Category: Semasa

  • Utamakan ibu mengandung terima vaksin

    Utamakan ibu mengandung terima vaksin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    HANYA 60 peratus daripada 150,000 ibu mengandung yang mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sudah mendapatkan vaksin Covid-19.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, jumlah 60 peratus itu sekurang-kurangnya sudah satu dos vaksin.

    Berdasarkan perkembangan itu, beliau mahu ibu mengandung diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan virus berkenaan kepada wanita hamil dan anak dalam kandungan.

    Jelasnya, ini susulan beberapa kes positif Covid-19 yang dilaporkan membabitkan golongan itu sebelum ini.

    “Setiap hari kita dengar kes Covid-19 dan cara untuk elak atau mengurangkan jangkitan ini tidak ada cara lain melainkan dapatkan vaksin.

    “Bagi kes ibu mengandung, kerajaan telah berikan keutamaan kepada mereka yang usia kandungannya antara 14 sehingga 33 minggu mendapatkan vaksin di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas seperti PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (Petaling Jaya) yang saya lawati dahulu.

    “Jadi kita berharap ibu-ibu mengandung yang telahpun mendaftar dalam MySejahtera ini akan terus diberikan keutamaan mendapatkan vaksin kerana vaksin yang diberikan itu bukan sahaja untuk wanita hamil tetapi anak dalam kandungannya juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau dan memantau operasian Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, di Seri Iskandar, hari ini.

    Rina berkata, kementeriannya akan mempergiat program advokasi ke seluruh negara untuk menggalakkan lebih ramai wanita hamil ini tampil menerima suntikan imunisasi masing-masing.

    Katanya, daripada pemantauan dibuat, terdapat segelintir ibu mengandung masih berasa ragu dengan kesan suntikan berkenaan dan terdapat juga ahli keluarga serta suami yang tidak memberikan keizinan.

  • Penyelia projek maut ketika menjalankan kerja pemasangan

    Penyelia projek maut ketika menjalankan kerja pemasangan

    SEORANG penyelia projek maut ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan kerangka dandang stim tiub air di sebuah kilang sawit di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, kelmarin.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir. Mohd.Rosdee Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pukul 1.30 tengah hari apabila mangsa, 46, terjatuh dari platform tingkat 1 pada ketinggian 2.5 meter.

    “Hasil siasatan awal yang dijalankan JKKP mendapati bahawa tiada perlindungan jatuh disediakan di semua tangga dan juga sekeliling tepian terbuka yang membabitkan kerja-kerja di tempat tinggi.

    “Terdapat tiga batang I-beam berada di lokasi mangsa yang bekerja di sebuah syarikat subkontraktor dilaporkan terjatuh. Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pihak JKKP telah mengarahkan majikan untuk mengambil menghentikan aktiviti pemasangan dandang stim di tempat kerja tersebut dengan serta-merta sehingga siasatan lengkap dijalankan.

    Notis larangan katanya, dikeluarkan kepada pihak kilang sawit dan syarikat kontraktor utama atas kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat ketika menjalankan aktiviti pemasangan itu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

    Selain itu, beliau mengarahkan syarikat kontraktor utama JKKP untuk mengadakan Prosedur Kerja Selamat dan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi kerja pemasangan dandang stim di kilang itu.

    JKKP ujarnya, memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.

    Menurut beliau, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Jelasnya, majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkenaan dan itu merupakan satu kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Pihaknya menyeru semua majikan agar bekerjasama mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

    Tambah beliau, kes seumpama itu boleh dielakkan jika majikan bertanggungjawab mengenal pasti hazard, menganalisis dan menaksir risiko yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan langkah kawalan bersesuaian bagi mengawal risiko berkaitan.

  • 20,670 kes Covid-19 pada hari ini

    20,670 kes Covid-19 pada hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KES harian Covid-19 di negara ini mencatatkan sebanyak 20,670 kes baharu pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,384,353 kes.

    Menurutnya, Selangor kekal merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 6,606 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,028 kes); Kedah (1,796 kes).

  • PM berjiwa besar, pengumuman tepat pada masanya – MaSia

    PM berjiwa besar, pengumuman tepat pada masanya – MaSia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENGUMUMAN Perdana Menteri untuk merangka persefahaman rentas parti semalam adalah tepat pada masanya malah dilihat dapat mengakhiri kemelut politik tanah air.

    Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah berkata, semua pihak terutama parti pembangkang wajar menerima tawaran itu dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.

    Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat berjiwa besar apabila memberikan tawaran itu walaupun tahu akan dikecam pihak pembangkang.

    “Demi rakyat dan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) rela berkongsi kuasa dengan pembangkang demi memerangi Covid-19.

    “Saya amat bersimpati dan teruja dengan kepimpinan Perdana Menteri. Belum ada pemimpin sebaik ini yang sanggup berkorban dalam mendepani masalah rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

    Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

    Mengulas lanjut, Zamrin yang Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Masai berkata, rakyat dan pembangkang perlu faham Covid-19 adalah wabak alaf baharu malah melanda seluruh dunia.

    Katanya, adalah tidak wajar kesalahan diletakkan pada bahu kerajaan PN kerana semua kerajaan di dunia masih berperang dengan pandemik itu malah belum satu pun yang sudah berjaya.

    Tambah beliau, Perdana Menteri berusaha untuk melakukan vaksinasi terhadaop 35 rakyat negara ini sebagai langkah pencegahan Covid-19.

    “Saya lihat Tan Sri Muhyiddin tabah dan cekal menghadapi cabaran ini. Semoga Malaysia kembali kepada landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

  • Tawaran PM bertanggungjawab, tidak ‘lepas tangan’ demi rakyat – Syed Ali

    Tawaran PM bertanggungjawab, tidak ‘lepas tangan’ demi rakyat – Syed Ali

    TAWARAN rentas politik yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ikhlas, berani dan bertanggungjawab demi menyelamat dan membebaskan negara daripada krisis Covid-19.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika benar Perdana Menteri bermain politik, beliau sememangnya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    Ujarnya, ia juga selari seperti yang didesak blok pembangkang termasuk UMNO sendiri.

    “Bagaimanapun, Muhyiddin tidak berbuat demikian kerana menyedari sekarang ini bukan waktu ketika kerajaan sedang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan negara, sebaliknya beliau memberi bayangan PRU-15 akan diadakan Julai tahun depan.

    “Begitu juga desakan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dakwaan hilang majoriti. Saya berpendapat beliau sendiri sudah mengambil maklum keadaan tersebut dengan mengemukakan cadangan diadakan usul percaya terhadapnya di Parlimen tidak lama lagi.

    “Di sinilah saya melihat Muhyiddin mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Walhal beliau boleh bila-bila masa meletakkan jawatan dan ‘lepas tangan’ tetapi saya yakin beliau lebih memikirkan nasib rakyat dan negara di samping amanah yang beliau pikul,” katanya lapor Astro Awani.

    Disebabkan itu kata Syed Ali, Muhyiddin memilih jalan mengadakan undi percaya dan menjanjikan melaksanakan PRU-15 selewat-lewanta Julai tahun hadapan dengan mengambil kira suasana semasa pandemik Covid-19.

    Beliau juga menyifatkan, pemimpin UMNO yang masih kekal berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah mereka yang setia kepada perjuangan parti demi kepentingan rakyat khususnya orang Melayu dan negara Melayu-Islam.

    “Untuk mengkhianati kepada masa depan orang Melayu dan negara Islam, kesemua mereka (menteri dan timbalan menteri UMNO) boleh meletakkan jawatan daripada Kabinet, tetapi apakah tindakan mereka itu akan memberi keselesaan kepada orang Melayu dan UMNO khususnya yang sekarang ini dilanda dengan krisis keyakinan dan kepimpinan?

    “Apalah sangat untuk menteri dan timbalan menteri daripada UMNO itu mengambil sedikit masa untuk kekal menyokong Muhyiddin sehingga PRU15 daripada akan dikenang sebagai kumpulan petualang yang bertanggungjawab menumbangkan sebuah kerajaan Melayu Islam.

    “Saya tetap beranggapan bahawa Muhyiddin telah menjalankan tanggungjawab yang ikhlas danterbaik selaku seorang Perdana Menteri dalam menangani situasi yang amat getir ini tanpa memikirkan serangan politik bertali arus, manakala pemimpin UMNO dalam kerajaan PN diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan mereka adalah pejuang UMNO sejati dan bukannya pengkhianat kepada masa depan orang Melayu,” ujarnya.

    Beliau berkata, rakyat sendiri yang akan menentukan keabsahan sesebuah kerajaan itu menerusi PRU akan datang dan hak serta kebebasan mereka memilih sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab membina masa depan yang lebih gemilang khususnya untuk bangsa Melayu berteraskan sebuah kerajaan Melayu-Islam amnya

  • Maqis tahan 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit

    Maqis tahan 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERKHIDMATAN Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kira-kira 1.3 tan metrik udang harimau sejuk beku tanpa permit semasa pemeriksaan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam.

    Maqis dalam satu kenyataan memberitahu, udang harimau sejuk beku tanpa permit eksport Maqis yang sah ke Singapura itu ditemukan dalam pemeriksaan pada pukul 11.30 malam.

    “Pemeriksaan terhadap udang harimau sejuk beku itu yang diikrarkan oleh ejen penghantaran sepatutnya membawa hanya 3,880 kilogram (kg) udang tersebut di laluan lori eksport.

    “Maqis mendapati 5,200 kilogram udang harimau sejuk beku berada dalam lori tersebut melebihi kuantiti yang diikrarkan. Kesemua 1,320 kg undang sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM6,600 ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 39 ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.

    Katanya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan.

    Jelasnya, kesalahan itu di bawah seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Jika disabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Individu muflis hanya penasihat syarikat – PKB

    Individu muflis hanya penasihat syarikat – PKB

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SYARIKAT milik kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) menegaskan, tidak timbul isu penganugerahan terpilih atau istimewa oleh kerajaan negeri berhubung pelaksanaan projek Open Road International Circuit And Integrated Resorts (ORIC) di Bukit Malut, Langkawi.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Din, Open Road selaku pemaju adalah pihak yang bertanggungjawab penuh dalam hal penyediaan dana dan akan menanggung kesemua kos pembangunan projek tersebut yang bakal dilaksanakan di atas hartanah milik PKB.

    “Sukacita dijelaskan bahawa individu bernama Goh Hock Choy yang menjadi pertikaian bukanlah pengarah syarikat mahu pun pemegang syer Open Road sebaliknya beliau merupakan pengasas syarikat itu dan kini hanya bertindak selaku penasihat bagi aktiviti perniagaan mereka.

    “Oleh itu perjanjian bagi projek usaha sama ORIC yang termeterai antara PKB dan Open Road, tidak melibatkan tandatangan beliau sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh seorang Ahli PKR, S. Indrani kelmarin yang mendakwa Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menyalah gunakan kuasanya berhubung pemberian sebuah projek bernilai kira-kira RM1 bilion berkaitan sektor pelancongan negeri.

    Indrani mendakwa dia mempunyai bukti bahawa projek berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat di mana pengasasnya yang juga antara pengarah syarikat, telah muflis.

    Muhammad Sanusi sebelum ini turut menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menganugerahkan sebarang projek bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak.

    Abdul Rahman menambah, PKB malah sebelum ini turut menjalankan proses usaha wajar (due diligence) dan mendapati Open Road merupakan sebuah syarikat berkemampuan.

    “Syarikat itu tidak muflis dan pengarah-pengarahnya juga tidak berada dalam status bankrap seperti dinyatakan pihak tertentu,” katanya.

    Tambahnya, PKB menasihatkan semua pihak agar terlebih dulu mendapatkan kepastian berkaitan sesuatu isu sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.

    “PKB sentiasa bersedia memberikan penerangan kepada media mahu pun orang awam berkenaan projek-projek PKB,” katanya.

  • 44 kematian akibat positif Covid-19 di Singapura setakat ini

    44 kematian akibat positif Covid-19 di Singapura setakat ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SINGAPURA mencatatkan 44 rakyatnya yang mati akibat positif Covid-19 setakat ini.

    Terbaharu seorang warga Singapura berusia 84 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 semalam yang merupakan kematian ketujuh dalam bulan ini.

    Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura yang dikeluarkan malam tadi, lelaki itu mengalami gejala pada 28 Julai sebelum dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional pada keesokan hari dan kemudian disahkan positif.

    “Dia menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mempunyai sejarah penyakit kanser, penyakit jantung iskemia, diabetes melitus, hipertensi dan hyperlipidaemia,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kementerian itu terdapat bukti bahawa hampir semua individu yang lengkap dua dos vaksin tidak mengalami penyakit yang parah apabila dijangkiti kecuali mereka mempunyai masalah penyakit kronik membuat mereka lebih mudah dijangkiti.

    “Dalam tempoh 28 hari lalu, peratusan pesakit tidak divaksin yang berada dalam keadaan kritikal atau meninggal dunia adalah 9.6 peratus manakala mereka yang lengkap divaksin adalah 1.0 peratus,” katanya.

    Setakat tengah hari semalam, jumlah kes di negara itu adalah sebanyak 66,061.

    Sebanyak 488 kes menerima rawatan di hospital, 30 daripadannya memerlukan bantuan oksigen dan 10 lagi berada di unit rawatan rapi (ICU).

    Sementara itu terdapat 116 kluster aktif, yang mencatatkan antara tiga hingga 1,151 jangkitan.

    Setakat 12 Ogos, sejumlah 74 peratus penduduk Singapura sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan dan 81 peratus lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

  • 36 anggota JBPM Johor positif Covid-19

    36 anggota JBPM Johor positif Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 36 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu sehingga kini.

    Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, daripada jumlah itu sembilan pegawai dan anggota masih lagi menerima rawatan.

    “Majoriti warga JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 dikategorikan Kelas 1 iaitu sama ada tidak bergejala atau kurang bergejala.

    “Dalam tempoh sama, sejak Mac tahun lalu, seramai 587 pegawai dan anggota JBPM Johor telah dikuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, termasuklah saya dan Timbalan Pengarah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelaksanaan Program Vaksin Bergerak kerjasama JBPM Johor dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Balai Raya Taman Jaya, Skudai, di sini hari ini.

    Katanya, semua mereka yang positif itu tidak melibatkan jangkitan dalaman dari balai-balai bomba sebaliknya jangkitan daripada ahli keluarga, masyarakat ataupun mangsa yang diselamatkan anggota.

    Beliau bersyukur kerana sepanjang tempoh itu tiada warga kerja bomba Johor yang dilaporkan maut akibat pandemik tersebut.

    Selain itu, Yahaya memberitahu, sejak Mac 2020, JBPM Johor telah terpaksa menutup 10 buah Balai Bomba di seluruh negeri selepas terdapat anggota yang positif di balai berkenaan.

    Menurutnya, balai bomba pertama ditutup adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam manakala yang terakhir ditutup BBP Punggai.

    “Penutupan tersebut dibuat selama satu hari bertujuan untuk kerja-kerja sanitasi dan penyusunan jadual kerja melibatkan pegawai dan anggota daripada balai bomba berhampiran,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM Johor komited membantu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam melaksanakan operasi berkaitan dalam melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.

    Yahaya berkata, selain terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja sanitasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya turut menggerakkan aset dimiliki mereka.

    Antara aset itu katanya, sebuah bas bagi dijadikan kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) iaitu ambulans untuk pengangkutan pesakit.

  • Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

    Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IMAM Masjid Negara, Khisamudin Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital UiTM, Sungai Buloh, Selangor pada awal pagi ini.

    Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

    Masjid Negara melalui hantaran di Facebooknya turut berkongsi berita sedih mengenai pemergiaan Khisamudin itu.

    “Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Khisamudin bin Ismail, Imam Masjid Negara yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2021.

    “Moga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

    “Semoga Allah SWT melimpahkan rahmatNya ke atas beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Difahamkan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang, Selangor kira-kira jam 10.30 pagi tadi.