Category: Semasa

  • Tidak bertanggungjawab jika lari medan perang – Ismail Sabri

    Tidak bertanggungjawab jika lari medan perang – Ismail Sabri

    “KITA merasakan bahawa tak bertanggungjawab kepada rakyat jikalau kita meninggalkan kerajaan ini secara tergesa-gesa seperti diarahkan parti.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menegaskan sebagai wakil rakyat bertanggungjawab terutama beberapa menteri yang kini diberikan tugas di barisan hadapan amat penting untuk menyelesaikan isu berkaitan COVID-19 dan ekonomi rakyat.

    Kata beliau, tidak timbul isu mengatakan Ahli Parlimen UMNO derhaka dan sebagainya kerana tumpuan ketika ini adalah berkaitan isu rakyat yang terkesan ekoran penularan COVID-19.

    Sebaliknya, beliau berkata, mungkin isu derhaka itu ditujukan kepada pihak yang melanggar titah Yang di-Pertuan Agong supaya membawa perkara tersebut ke Parlimen, September depan.

    “Kita sebagai ahli parti yang setia dan objektif parti serta kita sendiri sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

    “Menarik diri serta-merta menumbang kerajaan dan lari daripada tanggungjawab diamanahkan rakyat merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

    Baca artikel berkaitan: 31 Ahli Parlimen BN terus sokong PN, junjung titah Agong

    “Dalam keadaan rakyat susah, kita lari daripada medan perang. Kita akan terus menyokong berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk terus kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan kerajaan ditentukan dalam Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas bersama 20 lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan pendirian terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), hari ini.

    Mengulas mengenai surat dihantar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ahli Parlimen yang perlu dibalas dalam tempoh 48 jam, Ismail Sabri melihat perkara itu bertentangan undang-undang.

    Menurut beliau, isu berkenaan akan dibincangkan bersama semua Ahli Parlimen sama ada akan menjawab atau pun tidak surat tersebut.

    Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan Ahli Parlimen UMNO mendesak Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya berjumpa dengan kesemua Ahli Parlimen berhubung tindakan penarikan diri daripada PN>

    “Kami mendesak supaya Presiden berjumpa dengan setiap daripada kami untuk dijelaskan tujuan dan hasrat beliau kepada Ahli-Ahli Parlimen.

    “Tak boleh keluarkan arahan secara tiba-tiba tanpa berjumpa dan memberi penjelasan kepada kami.

    “Kepada semua ahli parti, kami adalah pemimpin yang setia kepada parti, bagaimanapun, setiap tindakan kita jangan sampai merugikan parti dan membebankan rakyat,” jelas beliau.

    Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram. – Utusan TV

  • Kelonggaran jika liputan vaksin 40 peratus

    Kelonggaran jika liputan vaksin 40 peratus

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat pelalian lengkap selepas tahap liputan vaksin mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim berkata, keputusan mempertimbang kelonggaran dan pengecualian pergerakan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

    Katanya, ini kerana keadaa semasa di negara lain seperti Israel dan Kesatuan Eropah yang memperuntuk kelonggaran sama menyaksikan mereka berdepan dengan peningkatan semula kes Covid-19.

    Semalam Perdana Menteri berkata pengumuman kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19 akan dibuat hari ini atau pada esok.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini kerajaan pada peringkat akhir memutuskan perincian berhubung kelonggaran itu.

  • MCA, MIC pegang pendirian BN sokong kerajaan PN

    MCA, MIC pegang pendirian BN sokong kerajaan PN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Parti teras Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kedua-dua parti tersebut berpegang teguh kepada ketetapan dibuat komponen BN pada tahun lalu dan pendirian itu tidak berubah.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkata Biro Politik parti itu sudah membuat keputusan untuk membawa ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu ketika menyertai PN.

    “Keputusan itu adalah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil membawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.

    “Kita akan bersama kerana kita mementingkan rakyat, soal COVID-19 yang sedang kita uruskan, dan akhirnya rakyat membuat keputusan,” katanya semasa membuat pengumuman itu di Auditorium Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, berkata partinya turut berpegang kepada pendirian sama dan segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN.

    “Setakat ini kita memang pegang kepada keputusan pucuk pimpinan MIC dan BN. MCA dan MIC tetap akur dengan keputusan BN sebab kami diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN.

    “Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan),” katanya.

    Saravanan berkata, persoalan terbesar ahli akar umbi BN ketika ini, adakah jumlah 41 kerusi yang dimiliki, apakah hala tuju gabungan itu selepas membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Bukan saya sahaja, satu Malaysia samar apa pendirian BN keluar (kerajaan)? Kerajaan jatuh? Apa nak jadi?

    “Dengan kes COVID-19 meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik lagi. Sampai satu Malaysia tidak tahu jawapan,” katanya.

  • 31 ahli Parlimen UMNO, BN nyata pendirian sokong PM

    31 ahli Parlimen UMNO, BN nyata pendirian sokong PM

    Sebanyak 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu kesemua Ahli Parlimen tersenarai bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.

    Jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi, sokongan dan pendirian mereka adalah selaras dengan apa Titah dan Perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustaffa BIllah Shah.

    “Kami berpandangan, perkara lain adalah perkara yang diluar perkenan Agong..seperti menghantar surat akuan bersumpah (SD), termasuk untuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen diadakan.

    “Jika (kita meneruskan) tindakan merruntuhkan kerajaan, kitalah yang sebenarnya menggagalkan hasrat dan titah Agong supaya Parlimen bersidang, dan keabsahan ditentukan di dalam Parlimen,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara, hari ini.

    Dalam sidang media tersebut, sebanyak 21 Ahli Parlimen dari UMNO dan BN bersama-sama dengan Ismail Sabri, termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam), dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan (Tapah).

    Selain itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, terdapat 10 lagi Ahli Parlimen BN yang menyatakan pendirian yang sama, termasuk empat Menteri Persekutuan iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Reezal Merican Naina (Kepala Batas), dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).

    Bagaimanpun beliau berkata, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad (Parit Sulong), yang juga Ketua Wanita UMNO, telah mematikan telefon, dan tidak dapat dihubungi sehingga kini.

    Selain itu beliau berkata, pendirian dan sokongan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) juga belum dapat dipastikan biarpun Shamsul telah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini.

  • Sindiket jenayah kaut untung ketidaktentuan politik Malaysia

    Sindiket jenayah kaut untung ketidaktentuan politik Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KUMPULAN Kumpulan jenayah terancang terutama sindiket penyeludupan dan haram dipercayai mengambil kesempatan untuk mengaut untung daripada ketidaktentuan politik di Malaysia dan isu-isu ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

    Pengarah Urusan Advokasi Runcit dan Jenama Dagang cawangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, ini adalah susulan pergolakan politik baru-baru ini yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan penurunan tahap pendapatan isi rumah.

    Memetik laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai dadah dan jenayah bertajuk “Jenayah dan Ketidakstabilan”, beliau berkata, kajian menunjukkan kaitan jelas antara ketidakstabilan politik dan pertambahan aktiviti kumpulan jenayah terancang.

    Lazimnya, kata beliau, penjenayah mengaut keuntungan apabila kerajaan mengalih pandangan daripada isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan serta cabaran-cabaran ekonomi.

    “Pergolakan politik di Malaysia belum mencapai tahap kritikal, namun kita sudah pun melihat peningkatan aktiviti penyeludupan barangan haram dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutama penyeludupan rokok,” ujar beliau.

    Menurut Fazli, sindiket jenayah terancang membawa masuk dalam bilangan besar rokok seludup dari negara lain, termasuk Indonesia dan Vietnam, menggunakan kapal kargo besar dan berlabuh sebelum sempadan perairan negara ini.

    “Operasi licik membabitkan orang asing dan orang tempatan yang bersubahat kemudiannya membawa rokok-rokok itu menerobos pantai yang luas untuk diedarkan ke seluruh Malaysia,” ujarnya.

    Beliau menjelaskan, elemen paling membimbangkan dalam keseluruhan operasi pasaran gelap ini ialah pendedahan mengenai wujudnya ketua jenayah atau ‘Dons’ menyerupai Mafia yang berada di puncak carta organisasi jenayah mengawal segala aspek perniagaan haram bernilai berbilion ringgit.

  • Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Oleh:Bernama

    Produk kosmetik Skin Revolution – Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.

    Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A Halim dalam kenyataan hari ini berkata notifikasi produk itu telah dibatalkan sekali gus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

    “Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

    “Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya.

    Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

    “Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

    Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

    Orang awam turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store.- BERNAMA

  • Tiada sogokan, warga asing cuba nasib dapat vaksin ‘serbu’ PPV – SPRM

    Oleh:Bernama

    KESESAKAN di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Midlands, dekat sini adalah berpunca daripada tindakan pekerja asing yang hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah membuat risikan susulan satu video tular dalam media sosial yang mendakwa segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

    SPRM memberitahu tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu diberi kepada penjaga pintu untuk memasuki PPV itu juga adalah tidak benar.

    “SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit, hasil risikan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC dan tohmahan mengenai bayaran rasuah RM80 juga tidak benar,” menurut kenyataan itu.

    Menurut SPRM, PPV Pusat Konvensyen Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dan terdapat masalah pada sistem iaitu janji temu untuk individu juga terselit di PPV tersebut.

    SPRM menasihatkan orang ramai untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan menerusi media sosial.- BERNAMA

  • Artikel Sarawak Report berniat jahat

    Artikel Sarawak Report berniat jahat

    SARAWAK Report terus menjadi alat kepada pihak tertentu untuk melempar fitnah kepada kerajaan apabila melaporkan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu hanya lima minit.

    Sumber Pejabat Perdana Menteri berkata, artikel Sarawak Report tersebut berniat jahat dan bertujuan memberi gambaran tidak baik mengenai hubungan baik Seri Paduka dengan Perdana Menteri.

    “Paling ketara mengatakan Perdana Menteri mengadap Baginda Tuanku selama 5 minit, padahal ia berlangsung selama 45 minit. Hubungan di antara Baginda Tuanku Agong dan YAB Perdana Menteri amat baik..

    ”Baginda Tuanku seorang yang bijaksana dan memahami keperluan sebuah kerajaan yang stabil. Mengatakan Baginda Tuanku murka pada Perdana Menteri juga tidak betul, kerana Baginda Tuanku telah memperkenan cadangan Perdana Menteri,’’ kata sumber tersebut.

    Sumber itu menjelaskan,  Perdana Menteri juga telah menyebutnya semasa mesyuarat Kabinet tentang baginda Tuanku berkenan undi percaya terhadap beliau dibawa ke Parlimen.

    ‘’Majlis menghadap berlangsung dalam suasana yang mesra dan berterus terang. Perkara-perkara ini biasanya dicatatkan dalam minit mesyuarat Kabinet yang juga akan dibaca oleh baginda Tuanku. Tak mungkin Perdana Menteri mahu  berbohong kepada Kabinet mengenai butiran perbincangan beliau dengan Baginda Tuanku.”

    Sumber itu Penyebaran berita palsu dan pembohongan ini sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

  • Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    SELEPAS empat hari mencatatkan pemberian vaksin Covid-19 pada paras angka 400,000, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kembali merekodkan vaksinasi melebihi setengah juta dos, semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak 514,674 dos vaksin berjaya diberikan semalam.

    Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 220,839 dos vaksin diberikan kepada penerima pertama manakala 293,835 dos lagi kepada penerima yang melengkapkan suntikan vaksin mereka.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 23,161,255 dos vaksin telah diberikan dengan jumlah penerima dos pertama ialah sebanyak 15,162,464 orang.

    “Daripada jumlah itu, 7,998,831 orang telah menerima dos kedua,” katanya menerusi ciapan di akaun rasmi Twitter beliau hari ini.

    Melalui infografik yang dikongsikan beliau, dari segi jumlah populasi seluruh negara, 46.4 peratus telah mendapat dos pertama vaksin manakala 24.5 peratus populasi lengkap divaksin.

    Tambahnya, dari aspek populasi dewasa, sebanyak 64.8 peratus sudah mendapat dos pertama manakala 34.2 peratus lagi mendapat 2 dos vaksin.

  • Agong santuni, kurnia sumbangan 10 keluarga di Rompin

    Agong santuni, kurnia sumbangan 10 keluarga di Rompin

    KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap nasib rakyat memerlukan di negara ini terserlah apabila Seri Paduka berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga yang memerlukan bantuan di Kampung Gading, Rompin, Pahang, semalam.

    Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 10 keluarga itu yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas serta ibu tunggal.

    Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bersama penerima dan ahli keluarga penerima sumbangan di Rompin, semalam. – Foto FACEBOOK ISTANA NEGARA

    Dalam lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa di setiap rumah dan menyantuni ahli-ahli keluarga tersebut yang mencerminkan keperibadian tinggi Baginda terhadap golongan yang memerlukan.

    “Semoga sumbangan Seri Paduka ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya dalam menghadapi tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu yang dilaksanakan oleh kerajaan,” menurut hantaran itu yang turut memuat naik beberapa keping gambar lawatan tersebut.

    Keberangkatan Seri Paduka itu diiringi Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.