Category: Semasa

  • Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    AHLI farmasi berlesen di negara ini diarahkan agar menghentikan aktiviti pengimportan, pengilangan dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan Covid-19 serta merta.

    Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berkata, sebarang pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk mengandungi Ivermectin perlu mematuhi semua keperluan perundangan dan regulatori ditetapkan bagi tujuan itu.

    “Pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU),” kata kenyataan itu, semalam.

    Senarai edaran itu turut menyebut, ia merujuk kepada dasar Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan media pada 16 Mei lalu.

    Antara lain, KKM menyatakan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal di Malaysia.

    Surat edaran itu menamakan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Presiden Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA).

    Sehubungan itu, ahli farmasi diarah menghentikan pengiklanan produk itu dan tidak diulang siar dalam mana-mana media.

    Persatuan farmasi juga perlu memastikan ahli masing-masing mematuhi undang-undang dikuatkuasakan serta dasar KKM dalam usaha pencegahan penggunaan tidak sah produk Ivermectin.

    Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan sebarang penjualan atau pembekalan serta pengiklanan ubat tertakluk kepada kawalan bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, bakal berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.

  • Sajjad kembali ke pangkuan keluarga selepas 45 tahun

    Sajjad kembali ke pangkuan keluarga selepas 45 tahun

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki yang sebelum ini dipercayai mangsa yang terkorban dalam nahas sebuah pesawat 45 tahun lalu, mengejutkan orang ramai apabila didapati masih hidup sehingga kini.

    Kepulangan Sajjad Thangal, 70, ke pangkuan keluarga disambut meriah penduduk kampung, rakan dan pemimpin setempat di Kollam, Kerala, India.

    Ibunya yang berusia 91 tahun antara yang teruja dengan kepulangan anaknya itu, lapor Hindustan Times.

    Sajjad disyaki antara 95 korban pesawat Indian Airlines yang terhempas pada 1976 dan turut meragut nyawa aktres terkenal India, Rani Chandra.

    Dia yang baru berusia 25 tahun ketika kejadian bekerja dengan Rani menguruskan program kebudayaan di sekitar negara Teluk.

    Kedua-dua mereka dijadual menaiki penerbangan Mumbai, namun berlaku perubahan rancangan di saat akhir yang menyelamatkan nyawanya.

    Susulan kejadian, Sajjad dikatakan mengalami trauma serius sehingga memaksa dia berpindah ke Mumbai dan menjalani rawatan.

    Ketika di rumah jagaan itulah siasatan latar belakang dibuat dan didapati ibunya Fathima Beevi masih hidup.

    Sajjad ‘dipertemukan’ dengan ibunya menerusi panggilan telefon sebelum dibawa ke kampung halamannya di Sathamkotta.

    Difahamkan, selepas kejadian nahas itu, keluarga Sajjad telah memeriksa senarai penumpang namun gagal menjumpai namanya.

    Mereka kemudiannya menganggap Sajjad telah meninggal dunia.

  • ATM atur gerak aset bantu kurangkan beban hospital, pusat kuarantin – TPM

    ATM atur gerak aset bantu kurangkan beban hospital, pusat kuarantin – TPM

    Oleh:Bernama

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak anggota dan aset-asetnya, bagi membantu mengurangkan beban hospital dan pusat kuarantin berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, komitmen ATM serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain juga diteruskan, bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dilindungi.

    “ATM juga sentiasa bersiap-siaga dalam segala aspek dalam menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar, terutama penguatkuasaan kawalan sempadan darat, laut dan udara,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, selepas mengadakan perbincangan bersama Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, mengenai isu perairan negara dan peranan ATM dalam penubuhan hospital Medan.

    Malaysia hari ini merekodkan 20,596 kes baharu jangkitan COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara tahun lepas.- BERNAMA

  • Janggal bagi UMNO tinggalkan PN sekarang – Penganalisis

    Janggal bagi UMNO tinggalkan PN sekarang – Penganalisis

    ADALAH “amat janggal” bagi UMNO menasihatkan ahli parlimennya dan menteri serta timbalan menteri daripada parti itu untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional, menurut seorang penganalisis.

    Penganalisis Politik dan Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata ini adalah kerana sebilangan menteri UMNO memegang portfolio penting dan penarikan sokongan mereka boleh menjejaskan program pemvaksinan kebangsaan, dan beliau memberi contoh seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    “Apa yang saya bimbangkan jika mereka berdua menarik sokongan, ia akan mewujudkan satu ketidakseimbangan dalam pelaksanaan vaksinasi kita yang berada pada peringkat yang amat penting sekarang, “ katanya dalam program “Mid-Day Update” Bernama TV berjudul “Current Political Climate and Mandate on Vaccination” (Iklim Politik Semasa dan Mandat ke atas Pemvaksinan) hari ini.

    Azmi berkata rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan menumpukan 100 peratus pada situasi semasa, menstabilkan ekonomi dan memerangi peningkatan kes-kes COVID-19.

    “Pada masa ini, kami sebagai rakyat tidak berada di dalam keadaan yang terbaik, kami mahukan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya mengendalikan isu ini,” kata beliau.

    “Bagaimanapun dengan tekanan politik semasa daripada pembangkang, saya rasa kerajaan akan mendapati adalah sukar untuk menumpukan kepada kehendak rakyat, maka oleh itu semua polemik politik perlu dihentikan,” katanya.

    Beliau juga berkata keputusan untuk membentangkan usul undi percaya ke atas perdana menteri dalam sidang Dewan Rakyat bulan hadapan adalah kaedah terbaik untuk meredakan kemelut politik di dalam negara.

    “Usul itu merupakan langkah terbaik, membenarkan Parlimen membuat keputusan adalah langkah ke hadapan terbaik,” katanya.

    Walaupun ada pihak mempersoalkan kenapa ia perlu dibawa pada bulan hadapan dan bukan sekarang, apa yang penting pembentangan usul itu merupakan langkah ke hadapan terbaik,” katanya lagi. – BERNAMA

  • Nelayan Vietnam bakar tayar atas bot elak ditahan Maritim Malaysia

    Nelayan Vietnam bakar tayar atas bot elak ditahan Maritim Malaysia

    NELAYAN Vietnam dikesan menggunakan helah membakar tayar serta barangan lain di atas bot bagi menghasilkan asap tebal untuk menghalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menangkap mereka.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata tindakan yang dilakukan pada 12.30 tengah hari, Selasa lepas itu, bagaimanapun tidak berjaya dan 18 individu serta dua buah bot telah ditahan pada jarak 66 batu nautika dari Kuala Kemaman.

    “Nelayan Vietnam cuba melarikan diri dengan bertindak memotong pukat, memecut bot dan membakar tayar bagi menghasilkan asap tebal agar bot APMM tidak dapat mendekati bot mereka. Mereka turut memalsukan nombor pendaftaran bot mereka sendiri.

    “Selalunya nombor bot nelayan Vietnam ini memaparkan lima nombor tetapi ia telah dipadamkan dan diganti dengan nombor pendaftaran baharu dengan hanya memaparkan tiga nombor sahaja di badan bot,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kuala Terengganu di sini hari ini.

    Muhammad Suffi berkata hasil siasatan lanjut mendapati 18 individu itu, termasuk dua tekong, yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 44 tahun, tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

    Turut dirampas ialah 3.5 tan hasil laut termasuk ikan campur dan ikan baja, 1,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta.

    Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam perkembangan lain, APMM hari ini telah melupuskan empat buah bot nelayan Vietnam untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak empat batu nautika dari Pantai Batu Buruk.

    “Dengan pelupusan bot sebagai tukun tiruan ini, dapat mengimbangkan semula ekosistem yang telah rosak akibat aktiviti bot tunda yang mencerobohi Zon A, selain turut dijadikan sebagai tempat pembiakan ikan,” katanya.

    Kesemua bot berkenaan telah dilucut hak oleh mahkamah kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.- BERNAMA

  • Kecelaruan politik ganggu usaha tangani Covid – Tuan Ibrahim

    Kecelaruan politik ganggu usaha tangani Covid – Tuan Ibrahim

    PAS berpendirian kecelaruan politik di Malaysia ketika ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengganggu usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik Covid-19, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Justeru, katanya, Pas yang tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpandangan setiap ahli politik sepatutnya memberi perhatian kepada masalah bencana wabak dan isu ekonomi yang sedang melanda negara.

    Beliau berkata usul hilang kepercayaan terhadap perdana menteri boleh dikemukakan pada persidangan Parlimen, September ini.

    “Namun, masalahnya nanti apa akan terjadi selepas itu? Seandainya berlaku hilang kepercayaan atau tidak sokong (Muhyiddin), maka tidak ada pihak pun akan dapat majoriti kalau sekiranya mahu melantik orang lain sebagai perdana menteri.

    “Pilihan Raya Umum (PRU15) pun semakin hampir, oleh itu, tidak padan kalau kita nak tukar perdana menteri dalam masa beberapa bulan sahaja. Keutamaan sekarang adalah beri perhatian kepada isu yang sedang melanda negara,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, di sini hari ini.

    Muhyiddin dalam perutusan khas semalam, berkata beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

    Sementara itu, ditanya mengenai keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN, Tuan Ibrahim mengakui PAS berasa dukacita berhubung perkara itu.

    “Sebelum ini, UMNO bersama-sama membentuk kerajaan PN dan kita letak sasaran bahawa kerajaan ini akan bertahan sehingga Parlimen dibubarkan (secara rasmi). Bagaimanapun, PAS menghormati pendirian UMNO,” katanya yang berpendapat kerajaan PN adalah yang terbaik ketika ini.

    Pada Selasa lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

  • Umat Islam meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dimandikan

    Umat Islam meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dimandikan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JENAZAH umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak perlu dimandikan kerana dibimbangi wabak menjangkiti orang lain.

    Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-600: Adakah mereka yang meninggal kerana Covid-19 boleh diklasifikasikan mati syahid dan tidak perlu dimandikan, dikeluarkan hari ini menerusi laman web PMWP.

    Menurut PMWP, jenazah tidak dimandikan atas faktor keselamatan selain mengelak daripada kemudaratan berikutan ada kebimbangan wabak Covid-19 terus tersebar.

    “Ini bermakna jenazah tersebut tidak dimandikan bukan di atas sebab syahid berperang di jalan Allah akan tetapi disebabkan kemudaratan yang perlu dihindari.

    “Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada perkembangan semasa situasi Covid-19 di negara ini yang mana pihak-pihak berkaitan akan meneliti dari semasa ke semasa prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah,” katanya.

    Menurut artikel itu, orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.

    “Bagaimanapun, dalam fiqh ada dibincangkan oleh fuqaha bahawa mana-mana jenazah atas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa mudarat kepada orang hidup maka tidak perlu dimandikan tetapi ditayamumkan.

    “Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan pada pandangan pakar, maka gugurlah kedua-dua tuntutan itu,” katanya.

    Katanya, ada hadis menjelaskan bahawa individu Muslim yang meninggal disebabkan taun (wabak) dikategorikan sebagai mati syahid kerana azab yang dahsyat ketika menghadapi kesakitan dan kematian tersebut.

    “Secara umum, taun dikategorikan sebagai wabak atau penyakit berjangkit bahkan kesannya boleh menyebabkan kematian yang sangat cepat.

    “Oleh itu, wabak Covid-19 juga boleh diklasifikasikan di dalam kategori wabak seperti taun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW,” katanya.

  • Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN- Zafrul

    Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN- Zafrul

    KES bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Dua dan Tiga.

    Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi COVID-19 yang disesuaikan untuk kategori 3, 4 dan 5.

    “Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu COVID-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

    “Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-64.

    Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi membantu mengurangkan kes bergejala serius.

    Pemerhatian ini, katanya selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

    Beliau berkata selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan ke Fasa Dua dan Fasa Tiga, Perlis, Sarawak dan Labuan dilihat memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke Fasa Tiga.

    “Perlis sudahpun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa Tiga, manakala Sarawak telahpun mencapai kadar vaksinasi 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa Empat untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 di Sarawak melebihi 300 sehari, tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

    Menurutnya situasi di Labuan merupakan satu kejayaan, kerana walaupun pernah mengalami keadaan ‘tenat’ dengan penularan tak terkawal, namun hasil gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes baharu serta kes di ICU jatuh dengan ketara.

    “Selaras dengan pengalaman Sarawak, Labuan juga menunjukkan penurunan kes baru secara keseluruhan dan kejatuhan ketara kes di ICU yang sangat rendah seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk,” katanya.- BERNAMA

  • Iran, Malaysia bekerjasama berkaitan industri halal

    Iran, Malaysia bekerjasama berkaitan industri halal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IRAN berminat bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal dan menyatakan hasrat untuk mengimport sehingga satu juta tan metrik minyak sawit negara.

    MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu disuarakan semasa kunjungan hormat Duta Iran Ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ali Asghar Mohammadi di Putrajaya, hari ini.

    Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, pelbagai perkara dibincangkan bersama TYT Duta Iran itu antara lain termasuk kepakaran teknologi nano yang dimiliki Iran.

    Untuk makluman, Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan TYT Duta Iran mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah.

    “Selain itu, beliau menekankan kepentingan industri keselamatan makanan dan Iran amat menghormati industri halal Malaysia sebagai yang terbaik di dunia.

    “Untuk itu, Iran sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal,” kata Khairuddin menerusi hantaran dalam Facebook milik beliau, hari ini.

    Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan TYT Duta Iran mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah.

    Menurut beliau, kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan kini mencapai sebanyak 2.2 juta tan metrik setiap tahun.

    Pada 2020, eksport minyak sawit Malaysia ke Iran dianggarkan berjumlah 320,000 tan metrik.

    Sehingga Mei 2021 sahaja, sebanyak 238,683 tan minyak sawit bernilai lebih RM970 juta dieksport ke negara itu.

  • Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN

    Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kes bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan PPN ke fasa dua dan tiga.

    Jelas beliau, ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi Covid-19 yang disesuaikan untuk kategori tiga, empat dan lima.

    “Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori satu dan dua) sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

    “Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-64.

    Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi membantu mengurangkan kes bergejala serius.

    Pemerhatian itu katanya, selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

    Beliau berkata, selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan ke fasa dua dan fasa tiga, Perlis, Sarawak dan Labuan dilihat memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke fasa tiga.

    “Perlis sudahpun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke fasa tiga, manakala Sarawak telahpun mencapai kadar vaksinasi 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi fasa empat untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

    “Walaupun jumlah kes Covid-19 di Sarawak melebihi 300 sehari, tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti kategori tiga, empat dan lima kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

    Menurutnya, situasi di Labuan merupakan satu kejayaan kerana walaupun pernah mengalami keadaan ‘tenat’ dengan penularan tak terkawal, namun hasil gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes baharu serta kes di ICU jatuh dengan ketara.