjadi tumpuan dunia, ada ketikanya ia juga dilihat boleh bertukar menjadi ganas dan bahaya.

    Maka itu, sekiranya tidak diberikan kawalan rapi ia mampu mencetuskan keganasan serta mengorbankan nyawa manusia.

    Berdasarkan itulah, Persatuan Bola Sepak Dunia (FiFA) sentiasa mencari kaedah terbaik termasuk mengadakan pelbagai peraturan tertentu bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini khususnya melibatkan para penyokong.

    Bagaimana pun di Malaysia, sejak kebelakangan ini semakin banyak kelab yang meluahkan rasa tidak berpuas hati mengenai mutu pengadilan yang ditugaskan mengadili sesuatu perlawanan.

    Mengikut laporan, sepanjang perlawanan Liga Super musim ini beberapa buah kelab termasuk pegawai dan juru Latih terbabit pernah meluahkan kekesalannya terhadap perkara tersebut.

    Antaranya termasuk pasukan Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan terbaharunya ialah Terengganu FC (TFC).

    Di dalam perlawanan Liga Super antara TFC dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat lalu, ianya hampir tercetus kejadian tidak diingini.

    Ini gara-gara penyokong tuan rumah naik berang dan tidak berpuas hati dengan kelemahan dan mutu pengadilan yang ditugaskan mengawal perlawanan berkenaan

    Banyak pihak termasuk pengulas sukan tanah air dan para penyokong TFC menyifatkan perlawanan antara TFC dan JDT sepanjang masa pertama amat menghiburkan dan dilihat sebagai seimbang walaupun sepanjang 45 minit pertama tuan rumah ketinggalan 1-2.

    Namun, selepas berlakunya insiden dua layangan kad merah yang dikeluarkan oleh pengadil Mohd. Fusser Mad Sallih ke atas pemain TFC, Argzim Redzovic dan Ivan Mamut aksi dan tempo perlawanan telah berubah.

    Ekoran kad merah tersebut para penyokong tuan rumah yang marah mula mencemuh pengadil.

    Rata-ratanya menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar kerana kekasaran dilakukan pemain dikatakan tidak terlalu keras berbanding pemain JDT yang dikatakan lebih banyak ‘berlakon’ serta merebahkan badan apabila bersentuhan dengan pemain Terengganu.

    Justeru, penyokong Terengganu mendakwa pengadil terbabit telah menyalahkan kuasanya dengan berpihak kepada JDT.

    Mereka berpendapat pengadil sepatutnya memberi amaran, bukan terus ‘menghukum’ dengan perintah keluar padang.

    Sementara itu, tinjauan menerusi Facebook TFC mendapati rata-rata netizen memaki hamun dengan menulis perkataan kesat ke atas pengadil.

    Ada yang mendakwa seakan sudah menjadi lumrah mana-mana pasukan yang menetang JDT akan berhadapan dengan masalah mutu pengadilan, pengadil berat sebelah.

    Selain itu, kebanyakan pasukan lawan juga dikatakan sentiasa dibolosi dengan tendangan penalti.

    Seorang netizen yang menggunakan nama Saidi meminta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara tersebut.

    Pada masa yang sama netizen turut mencadangkan kepada FAM supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas Mohd. Fusser.

    Seorang lagi netizen yang mengguna nama Din pula mencadangkan agar FAM mengambil pengadil import bagi mengadili perlawanan bola sepak Liga Super khususnya apabila perlawanan membabitkan JDT.

    Presiden kelab penyokong TFC, Mohd. Isa Che Ariffin pula menggesa pengurusan skuad ‘Penyu’ mengemukakan bantahan kepada FAM) dan menuntut badan induk itu menghukum pengadil terbabit.

    Dalam perlawanan tersebut, penyerang JDT, Fernando Forestieri menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20 sebelum pemain sayap TFC, Sony Norde menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 28.

    Namun, Bergson Da Silva kemudian menjaringkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 sebelum Endrick Dos Santos menyumbat gol ketiga JDT seminit sebelum wisel penamat ditiupkan.

  • Teliti bantuan kepada Muhammad Syahril, kata MP Bachok

    Teliti bantuan kepada Muhammad Syahril, kata MP Bachok

    KEAJAAN Kelantan akan membantu perihal kebajikan termasuk mempertimbangkan bantuan rumah kepada pelajar cemerlang yatim piatu yang meraih 11A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Kampung Kandis di Bachok.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklumat berkaitan keadaan pelajar itu, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang kini tinggal di rumah sewa sejak beberapa tahun lalu.

    Katanya, kerajaan negeri akan usahakan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

    “Penyaluran bantuan juga dalam segala bentuk kebajikan kepada keluarga termasuk paling penting pendidikan kepada salah seorang kakak Muhammad Syahril yang sebelum ini terpaksa menangguh pengajian kerana turut menjaga ibu mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, di rumahnya hari ini.

    Mohd. Syahir yang turut berkongsi kesedihan atas kematian ibu pelajar tersebut, berkata, pemergian arwah amat menyentuh hati dan wajar dijadikan pengajaran kepada semua.

    “Kisah mereka adik-beradik ini ialah anak-anak yang berbakti kepada ibunya.

    “Diceritakan oleh guru-guru tidak menyangka Muhammad Syahril dapat meraih 11A. Boleh jadi asbab kepatuhan dan keberkatan menjaga seorang ibu,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Tuan Faridah yang menderita angin ahmar sejak tahun 2019 menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.30 malam, Sabtu.

    Duka kematian itu hanya selang dua hari selepas keluarga tersebut menerima perkhabaran gembira keputusan peperiksaan anak bongsu daripada enam beradik yang bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang.

  • Kenapa perlu rayu jika penggantungan, pemecatan tak ikut prosedur

    Kenapa perlu rayu jika penggantungan, pemecatan tak ikut prosedur

    PENGGANTUNGAN keahlian dan pemecatan ahli UMNO dibuat tanpa mengikut prosedur jadi mengapa perlu merayu, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor itu turut mempersoal keterbukaan UMNO menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram itu menegaskan, rayuan yang perlu dibuat seakan tidak wajar memandangkan proses penggantungan yang dibuat ke atasnya sebelum ini tidak dibuat mengikut prosedur.

    “Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur. Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti sebelum digantung.

    “Saya menjadi ahli UMNO dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti Umno yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lapor Sinar Harian.

    Maulizan berkata, beliau juga tidak pernah mengkhianati atau melakukan sabotaj parti malah bertungkus lumus memenangkan parti dalam setiap pilihan raya kecil (PRK), pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

    Pada 27 Jan lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan menggantung keahlian Maulizan selama enam tahun serta tiga lagi pemimpin.

    Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Sharif.

    Sementara, bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.

    Maulizan berkata, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan presiden UMNO, menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk menyokong hasrat presiden.

    “Bagaimanapun, isu pokok yang melanda UMNO masa kini ialah soal kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli UMNO serta orang Melayu ekoran keputusan keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka,” katanya.

    Katanya, kepimpinan UMNO juga dilihat gembira dengan terus menjadikan parti itu sebagai penumpang dalam kerajaan apabila presiden menyokong kerajaan yang terdiri daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih dominan.

    “Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.

    “Saranan Pemuda UMNO juga ditolak mentah mentah oleh presiden kerana beliau seolah olah menjadi jurucakap DAP,” jelasnya.

    Maulizan berkata, UMNO kini menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan parti itu kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

    “UMNO di bawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu. Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar. Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah,” katanya.

    Semalam, Zahid dilaporkan berkata, UMNO sedia untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

  • TH terima jumlah dua kali ganda mohon Sahabat Maktab

    TH terima jumlah dua kali ganda mohon Sahabat Maktab

    TABUNG Haji (TH) menerima permohonan yang meningkat dua kali ganda daripada jemaah haji yang ditawarkan untuk menjadi Sahabat Maktab pada musim haji kali ini.

    Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pada kali ini sejumlah 315 jemaah haji dipilih menjadi Sahabat Maktab.

    “Sahabat Maktab ialah program yang telah diperkenalkan pada tahun 2006 berikutan keinginan dan kesediaan para jemaah haji untuk membantu rakan-rakan lain.

    “Mereka akan bekerjasama dengan petugas haji untuk menguruskan dan memastikan kelancaran aktiviti para jemaah haji semasa di maktab penginapan serta pergerakan lebih teratur terutama ketika operasi Masya’ir,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Syed Saleh berkata demikian selepas Majlis Pelantikan Sahabat Maktab di Makkah, semalam.

    Beliau menjelaskan, antara tugas Sahabat Maktab ialah membantu kelancaran operasi haji semasa di maktab khususnya semasa operasi Masya’ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    “Mereka juga akan membantu jemaah haji yang baru tiba untuk menunaikan umrah pertama dan jemaah haji warga emas yang memerlukan bantuan.

    “Sahabat Maktab juga sedia untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama antara petugas haji di maktab dengan jemaah haji,” katanya.

    Menurutnya, kriteria pemilihan pula adalah berdasarkan kepada wakil daripada setiap penerbangan supaya khidmat Sahabat Maktab berterusan sehingga operasi haji tamat.

    Jelasnya lagi, mereka dipilih daripada jemaah haji yang sihat tubuh badan, muda, mempunyai semangat sukarelawan dan bermotivasi tinggi.

    Kata beliau, jemaah haji yang berpasangan, berketerampilan dan boleh berkomunikasi dengan baik juga mempunyai kelebihan untuk memberikan khidmat.

    Syed Saleh berkata, mereka dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj iaitu sukarelawan secara keseluruhan, Sahabat Ibadat untuk membantu berkaitan urusan ibadat manakala Sahabat Medik akan bertugas dalam bidang berkaitan perubatan.

    Mengenai peningkatan jumlah permohonan untuk menjadi Sahabat Maktab, Syed Saleh berkata, perkembangan itu berikutan perkongsian tugas-tugas sukarelawan pada musim-musim haji sebelum ini yang menarik minat jemaah lain.

    “Yang pernah jadi sukarelawan apabila pulang ke tanah air mereka cerita betapa seronoknya dapat memberi khidmat tolong jemaah lain, lagi pun di sini boleh buat pahala berlipat kali ganda,” katanya.

    Sementara itu, pasangan suami isteri dari Shah Alam yang menjadi Sahabat Hujjaj begitu bersemangat untuk memberi khidmat kepada jemaah haji di Makkah.

    Mohd. Hezli Md. Tahir, 50, dan isterinya Dr. Noor Zalina Zainal, 46, berkata, peluang yang diberikan TH akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyantuni Dhuyufurrahman di Tanah Suci.

    Mohd Hezli yang bertugas sebagai Juruaudit di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cukai Multinasional Bangi, Selangor berkata, pengalaman dalam tugas-tugas sukarela di tanah air menjadi pemangkin semangat untuk memberikan bantuan kepada jemaah haji yang memerlukan di Makkah.

    Dr. Noor Zalina yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor berkata, aspek komunikasi sesama jemaah haji adalah antara elemen penting untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di Tanah Suci ini.

    Pasangan itu juga bersedia untuk berkhidmat lebih masa membantu jemaah dalam keadaan cabaran cuaca panas walaupun mereka adalah kali pertama menunaikan haji.