Category: Semasa

  • Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    SEORANG lelaki yang baharu dua bulan dibebaskan dari penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Taiping, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cubaan merogol seorang wanita warga emas, minggu lalu.

    Harian Metro melaporkan, S Saaran, 32, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

    Bagi pertuduhan pertama, Saaran dituduh melakukan cubaan rogol terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Lorong 14 Taman Assam Maju, di sini, 8.30 pagi, 15 Ogos lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

    Pertuduhan kedua, Saaran turut melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap harta milik mangsa berupa wang tunai RM10, serta rantai emas serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga emas itu pada masa, tempat, dan tarikh sama.

    Bagi perbuatan itu ia boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa pada masa, tarikh dan lokasi sama didakwa melakukan perbuatan sebagaimana pertuduhan pertama dan kedua, melakukan rompakan terhadap harta milik seorang individu berusia 55 tahun iaitu menantu lelaki kepada mangsa warga emas terbabit.

    Saaran didakwa melakukan rompakan terhadap harta lelaki itu membabitkan wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Honda yang pada ketika melakukan rompakan itu tertuduh menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 KK, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Bagi kes cubaan rogol, Nur Syuhada menawarkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa, manakala bagi kes merompak bersenjata Nur Syuhada menawarkan jaminan RM20,000 dan syarat tambahan sama.

    Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan dirinya yang tidak bekerja kerana baru keluar penjara dua bulan lalu.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan seorang penjamin RM20,000 bagi kes cubaan rogol dan RM10,000 bagi kes rompak serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi dalam kes berkenaan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes termasuk bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

  • Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memandu kereta dengan membahayakan pengguna jalan raya lain dengan kejadian itu tular di media sosial.

    Memetik laporan Berita Harian, Majistret, Fatin Dayana Jalil memutuskan hukuman berkenaan selepas Lim Ching Hong, 26, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu digantung selama lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen terbabit.

    Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa memandu kenderaan jenis Lexus berwarna perak yang bernombor pendaftaran BQA 1188 dengan membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra, di sini, pukul 9.19 pagi, Ahad lalu.

    Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan ‘diendors’ (dimasukkan) pada lesen memandu.

    Ketika prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir, memohon hukuman maksimum atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.

    Semalam, media melaporkan polis menyiasat tindakan pemandu kereta itu yang berhenti mengejut hingga dirempuh sebuah motosikal.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, dipetik berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa masing-masing berada di lorong pertama serta kedua sebelum kemalangan berlaku.

    Suspek dikatakan memandu secara melulu dan berbahaya dengan mengubah haluan ke lorong kedua dan membrek secara mengejut sebelum mangsa yang gagal mengawal motosikalnya melanggar belakang kereta terbabit dan terjatuh.

    Tular video kamera perakam video atau dashcam berdurasi 24 saat menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal.

  • Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    BAPA kepada bekas pemain bola sepak yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi ini.

    Allahyarham Bakhtiar Md. Isa, 66, dilaporkan menghembus nafas terakhir di kediaman Baddrol di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani.

    Difahamkan bapa kepada enam anak itu baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang, baru-baru ini.

    Sementara itu, besan arwah, Mustafa Khalid Hanafi, 62, memaklumkan jenazah Bakhtiar akan diurus dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria.

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok selepas solat Zohor, hari ini.

    Terdahulu, berita pemergian arwah dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Baddrol yang juga anak keempat kepada Allahyarham Bakhtiar.

    Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sepanjang penglibatannya dalam bola sepak tanah air baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

  • PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    SEBANYAK 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

    Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, PAS, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    “Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

    Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    “Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

    “Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

    Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

    Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

    “SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

  • Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    PAKAR hubungan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) menolak dakwaan seorang penganalisis politik yang mengatakan kebanjiran sekolah agama menyebabkan lahirnya generasi orang-orang Melayu yang bersifat perkauman.

    Menurut mereka, tiada satu data yang membuktikan sekolah agama menjadi punca kebangkitan sentimen Melayu dan Islam yang menebal sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menjadi begitu kuat.

    Pengarah dan pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shamsul Amri Baharuddin berkata, ia merupakan andaian semata-mata tanpa sebarang bukti.

    “Ini hipotesis tanpa bukti yang datang dari pihak yang takut dengan gelombang hijau.

    “Sentimen perkauman tidak datang daripada hipotesis tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik James Chin di Twitter yang mengatakan sekolah agama akan menjadi lubuk perkauman berdasarkan data bilangan sekolah agama berdaftar yang dimuat naiknya.

    “Perlu saya katakan dengan lebih jelas, lebih 4,000 sekolah agama yang berdaftar di seluruh negara ini tidak termasuk yang tidak berdaftar) menjadi medan pendidikan bagi kaum Melayu, Islam dengan persekitaran atau pergaulan antara kaum lain yang sangat terhad atau mungkin tidak ada langsung.

    “Adakah ini sebab mereka begitu berasa was-was dengan kaum Cina dan India,” katanya.

    Shamsul menambah salah faham yang sama turut berlaku dalam isu melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Beliau berkata, polemik 3R ini hanya dilihat lebih berat kepada kaum Melayu atau parti Melayu sedangkan ia wujud dalam setiap kumpulan etnik dalam negara ini.

    “Sentimen 3R ini dalam politik Malaysia adalah sebahagian yang kita sebut ‘identiti politik’.

    “Situasi ini wujud apabila kebanyakan parti politik mendakwa mereka mewakili suara dan perjuangkan setiap daripada kumpulan etnik yang ada.

    “Kerana itu 3R ini wujud dalam setiap kumpulan kaum di negara ini bukan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.

    Islam menolak perkauman

    Sementara jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata persepsi itu tidak berasas kerana hakikatnya kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi pendidikan tersebut adalah kerana timbulnya kesedaran melihat pentingnya untuk mengimbangi antara mata pelajaran umum dan pengajian Islam.

    “Ramai ibu-bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana mereka bimbang dengan pendidikan yang ada sekarang tidak menekankan soal agama sangat.

    “Ya lah dulu bila ada cadangan untuk ajar tulisan jawi untuk diletakkan dalam silibus mata pelajaran, kita dihalang bukan main.

    “Jadi inilah kebimbangan ibu bapa hanya bertumpu kepada soal pendidikan agama anak-anak dan perkara ini tidak akan melahirkan perkauman yang menebal,” katanya.

    Tambahnya, pihak yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak memahami agama Islam itu sendiri yang tidak akan mengajar umatnya untuk membenci kaum lain.

    “Bekas ketua polis negara, Musa Hassan sebelum ini pernah kata kaum Cina tidak akan wujud dalam negara jika betul sekolah agama ini melahirkan generasi Melayu yang bersifat perkauman.

    “Tapi ini adalah hasil pendidikan agama Islam yang tidak pernah mendidik umatnya untuk bersifat perkauman, bagi saya itu hanya persepsi semata-mata,” katanya.

    Chin turut mengaitkan senario tersebut akan menjadi faktor kemenangan parti yang berorientasi Melayu-Islam akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).

    Biarpun tidak menyebut nama mana-mana parti, dipercayai Chin dari Unversiti Tasmania, Australia yang merujuk kepada gabungan PN.

    “Saya tidak perlu sebut siapa yang akan menang, seawal PRU17 dan selepas itu.

    “Kita mungkin boleh bercakap tentang reformasi pendidikan dan kepelbagaian budaya selamanya tapi anda tidak boleh mengubah hakikat di bawah. Masa depan Malaysia diputuskan sekarang di sekolah ini,” katanya.

    Bagaimana dengan sekolah vernakular?

    Aminuddin berkata sepatutnya orang-orang Melayu yang mempersoalkan sekolah vernakular yang menyebabkan jurang perkauman.

    Katanya, sekolah vernakular sepatutnya dihapuskan kerana menjejaskan perpaduan dan menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir.

    Beliau memberi contoh bagaimana DAP ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat 22 bulan selepas menang pada 2018 banyak membuat keputusan yang seolah mencabar hak orang Melayu-Islam di negara ini.

    “Contoh masa itu mereka cuba meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

    “Mereka yang tak nak asimilasi dengan budaya kita. Sebab itu kita jangan lihat hanya satu aspek sahaja tengok sama ada orang nak undi sana atau nak undi sini.

    “Kita boleh dengar sendiri dalam kempen mereka yang menguar-uarkan kenyataan sensitif kepada umat Islam. Jadi sebenarnya merekalah yang mencetuskan sentimen takut kepada orang Islam,” katanya.

    Katanya, sejarah juga membuktikan menerusi tulisan buku tokoh-tokoh peneroka Inggeris yang datang ke Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford yang memuji sikap dan adab orang Melayu.

    “Tulisan mereka ini sebagai contoh bagaimana sikap orang Melayu ini dari dulu sangat bertoleransi, berbudi bahasa pada masa sama sangat berdikari dan kreatif, kita kena tengok balik sejarah ini,” katanya.

    Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Teo Kok Seong bersetuju bahawa struktur atau persekitaran pembelajaran di sekolah agama membawa kepada kesukaran untuk menerima kaum lain.

    Tapi beliau menolak situasi itu dilabelkan sebagai sentimen yang menaikkan perkauman sebaliknya ayat lebih tepat lagi ialah “kekauman”.

    “Ia mengundang kepada sifat ‘kekauman’ tapi bukan perkauman. Itu memang tidak dapat nak elakkan sebab mereka tidak bergaul dengan kaum lain, persekitaran mereka tidak terdedah jadi kita tak dapat nak nafikan itu.

    “Kalau perkauman itu sikap mendiskriminasi tapi itu tidak wujud dan tidak berlaku cuba isunya mereka hanya tidak bergaul dengan kaum lain,” katanya.

  • Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    TIMBALAN Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang membenarkan penahanan untuk tempoh lama tanpa bicara.

    Beliau berkata, kerajaan sebaliknya berhasrat menambah baik undang-undang itu dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

    “Ia tiada dalam perancangan. Tetapi kita sedang melihat penambahbaikan,” katanya menurut Malaysiakini.

    Timbalan menteri itu berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan Sosma.

  • Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    PEMINAT bola sepak Penang FC dan Kedah FC dilaporkan ‘bertempur’ di pekarangan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang sejurus perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu berakhir malam tadi.

    Beberapa video pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi juga turut tular di media sosial awal pagi ini.

    Satu video yang berdurasi satu minit 42 saat turut memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.

    Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

    Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara.

    Pada 1 April lalu, media turut melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan Penang FC selepas berakhir perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.

    Dalam kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

    Sementara itu, Ketu Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian pergaduhan malam tadi dalam masa terdekat.

  • Syok sangat dengan jawatan sehingga ditolak rakyat, kata veteran UMNO

    Syok sangat dengan jawatan sehingga ditolak rakyat, kata veteran UMNO

    TAN Sri Shahrir Abd Samad menggesa supaya UMNO mengubah budaya seronok dengan jawatan politik sehingga mereka ditolak rakyat.

    Veteran UMNO itu berkata, sikap sedemikian perlu diubah dengan mengubah pemikiran supaya menjadi sebuah parti politik dan bukan parti kerajaan kerana hanya cara itu mereka dapat menjadi relevan.

    “Ubah cara kita berparti dan kedudukan parti mesti berbeza dengan kerajaan. Kita mesti jadi parti politik, bukan parti kerajaan. Pasal kita anggap kita ini parti kerajaan, kita tak akan menjadi parti politik yang sebetulnya.

    “Kita akan berharap kepada jentera kerajaan untuk melakukan tanggungjawab dan peranan kita sebagai siasah politik seolah-olah diketepikan. Mana-mana parti politik kedudukannya tak boleh syok sendiri.

    “Kita kena lihat kehendak orang ramai. Kehendak yang mengundi, supaya kita terus menjadi relevan dan orang masih merujuk kepada kita. Sekarang ini, orang merujuk kepada UMNO, tapi mereka balun kita, sebab UMNO sendiri tak mahu mengubah keadaan dan cara kita berpolitik,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui parti itu kini sedang mengalami penolakan besar-besaran orang Melayu, susulan kekalahan berturut-turut parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dan terbaru Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang berakhir 12 Ogos lalu.

    Mengulas lanjut, Shahrir berkata, penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO mungkin dipengaruhi banyak faktor dengan undi protes juga dianggap sebahagiannya.

    “Ini tanggungjawab Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Mereka harus fikirkan ini dengan serius. Dia ada banyak faktor (penolakan), undi protes dan mungkin bercampur yang lain. UMNO kena bawa perubahan untuk tukar naratif dalam parti ini.

    “Kita sudah melalui pengalaman PRU14. Kita nampak macam mana pemimpin kita ini masih syok sangat dengan jawatan. Gaduh berebut pasal jawatan, seolah-olah meletakkan parti ke tepi.

    “Menyatakan seolah-olah Parlimen yang menentukan kerajaan, bukan parti. Jadi, itu pengalaman yang kepimpinan yang ada sudah lalui dan mesti hadapi,” katanya lagi.

    UMNO baru-baru ini semasa PRN, UMNO hanya menang 19 kerusi.

    UMNO kalah teruk di Kedah dan Terengganu apabila tiada kerusi dimenangi calon mereka, manakala hanya satu calon daripada parti itu menang di Kelantan.

  • Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat tercekik buah rambutan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata mangsa Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran sekitar 8 malam.

    “Doktor di klinik berkenaan mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

    “Bedah siasat pada awal pagi tadi mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek,” katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.

    Norzamri berkata polis mengklasifikasikan kematian mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Ling Luar, Maran sebagai mati mengejut.

    Jenazah mangsa yang jga pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pagi tadi.