Category: Semasa

  • Pencemaran sungai: Kalau nak harap Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed’ gagal – Wan Saiful

    Pencemaran sungai: Kalau nak harap Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed’ gagal – Wan Saiful

    KERAJAAN Pulau Pinang didakwa gagal menyelesaikan masalah pencemaran sungai yang berlaku di negeri itu.

    Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan negeri tidak lagi ‘boleh diharapkan’ untuk menyelesaikan masalah itu, dengan mengambil contoh insiden pencemaran Sungai Kereh di bawah Parlimennya.

    Jelas Wan Saiful, masalah di sungai terbabit dikesan berpunca daripada ladang ternakan babi yang terletak di kawasan berdekatan.

    “Saya nak timbulkan secara spesifik (pencemaran) Sungai Kereh di Tasek Gelugor. Masalah ini sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Ada sinar semasa Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) menjadi menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

    “Tetapi seperti disebut oleh Timbalan Menteri (Datuk Seri Huang Tiong Sii), kalau nak selesai betul-betul, sumber pencemaran adalah ladang babi yang berdekatan di Kampung Selamat.

    “Tetapi selama ini tidak selesai. Kalau ikut Timbalan Menteri tadi, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya. Kalau nak diharapkan Kerajaan Pulau Pinang, saya rasa setakat ini ‘confirmed’ gagal,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat.

    Justeru, Wan Saiful meminta jaminan daripada Kerajaan Persekutuan agar masalah pencemaran di Sungai Kereh dapat diselesaikan, sekali gus dakwanya mengurangkan ‘kegagalan’ Kerajaan Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, soalan yang dibangkitkan Wan Saiful dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu membuat sangkaan jahat.

    “Dalam soalan tadi YB (Tasek Gelugor) mengatakan kalau mengharapkan Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed gagal’. Itu merupakan satu kenyataan tak betul,” katanya lapor Astro Awani.

    Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudian memaklumkan apa yang dibangkitkan Wan Saiful tidak dituju kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat.

    “Peraturan Mesyuarat 36 (6), seseorang ahli tidak boleh memgeluarkan sangkaan jahat terhadap siapa-siapa ahli lain. YB Tasek Gelugor tidak menuju kepada siapa-siapa ahli (Dewan Rakyat),” jelas beliau.

    Begitu pun, RSN Rayer tidak berpuas hati dan mendakwa kenyataan Wan Saiful dituju kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

    “Itu tidak adil…” dakwa RSN Rayer.

    Alice sekali lagi menegaskan beliau telah membuat ‘ruling’ berhubung perkara itu.

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Kon Yeow.

  • Warga emas putih mata, wang KWSP RM100,000 lesap ditipu ‘pegawai polis’

    Warga emas putih mata, wang KWSP RM100,000 lesap ditipu ‘pegawai polis’

    SEORANG warga emas berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya sebanyak RM100,000 lesap selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 5 Jun lalu selepas mangsa yang berumur 67 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

    “Dalam perbualan, suspek menyatakan mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad pengenalan serta hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

    “Mangsa berasa takut dan telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang berjumlah RM100,000 ke dua akaun bank suspek yang diberikan,” katanya di Kuantan hari ini.

    Menurut Yahaya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

    Katanya berdadasarkan siasatan awal mendapati mangsa telah memindahkan wang simpanan KWSP miliknya kepada suspek selepas terpedaya dengan helah suspek.

    Sementara itu dalam kes berasingan di Temerloh, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95,200 selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

    Katanya kejadian bermula pada 1 Januari lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat kurier yang menyatakan nama mangsa digunakan dalam penghantaran bahan terlarang ke Perlis.

    “Kemudian panggilan tersebut telah disambung kononnya kepada pihak polis dan mahkamah dan mangsa diminta membuat pinjaman peribadi dan wang tersebut dipindahkan ke satu akaun juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

    “Dalam tempoh seminggu mulai 14 April 2023 mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM 95,200.00 ke empat akaun yang berbeza,”ujarnya.

  • Dakwaan ‘helikopter’ hantar murid ke sekolah di Shah Alam dapat perhatian polis

    Dakwaan ‘helikopter’ hantar murid ke sekolah di Shah Alam dapat perhatian polis

    POLIS akan membuat laporan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selepas sebuah helikopter dilihat mendarat di sebuah kawasan lapang di Shah Alam, dikatakan untuk menghantar seorang kanak-kanak ke sekolah.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menyerahkan kepada CAAM untuk siasat sama ada pengendali pesawat itu memiliki permit sah apabila ia mendarat di kawasan perumahan itu pada 17 April lalu.

    “Kita belum terima sebarang laporan tentang kejadian itu,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, seorang penduduk berkongsi video memaparkan helikopter itu berlepas dari sebuah kawasan lapang berdekatan kawasan perumahan di Shah Alam itu.

    Sekeping gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

    Penduduk itu, yang minta tidak dinamakan, mendakwa kanak-kanak itu kemudian memasuki pintu belakang sebuah sekolah.

    Dia mendakwa ini kali kedua sebuah helikopter mendarat di situ, namun penduduk tidak merakam kejadian pertama.

    “Pada 5 Mei, saya timbulkan hal ini dengan pihak sekolah menerusi Facebook, bukan sahaja untuk mengadu tentang isu helikopter ini tetapi juga menyuarakan kebimbangan tentang ibu bapa meletak kenderaan di tepian jalan di kawasan perumahan kami,” katanya.

    Penduduk itu berkata helikopter tidak lagi kelihatan sejak sekolah dimaklumkan.

    FMT sedang mendapatkann komen CAAM dan Kementerian Pengangkutan.

  • Wanita ‘rembat’ barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000 ditahan

    Wanita ‘rembat’ barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000 ditahan

    SEORANG wanita ditahan polis Pulau Pinang kelmarin selepas disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya sendiri bernilai RM90,000.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.

    ”Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan suspek ditahan keesokan harinya.

    ”Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.

    Katanya, susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.

    “Suspek kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Jemaah haji perlu bersedia hadapi cuaca panas, ruang khemah terhad – Syed Saleh

    Jemaah haji perlu bersedia hadapi cuaca panas, ruang khemah terhad – Syed Saleh

    KESEDIAAN operasi Masyair dari segi khemah penginapan, bekalan elektrik, bilik air dan lain-lain kemudahan berada pada tahap 60 peratus.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua kemudahan itu akan siap sepenuhnya sebelum jemaah haji memasuki Arafah pada 8 Zulhijjah.

    “Ketika ini pekerja sedang bertungkus-lumus menyiapkan segala kemudahan dan petugas haji juga memantau proses tersebut,” katanya selepas meninjau persiapan operasi di Arafah, Mina dan Mudzalifah lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Operasi Masyair adalah kemuncak kepada keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

    Kata Syed Saleh, seperti tahun-tahun sebelumnya, Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan seperti penyaman udara dan klinik kesihatan untuk kebajikan jemaah haji melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

    Beliau turut mengingatkan 31,600 jemaah haji negara untuk bersedia dengan cuaca panas dan ruang khemah yang terhad.

    Sementara itu, malam tadi  diadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di Abraj Janadriyah

    Pekerja-pekerja bertungkus lumus siapkan kemudahan untuk jemaah haji di Arafah

    Syed Saleh dalam ucapannya berkata, menjangkau usia 60 tahun TH, banyak pembaharun besar yang telah dilakukan dalam menjaga kepentingan umat Islam.

    “Pada suatu permulaan yang amat sederhana pada 1963 hanya seramai 1,281 orang pendeposit awal yang menyimpan dengan jumlah sebanyak RM46,610.

    “60 tahun kemudian iaitu sekarang TH telah mempunyai pendeposit seramai 8.9 juta orang iaitu simpanan sebanyak RM89 bilion,” katanya.

    Kata beliau, ia adalah bukti bahawa umat Islam merasakan TH adalah tonggak kekuatan yang harus dipertahankan dan mereka terus memberikan sokongan kepada TH.

    “Dari segi urusan haji TH uruskan 1.5 juta orang Islam tunai haji. Daripada zaman kapal laut sampailah zaman kapal terbang. Daripada zaman khemah tanpa kemudahan kepada zaman khemah ada penyaman udara.

    “Daripada bawa beg atas bumbung bas kepada era beg diuruskan petugas TH sampai di tepi katil jemaah dan macam-macam lagi kemudahan seperti pusat rawatan canggih,” katanya.

    Kata Syed Saleh, dengan pembaharuan dan pengurusan cekap itu maka membolehkan TH terus diperakui sebagai operator terbaik di dunia apabila menerima Anugerah Labaittom daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Kita juga dapat pengiktirafan daripada jemaah yang berpuas hati dengan perkhidmatan TH apabila pada tahun lepas kita mencatatkan 94 peratus kepuasan pelanggan,” katanya.

  • RORO dari Kuala Kedah ke Langkawi mula beroperasi

    RORO dari Kuala Kedah ke Langkawi mula beroperasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ORANG ramai kini mempunyai pilihan untuk menaiki feri roll-on roll-off (RORO) yang membawa kenderaan dan penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi berbanding daripada hanya menggunakan perkhidmatan tersebut dari Kuala Perlis sebelum ini.

    Menurut Eksekutif Pemasaran dan Jualan Langkawi Kedah RORO Management Sdn Bhd, Ismail Zain, perkhidmatan My RORO Tiga itu telah mula beroperasi pada 22 April lalu bagi tujuan membawa masuk kenderaan dan penumpang bagi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

    Katanya, feri tersebut mampu memuatkan kapasiti penumpang seramai 220 orang serta lebih 60 kenderaan awam termasuk kenderaan perdagangan.

    “Buat masa ini RORO yang beroperasi hanya satu sahaja dan ia mengambil masa tiga jam untuk perjalanan pergi dan juga balik.

    “Perkhidmatan RORO dari Kuala Kedah terletak di belakang Jabatan Laut bergerak pada pukul 1.30 petang manakala RORO dari Langkawi di Tanjung Lembung pula adalah pada pukul 9 pagi,” katanya.

    Tambahnya, buat masa ini perkhidmatan RORO berkenaan mendapat sambutan yang baik selain perkhidmatan feri di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

    “Orang ramai boleh datang membeli tiket di pejabat kami di depan Jabatan Laut atau menghubungi talian 04-7622515. Dalam tempoh enam bulan lagi, kami mungkin akan menambah enam lagi RORO dan jadual perjalanan bagi menampung keperluan.

    “Kadar tambang RORO ini juga bergantung kepada jenis kenderaan dan kapasiti enjin (cc) manakala harga tiket bagi penumpang sama seperti perkhidmatan feri biasa iaitu RM26.50 sehala,” katanya.

  • 2 bot, 8 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    2 bot, 8 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan asing serta lapan kru warga Indonesia kerana menceroboh perairan negara kelmarin.

    Katanya, bot-bot itu dikesan di kedudukan 51 kilometer dan 55 kilometer barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang, pukul 10.13 pagi.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mereka ditahan selepas Kapal Maritim Burau melakukan rondaan di bawah Op Pertiwi telah mengesan dan merapati bot berkenaan untuk pemeriksaan.

    ”Bot pertama dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.

    ”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan kira-kira 400 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan oleh KM Burau pukul 10.30 pagi semalam yang mana pemeriksaan lanjut mendapati, empat kru warga Indonesia termasuk tekong berada di atas bot itu bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan 100 kg.

    ”Kesemua kru yang berada di kedua-dua bot berkenaan berumur antara 13 hingga 20 tahun dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua bot itu disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

    Tambahnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sejumlah 500 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut.

    ”Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

  • LCS: Apa yang Syed Saddiq bebal sangat, soal pemimpin AMK

    LCS: Apa yang Syed Saddiq bebal sangat, soal pemimpin AMK

    KONFLIK antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tercetus lagi berkaitan perdebatan berkait skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin membidas dan mempersoalkan apakah Ahli Parlimen Muar Syed Abdul Rahman terlalu bebal untuk memahami keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak usul bagi membahaskan isu LCS.

    Kenyataan keras itu selepas Syed Saddiq yang juga presiden MUDA menegaskan, belia akan terus bersuara berhubung isu LCS meskipun berdepan ugutan.

    Razeef dalam kenyataannya bertanya: “Apa yang Syed Saddiq bebal sangat tak faham?”

    Menurutnya, kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu merupakan teguran atas kebiadaban Syed Saddiq yang memutar belit fakta usul ditolak.

    “Namun hari ini beliau memutar belit teguran AMK sebagai satu ugutan supaya beliau tidak menyuarakan isu rakyat dan ini sangat tidak benar,” katanya, lapor Malaysiakini hari ini.

    Skandal LCS merujuk kepada projek di mana Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menyerahkan kapal pertama daripada enam kapal kepada tentera laut.

    Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019. Pada masa ini, tiada kapal yang hampir siap.

    Bulan lalu, Putrajaya memutuskan untuk menyelamatkan BNS dan meningkatkan pembiayaan kepada RM11.2 bilion.

    Selain itu, BNS hanya perlu menghantar lima kapal berbanding enam kapal sebelum ini.

    Pada Khamis lalu, Syed Saddiq mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, usul itu ditolak Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul atas beberapa sebab.

    Syed Saddiq berkata, Johari bersikap tidak adil terhadapnya dan mendakwa usul untuk membincangkan skandal LCS ditolak kerana Speaker menganggap ia ‘bukan soal kepentingan orang ramai’ dan ‘bukan keperluan mendesak’.

    Johari bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menjelaskan bahawa beliau menolak usul itu antara lain kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.

    AMK pada Ahad lalu membidas Syed Saddiq kerana didakwa cuba ‘mengalihkan tiang gol’ selepas usul untuk membincangkan skandal LCS itu ditolak.

    AMK berkata, presiden MUDA itu menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan cuba melindungi siasatan LCS.

    Sementara itu, Razeef berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah lari daripada usaha menyelesaikan pembinaan kapal dengan kadar segera disamping siasatan bagi mengheret individu yang menyeleweng projek tersebut.

    “Berkenaan peningkatan kos yang berpunca dari perubahan dan penambahan spesifikasi serta inflasi juga telah dijawab namun beliau (Syed Saddiq) masih mengulangi soalan sama seolah terlalu ‘bebal’ untuk memahami,” tambahnya.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat menjelaskan mengapa kerajaan memutuskan untuk membayar tambahan RM2.1 bilion bagi menyambung semula projek LCS yang tertangguh selama beberapa tahun.

    Katanya, mengikut Kontrak Tambahan Keenam (SA6) yang ditandatangani baru-baru ini, ia memerlukan tambahan 83 bulan bagi tempoh pembinaan.

    PAC kini sedang menjalankan siasatan baru ke atas skandal LCS, manakala BNS juga dijangka memberikan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahun.

    Perbalahan antara PKR dan Muda mengenai LCS hanyalah yang terbaru dalam siri pertikaian antara kedua-dua parti selepas MUDA antara lain belum diterima untuk menyertai gabungan PH.

  • MIC pecat Sivarraajh daripada CWC

    MIC pecat Sivarraajh daripada CWC

    BEKAS Naib Presiden MIC, C. Sivarraajh dilucutkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu berkuat kuasa semalam.

    Ketika dihubungi, Ahli Dewan Negara itu mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini.

    “Ya, saya telah dilucut sebagai ahli CWC Namun, tiada alasan diberikan,” katanya.

    Sivarraajh dilantik sebagai ahli CWC selepas kalah pada pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden pada 2021.

    Malaysiakini sedang menghubungi ibu pejabat MIC untuk mendapatkan komen.

    Sivarraajh juga adalah bekas Ketua Pemuda parti itu menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14/ dengan majoriti 597 undi.

    Namun, pada November 2018, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) itu selepas memutuskan berlakunya amalan rasuah.

    Susulannya, pada PRU15, Sivarraajh bertanding di kerusi parlimen Padang Serai.

    Bagaimanapun, pemilihan kerusi itu ditangguh selepas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga penyandangnya M. Karupaiya meninggal dunia ketika tempoh berkempen.

    Susulan, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Sivarraajh bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, pada 7 Disember 2022.

    Pada Mac 2023, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

    Sementara itu, satu sumber MIC memberitahu, bahawa Sivarraajh dilucut sebagai ahli CWC setelah beliau gagal menghadiri program ‘Madani Government: Educational Development and Future of Indians’ di Shah Alam pada Sabtu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).

    “Sivarraajh selaku pemimpin MIC dan ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas, tapi tidak hadir ke program itu,” kata sumber itu.

  • Jabatan Penjara perlu beri penjelasan layanan berbeza kepada Najib – Peguam

    Jabatan Penjara perlu beri penjelasan layanan berbeza kepada Najib – Peguam

    JABATAN Penjara digesa menjelaskan mengapa Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibenarkan melawat Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara dengan layanan berbeza.

    Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff berkata, ada tatacara dan proses serta prosedur tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dengan jumpa banduan.

    “Ada keadaan tertentu di mana ada permohonan dibuat kepada penguasa penjara, namun semua ini spekulasi kerana Zahid tidak memberitahu sama ada beliau membuat permohonan itu ataupun diberi layanan khas kerana memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    “Soalnya kini bukan undang-undang atau peraturan dua darjat, sebaliknya pihak penjara perlu perjelaskan sama ada ada berlaku pelanggaran protokol atau ada permohonan khas yang telah dibuat.

    “Jika ada permohonan, mengapa layanan istimewa diberi, peguam yang mewakili Najib dan pihak penjara kena jelaskan apakah permohonan itu,” katanya kepada Berita Harian hari ini.

    Haniff mengakui, ada situasi tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dua mata dengan banduan seperti contoh pemegang saham atau ahli lembaga pengarah syarikat perlu tandatangan dokumen atau resolusi atau cek syarikat atau selainnya, akan ada permohonan dari pihak peguam pembelaan, namun mesti atas alasan yang kukuh.

    “Sekarang ini kita tak tahu siapa mohon apa, kita tak boleh teka atau anggap yang Timbalan Perdana Menteri diberi layanan khas.

    “Untuk bersikap adil, Zahid bercakap dalam konteks beliau ditanya khabar Najib dipenjara dan beliau dedahkan telah berjumpa dan memberitahu sempat makan bersama, bawa makanan kegemaran dan sebagainya, Zahid tidak menjelaskan sama ada permohonan khas dibuat mana-mana pihak,” katanya.

    Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff

    Pertemuan empat mata sambil menikmati pelbagai makanan yang dibawa, berlangsung di antara Ahmad Zahid dan Najib itu didedahkan sendiri Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

    Haniff berkata, pihak yang wajib memberi penjelasan itu adalah Jabatan Penjara yang membenarkan lawatan itu.

    “Dengan penjelasan yang baik, rakyat takkan pandang serong terhadap Jabatan Penjara dan tanggapan wujudnya undang-undang dan peraturan dua darjat di antara rakyat dan VIP boleh dihapuskan,” katanya.

    Haniff menambah, setiap perkara perlu ada penyelesaian dan beliau meminta rakyat Malaysia hentikan budaya membuat spekulasi dan buruk sangka.

    “Dapatkan maklumat yang tepat, tak perlu diperbesarkan perkara selagi boleh diselesaikan dengan penjelasan pihak berwajib,” katanya.