Category: Semasa

  • Bekas kontraktor mengaku tak bersalah kemuka dokumen palsu mesin perah susu

    Bekas kontraktor mengaku tak bersalah kemuka dokumen palsu mesin perah susu

    SEORANG bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan mesin pemerah susu serta lembu bernilai RM3.7 juta.

    A. Dominic Antoni, 52, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada penolong pegawai veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu bernilai RM1.55 juta sedangkan ia tidak pernah dibekalkan.

    Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa mengemukakan pesanan penghantaran dan invois yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan 441 lembu yang mana 171 lembu daripadanya bernilai RM1.96 juta tidak pernah disediakan.

    Pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 padahal ia tidak dibekalkan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

    Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat sementara tertuduh diwakili peguam, Karthigesan Shanmugam.

    Semasa prosiding, Irwan Shah mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sekali sebulan.

    Bagaimanapun, Karthigesan yang merayu agar kadar itu dikurangkan kerana Dominic tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan kerja rencam.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di ibu pejabat SPRM Sungai Petani, setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 740 kilogram daging kerbau dari India bernilai RM11,700 di Pelabuhan Pasir Gudang di Pasir Gudang, semalam.

    Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa jabatan itu pada 5 petang telah menemukan 37 kotak daging kerbau dalam sebuah kontena.

    “Kotak-kotak tersebut mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput dan nama pengimport tidak sama seperti dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.

    “Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an yang merupakan ejen penghantaran ditahan, bagaimanapun dia telah dilepaskan setelah diambil keterangan,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Edie Putra berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 akta sama.

    Beliau berkata pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal dan selamat digunakan.

  • Projek LRA Kelantan: Tuan Ibrahim jawab nota ‘kelulusan dengan amaran’

    Projek LRA Kelantan: Tuan Ibrahim jawab nota ‘kelulusan dengan amaran’

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengakui pembinaan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan diteruskan tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kelulusan diberikan ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air itu dibuat selepas mengambil kira status pembinaan LRA berkenaan sebagai projek terdesak demi kepentingan rakyat.

    “Kita akui (ia projek terdesak) dan (selepas mendapat kelulusan) mereka telah memulakan proses (pembinaan). Kemudian apabila mula proses tanpa dimaklumkan awal kepada suruhanjaya, maka kita anggap itu satu pelanggaran.

    “Jadi saya luluskan program itu kerana projek mendesak keperluan air bagi penduduk dan keutamaan kita adalah rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

    Awal bulan ini, tersebar enam keping surat berkaitan pembinaan LRA mini di Ketereh, Meranti Baru dan Teluk Mesira yang dimuat naik Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Kelantan (AMK), Mohd. Afiq Asyraf Mohd. Nazi menerusi Facebook awal bulan ini.

    Dalam hantarannya, Mohd. Afiq mempersoal arahan kelulusan dibuat Tuan Ibrahim yang menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan permohonan kelulusan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Dalam surat kepada SPAN bertarikh 28 April 2022, kelulusan projek LRA mini dikeluarkan merangkumi kelulusan bersyarat bagi LRA mini Ketereh dan tidak diluluskan bagi projek LRA mini Meranti Baru dan Teluk Mesira.

    Dalam salah satu surat berkenaan, turut menarik perhatian apabila ia mempunyai tandatangan Ahmad dan Tuan Ibrahim, berserta tulisan ‘diluluskan dengan amaran’.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, surat pembinaan LRA tertera ‘diluluskan dengan amaran’ itu ditujukan untuk projek terdesak yang berkepentingan rakyat sebagai satu bentuk peringatan kepada syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) yang melanggar peraturan ditetapkan SPAN.

    Selain Kelantan, beliau berkata, surat dengan peringatan sama turut dikeluarkan membabitkan projek di negeri lain.

    “Itu cerita lama. Mana-mana operator atau syarikat air negeri, mereka ini terikat dengan peraturan diseragamkan SPAN. Mana-mana berlaku pelanggaran, kita akan beri notis peringatan atau amaran.

    “Kita juga tahu bahawa projek (yang diberikan kelulusan dengan amaran) kerana ia urgent (terdesak). Contohnya di Kelantan kerana (pembinaan) loji (LRA) sangat perlu dan terdesak bahkan ia perlu disegerakan,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata, meskipun ada pelanggaran, pihaknya perlu membuat pertimbangan untuk memulakan projek itu, namun ia mesti mengambil kira faktor tertentu.

    Tambahnya, beberapa langkah juga diambil sebelum meluluskan projek itu antaranya menerusi sesi penjelasan dalam taklimat dengan jawatankuasa berkaitan.

    “Disegerakan. Sebab itu kita kata okay dan luluskan sebab ia membabitkan kepentingan rakyat. Kalau tak, dulu lagi ia berisiko sebab rakyat tengah (berdepan gangguan) air.

    “Kita mematuhi peraturan yang ada. Maknanya sebahagian dokumen sekiranya terdesak sekali pun dan memerlukan projek segera (dilaksanakan) maka boleh melalui proses tersebut. Cuma kita beri amaran.

    “Lagi pun keputusan itu memang kuasa menteri pun dan waktu itu suruhanjaya pun ada beri pandangan.

    “Saya kata okay, tak apalah. Kita perlu beri amaran walaupun kerajaan negeri dan saya menteri dari Pas termasuk yang langgar pun adalah syarikat air dari Kelantan, kita (tetap) beri amaran.

    “Ia (kelulusan dengan amaran) bukan (membabitkan) satu negeri kerana sebenarnya, ada beberapa lagi (kelulusan dengan amaran diberikan) di negeri lain. Ada yang buat pelanggaran dan kita juga beri amaran,” katanya lapor Berita Harian.

  • Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sekawan kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, dua hari lepas.

    Mohamad Haddrie Naim Azmi, 20, yang sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning, meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi akibat kecederaan parah di kepala susulan kemalangan itu.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semasa Mohamad Haddrie melalui kawasan gelap itu bersama tiga rakannya, mereka tidak nampak kelibat sekawan kerbau yang berada atas jalan raya, mengakibatkan keempat-empat mereka merempuh kawanan kerbau itu.

    Beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga lagi rakannya yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

    Dalam kenyataan di sini hari ini Mohd Yusri berkata masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan negeri dan persekutuan perlu ditangani demi keselamatan pengguna jalan raya, dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemilik haiwan ternakan jika didapati sengaja melepaskan haiwan hingga mengakibatkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

  • UMNO sedang runtuh rumah sendiri – Mursyidul Am Pas

    UMNO sedang runtuh rumah sendiri – Mursyidul Am Pas

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyifatkan UMNO sedang meruntuhkan rumah mereka sendiri apabila memecat dan menggantungkan pemimpin yang tidak sebulu dengan pemimpin utama dan kemudian mempelawa pula mereka masuk kembali.

    Katanya,  sebelum ini ramai pemimpin UMNO yang berpengaruh dipecat dan digantung.

    “Tengok sekarang selepas pemimpin tertentu dipecat dan sehari dua ini diajak pula mereka kembali kepada ke pangkuan UMNO. Perkara ini menunjukkan apa? Itulah mereka sedang meruntuhkan rumah mereka sendiri, semua orang boleh nilai,” katanya lapor HarakahDaily.

    Beliau juga berkata, kemasukan bekas-bekas pemimpin berpengaruh UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) dijangka memberi impak besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Kata beliau, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar mempunyai pengikut yang ramai dan berpengaruh dan sudah pasti akan membantu PN.

    Katanya kehadiran Khairy bakal memberi impak dan tidak mustahil boleh membantu merampas Negeri Sembilan. Begitu juga Noh Omar di Selangor. 

  • LGBT: Malaysia kedua terburuk di dunia, KDN jangan tertekan dengan tekanan antarabangsa

    LGBT: Malaysia kedua terburuk di dunia, KDN jangan tertekan dengan tekanan antarabangsa

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak perlu tertekan dengan tekanan di peringkat antarabangsa dalam membendung isu berkaitan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

    Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, KDN perlu terus menggalas tanggungjawab itu mengikut lunas perundangan dan peraturan sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Jangan kita tertekan dengan tekanan antarabangsa. Sebagai contoh, hari ini saya baca Malaysia telah diletakkan sebagai negara kedua terburuk di dunia selepas menolak dan tidak menyokong secara terang-terang hak ke atas transgender.

    “Ini laporan Indeks Hak Trans Global yang dikeluarkan baru-baru ini. Malaysia berada di tempat kedua yang terburuk.

    “Ia mungkin dari satu sudut kita rasa agak kurang senang dengan laporan ini tetapi dalam kita berdepan dengan nilai yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kalau pun terpaksa kita menghadapi indeks yang buruk seperti ini, saya kira ia berbaloi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Fadhli berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2020.

    Media melaporkan Malaysia diberi markah -105 dan penarafan serendah ‘F’ dalam Indeks Hak Trans Global, baru-baru ini.

    Dalam masa sama, beliau membangkitkan pertanyaan mengenai hasil siasatan berhubung perarakan Hari Wanita pada Mac lalu, yang didakwa dicemari dengan kehadiran kumpulan tertentu dipercayai LGBT.

    “Sayangnya sehingga sekarang kita tidak tahu apa status siasatan terhadap perkara tersebut.

    “Walaupun KDN menyebut perkara ini sedang disiasat dan menteri siasat tetapi tidak tahu bagaimana perkembangannya,” ujarnya lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, polis dilapor membuka kertas siasatan melibatkan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Sementara itu, Fadhli bersetuju dengan gesaan laporan SUHAKAM agar pendaftaran wajib dibuat melibatkan sekolah-sekolah tahfiz bagi mengelakkan penyalahgunaan khususnya aktiviti meminta derma.

    “Kita minta mereka yang menyelia madrasah-madrasah tahfiz supaya tidak menjadikan kewujudan sekolah-sekolah tahfiz ini sebagai alasan untuk nak minta derma di merata rata tempat.

    “Walaupun kita yakin bahawa sekolah tahfiz ini memerlukan kepada dana dan sokongan ramai, tapi saya agak kecewa dan agak rasa kurang senang apabila ada di stesen minyak, di tepi lebuh raya dan sebagainya, ada mereka yang memohon derma di atas nama kononnya sekolah tahfiz dan ini perlu untuk diawasi,” tambah beliau.

  • ‘Kantoi’ kahwin lain, warga emas didakwa pukul isteri pertama

    ‘Kantoi’ kahwin lain, warga emas didakwa pukul isteri pertama

    SEORANG akauntan warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memukul isteri selepas rahsia berpoligami diketahui mangsa.

    Norazlan Md. Ali, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, Zaharah Mustapa, 58, dalam sebuah kenderaan jenis BMW XI di kawasan lampu isyarat Bukit Katil di Melaka kira-kira pukul 5.30 petang pada 25 Mac lalu.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa mendapat tahu dirinya telah dimadukan dan berlaku ‘perang mulut’ antara mangsa dan tertuduh sebelum tertuduh didakwa memukul mangsa.

    Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia yang tidak lagi tinggal bersama mangsa dan perlu menanggung keluarganya termasuk enam anak.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Tiga individu melecur, kereta tiba-tiba meletup dan terbakar 

    Tiga individu melecur, kereta tiba-tiba meletup dan terbakar 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    TIGA termasuk seorang kanak-kanak melecur apabila kereta yang mereja naiki tiba-tiba meletup dan terbakar dalam kejadian di Taman Industri Ringan Sri Mergong dekat Alor Setar, hari ini.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar, kejadian itu mengakibatkan tiga individu berusia antara lima hingga 54 tahun melecur. 

    Katanya, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.31 tengah hari. 

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut telah dipadamkan oleh orang awam yang berada di situ. Pihak bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan api padam sepenuhnya.  Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dihantar ke Hopsital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan,” katanya. 

    Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 54 tahun melecur sebanyak 80 peratus manakala seorang wanita berusia 36 tahun melecur 30 peratus dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang turut berada dalam kenderaan itu melecur 95 peratus. 

    Mengulas lanjut Abdul Rahim berkata, kereta jenis Proton Wira itu didapati terbakar 60 peratus. 

    “Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata serbuan pada 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemukan 71 paket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus diyaki campuran dadah jenis Ekstasi seberat 2.294 gram serta 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis Ekstasi (566.73g).

    “Turut dirampas 43 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine (273g) dan 26 paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis Ekstasi (25,447g).

    “Nilai semasa Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik suspek bernilai RM146,000,” katanya dalam sidang media di Sibu hari ini.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo) dan hasil pemeriksaan didapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.

    Suspek yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu selama enam bulan kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

    Menurut Zulkipli, setiap paket jus dadah itu boleh digunakan enam orang untuk tujuan hiburan dan nilai semasa adalah lebih RM500 sepaket.

    Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan.

  • Polis kenal pasti 190 kawasan panas PRN enam negeri

    Polis kenal pasti 190 kawasan panas PRN enam negeri

    POLIS mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi.

    “Ia diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang,” katanya selepas program lawatan hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 2023 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Cheras hari ini.

    Acryl Sani berkata lokasi berkenaan dikategorikan sebagai kawasan panas kerana dilihat berpotensi untuk tercetusnya provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Justeru katanya, bagi memastikan kelancaran PRN, pihaknya akan melancarkan Op PRN 6N yang akan memfokuskan kepada aspek keselamatan pengundi, tempat pengundian dan tempat penjumlahan undi.

    Menurutnya, bagi pengundian awal di enam negeri tersebut, ia akan membabitkan 93,833 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).