Category: Semasa

  • Bekas pemain JDT hijrah ke Makkah

    Bekas pemain JDT hijrah ke Makkah

    PEMAIN bola sepak yang pernah menyarung jersi kebangsaan, Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT) Asraruddin Putra Omar, kini berhijrah ke Makkah untuk memenuhi impiannya menetap di Tanah Suci.

    Keputusan itu dibuat atas kehendak diri sendiri yang mahu mendalami ilmu agama dan mencari ketenangan hidup di bumi barokah tersebut.

    Asraruddin, 35, banyak berkongsi kisahnya yang tidak banyak diketahui umum semasa pertemuan di tempat tinggal dia di Bukit Ajyad, sebuah perkampungan Melayu yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari Masjidil Haram.

    Menyingkap kembali bagaimana dia boleh membuat keputusan yang cukup besar dalam kehidupannya, Asraruddin berkata, semuanya bermula apabila dia tidak lagi dapat bermain bersama JDT kerana kecederaan dialami.

    “Saya dah cuba untuk bermain tapi tidak boleh kerana kecederaan lutut kiri ini tidak boleh kena ‘impact’ berterusan ketika perlawanan.Mungkin itu perancangan terbaik Allah untuk saya.

    “Pada mulanya saya agak terkejut kerana semua orang tahu pendapatan di JDT memang lumayan dan selepas alami kecederaan saya hilang pendapatan dan tidak boleh berlari seperti biasa,” katanya.

    Ditakdirkan bertemu dengan seorang rakan yang menguruskan syarikat pelancongan, Asraruddin kemudiannya berjaya menjejakkan kaki buat kali pertama ke Tanah Suci pada 2021.

    “Oleh kerana saya berminat untuk menjadi ‘sleeping partner’ bisnes dalam agensi pelancongan itu, kehadiran ke bumi Makkah buat pertama kali pun saya tinggal kira-kira sebulan.

    “Kemudian kali kedua saya tinggal lebih lama, berpuasa dan sambut raya kerana berada di sini amat seronok – satu perasaan yang sudah lama saya idamkan,” katanya.

    Kata anak kelahiran Kuala Selangor itu, apabila hati sudah mula terpaut di Makkah, dia mula mencari peluang untuk tinggal lebih lama di kota kelahiran Nabi Muhammad SAW.

    “Saya dapat berjumpa dengan rakyat Malaysia yang tinggal Bukit Ajyad ini dan mereka membantu saya untuk menyewa rumah di sini,” katanya.

    Dalam proses untuk berada di Makkah, Asraruddin kemudian bertemu jodoh dengan seorang jururawat, Tengku Nurliyana Tengku Azlan, 35, yang berasal dari Gong Badak, Terengganu.

    “Isteri saya sudah sembilan tahun berkhidmat di Hospital King Abdulaziz, Jeddah dan kami baru saja selesai majlis perkahwinan di Shah Alam pada 13 Mei lalu.

    “Alhamdulilah dengan perkahwinan ini, ia menguatkan lagi tujuan untuk tinggal di sini dan keluarga saya bertambah yakin dengan penghijrahan saya,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

    Asraruddin berdoa perancangannya untuk mempunyai anak yang lahir di Makkah dan seterusnya mengakhiri hayat di bumi barokah itu akan tercapai.

    “Buat masa ini saya akan fokus kepada kelas pengajian agama kerana setiap kali saya mencari ilmu, makin banyak yang saya ingin tahu daripada guru-guru di sini,” katanya.

    Ketika ditanya mengenai karier bola sepak, pemain yang pernah diterima untuk menghadiri sesi percubaan dengan kelab Belanda – PSV Eindhoven tidak menolak jika kelab di Arab Saudi berminat dengan khidmatnya.

    “Saya akui masalah komunikasi sebenarnya akan menjadi kesukaran untuk beraksi di Makkah, namun bagi saya bahasa bola sepak sebenarnya mudah untuk difahami oleh pemain-pemain.

    “Namun dalam usia begini dan kecederaan dialami saya tidaklah terlalu berharap, tetapi jika ada tawaran boleh difikirkan,” katanya.

    Mengulas mengenai kedudukannya di pasukan amatur Kelana United FC, Asraruddin berkata, dia mendapat pelepasan daripada pasukan itu dan mereka sedia menerima jika mahu kembali.

    Menyingkap rekod kariernya, Asraruddin pernah membantu Malaysia menjulang Piala AFF 2010 serta pingat emas Sukan SEA 2009 ketika di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dan telah mengumpul 25 kaps bersama Harimau Malaya.

    Untuk Selangor, Asraruddin bermain dari 2007 hingga 2013 dan ketika bersama JDT berjaya meraih kejuaraan Liga Super sebanyak tiga kali iaitu pada 2014, 2015 dan 2016.

  • Jemaah haji mampu serap kemerosotan ringgit berbanding riyal

    Jemaah haji mampu serap kemerosotan ringgit berbanding riyal

    KEJATUHAN Ringgit tidak terlalu memberi kesan terhadap perbelanjaan jemaah haji Malaysia kerana rata-ratanya sudah bersedia kewangan untuk menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini.

    Mengikut kadar tukaran semasa, nilai Ringgit Malaysia dengan mata wang Riyal ialah RM1 bersamaan 0.8127 Riyal dan merosot jika dibandingkan pada 2018 iaitu RM1=0.9413 Riyal.

    Seorang jemaah haji dari Tanah Merah, Kelantan, Azman Baharuddin, 51, berkata, ketika ini dia tidak menghadapi kesulitan dalam perbelanjaan kerana semuanya sudah dirancang dari tanah air.

    “Disebabkan di sini bumi yang penuh barokah saya berasa cukup dengan wang yang ada dan tidak berasa ‘sayangkan’ duit untuk berbelanja membeli keperluan dan cenderahati untuk dibawa balik.

    Azman

    “Lagipun membeli-belah di sini kita boleh tawar-menawar yang mana peniaga pun baik dan mesra dengan pembeli dari Malaysia,” katanya.

    Seorang jemaah dari Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Nizam Saupi, 57, berkata, sebagai jemaah haji kebanyakannya sudah bersedia aspek kewangan yang dikumpul sejak sekian lama.

    “Kita sudah tahu apabila menunaikan haji ada perbelanjaan tertentu jadi saya sudah bersedia dan kena terima kerana itu di luar kawalan. Tetapi jika nilai mata wang kita meningkat lagi baik,” katanya.

    Ahmad Nizam

    Misnadia Mohd. Misbah, 44, dari Batu Pahat pula berkata, pada ketika ini jemaah perlu berhemah dalam berbelanja dan memilih kedai yang dapat menawarkan harga berpatutan.

    “Penyediaan makan tengah hari dan malam oleh Tabung Haji banyak membantu jemaah dari segi perbelanjaan kerana kita hanya perlu keluarkan wang untuk sarapan pagi sahaja,” katanya.

    Misnadia

    Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kadar semasa Ringgit berbanding riyal tidak memberi kesan negatif kepada jemaah haji.

    “Kita tidak menerima sebarang aduan daripada jemaah haji yang menghadapi masalah kewangan hingga menjejaskan perbelanjaan mereka di sini.

    “Dari segi jumlah barangan yang dibeli dan dihantar pulang ke Malaysia melalui khidmat pos disediakan TH juga menunjukkan tiada perbezaan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah, lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu pada sebelah petangnya, beliau melancarkan operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Alinma Bank di bangunan penginapan jemaah di Makkah.

    Kata Syed Saleh, pemasangan ATM di bangunan penginapan adalah satu sejarah buat TH kerana belum pernah Saudi Central Bank membenarkan penyediaan khidmat itu di penginapan jemaah haji.

    Jemaah haji beratur untuk mengeluarkan wang dari ATM.

    “Dengan adanya ATM di sini, khidmat dan kebajikan terhadap jemaah haji Malaysia makin bertambah kerana seperti semua sedia maklum setiap pengeluaran wang tidak dikenakan sebarang caj transaksi oleh Bank Islam.

    “Jemaah juga tidak perlu berjalan jauh untuk lebih 1 kilometer untuk mengeluarkan wang selepas ini kerana ATM sudah ada di kawasan penginapan jemaah,” katanya.

    Tambah beliau, selepas ini apabila perkhidmatan ini berjalan lancar kemungkinan akan ditambah ke penginapan lain yang menjadi lokasi penempatan jemaah haji Malaysia.

  • ‘Undangan Zahid untuk ahli digantung, dipecat sertai UMNO semula tak masuk akal’

    ‘Undangan Zahid untuk ahli digantung, dipecat sertai UMNO semula tak masuk akal’

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertikai ‘undangan’ Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu, kerana sangsi dengan keikhlasan jemputan itu.

    Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, undangan semula Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak masuk akal.

    Menyoroti tindakan menggantung beliau, Hishamuddin berkata, sehingga ke hari ini, beliau masih tidak pasti apa punca sebenarnya tindakan itu dilakukan terhadapnya.

    “Yang saya tahu, dia kata kita kena mohon diterima semula. Kedua, kena bawa ke Jawatankuasa Disiplin tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu sebab digantung.

    “Masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasatan dan untuk jawab. Jadi saya pun tak tahu sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak.

    “Lagipun bagi saya tak masuk akal, apa yang dicadangkan itu mungkin reaksi, luahan daripada bawah (akar umbi),” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

    Reaksi Hishamuddin berkisar kenyataan Ahmad Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini, yang menegaskan parti sentiasa terbuka untuk menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

    Mengulas lanjut adakah rakan lain yang turut digantung atau dipecat akan menerima undangan Ahmad Zahid itu, Hishammuddin berkata, ia terserah kepada mereka terbabit.

    Katanya, rakan yang ditimpa hukuman termasuk digantung atau dipecat sebenarnya tidak mengalami sebarang kerugian.

    “Tetapi itu terserah kepada mereka (untuk terima pelawaan). Bagi saya kawan yang digantung, dipecat ini tak ada rugi kerana kita pun sudah digantung.

    “Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran bahkan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya, ” katanya lapor BH.

  • Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    SEORANG lelaki hari ini disahkan meninggal dunia setelah dipercayai pengsan dalam tandas kediamannya di Setia Alam, di Shah Alam awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa pada 3.04 pagi selepas mangsa Simon Tan Cheng Kim, 55, terkunci dalam tandas kediamannya di Jalan Setia Utama.

    “Enam pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik tiba di lokasi pada 3.22 pagi dan didapati mangsa terkunci dalam tandas serta dipercayai pengsan,” katanya dalam kenyataan.

    Mohamadul Ehsan berkata setelah pintu berjaya dibuka, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas lantai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

  • 3 ahli cabar keputusan Saifuddin kecuali usul UUMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    3 ahli cabar keputusan Saifuddin kecuali usul UUMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    TIGA ahli Barisan Nasional (BN) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membenarkan dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti baru-baru ini.

    Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid ialah ahli UMNO cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai manakala P. Vellasamy pula ahli MIC cawangan Lembah Pantai.

    Mereka berkata, Saifuddin pada Mac lalu mengesahkan memberikan pengecualian untuk tiada pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

    Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 14 Jan lalu, parti itu telah meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

    Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa keputusan Saifuddin bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, sambil menambah bahawa ia menafikan peluang ahli lain untuk mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.

    “Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan.

    “Sehingga hari ini tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” kata mereka dalam permohonan itu.

    Ketiga-tiga mereka menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melancarkan siasatan kemungkinan pelanggaran Perlembagaan Umno berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.

    “Keputusan menteri itu tidak munasabah dan ia bercanggah dengan Perlembagaan UMNO,” tambah mereka, lapor FMT.

    Ketiga-tiga mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan.

    Selain Saifuddin, mereka juga menamakan UMNO dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.

    Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran untuk mereka memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan itu Khamis ini.

  • Khairy nafi terbabit skim pelaburan saham

    Khairy nafi terbabit skim pelaburan saham

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan pembabitan dalam mana-mana skim pelaburan saham.

    Katanya, beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak berkaitan pelaburan saham.

    “Pihak saya tidak pernah berhubung atau berurusan dengan sebarang syarikat pelaburan saham,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gambarnya yang digunakan dalam sebuah iklan pelaburan saham yang tular di media sosial.

    Menurut Khairy, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dibuat berhubung iklan palsu berkenaan.

    Menjengah ruangan komen, pengguna Facebook, Faizal Rais, mengucapkan tahniah tindakan pantas Khairy menafikan pembabitannya sekali gus menghalang penipu atau scammer menggunakan gambar figura awam.

    “Tahniah KJ (Khairy) sebab cepat memberikan maklum balas supaya scammers tidak sewenang-wenangnya menggunakan public figure untuk mempengaruhi orang ramai dalam helah mereka,” katanya lapor BH.

  • Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    DUA kanak-kanak cedera selepas kereta dipandu datuk mereka merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai, Melaka Tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku selepas lelaki berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak kereta, yang dinaiki bersama dua cucunya berusia 13 dan 12 tahun.

    “Selesai sahaja mengisi minyak, warga emas itu secara tiba-tiba tertekan pedal minyak semasa memasuki gear D, mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.

    “Tiga beranak itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan kejadian itu tidak melibatkan pelanggan lain mahupun pekerja di situ,” katanya ketika dihubungi.

    Akibat pelanggaran itu juga, kata Christopher, sebanyak lima keping panel pintu kaca telah pecah.

    “Mangsa dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” tambahnya, lapor Astro Awani.

  • “Sesiapa saja dalam Pas berhak jadi calon, termasuk Annuar Musa” – Takiyuddin

    “Sesiapa saja dalam Pas berhak jadi calon, termasuk Annuar Musa” – Takiyuddin

    PAS masih belum membuat keputusan untuk memberikan tempat kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang kini menjadi ahli parti itu.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bagaimanapun, menegaskan, mana-mana ahli Pas berhak untuk menjadi calon asalkan memberi kemenangan buat parti.

    “Kerusi (untuk Annuar) belum putuskan lagi, tapi mana-mana ahli Pas berhak jadi calon yang sesuai dan dapat memberikan kemenangan, semua orang boleh jadi calon, kita tak putuskan lagi,” ujar beliau.

    Takiyuddin berkata demikian selepas ceramah mega Perikatan Nasional (PN) Pertahankan Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi.

    Mengulas lanjut, beliau, mengakui, penyertaan Annuar ke dalam Pas memberikan kelebihan buat parti itu kerana bekas menteri itu jaguh berpidato.

    “Saya tak menafikan perkara itu dan Tan Sri (Annuar) sendiri semalam di Negeri Sembilan menawarkan khidmatnya menjelajah ke negeri-negeri yang ada pilihan raya negeri (PRN), kami akan atur untuk berikan semangat kepada rakyat,” kata beliau lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Annuar secara rasmi diterima sebagai ahli Pas selepas dipecat dari UMNO.

    Sementara itu, pentas ceramah PN malam tadi digunakan Annuar untuk menjelaskan penyertaannya ke dalam Pas kepada sebahagian rakyat Kelantan serta kepincangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah membohongi pengundi dan penyokong parti berkenaan.

  • ‘Pakai serban pun, kalau curi duit akan dipenjara,’ kata Anwar

    ‘Pakai serban pun, kalau curi duit akan dipenjara,’ kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa agar amalan ‘curi harta rakyat’ dihentikan, sambil mengatakan mereka yang terlibat akan dimasukkan ke dalam penjara tanpa mengira parti atau status.

    “Negara ini kaya tapi hilang banyak, jadi apa yang perlu dilakukan ialah hentikan amalan curi harta rakyat.

    “Tidak kira hang pakai serban, baju kot atau semua, Tan Sri ka, Tun ka, atau daripada parti manapun, kalau hang curi duit, kita perosok (masukkan) bilik saya di Sungai Buloh (penjara).”

    “Ia kosong lagi.”

    Anwar, pada sesi ramah mesra bersama penduduk Balik Pulau di Pulau Pinang, turut menafikan beliau tunduk kepada kehendak DAP dalam pentadbiran negara, dengan mengatakan beliau tidak boleh ‘dibeli’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    “Betul DAP ini kawan kita, kita bagi jawatan dekat dia, tapi bos siapa dia, hang ingat aku bodoh.

    “Anthony Loke Menteri Pengangkutan, dia ikut dasar bawa ke Jemaah Menteri, Perdana Menteri setuju baru jalan, saya ni kalau hampa maki macam mana pun, tetapi nak beli Anwar Ibrahim tak boleh,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Beliau turut menggesa rakyat Pulau Pinang mengekalkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya telah mentadbir negeri itu dengan baik.

    Beliau juga berkata, kerajaan Pusat akan terus membantu Pulau Pinang dalam menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul berkaitan negeri itu.

    “Pulau Pinang kena bagi orang cerdik perintah, saya ingin terangkan bahawa kita kena faham betul-betul. Dulu ada orang kata kalau Anwar perintah habis orang Melayu (dan) tutup habis sekolah agama.

    “Dulu masa kempen orang kata bila Anwar jadi Perdana Menteri tudung semua tak boleh pakai, habis ini (orang-orang pakai tudung) apa.

    “Jadi saya minta Pulau Pinang terus kukuh (di bawah PH), saya berhubung rapat dengan Ketua Menteri, apa yang boleh kerajaan Pusat selesaikan kita bantu selesaikan, apa yang perlu negeri selesaikan, negeri selesai,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Peguam gesa KDN, perjelas lawatan ‘istimewa’ Zahid, MKT UMNO ke Penjara Kajang

    Peguam gesa KDN, perjelas lawatan ‘istimewa’ Zahid, MKT UMNO ke Penjara Kajang

    SEORANG peguam mempersoalkan layanan berat sebelah terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas kenyataan seorang pemimpin UMNO meluangkan masa hampir dua jam bersama bekas Perdana Menteri itu dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.

    Rafique Rashid berkata, pendedahan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai lawatannya itu jelas menunjukkan sikap double standard oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara terhadap prosedur lawatan dalam kalangan pelawat.

    “Ini kerana pihak-pihak berkenaan jelas sudah melanggar peraturan dan undang-undang dalam proses lawatan ke institusi itu.

    “Sejak sekian lamanya orang awam termasuk peguam dan ahli keluarga banduan perlu mematuhi syarat serta prosedur lawatan yang ditetapkan oleh penjara.

    “Antaranya, mereka tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Selain itu katanya, tidak boleh membawa masuk sebarang peranti komunikasi seperti telefon bimbit dan alat rakaman.

    Begitu juga, makanan dan minuman dari luar dilarang untuk dibawa masuk sama sekali.

    “Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib,” soalnya.

    Pada Sabtu, ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO, Zahid berkata, beliau turut membawa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama.

    Mengulas lanjut, Rafique juga menyelar tempoh lawatan Zahid bertemu Najib selama dua jam sedangkan hanya 45 minit secara maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.

    Antara lain, peraturan lazim yang ditetapkan adalah mematuhi jadual perjumpaan yang ditetapkan sama ada lawatan sebulan sekali atau seminggu sekali di penjara.

    Dalam pada itu, Rafique menggesa KDN dan Komisioner Jeneral Penjara, Nordin Muhamad supaya menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul selepas pendedahan Zahid pada Sabtu.

    Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.

    Ini bermakna, katanya, pengalaman yang sama juga dilalui oleh ahli keluarga dan orang awam ketika melawat banduan di penjara.

    “Dalam peraturan dalaman untuk Jabatan Penjara masih sama. Bukankah negara amalkan sistem undang-undang yang sama rata?

    “Kasihan juga kepada banduan-banduan yang lain,” katanya lagi.

    Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Hukuman itu dikekalkan apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan keputusan itu dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu sebelum bekas presiden UMNO itu dihantar ke Penjara Kajang.