Category: Semasa

  • Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan

    Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan

    POLIS telah mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata anggota yang maut terdiri daripada Kpl U Ho Swee Boon dari Lundu; Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

    Beliau berkata maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

    “Ketika itu penyelia bertugas adalah Kpl Julaihi. Turut berada di situ adalah Kpl Mohd Saiful Dania, Kpl Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

    “Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Kpl U Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

    TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

    TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan  bagi mengenal pasti punca kejadian.- BERNAMA

  • Abang Allahyarham Siti Sarah sudah sedar, masih di ICU

    Abang Allahyarham Siti Sarah sudah sedar, masih di ICU

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    ABANG Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang sudah mula sedar pada pukul 9 pagi ini.

    Perkembangan tersebut disahkan isteri Ahmad Firdous kepada syarikat pengurusan, Indigital Music.

    Pengurus Indigital Music, Nana Mohamad Rom berkata, keadaan Ahmad Firdous semakin stabil dan dikehendaki menjalani senaman untuk menguatkan paru-paru.

    “Alhamdulillah, Ahmad Firdous sudah sedar. Isterinya memberitahu suami menghubunginya sendiri untuk memaklumkan keadaan perkembangannya terkini, pagi ini.

    “Ketika sedang bercakap dengan Ahmad Firdous, isteri terdengar jururawat memanggil suami untuk melakukan senaman paru-paru,” katanya.

    Pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual, suami arwah, Shuib Sepahtu memaklumkan keadaan abang iparnya tidak berapa baik, semalam.

    Sebelum itu keadaan Ahmad Firdous dikongsi pelawak popular itu menerusi laman Instagram (IG), pagi semalam.

    Bagaimanapun, perkembangan terkini Ahmad Firdous turut dikongsi Shuib dalam IG, pagi ini dengan memaklumkan gembira berkenaan.

    “Allahuakbar. Allah Maha Besar. Syukur dah buka mata. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan.

    “Tapi kita sambung lagi doa yang lain yang sedang bertarung nyawa. Kita nak semua orang kembali sihat.

    “Balik jumpa keluarga. Amin.. Syukur Ya Allah,” tulis Shuib.

  • Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki yang dikatakan terjatuh semasa memancing berhampiran jeti Kampung Belit Seberang Guai di Bera semalam, ditemukan lemas pada 9.20 pagi tadi. 

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mayat Abtaham Baraq Mohd Khairuddin, 11, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tersangkut pada jaring di sungai tersebut.

    “Mangsa dijumpai pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, dengan anggaran kedalaman 1.5 meter sebelum berjaya dibawa naik oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA),” menurut kenyataan itu. 

    Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat yang bermula 7.06 malam semalam, dengan penglibatan 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Triang, Bera serta Bukit Angin, Temerloh ditamatkan.

  • Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BANK Negara Malaysia (BNM) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

    Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, perkembangan itu disokong terutamanya permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

    Menurutnya, pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

    “Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua, namun kemudian menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa satu.

    Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

    Daripada segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

    Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

  • Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    REMAN terhadap bekas Datuk Bandar Johor Bahru yang berakhir hari ini, disambung semula selama empat hari.

    Perintah sambungan reman hingga 16 Ogos ini dikeluarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Selasa lalu, media melaporkan SPRM Johor menahan seorang bekas datuk bandar kerana disyaki menerima rasuah.

    Penahanan suspek pada jam 3 petang Selasa itu dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek dilaksanakan di bawah kendalian majlis bandar raya yang dirinya menjadi datuk bandar di situ.

  • CEO KPRJ dilantik Datuk Bandar JB yang baharu

    CEO KPRJ dilantik Datuk Bandar JB yang baharu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd. Noorazam Osman dilantik sebagai Datuk Bandar Johor Bahru yang baharu berkuat kuasa semalam.

    Beliau menerima surat pelantikan untuk mengemudi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Iskandar Puteri, semalam.

    “Betul, saya telah terima surat pertukaran jawatan itu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri pada pukul 3.30 petang semalam.

    “Saya jangka akan mula memasuki pejabat pada Ahad ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Kekosongan jawatan ditinggalkan Noorazam di KPRJ dipercayai akan digantikan Pengarah Urusan PIJ Holdings, Datuk Ramlee A Rahman.

    Datuk Bandar Johor Bahru sebelulm ini ditahan reman selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah ketika beliau menjawat jawatan Datuk Bandar di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

    Suspek yang berusia 60 tahun itu didakwa telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP.

  • Kaunter JPJ beroperasi pada hujung minggu

    Kaunter JPJ beroperasi pada hujung minggu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KAUINTER Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dibuka pada setiap hujung minggu mulai Jumaat.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan JPJ, waktu operasi pada hujung minggu adalah dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari dan hanya mod pembayaran tanpa tunai yang dibenarkan.

    “Semua urusan adalah secara janji temu berjadual, ‘walk in’ tidak dibenarkan.

    “Operasi kaunter JPJ hujung minggu untuk Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor adalah hari Jumaat dan Sabtu, manakala negeri lain pula ialah Sabtu dan Ahad,” jelas kenyataan itu.

    Menurutnya, kapasiti staf di kaunter adalah 50 peratus untuk negeri yang masih di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan 60 peratus bagi negeri yang berada di bawah Fasa Dua.

    JPJ turut menggesa orang ramai kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

    Khairy berkata kaedah ini dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    “Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh @JKJAV tentang bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan selari dengan pekeliling @DGHisham dan garis panduan klinikal terkini,” kata Khairy menerusi satu ciapan di laman Twitter.- BERNAMA

  • Pendidik cadang kerajaan tangguh sesi persekolahan September ini

    Pendidik cadang kerajaan tangguh sesi persekolahan September ini

    PERTUBUHAN Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik) mencadangkan kerajaan menangguhkan rancangan membuka sesi persekolahan pada September ini kerana amat berisiko.

    Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, ini kerana peningkatan kes harian Covid-19 yang melepasi 20,000 kes ditambah dengan ancaman varian Delta dan pada masa sama ramai guru dan pelajar masih belum divaksin.

    “Keresahan ibu bapa digambarkan juga melalui pengumpulan petisyen daripada kalangan mereka yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar tidak membuka sekolah.

    “Pendidik berpendapat, ibu bapa dan warga pendidik perlu diberi satu tempoh bersesuaian sehingga berjaya menyakinkan semua pihak seperti sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum sesi persekolahan dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, KPM perlu mendapatkan pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) atau Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) sebelum sebarang keputusan dibuat.

    KPM katanya, disaran mempertingkatkan mekanisme daripada segi perolehan vaksinasi bagi semua warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus untuk menyakinkan semua pihak.

    “Langkah mempercepatkan program vaksinasi kepada pelajar khususnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai umur 18 tahun perlu disegerakan,” katanya.

    Menurutnya, ini bagi memastikan calon STPM dan STAM lebih berkeyakinan untuk hadir dan belajar semula di sekolah dengan semangat baharu.

    Pendidik katanya, mencadangkan sekolah dibuka secara berperingkat-peringkat bermula dengan pelajar yang menduduki peperiksaan penting.

    “Sesi persekolahan juga boleh dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid, berada di kawasan zon hijau dan di kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, kaedah penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan kelompok murid juga boleh dilakukan.

    Beliau berkata, kajian rintis di beberapa buah sekolah di bandar dan luar bandar mungkin boleh dibuat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan syarat warga pendidik dan pelajar sudah diberikan suntikan vaksin dan imunisasi bersesuaian.

    Pihak KPM katanya, perlu ada perancangan hala tuju jelas jika kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun untuk mengelak keciciran pelajar dan mengatasi kelesuan motivasi semasa PdPR terutama pelajar luar bandar.

    “Pendidik mencadangkan KPM memanfatkan semaksima mungkin rancangan program Didik TV dengan menaik taraf kualiti dan pengisiannya.

    “Sesi persekolahan secara bersemuka boleh dibuat sehinggalah terdapat petunjuk kes baharu harian yang semakin menurun hingga ke paras yang munasabah,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru selama 13 tahun.

  • Enam maut dalam insiden tembak di Plymouth, UK

    Enam maut dalam insiden tembak di Plymouth, UK

    ENAM termasuk suspek terbunuh dalam satu kejadian tembakan pada Khamis di Plymouth, sebuah bandar pelabuhan di Devon barat daya England, menurut polis tempatan.

    Polis Devon and Cornwall menerusi akaun Twitter berkata pihak polis dikejarkan ke Keyham di Plymouth pada 6.10 petang waktu tempatan berikutan satu kejadian tembakan. 

    “Dua wanita dan dua lelaki ditemui terbunuh manakala seorang lagi dipercayai suspek, turut maut di tempat kejadian,” menurut tweet itu lapor Xinhua.

    Seorang lagi mangsa wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, dan kejadian tembakan tersebut tiada kaitan dengan pengganas.

    Ahli Parlimen Plymouth Sutton dan Devonport, Luke Pollard menerusi akaun Twitternya berkata seorang daripada mangsa kejadian adalah kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.

    “Kejadian di Plymouth sangat mengejutkan. Doa dan ingatkan kami kepada keluarga mangsa,” kata Setiausaha Dalam Negeri Britain, Priti Patel, di akaun Twitternya. – BERNAMA