Category: Semasa

  • Buruh tak mengaku salah rogol, liwat 3 anak berusia 9-13 tahun

    Buruh tak mengaku salah rogol, liwat 3 anak berusia 9-13 tahun

    SEORANG buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan meliwat tiga anaknya dalam kejadian antara Oktober 2022 sehingga Mei tahun ini.

    Tertuduh berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan anaknya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira jam 12 hingga 1 tengah hari pada Mac tahun lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa pukul 11 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.

    Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama ke atas mangsa antara pukul 10 hingga 11 pagi pada Disember 2022 di lokasi yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

    Tertuduh turut berdepan dakwaan merogol anaknya yang berusia 13 tahun antara pukul 2 hingga 3 petang di lokasi sama antara Oktober hingga November tahun lalu.

    Dia juga didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa antara jam 2 petang pada Mei tahun ini di lokasi yang sama.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan liwat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan terhadap seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 10 malam hingga 6 pagi pada Februari 2022 dan kira-kira pukul 1 tengah hari pada Mac lalu di lokasi yang sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh berdepan pertuduhan memukul isteri berusia 30-an dengan kuali di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Batu Rakit, Kuala Nerus gara-gara isterinya tidak memasak sarapan.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
    Majistret Mazrinie Mahmud tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Julai depan bagi sebutan semula kes.

  • PAC bidas laporan media petik saksi prosiding LCS

    PAC bidas laporan media petik saksi prosiding LCS

    JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) membantah pelaporan media yang memetik saksi sebelum pendengaran jawatankuasa itu berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, artikel Utusan Malaysia bertajuk ‘Kurangkan kapal LCS jimat kos – Saksi’ yang diterbitkan hari ini adalah melanggar Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat.

    “Peraturan parlimen ini menghalang keterangan dan bukti diterbitkan sebelum jawatankuasa itu melengkapkan laporannya di Dewan Rakyat.

    “Saya amat kesal dengan artikel berkenaan kerana ia jelas dapat menganggu siasatan, rumusan serta syor PAC bagi prosiding ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Justeru Mas Ermieyati telah menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat mengenai pelanggaran itu untuk mendapatkan panduan lanjut.

    Sehubungan itu, Mas Ermieyati menggesa saksi dan media supaya menghormati prosiding dan mendapatkan komen daripada jawatankuasa itu apabila melaporkan perkara berkaitan.

    Tambahnya, PAC akan mengadakan sidang akhbar setiap Khamis apabila Dewan Rakyat bersidang untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang aktiviti mereka.

    Artikel akhbar berkenaan memetik sumber tanpa nama yang didakwa memberikan butiran mengenai perkara yang diberitahu oleh tiga saksi kepada PAC semasa prosiding pada Sabtu.

    PAC akan membentangkan laporannya akhir tahun ini dengan butiran perkembangan projek LCS

    Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menghantar satu daripada enam LCS pada 2019. Bagaimanapun, tiada satu pun yang dihantar sehingga kini.

    Pada 2022, PAC mengeluarkan laporan pertamanya mengenai projek itu, memperincikan cara projek itu tidak menepati spesifikasi Tentera Laut dan mengalami lebihan kos.

    Bagaimanapun, penyelesaian pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap masalah itu adalah dengan mengambil alih BNS mengurangkan bilangan LCS kepada lima.

    BNS kini perlu melaporkan kemajuan projek itu kepada PAC setiap suku tahun.

  • 3 ditahan bantu siasatan kes lelaki Myanmar maut ditikam

    3 ditahan bantu siasatan kes lelaki Myanmar maut ditikam

    POLIS Pulau Pinang menahan tiga lelaki termasuk warga asing bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga Myanmar yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah, di Butterworth, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun itu ditahan di lokasi berbeza di Butterworth dan Permatang Pauh bermula pukul 10 malam Sabtu lalu hingga 2 pagi semalam.

    Menurut beliau, polis menerima laporan dibuat oleh seorang pegawai perubatan di bahagian kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang memaklumkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang mengalami kecederaan kritikal di bahagian perut dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan.

    “Pegawai perubatan itu telah memberi rawatan kepada mangsa, namun lelaki tersebut gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada 2.03 pagi.

    “Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian disebabkan luka tikaman pada abdomen mangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua majikan yang merupakan pemilik kilang perabot dan seorang rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku mencederakan mangsa sebelum suspek melarikan diri untuk bersembunyi, namun berjaya ditangkap.

    “Mangsa dan suspek dikatakan pada mulanya minum bersama-sama sebelum mereka mabuk dan berlaku pertengkaran mulut seterusnya lelaki itu ditikam rakan sekerjanya,” katanya.

    Jelas beliau, polis turut merampas dua telefon bimbit, sebilah pisau, dua botol minuman keras dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

    Tambahnya, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122,” katanya.

  • Wan Suraya ambil alih sebagai Ketua Audit Negara

    Wan Suraya ambil alih sebagai Ketua Audit Negara

    DATUK Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu, berkuat kuasa esok.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perundingan dengan Majlis Raja-Raja.

    “Dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa mulai 13 Jun 2023.

    “Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

  • Cucu Nik Aziz lempar kritikan terhadap kerajaan Anwar selepas anugerah Tan Sri

    Cucu Nik Aziz lempar kritikan terhadap kerajaan Anwar selepas anugerah Tan Sri

    SEORANG cucu Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis kritikan pedas terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beberapa hari selepas Allahyarham Mursyidul Am Pas itu diberikan anugerah anumerta Persekutuan sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

    Nik Nur Humaira mendakwa, keluarganya pada mulanya diberi gambaran bahawa Nik Aziz akan dikurniakan gelaran Tun.

    “Namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran Tan Sri sahaja. Ah, tidak pelik kerana yang mencanangkan ini memang dikenali sebagai Mat Retorik, sebagaimana Tun M menggelarkannya,” katanya dalam catatan Facebook baru-baru ini.

    Nik Aziz, menteri besar Kelantan yang memerintah lebih dua dekad, adalah antara senarai 26 penerima gelaran Tan Sri, termasuk Lim Kit Siang.

    Langkah untuk memberikan anugerah kedua tertinggi negara kepada penyokong DAP itu mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan ramai yang mengingatkan pendirian parti itu sebelum ini yang tidak akan menerima sebarang gelaran diraja.

    Ia juga mendapat sindiran sinis daripada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mempersoalkan sama ada Lim kini diletakkan pada tahap yang sama dengan Nik Aziz.

    Sementara bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin mengingatkan bahawa penerima semua gelaran Persekutuan biasanya akan ditapis oleh Jabatan Perdana Menteri.

    “Biasanya untuk anugerah-anugerah tinggi ini akan mendapat persetujuan daripada perdana menteri. Ada senarai Agong, tapi senarai yang lebih besar adalah senarai dari PM, sebab ini penghormatan kerajaan Persekutuan yang dikurniakan oleh Agong.

    “Saya rasa Anwar mahu memberi ganjaran kepada rakan-rakannya, dan tidak ada yang salah dengan itu, saya rasa,” katanya baru-baru ini dalam podcast Keluar Sekejap.

    Nik Humaira dalam catatannya turut mempersoalkan cara penyampaian jemputan istiadat di istana kepada neneknya yang juga balu Nik Aziz, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

    “Surat jemputan daripada pihak istana tidak diberikan melalui kerajaan negeri sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham iaitu bapa saudara kami yang dihormati yang memilih untuk bertanding di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak,” katanya merujuk kepada Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang sebelum ini dikritik oleh Tuan Sabariah kerana menyokong Anwar.

    Nik Omar diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan di Pasir Salak, Perak tetapi tewas kepada Perikatan Nasional.

    Nik Humaira berkata, neneknya memutuskan untuk menghadiri majlis itu kerana menghormati istana, sambil menambah bahawa keluarga itu tidak memandang rendah gelaran Tan Sri.

    “Namun kami terkejut kerana ayahanda ulama sepuh milik ummah ini diletakkan sebaris dengan seteru politik dan agama daripada DAP.

    “Ternyata sama sahaja taraf seorang ulama yang bermati-matian atas nama Islam, dengan seorang berfahaman ‘chauvinist’ dan tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam, di mata Malaysia Madani ini.”

    Beliau berkata catatannya itu adalah tindak balas kepada beberapa naratif daripada musuh Pas, yang mengatakan bahawa Nik Aziz tidak pernah dianugerahkan Tan Sri walaupun ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

    Sambil menegaskan keperibadian Nik Aziz digunakan oleh pihak tertentu, Nik Humaira berkata, beliau tidak berminat dengan gelaran duniawi kerana “ia tidak menyamai ganjaran dan keredaan Allah “.

    “Pengiktirafan sebenar akan lebih bermanfaat sekiranya idea tokoh ini diperjuangkan, biografi hidupnya dibukukan, serta wawasannya diangkat ke persada.”

  • Isu LCS: Saya akan terus bersuara meski diugut, kata Syed Saddiq

    Isu LCS: Saya akan terus bersuara meski diugut, kata Syed Saddiq

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terus bersuara berhubung isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) meskipun berdepan ugutan.

    Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, tidak wajar mereka yang sebelum ini memperjungkan isu berkenaan, kini berdiam diri setelah mendapat kuasa.

    Syed Saddiq berkata, lebih malang lagi apabila individu yang sebelum ini lantang memperjungkan isu LCS kini mengancam untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana membangkitkan isu berkenaan di Parlimen.

    “Jangan kita lupa suara rakyat apabila kita berada di tahta kuasa. Saya akan terus bersuara, nak ugut-ugutlah, ini babitkan duit rakyat berbilion ringgit.

    “Saya berani kerana benar, ini isu kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

    Syed Saddiq berkata, amat malang sekali isu yang berlarutan sejak sekian lama bernilai RM9 billion pada awalnya kini kosnya meningkat kepada lebih RM11 billion dengan pembinaan kapal dikurangkan.

    Bahkan sehingga kini tiada tangkapan besar dilakukan oleh pihak berkuasa membabitkan skandal berkenaan.

    Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak usulnya bagi membahaskan isu LCS.

    Projek LCS adalah perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

    Projek itu mendapat perhatian banyak pihak pada tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.

    Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memperoleh projek LCS secara rundingan terus.

    “Saya ingin adakan perbahasan kerana isu ini penting. Isu ini amat besar besar dan mustahak.

    “Tapi yang pelik apabila tiba-tiba nak ambil tindakan kepada saya kerana menyuarakan keresahan rakyat (berhubung isu LCS),” kata Syed Saddiq lagi, lapor MalaysiaKini.

  • Negeri Sembilan bakal jatuh, terjemah kemarahan di kertas undi – Muhyiddin

    Negeri Sembilan bakal jatuh, terjemah kemarahan di kertas undi – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinannya bahawa gabungan itu mendapat sokongan dari rakyat Negeri Sembilan yang kini berada bawah kepimpinan Pakatan Harapan. 

    Katanya, ia dapat dilihat melalui kehadiran puluhan ribu rakyat di negeri itu pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan malam semalam. 

    “Saya percaya gelombang kebangkitan ini akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada PN dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    “Ini kerana seluruh rakyat melihat dan merasai apa yang sedang berlaku dalam negara ketika ini. 

    “Kos sara hidup semakin menghimpit, harga barang keperluan harian naik dan terus menekan kehidupan, ringgit merudum dan ekonomi negara seolah-oleh tidak ada hala tuju,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Beliau juga mendakwa bahawa sokongan itu berlaku kerana kerajaan campuran yang terdiri daripada PH-UMNO  gagal membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

    Oleh itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menggesa supaya rasa tidak puas hati itu dapat diterjemahkan kepada undi, sebagai satu isyarat bahawa rakyat sedang marah dengan apa yang berlaku. 

    “Segala janji yang ditabur sewaktu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan walaupun sudah enam bulan menjadi kerajaan.

    “Rakyat sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan saya ingin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri  lain yang terlibat dalam PRN tidak lama lagi mengundi PN sebagai satu referandum bantahan rakyat kepada kerajaan campuran PH-UMNO kerana gagal mengurus negara,” katanya. 

    Bulan lalu, Muhyiddin menjangkakan PN mampu meraih sehingga 80 peratus undi terutama daripada pengundi Melayu pada PRN akan datang.

    Ia berdasarkan kajian yang dibuat oleh gabungan itu yang menunjukkan Bersatu, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan Pas mendahului dari segi populariti dan kepimpinan.

    PRN akan melibatkan tiga negeri di bawah pimpinan PH – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta tiga lagi negeri pimpinan Pas – Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

  • TH saran orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ di Telegram

    TH saran orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ di Telegram

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa scammer di aplikasi Telegram.

    TH dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat pihak yang menyamar dan menggunakan logo TH serta menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan di platform itu.

    TH menasihati pendeposit mereka untuk tidak tertipu dan menjadi mangsa scammer dengan penawaran yang tidak munasabah terutamanya daripada pihak ketiga.

    Sebarang pertanyaan boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

  • ’10 bekas panglima perang UMNO akan sertai PN’

    ’10 bekas panglima perang UMNO akan sertai PN’

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai 10 ‘panglima perang’ (warlord) merangkumi individu yang disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat, pada program bersesuaian.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.

    “Insya-Allah kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini lapor Berita Harian.

    Laporan sebelum ini, menyebut selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara bakal menyertai PN.

    Selain itu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga pernah mengesahkan terdapat lapan bekas pemimpin UMNO bakal menyertai gabungan itu.

    Ditanya perkembangan Khairy yang dikatakan bakal menyertai PN, Hamzah berkata, biar perbincangan berlangsung antara bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau juga tersenyum ketika diajukan soalan sama ada Khairy mungkin bertanding sebagai calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PN) tidak lama lagi.

  • Jemaah haji wanita meninggal dunia di Makkah

    Jemaah haji wanita meninggal dunia di Makkah

    SEORANG jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia di Makkah pada 11.50 malam, 4 Jun lepas akibat kegagalan jantung.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang memaklumkan perkara berkenaan berkata, wanita berasal dari Raub, Pahang itu meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah.

    “Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah, di Makkah.

    Beliau berkata, pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.

    Selain itu, Syed Saleh berkata, ketika ini, 37 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi kerana mengalami masalah pernafasan dan jantung, jangkitan paru-paru, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

    Beliau turut memaklumkan sebanyak 22,800 atau hampir 72 peratus daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Makkah sehingga hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Malaysia menjadi negara pertama yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji.

    Syed Saleh yang merasmikan ATM Alinma Bank di Abraj Janadriyyah, di sini, berkata, ia bakal memberikan kemudahan kepada 8,000 jemaah haji Malaysia di bangunan itu dan lokasi sekitar.

    Beliau berkata, perkhidmatan kali pertama disediakan hasil rundingan TH dengan Alinma Bank dan Saudi Central Bank itu bagi memudahkan jemaah haji membuat pengeluaran wang tanpa perlu berjalan jauh mencari mesin ATM di kawasan lain.

    Katanya, TH akan meneruskan usaha bagi membolehkan perkhidmatan itu disediakan di bangunan-bangunan penginapan lain untuk kemudahan jemaah haji negara.

    Menurutnya, TH dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) juga telah bersetuju untuk setiap transaksi, fi ditanggung BIMB bagi semua jemaah haji Malaysia.