Category: Semasa

  • Covid-19: Anak sulung Allahyarham Harussani meninggal dunia

    Covid-19: Anak sulung Allahyarham Harussani meninggal dunia

    SELEPAS tiga bulan pemergian bekas Mufti Perak Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria akibat Covid-19, anak sulung Allahyarham, A Abdul Hakim Mazhar meninggal dunia awal pagi hari ini kerana penyakit serupa.

    Perkara itu disahkan adik bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 44, hari ini.

    Menurutnya, Allahyarham A Abdul Hakim meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi.

    Katanya, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat, Ipoh iaitu lokasi sama pengebumian Allahyarham bapanya.

    “Allahyarham meninggalkan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun,” katanya.

    Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei lalu semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana Covid-19.

    Pada ketika itu, penyakit berkenaan turut menjangkiti isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.

  • Pertukaran guru sepanjang tahun dibenarkan-KPM

    Pertukaran guru sepanjang tahun dibenarkan-KPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU garis panduan baharu bagi permohonan pertukaran guru akan dibentangkan bagi menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-Guru.

    Garis panduan tersebut akan dibentangkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lama lagi yang mengandungi banyak penambahbaikan akan diperkenalkan, antaranya membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

    “Banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pertukaran guru ini, KPM akan memberikan penjelasan lanjut tidak lama lagi untuk menyelesaikan isu pertukaran guru telah berlarutan sekian lama.

    “KPM telah meneliti dan memperhalusi dengan mendalam perkara ini bagi mendapatkan penyelesaian terbaik,” ujar Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin dalam kenyataannya yang dimuat naik dalam Facebook, hari ini.

    Menurutnya, beliau menerima banyak permohonan berkaitan pertukaran guru yang berharap agar permohonan pertukaran 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara ‘one-off’ yang telah diumumkan KPM.

    “Sememangnya itulah hasrat KPM, iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 orang guru baharu daripada pengambilan ‘one-off’ ini, kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk tahun 2021.

    “Namun begitu terdapat beberapa perkara utama yang kita ambil kira dalam memertimbangkan sebarang permohonan pertukaran,” katanya.

    Kata Radzi, faktor pertama yang dipertimbangkan dalam pertukaran guru ialah kekosongan jawatan di negeri yang dipohon dan keduanya keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

    “Katakan ada kekosongan jawatan di negeri tersebut, tapi tiada kekosongan atau keperluan opsyen di negeri tersebut maka permohonan pertukaran dalam konteks ini amat sukar untuk dipertimbangkan.

    “Kita sedar cabaran dihadapi guru dalam konteks permohonan pertukaran ini dan pihak KPM telah meneiliti permohonan peetukaran guru ini secara menyeluruh,” jelasnya.

  • Datuk Bandar JB bebas dengan ikat jamin berhubung siasatan kes rasuah

    Datuk Bandar JB bebas dengan ikat jamin berhubung siasatan kes rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini membebaskan bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud yang didakwa terlibat rasuah bagi projek berkaitan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memberitahu, Majistret Normadiana Mamat

    membenarkan suspek yang juga bekas Datuk Bandar MBIP dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit beserta seorang penjamin.

    “Beliau perlu hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan ke Pejabat SPRM.
    Siasatan masih lagi dijalankan,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Rabu lalu, bekas Datuk Bandar Johor Bahru itu dikenakan tahanan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah ketika beliau menjawat jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Islandar Puteri (MBIP).

    Beliau yang juga berusia 60 tahun itu didakwa telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar.

    Siasatan terhadap beliau dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

  • 3.8 juta kes Covid-19 di Indonesia, kini paling teruk di Asia Tenggara

    3.8 juta kes Covid-19 di Indonesia, kini paling teruk di Asia Tenggara

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    INDONESIA menjadi negara di Asia Tenggara paling teruk mencatatkan kes Covid-19 yang kini keseluruhan berjumlah 3,854,354 jangkitan.

    Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan, jangkitan harian Covid-19 di negara itu meningkat kepada 20,813 kes.

    Kadar kematian akibat coronavirus pula meningkat sehingga 1,222 kes, mencapai jumlah kumulatif 117,588 mangsa terkorban setakat ini.

    Selain itu, dalam tempoh 24 jam, kementerian itu turut melaporkan bahawa 30,361 pesakit sembuh, menjadikan keseluruhan 351,959 orang dibenarkan keluar hospital.

    “Indonesia ketika ini melaksanakan perintah sekatan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) secara berperingkat-peringkat dalam usaha mengurang jangkitan harian Covid-19 selain memperhebatkan pengesanan kontak rapat,” jelas kementerian itu.

    Menurut kementerian itu lagi, sekurang-kurangnya 28.11 juta penduduk negara itu sudah menerima dua suntikan vaksin dan mereka yang disuntik satu dos pula mencecah 53.68 juta orang.

    “Meskipun kes meningkat mendadak secara ketara, ibu negara Indonesia membuka pasar raya pada minggu ini, namun hanya kepada mereka yang sudah divaksin.

    “Sekatan masih dikuat kuasa di kebanyakan lokasi di Indonesia dan pasar raya Jakarta dibuka dengan kebenaran 25 peratus operasi bagi memastikan ekonomi terus berjalan,” tambah kenyataan itu.

    Namun, pengunjung perlu buktikan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan menerusi aplikasi telefon pintar.

    Program inokulasi di negara itu menunjukkan seorang daripada lima penduduk Indonesia sudah disuntik dalam program besar-besar yang diadakan sejak Januari lalu. – AGENSI

  • Vaksinasi Covid-19: 45.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Vaksinasi Covid-19: 45.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam.

    SEBANYAK 10,734,415 orang atau 32.9 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi dos pertama, sebanyak 17,076,440 atau 52.3 peratus daripada populasi negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 72.9 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 45.9 peratus penerima lengkap dua dos vaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 27,810,855 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya
    menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Adham berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 415,875 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 143,671 dos pertama diberikan manakala 272,204 lagi melibatkan dos kedua.

  • 3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Kejadian itu berlaku selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.

    Katanya, ketika tiba dilokasi kejadian didapati tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir ke lokasi.

    “Anggota bomba yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman api dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat (rescue tools).

    “Identiti ketiga-tiga mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana rentung dan kenderaan dinaiki termasuk nombor pendaftaran turut hangus sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kerja-kerja menyelamat itu dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan tamat sepenuhnya pukul 3.05 pagi.

  • Lengkapkan vaksinasi pelajar sebelum buka sekolah

    Lengkapkan vaksinasi pelajar sebelum buka sekolah

    PARA pelajar kelas peperiksaan yang dibenarkan ke sekolah mulai 3 Oktober nanti seharusnya diberi suntikan dua dos vaksin terlebih dahulu.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan mengelakkan penularan COVID-19.

    “Begitu juga mesti dipastikan bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang dewasa di rumah juga telah lengkap mendapat dua dos vaksin sebelum anak-anak mereka boleh ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini kepada 3 Oktober.

    Beliau membuat pengumuman tersebut melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, hari ini.

    Radzi memberitahu, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

    Anuar turut mengalu-alukan pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat dan sesuai dengan keadaan semasa di mana jangkitan COVID-19 yang sangat membimbangkan khususnya dalam kalangan ibu bapa dan para guru.

    Menurut beliau, sejak sebulan lalu para aktivis dan NGO pendidikan bersama sebahagian besar ibu bapa di seluruh negara telah menyuarakan kerisauan mereka dan mendesak supaya pembukaan sekolah pada 1 September ini ditangguhkan.

    “Dengan pengumuman penangguhan oleh Kementerian Pendidikan petang ini, ibu bapa tentunya dapat menarik nafas lega,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, Anuar memberitahu, berdasarkan takwim persekolahan 2021, sekolah akan mula bercuti akhir tahun mulai 11 Disember ini.

    “Ini bermakna bermula 3 Oktober 2021, murid-murid hanya akan bersekolah sekitar 46 hari sahaja lagi sehingga tarikh cuti sekolah akhir tahun.

    “Oleh itu tidak banyak pembelajaran yang dapat dilakukan dalam tempoh masa tersebut. Ini juga dengan andaian sekolah tidak ditutup jika berlaku kes jangkitan di sekolah.

    “Jika berlaku kes jangkitan di sekolah, minggu persekolahan akan berkurangan dan pastinya akan mengganggu pembelajaran murid-murid,” katanya.

    Beliau menambah, sesuai dengan baki hari persekolahan yang masih tinggal dan untuk meminimumkan risiko dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa, sebaik-baiknya hanya pelajar kelas peperiksaan sahaja yang dibenarkan bersekolah pada 3 Oktober nanti sehingga hujung tahun bagi negeri Fasa 2 dan 3.

    “Manakala murid-murid lain kekal belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti sekolah hujung tahun,” katanya.

  • Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini kepada 3 Oktober.

    Beliau membuat pengumuman tersebut melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, hari ini.

    Radzi memberitahu, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

    “Perincian pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

    “Namun, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN.

    “Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang pembukaan semula sekolah,” katanya.

    Radzi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan anak-anak dan kebimbangan ibu bapa.

    “Bagi negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja.

    “Negeri Fasa 3 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan dan murid-murid lain,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Radzi berkata, bagi negeri Fasa 2 dan 3 pula, pembukaan sekolah dibenarkan selepas penilaian risiko penularan wabak di negeri berkenaan.

    Sebelum ini, orang ramai khususnya ibu bapa menyuarakan kebimbangan tentang perancangan Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah secara berperingkat mulai 1 September ekoran situasi COVID-19 yang masih belum reda.

  • Covid:Gagal patuhi arahan kuarantin cetus kluster 41 kes

    Covid:Gagal patuhi arahan kuarantin cetus kluster 41 kes

    KEGAGALAN seorang wanita berusia 32 tahun mematuhi arahan kuarantin mencetus Kluster Paka Kawiyan di Ranau yang baharu direkodkan hari ini melibatkan 41 kes positif COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

    Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata wanita kes indeks itu disahkan positif hasil saringan rentas negeri dan didapati berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses talian internet.

    “Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga 14 Ogos, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks. Daripada 132 orang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif termasuk 13 kes baharu hari ini,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

    Masidi berkata dua lagi kluster yang direkodkan hari ini ialah Kluster Tangkuyan di Kinabatangan iaitu kluster komuniti yang merekodkan 129 kes positif COVID-19, dan Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu sebuah kluster tempat kerja melibatkan 18 kes.

    “Kluster Tangkuyan dicetus kerani wanita berusia 27 tahun di ladang sawit Beluran yang menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan di Kuamut, manakala Kluster Segama Batu Satu dicetus lelaki 40 tahun di syarikat perusahaan tayar,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah ialah 1,665 kes menjadikan jumlah kumulatif 105,102 kes, manakala jumlah pesakit sembuh hari ini 1,220 menjadikan jumlah kumulatif 88,196 orang dan 5,268 pesakit sedang menerima rawatan.

    “Sehingga semalam (14 Ogos), 45.4 peratus atau lebih 1.25 juta penduduk dewasa Sabah telah memperolehi satu dos vaksin dan 21.7 peratus atau 599,823 melengkapkan dua dos. Peratusan penerima dua dos lengkap dijangka bertambah minggu hadapan apabila lebih ramai penduduk memperolehi dos kedua,” katanya.- BERNAMA

  • Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    DATUK Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Memetik laporan BH Online, pengakuan Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekali gus mengesahkan terdapat usaha sedemikian.

    Walau bagaimanapun, Mohamed Nazri tidak mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen lain yang mungkin menandatangani akuan bersumpah tersebut.

    “Ya, saya sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong (Datuk Seri) Ismail Sabri, Ahli Parlimen lain saya tidak tahu, kena tanya mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai usaha dibuat oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

    Difahamkan, Muhyiddin dalam mesyuarat dengan Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi tadi menyuarakan hasrat mahu meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan perkara tersebut.