Category: Semasa

  • Menteri, Jabatan Penjara ‘kunci mulut’ tentang lawatan istimewa Zahid, MKT UMNO bertemu Najib

    Menteri, Jabatan Penjara ‘kunci mulut’ tentang lawatan istimewa Zahid, MKT UMNO bertemu Najib

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat ‘layanan istimewa’ ketika melawat Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang, Selangor.

    Ini susulan kenyataan pemimpin UMNO itu meluangkan masa hampir dua jam bersama Najib yang juga bekas Perdana Menteri dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Penjara Kajang, baru-baru ini.

    Zahid turut mendakwa membawa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama.

    “Kami sempat makan tengah hari bersama. Selepas setengah jam kami berjumpa, saya berjumpa empat mata pula dengan Najib selama 1 jam 30 minit,” katanya dipetik dalam ucapan gulung ketika Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada Sabtu.

    MalaysiaNow sudah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan setiausaha akhbarnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.

    Sementara pegawai perhubungan awam Jabatan Penjara hanya meninggalkan pesanan dan pertanyaan MalaysiaNow tanpa sebarang maklum balas.

    Semalam, peguam Rafique Rashid menggesa kedua-dua pihak itu tampil menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul selepas lawatan Zahid ke penjara.

    Ini kerana, katanya, Zahid dan sekutunya jelas sudah melanggar peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi dalam proses melawat banduan di setiap penjara dalam negara.

    Antaranya tempoh masa 45 minit maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.

    Selain itu, sekatan masuk makanan dan minuman dari luar selain tiada sebarang peranti atau barangan dibenarkan bawa masuk ketika melawat.

    Para pelawat juga tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan.

    Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.

    Ini bermakna, katanya, pengalaman yang sama juga dilalui oleh ahli keluarga dan orang awam ketika melawat banduan di penjara.

    “Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib,” soalnya.

  • Perjanjian dengan Indonesia masih belum selesaikan pertikaian maritim, kata Anwar

    Perjanjian dengan Indonesia masih belum selesaikan pertikaian maritim, kata Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini, yang mendapat pujian dari kedua-dua negara sebagai satu kejayaan menyelesaikan pertikaian maritim selama 18 tahun di Selat Melaka dan Laut Sulawesi, masih belum selesai. 

    Beliau berkata, ini kerana Malaysia masih bertegas dengan tuntutannya di Laut Sulawesi serta bahagian paling selatan Selat Melaka.

    “Perjanjian ini tidak termasuk kawasan yang masih dirunding termasuk di Pulau Sebatik di Sulawesi Selatan, kerana dalam memuktamadkannya, kita akan undang wakil Sabah, dan oleh kerana belum ada persetujuan, maka bab kecil ini belum lagi diselesaikan.

    “Begitu juga, perjanjian ini tidak melibatkan kawasan had Pelabuhan Tanjung Pelepas, tidak termasuk sekali,” kata Anwar pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    “Rundingan untuk melengkapkan garis sempadan wilayah di Laut Sulawesi masih diteruskan. 

    “Saya beritahu Presiden Jokowi, Malaysia masih mempertahankannya sebagai milik Malaysia, dan menurut Jokowi, pakar-pakar dia sebut itu milik dia (Indonesia). 

    “Maka kita menangguhkan dan meneruskan perbincangan.”

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari Perikatan Nasional (PN) yang bertanya sama ada perjanjian itu ditandatangani dengan restu pakar maritim.

    Sebelum ini media melaporkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Jun semasa lawatan Jokowi ke Malaysia menamatkan pertikaian sempadan maritim yang berlarutan antara kedua-dua negara jiran.

    “Selepas 18 tahun rundingan… Alhamdulillahlah, ia akhirnya dapat diselesaikan,” kata Jokowi dipetik AP sebagai berkata pada sidang media bersama Anwar.

    Dalam kenyataan bersama, Anwar dan Jokowi berkata, perjanjian Selat Melaka dan perjanjian Laut Sulawesi adalah antara enam instrumen yang ditandatangani oleh kedua-dua negara.

    Kedua-dua pemimpin itu berkata pemeteraian perjanjian itu melambangkan ‘hubungan harmoni dan persahabatan antara kedua-dua negara’ dan menyediakan asas kukuh untuk rundingan sempadan maritim pada masa depan.

    “Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk menugaskan pasukan rundingan sempadan maritim mereka untuk memulakan rundingan secepat mungkin mengenai semua sempadan maritim yang tinggal dan tertunggak antara kedua-dua negara secara serentak,” tambah kenyataan itu.

    Sehari sebelum perjanjian itu dimeterai, MalaysiaNow melaporkan pakar maritim mengingatkan Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu dengan Indonesia untuk menyelesaikan pertikaian itu, mengatakan Malaysia tidak mampu untuk berkompromi dengan sebarang penyelesaian yang merugikan negara. 

    “Jika Malaysia membuat sebarang kompromi, bukan sahaja Johor akan kehilangan wilayah lautnya, ia juga akan menghadapi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritimnya termasuk yang berkaitan dengan Pelabuhan Tanjong Pelepas,” lapor MalaysiaNow memetik sumber Wisma Putra dan diplomatik.

    Mereka berkata Pelabuhan Tawau Sabah juga akan terjejas oleh sebarang perjanjian yang menyerahkan tuntutan Malaysia di Laut Sulawesi, sambil menambah pakar maritim membuat kesimpulan bahawa Malaysia boleh menuntut kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Johor. 

    Takiyuddin berkata, kerajaan langsung tidak mempedulikan pendapat pakar dalam menandatangani perjanjian itu.

    “(Perjanjian ini) bukanlah langkah pro-aktif menyelesaikan pertikaian. tetapi lebih merupakan langkah kompromi yang kurang berhati-hati yang boleh merugikan usaha melindungi hak wilayah Malaysia dan menyentuh soal kedaulatan negara.”

    Anwar dengan tegas menolak dakwaan itu, dan mempersoalkan siapakah pakar tersebut. 

    Beliau berkata, kerajaan sudah berunding dengan Kementerian Luar, Jabatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan serta peguam negara. 

    Anwar juga berkata Sultan Johor dimaklumkan bahawa pertikaian maritim tidak melibatkan wilayah Johor, tetapi hanya melibatkan Sabah.

  • Gelandangan marah tak dipanggil ‘baby’ kena denda RM300

    Gelandangan marah tak dipanggil ‘baby’ kena denda RM300

    SEORANG gelandangan didenda sebanyak RM300 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini kerana mengamuk di sebuah kedai makan di Subang Jaya, awal bulan lalu.

    Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Asri Abdullah, 50, mengaku bersalah.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Darlis Nasi Dagang di Putra Heights, Subang Jaya sekitar jam 9 pagi pada 4 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

    UtusanTV sebelum ini melaporkan seorang pelanggan mengamuk selepas permintaan untuk memanggil dirinya abang atau ‘baby’ tidak dilayan pekerja sebuah kedai makan.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki itu bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun, mengugut serta membuat kacau selepas pelayan di kedai itu tetap memanggilnya dengan gelaran pakcik.

    Suspek juga telah membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran lalu terkena anak pengadu berusia empat tahun.

  • Operasi Judi online di kondominium, bangunan pejabat masuk ‘jerat’ polis

    Operasi Judi online di kondominium, bangunan pejabat masuk ‘jerat’ polis

    KEGIATAN tiga sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebalik kondominium dan bangunan pejabat di sekitar ibu negara terbongkar selepas digempur polis baru-baru ini.

    Lima premis itu diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bermula 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

    Menurut sumber, operasi khas yang dijalankan telah berjaya menahan 17 individu berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita dengan rampasan pelbagai jenis set komputer, komputer riba, telefon bimbit dan tablet serta kredit limit dengan keseluruhan anggaran nilai RM4.9 juta.

    “Semakan mendapati suspek membabitkan empat warga Indonesia, seorang Thailand dan selebihnya warga tempatan.

    “Soal siasat mendapati mereka ini berperanan menjalankan promosi, menerima dan memindahkan wang pertaruhan yang diterima daripada pelanggan tanpa bersemuka dan semua transaksi di alam maya,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tambah sumber, operator bertindak sebagai orang tengah bagi pemudahcara kepada pelanggan. Pelanggan akan berhubung hanya perlu melalui WhatsApp atau Telegram bagi jenis permainan yang ingin dimainkan bersama kemasukan wang pertaruhan melalui pindahan dalam talian.

    Katanya, operator akan membuka satu akaun baharu kepada pelanggan dengan memberikan ID dan kata laluan pelanggan setelah pelanggan menyatakan untuk mendaftar.

    “Operator akan membuat pembayaran wang kemenangan terus kepada akaun pelanggan.

    “Dipercayai suspek ini menerima gaji bulanan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 bergantung peranan masing-masing,” ujarnya.

    Kata sumber, soal siasat mendapati kondominium dan premis pejabat disewa untuk dijadikan sebagai pusat panggilan dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 selain dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan selain akses kad.

    “Mereka ini dipercayai daripada sindiket berlainan iaitu sindiket Eric, Grand 777 dan BBC 63 yang telah aktif sejak dua hingga tujuh bulan lalu. Kita percaya sindiket ini kerap berpindah-pindah bagi elak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

    “PDRM tidak berkompromi dan akan terus menggempur aktiviti judi tanpa lesen sah secara berterusan serta tindakan tegas akan diambil terhadap sindiket perjudian termasuk mengambil tindakan undang-undang sedia ada dan pencegahan.

    “Antaranya, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” tegasnya.

  • Isu kalimah Allah: PN mahu Anwar diheret ke jawatankuasa Parlimen

    Isu kalimah Allah: PN mahu Anwar diheret ke jawatankuasa Parlimen

    PERBAHASAN Dewan Rakyat pagi ini dikejutkan apabila Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mencadangkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Tambun) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

    Perdana Menteri dakwanya, mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai isu Allah dalam mewajarkan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.

    Anwar pada 23 Mei lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau telah merujuk dengan Raja-raja Melayu dan majlis agama Islam negeri sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan itu.

    Bagaimanapun, Zulkafperi mendakwa Sultan Selangor dalam satu kenyataan bertitah, perkara itu tidak dirujuk atau dibincangkan dengan baginda.

    “Pada 23 Mei, Tambun (Anwar) menafikan tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dalam menarik balik rayuan kes Allah.

    “Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) tanya kepada Perdana Menteri sama ada kerajaan ada merujuk kepada Raja-raja Melayu dan majlis-majlis agama Islam negeri sebelum mereka ‘senyap-senyap’ menarik balik rayuan berhubung kes itu,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

  • Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

    Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan kepada Interpol untuk mendapatkan butiran dan lokasi terkini pelawak Jocelyn Chia, yang baru-baru ini dikecam kerana memperlekehkan Malaysia dalam persembahannya di Amerika Syarikat.

    Ketua Polis Negara,Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, permohonan akan dibuat untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkini wanita berasal dari Singapura itu, lapor FMT.

    Terdahulu tular dalam media sosial klip video memaparkan seorang pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang diadakan di New York, baru-baru ini.

    Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan menyentuh kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.

    Berita lanjut menyusul

  • Pemilik kelab komedi fail permohonan baharu semak tuduhan jenayah siber

    Pemilik kelab komedi fail permohonan baharu semak tuduhan jenayah siber

    PEMILIK bersama Crackhouse Comedy Club Rizal van Geyzel memfailkan permohonan baharu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak tiga tuduhan jenayah siber yang dihadapinya.

    Ini berhubung tindakannya memuat naik kandungan yang didakwa menyinggung perasaan dalam media sosial.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Aslinda Che Seman memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihak pendakwaan menerima surat representasi ketiga pihak pembelaan pada Rabu lepas.

    “Kami masih meneliti isi kandungan surat itu,” katanya, lapor FMT, hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan 26 Jun untuk pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah tentang keputusannya menyemak tuduhan Rizal.

    Rizal diwakili M. Pravin selaku peguam.

  • Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    PEMUDA maut semasa membantu seorang mangsa kemalangan apabila dia sendiri dirempuh kereta dalam nahas dua kenderaan di Jalan Song, Kuching sekitar jam 2 pagi tadi.

    Mangsa, Jude Jimmy, 22, sedang membantu seorang pemandu kenderaan Perodua Myvi yang sebelum itu terbabas dan melanggar sebatang pokok.

    Jude bagaimanapun tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus RX 200t, yang dinaiki dua lelaki.

    Insiden tersebut menyebabkan Jude mengalami kecederaan di kaki kanan.

    Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.13 pagi dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan telah bertindak menstabilkan kecederaan Jude, sebelum mengeluarkan pemandu Myvi yang tersepit di ruang pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kedua-dua mangsa, termasuk pemandu Myvi yang berusia 36 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Rawatan KPJ masing-masing untuk rawatan lanjut.

    Pemandu dan penumpang pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Henderi lagi.

    Kes katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    MAHKAMAH Sesyen Seremban memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) membayar ganti rugi berjumlah RM281,807.20 kepada keluarga renjer yang maut selepas terkena tembakan rakan setugas dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun di Rembau pada 2018.

    Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu semalam berhubung tuntutan saman yang dibuat isteri mendiang Cyril Quing iaitu, Winnona Simon serta dua anak, Callista Wanda Cyril dan Calliandra Wenzel Cyril pada tahun 2020.

    Keluarga mendiang memfailkan saman terhadap empat defendan iaitu ketua operasi, Mohamad Hakim Mohamed Khairuddin, 35, Pengarah Perhilitan, Ketua Pengarah Perhilitan dan kerajaan Malaysia.

    Peguam, Ahmad Nabilimran Ahmad Halimi yang mewakili keluarga mendiang berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutannya di mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian mendiang.

    “Ini kerana, ketika operasi itu, mendiang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab defendan untuk memastikan keselamatan dalam operasi yang melibatkan senjata api.

    “Mahkamah juga memaklumkan defendan kedua, ketiga dan keempat turut bertanggungjawab atas kecuaian defendan pertama,” katanya kepada media hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ujarnya, mahkamah menetapkan bayaran RM165,307.20 untuk kehilangan tanggungan, RM10,000 untuk kedukaan, RM6,500 untuk kos pengebumian dan RM100,000 untuk kerosakan yang lebih teruk.

    Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan faedah lima peratus untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman sehingga penghakiman dan 2.5 peratus untuk ganti rugi khas dari tarikh kejadian (29.8.2018) sehingga tarikh penghakiman.

    Selain itu ujar beliau, lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos tindakan secara global sebanyak RM30,000.

    Media pada 29 Ogos 2018 melaporkan kematian Cyril Quing, 35, ketika dia bersama 16 rakan setugas terbabit dalam operasi diadakan.

    Bagaimanapun ketika operasi berkenaan, mangsa secara tiba-tiba berlari keluar hutan dan meminta bantuan rakan setugas lain kerana dia terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

    Mangsa kemudian dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

  • Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    SEORANG penganggur ditahan malam tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah tadika di Bandar Putra, Kulai pada Ogos tahun lepas.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Supt Yusof Othman berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kulai pada kira-kira pukul 7.30 malam di hadapan sebuah kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, Gugusan Felda Taib Andak di sini.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat seorang guru pada 16 Ogos tahun lepas selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di Kulai, sebelum mendapati sebuah komputer riba serta sebuah projektor telah hilang.

    “Mangsa yang kemudiannya membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya telah menceroboh masuk tadika berkenaan, membabitkan kerugian dianggarkan RM2,000.

    “Hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan pecah tadika di kawasan Bandar Putra pada 15 Ogos tahun lepas, dan siasatan lanjut akan dijalankan dalam penglibatan kes jenayah lain di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Yusof berkata pihaknya turut merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dan pengecaman terhadap barangan rampasan akan dilakukan oleh mangsa.

    “Hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta rekod orang dikehendaki melibatkan kes 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Dia akan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua, jika disabit bersalah,” katanya.