Category: Semasa

  • Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemui di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa dekat Lahad Datu hari ini.

    Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui tanpa sebarang pakaian oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 6.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki berusia 51 tahun melaporkan bayi yang ditinggalkan itu ditemuinya ketika sedang melihat reban ayam miliknya.

    “Sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab terhadap bayi itu berniat membuangnya.

    Jelasnya, sekira sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kita sedang mengesan suspek sebenar kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh

    berhubung terus di talian Hotline IPD Lahad Datu 089-881255 atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505, ” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) menumpaskan satu Sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok bahan terlarang itu dalam kontena berisi bungkusan guni kacang soya di Pelabuhan Klang, awal bulan ini.

    Ketua Pengarah JDKM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dadah jenis kokain seberat 302.20 kilogram itu bernilai RM60.44 juta.

    “Kita telah menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengenai sebuah kontena berukuran 6.1 meter (20 kaki) yang tiba di Pelabuhan Klang pukul 9.45 malam, 6 Jun lalu.

    “Pemeriksaan dilakukan pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain,” katanya pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan di Nilai hari ini.

    Menurutnya, sindiket itu telah mengikrarkan barangan terbabit sebagai kacang soya sedangkan dalamnya telah disorokkan dengan guni-guni mengandungi serbuk putih disyaki kokain.

    Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan dibawa dari sebuah negara di Amerika Selatan sebelum transit ke sebuah negara di Asia Tenggara, namun telah ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

    “Kontena tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan,” katanya.

    Sementara itu katanya, pihaknya juga turut berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 151.85 kilogram bernilai RM9.113 juta dalam dua kes berbeza minggu lalu.

    Zazuli berkata, dalam kes pada 6 Jun, sebanyak 15 buah kotak telah disita di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor.

    Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut menjumpai 107 bungkusan plastik mengandungi bahan ketulan putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.593 juta.

    Bagi mengaburi mata pihak berkuasa ujar beliau, sindiket itu telah mengikrarkan barang berkenaan sebagai periuk dan pasu seramik sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati, ia diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir.

    Tambahnya, pengimport juga menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang telah menyukarkan lagi tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan.

    “Namun siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Selain itu katanya, dalam kes di Pelabuhan Klang, Selangor JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyita satu kotena sejuk beku 4 Jun lalu.

    Ujar beliau, pemeriksaan dilakukan telah menjumpai 25 peket mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 25.30 kilogram.

    “Bungkusan paket berkenaan disorok di dalam dinding kontena sejuk beku yang berisi makanan laut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    PENYERTAAN Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan pelakon Datuk Eizlan Yusof boleh meningkatkan sokongan pengundi Pas.

    Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya belum membincangkan peluang dua individu berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

    “Impak besar berlaku berikutan dua individu itu menyertai Pas dan kemungkinan ramai lagi ahli daripada parti lain yang akan mengikut jejak langkah mereka.

    “Kita belum tahu lagi penambahan ahli tetapi daripada program malam tadi (Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat), membuktikan ramai yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di Kota Bharu hari ini.

    Seramai 326 pelajar dari 10 maahad tahfiz menerima sijil pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Engku Rajhan Engku Ismail.

    Mohd. Amar turut berharap sokongan lebih ramai dalam kalangan ahli dan penyokong parti lain menjelang PRN.

    Ketika ditanya mengenai ‘serangan’ parti lawan menjelang PRN, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, serangan itu bertujuan menghalang pengundi di luar Kelantan menyokong PN.

    “Biasalah nak berperang, dia serang kita, lepas ni kita serang lagi… kita ambil sikap tunggu dan lihat… kita belum keluarkan peluru kita.

    “Pengundi Kelantan sudah membuktikan mereka menerima kita selama 33 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wan Ahmad Fayhsal kesal tak dijemput hadiri program Kor Ming

    Wan Ahmad Fayhsal kesal tak dijemput hadiri program Kor Ming

    WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil hari ini menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana tidak diundang menghadiri program menteri di kawasannya, Machang.

    Merujuk kepada program dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini, kata Wan Ahmad Fayhsal, tindakan tersebut tidak memberi manfaat kepada rakyat.

    “Saya ada sedikit teguran terhadap menteri ini (Nga) yang tidak hadir pada pagi ini, sebabnya semasa beliau datang buat serahan pada pemilik PPR (Program Perumahan Rakyat) tidak dimaklumkan kepada kami wakil rakyat.

    “Ini penting (kerana) rakyat dalam kawasan saya akan bertanya kepada kami mengenai sebarang masalah yang ada di tempat mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pun begitu Wan Ahmad Fayshal tetap memuji menteri lain yang menjemputnya untuk hadir ke program kerajaan membabitkan kawasan Parlimen Machang.

    Antara yang disebut Ketua Pemuda Bersatu itu ialah majlis penyerahan projek oleh Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla.

    Majlis itu dihadiri Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad.

    Sementara itu menjawab bagi pihak kerajaan, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, mengemukakan permohonan maaf.

    Kata Akmal Nasruddin, ketika menghadiri program rasmi kementeriannya di Machang semalam beliau turut tidak menjemput Wan Ahmad Fayhsal.

    “Saya nak maklumkan kepada Machang (Wan Ahmad Fayhsal), semalam saya juga turun ke Machang, tapi saya tidak maklumkan sebab saya melawat projek perumahan sakit.

    “Memang saya turun, cuma saya minta maaf tidak maklumkan. Dan juga semalam (turun ke Machang) sebab kita bukan hanya nak sembang minum, tetapi saya nak selesaikan masalah rakyat di bawah,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Peruntukan untuk pembangkang juga ‘hak asasi manusia’

    Peruntukan untuk pembangkang juga ‘hak asasi manusia’

    PERJUANGAN mengangkat hak asasi manusia harus bermula di Parlimen dengan kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang, kata Mumtaz Md. Nawi (PAS-Tumpat).

    “Macam mana nak bincang hak asasi orang lain apabila ahli Parlimen pembangkang yang dipilih oleh rakyat tak ada peruntukan untuk operasi pejabat.

    “Tiada peruntukan untuk operasi pejabat, kalau ada menteri turun ke kawasan pun tak dijemput.

    “Hak asasi manusia perlu bermula di Parlimen,” katanya ketika berucap bagi membahaskan Laporan Tahunan 2020 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Parlimen, hari ini.

    Pada 25 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Mengakui beliau dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengadakan perjumpaan, namun katanya ia adalah pertemuan tidak rasmi.

    Fadillah sebelum itu dilaporkan meminta Takiyuddin mengemukan perincian cadangan secara bertulis, sebelum rundingan mengenai dimulakan.

    Sementara itu Sahredzan Johan (PH- Bangi) berkata, hak asasi manusia di negara ini harus dijunjung demi menjaga kepentingan semua pihak.

    Katanya, meskipun hak asasi dikatakan sebagai satu pendekatan barat, namun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Ada yang menyatakan hak asasi manusia (pendekatan) barat, tetapi hak asasi ini sudah lama sebati dengan rakyat Malaysia, telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Bangi ingin tekankan tangugngjawab kita untuk menjunjung hak asasi manusia ini,” kata Ahli Parlimen Bangi itu ketika berucap di Parlimen, lapor Malaysiakini.

    Justeru, Syahredzan menggesa supaya segala syor dikemukakan Suhakam bagi menambah baik hak asasi manusia dilaksanakan kerajaan.

    Katanya, usaha kerajaan membahas laporan Suhakam sebagai satu iltizam ke arah mengangkat hak asasi manusia.

  • Pelakon Kuza, Kunie diarah fail pembelaan terhadap saman fitnah bekas abang ipar sendiri

    Pelakon Kuza, Kunie diarah fail pembelaan terhadap saman fitnah bekas abang ipar sendiri

    PELAKON adik-beradik, Kuza dan Kunie diarahkan Mahkamah Sesyen Sivil hari ini untuk memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah dikemukakan bekas abang ipar mereka yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan anak lelakinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguam, Aizul Rohan Anuar, yang mewakili Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd. Muzani dan adiknya, Tengku Sariwani atau Kunie selaku defendan pada pengurusan kes hari ini.

    “Mahkamah mengarahkan supaya pembelaan itu difailkan sebelum atau pada 5 Julai ini. Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Julai ini,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim, Azian Othman.

    Sementara itu, Datuk Adnan Seman selaku peguam yang mewakili plaintif, Rizalman dan anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, mengesahkan perkara itu.

    Tambahnya, mahkamah turut mengarahkan pihak plaintif untuk memfailkan afidavit balasan terhadap pembelaan yang akan difailkan defendan pada 20 Julai ini.

    Writ saman itu menamakan Kuza dan Kunie sebagai defendan pertama dan kedua, lapor Berita Harian.

    Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa dua beradik itu (Kuza dan Kunie) mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.

    Kenyataan yang dikatakan fitnah itu berkaitan kakak mereka, Tengku Sarina Tengku Mohd Muzani atau Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi yang juga anak Rizalman dan Kuna, sebelum pasangan itu bercerai pada 5 Disember 2001.

    Menurut penyataan itu, plaintif kedua, Nik Muhammad Hakimi berkahwin dengan anak Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, pada 17 Februari lalu.

    Sehari sebelum majlis persandingan, satu raptai diadakan memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis sebenar turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

    Pada majlis raptai itu, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis, bagaimanapun selepas majlis raptai selesai, pihak pengantin lelaki dan perempuan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan untuk berada di dalam bilik menunggu yang menempatkan pasangan diraja itu bagi tujuan bergambar.

    Pada majlis diadakan pada 17 hingga 19 Februari lalu, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya yang turut menempatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri, Timbalan Menteri Pertahanan bersama isterinya dan beberapa kenamaan lain.

    Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.

    Bagaimanapun, pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna, tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama-sama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana pelakon itu berstatus janda.

    Kenyataan itu turut disokong oleh Kuza yang turut mengeluarkan komen berbaur fitmah di bahagian komen dan turut mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah di laman Instagram miliknya sendiri.

    Kunie juga didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui video yang diterbitkan di laman Instagram miliknya dan video sama disiarkan semua di laman Instagram milik Kuza.

  • Dua-beradik, remaja bawah umur antara 11 tidak mengaku jadi ‘scammer’

    Dua-beradik, remaja bawah umur antara 11 tidak mengaku jadi ‘scammer’

    SERAMAI 11 individu termasuk dua beradik dan remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menipu tujuh individu yang membabitkan kerugian sebanyak RM45,534.74, sejak April lalu.

    Tertuduh ialah Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22; dan adiknya Muhamad Haiqal Hamdan, 19; Yap Soon Lin, 23; Muhamad Faizal Abdullah, 22; Sharifah Nur Natasha Syed Mohd Hata, 21; Yap Zhen Xiang, Teong Wai Keat dan Goh Chun Rong, 19; Lee Yih Hong, 18; dan dua remaja bawah umur berusia 17 tahun.

    Kesemua tertuduh yang didakwa atas tujuh pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam, lapor Astro Awani.

    Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan memperdayakan tujuh individu sehingga mangsa menyerahkan wang bernilai keseluruhan RM45,534.74.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah sejak 11 April sehingga 20 Mei lalu.

    Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(b)(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

    Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Joel Chua bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan kepada setiap anak guamnya.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 31 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

  • ‘Siapa nak minta maaf’, Radzi kata usul kertas putih sangkal PM

    ‘Siapa nak minta maaf’, Radzi kata usul kertas putih sangkal PM

    BEKAS menteri membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata, usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 menyangkal gambaran bahawa perolehan vaksin tidak dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, usul yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada Khamis lepas menyatakan bahawa perkara itu telah dibawa ke peguam negara.

    “Jadi siapa nak minta maaf ini?” katanya di Dewan Rakyat, meminta kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

    “Rasa sedih pegawai-pegawai kesihatan berjumpa menceritakan apabila selesai pandemik, macam-macam disiasat seolah-olah kami membuat salah,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Pada Februari lepas, Anwar ketika mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin berkata, ada perkara yang tidak ikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan AGC.

    Susulan penafian daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Anwar memaklumkan dakwaan itu dimaklumkan sendiri oleh pihak KKM.

    Dalam usul yang dibentangkan pada Khamis, Lukanisman mencadangkan kepada Dewan Rakyat untuk ambil maklum bahawa perjanjian yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada AGC.

    Semakan dan nasihat itu bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh mengikut tatacara operasi standard perolehan vaksin Covid-19.

    Usul itu juga menyatakan bahawa ‘pada saat genting tersebut’, Jemaah Menteri bersetuju agar menteri kesihatan dan menteri sains, teknologi, dan inovasi ketika itu diberi kuasa untuk berunding, menandatangani perjanjian pembelian, serta membuat perolehan vaksin ‘tanpa perlu merujuk’ kepadanya atau KKM untuk kelulusan.

    Kuasa itu tertakluk kepada beberapa syarat, iaitu terdapat wakil KKM dalam rundingan perolehan vaksin dan urusan tandatangan kontrak mewakili kerajaan tertakluk kepada Akta Kontrak Kerajaan.

  • Vaksin: Kerajaan terpaksa tandatangani perjanjian demi nyawa rakyat

    Vaksin: Kerajaan terpaksa tandatangani perjanjian demi nyawa rakyat

    PERTIMBANGAN terhadap ancaman nyawa rakyat Malaysia mendorong kerajaan tetap menandatangani perjanjian dengan pembekal vaksin Covid-19 walaupun berada dalam keadan berat sebelah.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata pemerolehan vaksin tersebut melihatkan isu hidup dan mati manusia yang ketika itu diancam wabak berkenaan.

    “Justeru kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan langkah menandatangani perjanjian tersebut sebagai langkah melindungi rakyat Malaysia daripada terjejas dengan lebih teruk.

    “Ini juga sebagai sebahagian daripada langkah memastikan sasaran agar imuniti berkelompok mencapai tahap 80 peratus daripada rakyat negara ini tercapai dengan segera.

    “Kerajaan membuat keputusan dasar untuk memeterai perjanjian perolehan vaksin ini untuk menyegerakan proses tersebut kerana setiap nyawa rakyat Malaysia adalah berharga,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, Jabatan Peguam Negara ada membangkitkan isu ketidakaturan dalam draf perjanjian berkenaan dan secara keseluruhan ia memang memihak kepada syarikat pengeluar.

    “Walaupun menyedari atas nasihat Jabatan Peguam Negara yang perjanjian tersebut tidak memihak kepada kerajaan, kerajaan (tetap) perlu membuat keputusan dasar bagi meneruskan pembelian yang mendesak atas faktor kepentingan awam,” katanya.

    Lukanisman membuat penjelasan itu semasa menggulung perbahasan mengenai kertas putih mengenai pemerolehan vaksin Covid-19.

    Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat tiada maklumat terperinci mengenai perjanjian berkenaan dapat didedahkan kepada umum kerana ia terikat dengan perjanjian berkaitan.

    Pun begitu tambah Lukanisman, kos perolehan setiap jenis vaksin telah dijelaskan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang diadakan pada 2 Ogos 2021.

    Katanya, perolehan vaksin turut melibatkan aspek komersial syarikat terbabit di seluruh dunia dan hak mereka dilindungi melalui perjanian yang ditandatangani.

    Berdasarkan semakan, katanya, semua negara yang berunding dengan syarikat pengeluaran vaksin seperti Pfizer dikehendaki menandatangani perjanjian kerahsiaan sebelum persetujuan dicapai.

    “Jika Malaysia tidak menandatangani dokumen ini, sebarang rundingan awal seperti syarat perjanjian atau bahan aktif (dalam vaksin) tidak akan dikongsi dengan kerajaan Malaysia.

    “Proses perolehan vaksin yang melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka, tetapi perlu dilakukan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Lelaki didakwa bunuh bekas teman wanita

    Lelaki didakwa bunuh bekas teman wanita

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini kerana membunuh seorang wanita di sebuah kedai di pusat beli belah dua minggu lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chung King Fung, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

    Tertuduh juga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Sinar Harian.

    Menurut kertas pertuduhan, tertuduh antara pukul 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari 29 Mei lalu, bertempat di sebuah kedai di sebuah pusat beli belah di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu telah membunuh Nurul Ain Silien, 21.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik dan ahli keluarga mangsa diiringi peguam pemerhati dari Hamid & Co, Nabila Norsahar manakala tertuduh diwakili peguam, Chun Teck Ming dan Jul Hamri Jumhani.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 11 Julai depan selepas laporan forensik diperoleh daripada Jabatan Kimia.

    Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan kekal berada di penjara Kapayan, Kota Kinabalu.

    Sementara itu, di luar pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarkhan mengesahkan kepada pemberita bahawa suspek dan mangsa iaitu anaknya tidak mempunyai hubungan sebagai tunang.

    “Mereka bukan bertunang, secara rasminya tiada. Mereka kenal kurang daripada setahun,” katanya.

    Warta Rakyat pada 30 Mei lalu melaporkan seorang wanita dibunuh dengan lapan tikaman selepas suspek cemburu dan tidak berpuas hati kerana pertunangan mereka diputuskan.