ARAB Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 orang sehari berbanding 60,000 orang ketika ini.
Saudi Gazette melaporkan, Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdulaziz Wazan berkata, terdapat usaha segera meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 orang jemaah sehingga jumlahnya mencapai 120,000 orang jemaah.
“Ia akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak yang berkeupayaan,” katanya dalam satu wawancara televisyen, kelmarin.
Abdulaziz berkata, beliau menjangkakan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah tahun ini.
Ujarnya, permit umrah yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidilharam di Mekah, ziarah Masjid Nabawi di Madinah selain menunaikan solat di Al Rawda Al Sharifa di dalam masjid berkenaan.
“Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah telah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik mereka,” tambahnya.
Arab Saudi mula menerima permohonan umat Islam dari luar negara yang lengkap divaksin untuk menunaikan umrah bermula 9 Ogos lalu.
Malaysia antara negara yang termasuk dalam senarai diberikan kebenaran untuk menunaikan umrah oleh Arab Saudi.
SEPERTI diduga apabila tercetus khabar bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur sebagai Perdana Menteri maka dikhabarkan bertebaranlah parti-parti politik termasuk pembangkang bertungkus lumus mencari sokongan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin masing-masing dilantik menggantikan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Pelbagai gelagat dapat disaksikan selain dalam kalangan pemimpin UMNO mula ‘berpesta menyerang’ habis-habisan ahli-ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menyokong kerajaan termasuk menasihatkan mereka supaya bertaubat (entah siapa sebenarnya patut bertaubat).
Walaupun parti-parti politik tidak tahu apa yang akan berlaku esok, tetapi masing-masing sudah teruja kerana bagi mereka inilah masa terbaik untuk mencapai cita-cita pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri dan kembali menjadi Perdana Menteri.
Soalnya, siapakah yang akan memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat? Bagaimana kalau majoriti tidak tercapai? Apakah akan berlaku kerajaan tergantung?
Setakat hari ini Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai kerusi terbanyak iaitu 100 kerusi termasuk 23 kerusi daripada ahli Parlimen UMNO, 18 kerusi Pas, MCA (2) dan MIC 1. Kalaupun ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC dan PBRS yang menyokong kerajaan beralih arah – BN secara keseluruhannya hanya memiliki 42 kerusi sahaja.
Di pihak pembangkang pula, Pakatan Harapan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi manakala blok Tun Mahathir Mohamad hanya ada 14 kerusi (termasuk MUDA). Untuk mencapai majoriti mudah mana-mana parti atau gabungan harus mendapat 111 kerusi.
Isunya bolehkah kesemua parti terlibat mencapai kesepakatan untuk menubuhkan satu blok kerajaan dengan memastikan mereka memperolehi majoriti tersebut?
Adakah blok Dr.Mahathir akan menyokong PH sekaligus akan membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri? Adakah 15 ahli Parlimen UMNO bersama Ahmad Zahid akan menyokong Anwar? Bagaimana pula dengan pendirian parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak yang menguasai 18 kerusi? Begitu juga Pas mahukah mereka menyokong Anwar sama seperti menyokong DAP untuk turut berkuasa memandangkan DAP adalah anggota PH?
Kalau UMNO mahu pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri? Siapakah calonnya adakah Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih bergelut dengan kes mahkamah? Atau Ahmad Zahid yang juga sedang menghadapi perbicaraan mahkamah?
Wajarkah mereka dicalonkan sedangkan lebih baik jika mereka selesaikan dulu kes masing-masing? Lebih daripada itu adakah PH dan Dr.Mahathir akan bersetuju?
Jika mahu mengambil calon daripada Bersatu…siapa? adakah Datuk Seri Hamzah Zainuddin atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dianggap mempunyai ‘musuh ketara’ dalam PH, UMNO dan blok Dr.Mahathir.
Apapun tiga perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, siapapun yang mahu dicalonkan oleh parti-parti sebagai Perdana Menteri mestilah bersih daripada segala-galanya, tidak boleh ada apa-apa parut.
Kedua mesti mendapat majoriti yang kukuh bukan sekadar ‘majoriti cukup makan’ sahaja dan ketiga parti-parti mesti mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu Perdana Menteri ini bagi mengelakkan kerajaan tergantung sehingga kita terpaksa menyambut Hari Kemerdekaan tanpa Perdana Menteri dan barisan Kabinet.
Dalam keadaan negara berhadapan dengan kemelut pandemik Covid-19, isu politik ini harus diselesaikan secepat mungkin ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menampakkan hasilnya. Kalau kemelut politik berterusan yang akan terjejas bukan elit-elit politik tetapi rakyat!
Bagaimanapun penulis yakin Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah memiliki kebijaksanaan untuk menyelesaikan kemelut ini seandainya betul berlaku peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Muhyiddin, esok.
Justeru ahli-ahli politik boleh melobi mencari sokongan tetapi akhirnya perlu menghormati keputusan Seri Paduka dalam soal tersebut. Cukuplah dengan ‘huru-hara’ yang mereka timbulkan, rakyat sudah muak.
SEBANYAK 31.9 peratus atau 10,425,300 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 16,868,615 orang atau 51.7 peratus populasi negara pula telah menerima dos pertama.
Infografik pemberian vaksin di seluruh negara semalam. Foto Twitter Dr Adham Baba
Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 27,293,915 dos.
“Selain itu, sebanyak 72.1 peratus populasi dewasa telah mendapat dos pertama vaksin manakala 44.5 peratus populasi dewasa lengkap divaksin,” katanya menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.
Sementara itu, Dr Adham berkata, vaksinasi harian mencatatkan 442,150 dos diberikan setakat semalam.
Tambahnya, sebanyak 161,049 penerima mendapat dos pertama manakala 281,101 lagi adalah dos kedua.
JUMLAH kes Covid-19 terus menurun di Labuan ke paras yang tidak pernah dicatatkan sejak akhir Februari tahun lepas, pada ketika Wilayah Persekutuan itu melaksanakan vaksinasi kepada kesemua orang dewasa dan melaksanakan sekatan pergerakan, yang akhirnya menunjukkan kesannya.
Labuan mencatatkan kes baharu sifar hari ini, pertama kali sejak pandemik itu melanda pulau bebas cukai tersebut. Dengan perkembangan baik ini, kes di Labuan sehingga hari ini kekal pada 9,740 kes dengan 149 kematian.
Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, Labuan mencatatkan kes pertama pada 18 Feb 2020 yang melibatkan satu pasangan suami isteri.
Isteri pasangan itu, berusia 22 tahun berasal dari Shandong, China.
Seperti yang dilaporkan Bernama, pasangan itu telah ditahan sebaik tiba dari Kuala Lumpur, selepas pihak imigresen mendapati mereka telah melawat China, beberapa hari sebelum pulang ke Labuan.
Sebaik pemeriksaan oleh pegawai kesihatan, mereka telah disyaki mempunyai gejala virus itu dan telah dirujuk ke hospital dan dikuarantin.
Berdasarkan kepada siasatan, pasangan itu pulang ke Malaysia dari Xiamen, China pada 17 Feb 2020 dan menaiki penerbangan ke Labuan pada keesokkan harinya, dan bermula dari hari tu kes jangkitan harian di Labuan berterusan meningkat dan tidak pernah mencatatkan kes sifar sejak itu.
Dr Ismuni berkata, Labuan akan bertukar ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan jumlah telah divaksinasi 91.57 peratus mereka yang layak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Labuan sebelum ini menjadi negeri dan Wilayah Persekutuan dilanda kes Covid-19 paling teruk, dengan mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di negara dan melibatkan kes varian Delta,” katanya lapor Bernama.
Sementara itu Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Facebook mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan yang diketuai Rithuan Ismail dan Dr.Ismuni serta Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila atas usaha gigih memerangi pandemik tersebut terutama ketika Labuan dilanda varian Delta.
”Terima kasih dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan hadapan yang menjadikan pencapaian ini satu realiti,” kata kenyataan itu.
PROFESOR Datuk Seri Dr.Awang Sariyan hari ini merayu Yang di-Pertuan Agong menimbang dan mempertahankan rayuan 175 pertubuhan bukan kerajaan agar Seri Paduka menimbangkan gencatan politik dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19.
Beliau berkata, tumpuan perhatian para pemimpin dan ahli Parlimen wajar diberi perhatian bagi pada menangani wabak tersebut.
‘’Dan sebarang rancangan pertukaran kerajaan wajar ditangguhkan kepada waktu yang lebih sesuai demi maslahah, kesejahteraan dan kesihatan rakyat seluruhnya.
‘’Sembah harapan patik ini berlunaskan kedudukan dan martabat Tuanku sebagai payung negara yang Insha-Allah dapat merungkaikan sebarang kemelut dan khilaf yang berlaku dalam kalangan pihak-pihak tertentu
‘’Patik yakin bahawa Tuanku merupakan wibawa yang paling tepat dalam memberikan pimpinan kepada patik-patik rakyat Tuanku sekaliannya,’’ kata beliau dalam kenyataan hari ini.
SERAMAI 40 ibu hamil yang positif Covid-19 di Kelantan sedang menerima rawatan di dua wad khas Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Menurut Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali, di antara usia kandungan ibu hamil berkenaan adalah melebihi 27 minggu dan mereka berdepan Covid-19 daripada kategori dua hingga tiga.
Beliau berkata, mereka ditempatkan di wad khas untuk membolehkan fokus rawatan dan perhatian penuh diberikan kepada golongan tersebut.
Ini kerana katanya, wanita mengandung yang positif Covid-19 dianggap berisiko kerana ada dua pihak terlibat iaitu ibu dan anak.
“Kita perlu memberi perhatian untuk menyelamat dua nyawa bagi setiap orang ibu hamil, katanya kepada media selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Menurut Dr. Selasawati, PKRC juga dicadangkan untuk menyediakan kemudahan rawatan berkenaan kepada ibu hamil memandangkan jumlah jangkitan melibatkan kumpulan berkenaan menunjukkan peningkatan yang tinggi.
Bagaimanapun katanya, PKRC yang menempatkan ibu hamil perlu berada berdekatan dengan hospital bagi memastikan mereka tidak menghadapi kekangan untuk keluar mendapatkan rawatan di hospital ketika perlu.
“Buat masa sekarang kita terpaksa membuat pemantauan di HRPZII sebaik mungkin mengikut keperluan semasa mereka.
“Kalau sudah cukup tempoh untuk bersalin, kita akan melakukan tindakan sebaiknya bagi memastikan ibu dan bayi selamat,” jelas beliau.
GOLONGAN belia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan perlaksanaan Undi 18 dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya DUA (2) penggal.
Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah, Marjohan Amin, berkata penglibatan lebih ramai anak muda dalam menentukan kepimpinan negara akan memberi ruang dan peluang menyampaikan aspirasi dan pandangan mereka.
‘’Pengumuman Perdana Menteri semalam memperlihatkan kesediaan kerajaan bekerjasama dengan semua pihak.
“Keputusan untuk membawa semua parti politik terutamanya pembangkang memperlihatkan kesediaan kerajaan membawa aspirasi semua pihak demi rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Marjohan berkata, dalam memerangi pandemik Covid-19 yang memuncak, semua pihak perlu untuk bekerjasama tidak kira kerajaan atau pembangkang demi rakyat.
“Gencatan politik dan kerjasama dwipartisan perlu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan bilangan mangsa-mangsa Covid-19 ini.
“Golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan. Kami menyeru agar semua pihak bekerjasama dan membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran ketika ini yang dibawa oleh pandemik ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan dan kejayaan dalam peperangan dengan Covid-19 ataupun memanfaatkan rakyat.
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyarankan agar pelajar khususnya berusia 12 hingga 17 tahun perlu divaksin sebelum sesi persekolahan yang dijadualkan dibuka pada 1 September ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ini kerana peningkatan jumlah kes dan penularan Covid-19 ketika ini.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat melaksanakan proses vaksinasi berkenaan dengan secepat mungkin.
“Mereka tidak terkecuali daripada Covid-19. Harap selepas selesai golongan dewasa mendapat vaksin, giliran kanak-kanak pula khasnya berumur 12 hingga 17 tahun.
“Saya harap perkara ini akan diputuskan dan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) secara berperingkat-peringkat, mengikut nasihat pakar.
“Harus kita ingat, kanak-kanak dalam kumpulan ini masih bersekolah. Jadi diharap mereka dapat diberi vaksin sebelum atau ketika sekolah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, di Seri Iskandar hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.
Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat-peringkat untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September ini.
ORANG ramai diminta membuat laporan segera kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya mereka ada terbeli alat pengukur kadar oksigen oximeter tiruan atau palsu.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan itu penting untuk membolehkan pihaknya mengesan golongan yang menjualnya.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima laporan tentang penjualan alat tersebut dalam pasaran sama ada tiruan atau palsu.
Beliau berkata, secara asasnya penjualan alat kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun KPDNHEP boleh mengambil tindakan apabila dijual dengan harga tinggi atau pun produk tiruan dan palsu.
“Kalau ada laporan, kita akan siasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2009 dan jika alat dijual menggunakan cap dagang berdaftar yang palsu dan juga Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 kerana harga yang dijual melampau.
“Justeru, kita minta jika ada maklumat, buat laporan segera kepada KPDNHEP untuk membolehkan siasatan dibuat, tetapi mestilah ada maklumat lengkap termasuk resit pembelian,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Outreach di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanggol, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.
Sempena program itu, seramai 1,500 penduduk sekitar hadir menerima vaksin dos pertama dan outreach tersebut merupakan yang kelapan di Hulu Terengganu.
Pada program tersebut, Rosol turut mengagihkan bendera Jalur Gemilang kepada penerima vaksin sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Menurut Rosol, isu penjualan alatan kesihatan tiruan merupakan perkara serius dan pihaknya akan bertindak tegas sekiranya wujud aktiviti seperti itu bagi memastikan pengguna tidak tertipu.
“Jualan alat kesihatan palsu boleh memberi kesan jangka panjang kepada pengguna, sebab itulah kita mahu elakkan daripada berlaku demi kepentingan pengguna,” ujarnya.
PARTI Bersatu Sabah (PBS ) menyokong pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkenal dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat sekiranya mendapat sokongan rentas parti dalam undi percaya di Parlimen nanti.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki berkata, RUU Anti Lompat merupakan perkara yang telah lama dibawa dan dicadangkan oleh PBS.
“Cadangan dan tindakan ini amat baik dan bertepatan sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita berkata, beliau juga secara peribadi menyokong cadangan itu atas keyakinan bahawa ia boleh membawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.
“PBS turut menyokong penuh cadangan dan langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran yang akan dibuat sekiranya mendapat sokongan rentas parti undi dua pertiga di dewan rakyat dan dewan negara, kebajikan dan kepentingan rakyat harus mendapat keutamaan,” katanya yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan ADUN Matunggong.
RUU Anti Lompat merupakan antara tujuh perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
Julita berkata, RUU ini adalah antara perkara terpenting yang harus disambut baik dan disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen kerana impaknya bersifat kekal kepada kestabilan negara dan melindungi suara serta kehendak rakyat yang mengundi wakil rakyat mereka.
“Saya tidak hairan melihat reaksi parti-parti politik pembangkang dari Sabah yang menolak cadangan Perdana Menteri khususnya RUU Anti Lompat ini kerana mereka tidak dapat menyokong sesuatu yang merugikan mereka atau menghalang mereka untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.