Category: Semasa

  • Penyelia dan 9 perkerja ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

    Penyelia dan 9 perkerja ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

    SEORANG penyelia bersama sembilan pekerja di sebuah premis pembekal dan pembungkusan ditahan ketika sedang bekerja selepas didapati memakai gelang kuarantin merah jambu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ops Patuh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kampar melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Teknologi 3, Kawasan Perindustrian Gopeng 2, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua mereka mendapati penyelia kedai berusia 32 merupakan warga tempatan bersama-sama sembilan pekerja warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 hingga 27 Ogos.

    Hasron Nazri turut berkata, hasil siasatan juga mendapati penyelia premis berkenaan mengarahkan sembilan pekerja warga asing terbabit yang tinggal di aras dua supaya datang bekerja di tingkat bawah premis pada jam 8 pagi semalam.

    Tambah beliau, perintah kuarantin juga sudah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang kuarantin pada pada Jumaat lalu.

    “Oleh itu, tangkapan dibuat terhadap penyelia premis bersama sembilan pekerja berkenaan kerana melakukan pelanggaran SOP PKP Pelan Pemulihan Negara (Fasa 2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin menularkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

  • Terima kasih UMNO kekal prinsip ‘No DAP, No Anwar’

    Terima kasih UMNO kekal prinsip ‘No DAP, No Anwar’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMUDA UMNO Johor menyanjung tinggi kepimpinan parti di peringkat Pusat kerana mengekalkan Prinsip ‘No DAP, No Anwar’.

    Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ini dibuktikan apabila UMNO tidak bergabung dengan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya bersetuju memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.

    “Ini satu keputusan tepat dan bermaruah. Diharapkan semua barisan kepimpinan dan akar umbi UMNO meneruskan gerak kerja dan merencana program tanpa perlu lagi toleh ke belakang. Ini masa untuk kita bekerja,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

    Kelmarin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.

    Keputusan itu ditetapkan Agong selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat dan beliau bakal mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kesembilan semalam.

    Mengulas lanjut, Mohd. Hairi berkata, pelantikan Seri Ismail Sabri juga diharap dapat menamatkan kemelut politik tanah air yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

    Pihaknya juga berharap kepimpinan baharu akan memberi tumpuan penuh kepada kesejahteraan negara kerana ketika ini rakyat terus ditekan dalam pelbagai aspek kehidupan akibat pandemik Covid-19.

    “Tibalah masa fokus pada gerak kerja dan urus tadbir dalam mendepani pandemik Covid-19 serta kebajikan rakyat yang semakin mendesak dan terkesan dalam tempoh Pelan Pemulihan Nasional (PPN) ketika ini.

    “Diharapkan barisan jemaah menteri baharu akan terus istiqamah dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan berkesan memastikan rakyat dari segenap lapisan ekonomi tidak terpinggir dan mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.

  • Nenek baru lulus lesen motosikal terkejut dapat 20 saman

    Nenek baru lulus lesen motosikal terkejut dapat 20 saman

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK sampai setahun seorang nenek menerima lesen motosikal, dia terkejut apabila menerima hampir 20 saman kerana menunggang melebihi had laju di Swansea, selatan Wales, Ardiff baru-baru ini.

    Karen Goode, 59, pada mulanya menyangka bahawa itu hanya satu gurauan apabila menerima saman tersebut yang dihantar melalui pos daripada pihak polis.

    Ini kerana ibu kepada dua anak dan empat cucu itu menganggap begitu kerana tidak pernah menunggang motosikal Honda sehingga ke Swansea.

    Goode dari Blistworth hanya menunggang motosikalnya itu di kampungnya tetapi menerima saman tersebut kerana menunggang lebih 80 kilometer sejam (km/jam) di kawasan had laju kurang 49 km/ jam di Swansea.

    Pada awal bulan ini, dia menerima amaran akan dihadapkan ke mahkamah kerana menunggang motosikal melebihi had laju.

    Goode yang lulus ujian menunggang motosikal pada Disember tahun lalu mengesyaki bahawa nombor pendaftaran motosikalnya telah diklonkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Polis Wales Selatan ketika dihubungi portal berita Wales Online menyatakan pihak syarikat GoSafe yang bertanggungjawab dalam isu tersebut kerana ia mengendalikan kamera mengesan had laju itu.

    Jurucakap syarikat itu menyatakan bahawa jika terdapat aduan tentang nombor pendaftaran kenderaan diklonkan, pihaknya akan menyiasatnya dengan lebih lanjut. – Agensi

  • Empat perkara perlu diutama PM baharu

    Empat perkara perlu diutama PM baharu

    PAKAR Perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian segera Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik memulakan tanggungjawab ialah memastikan program vaksinasi diteruskan dengan jayanya.

    Bercakap dalam wawancara bersama Harian Metro penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, tiga lagi agenda lain yang perlu mendapat perhatian segera ialah pendidikan, pemulihan sosial dan pemulihan ekonomi.

    “Pertama, meneruskan dengan jayanya program vaksinisasi supaya program ini dapat mencapai imuniti berkelompok pada masa yang dianggarkan sebelum ini atau pastinya sekiranya boleh mencapai sasaran sebelum masa yang dicadangkan sebelum ini, adalah lebih baik.

    “Dicari jalan yang juga untuk menyegerakan vaksinasi kepada keseluruhan masyarakat, kanak-kanak atau remaja.

    “Kedua, kesan pandemik ke atas pendidikan, pada semua peringkat, rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi. Semua peringkat pendidikan perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

    “Ini kerana kesan pandemik, terutamanya masyarakat di pedalaman yang sukar mendapat pendidikan langsung, adalah begitu mendasar sekali.

    “Kadar atau jumlah murid serta pelajar yang ketinggalan dalam perkembangan pendidikan perlu dipulihkan dengan segera moga generasi mereka tidak ketinggalan pada satu hari nanti.

    “Justeru, program menyeluruh untuk menilai tahap musibah pandemik ke atas pendidikan perlu disegerakan agar kesan tersebut dapat di atasi dengan segera. Perancangan membaikpulih kesan pandemik hendaklah dirancang sepenuhnya.

    “Seharusnya pelan tindakan membaikpulih tersebut diletakkan dalam kadar perancangan yang berkesan dalam beberapa fasa. Segerakan juga urus tadbir di universiti awam yang terkesan daripada penamatan jawatan utama universiti.

    “Ketiga, kesan pandemik ke atas sistem sosial, termasuklah kesejahteraan emosi, hubungan etnik, perlu diambil perhatian sewajarnya dengan segera.

    “Pelan pemulihan sosial ini perlu juga disegerakan kerana perkara utama bagi sesebuah negara pastinya kebahagiaan warganya.

    “Keadaan sosial masyarakat yang tidak stabil akan menjadi penyumbang kepada banyak perkara lain yang tidak baik untuk negara, terutamanya dalam keadaan sebegini yang sedang kita alami.

    “Keempat, pastinya pemulihan ekonomi. Pembukaan sektor ekonomi di banyak tempat boleh merangsang ekonomi rakyat, yang seterusnya dapat menggerakkan ekonomi negara.

    “Hubungan antarabangsa yang cemerlang juga akan membolehkan pertumbuhan yang baik untuk negara,” katanya dalam wawancara tersebut.

  • Pelantikan PM:Tiada tempoh untuk Ismail Sabri ‘bulan madu’

    Pelantikan PM:Tiada tempoh untuk Ismail Sabri ‘bulan madu’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK ada temoph bulan madu selepas pelantikan Perdana Menteri Kesembilan, sebaliknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera merancang dan merangka pelan untuk keluar dalam menangani pelbagai krisis negara.

    Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tumpuan utama adalah memulihkan ekonomi negara dan memerangi pandemik Covid-19.

    Selain itu katanya, usaha juga perlu dibuat untuk mengubah persepsi netizen dan mengikis stigma kerajaan gagal yang diwarisi beliau.

    Menurutnya, sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia masih belum cukup untuk mengubah situasi dan meredakan kemarahan rakyat akibat sentimen yang gagal ditangani sebelum ini.

    “Berikutan itu, Perdana Menteri memerlukan barisan Kabinet yang mantap, fokus dan dilihat mampu membawa kerajaan keluar daripada krisis kesihatan, sosial dan ekonomi.

    “Wajah-wajah yang pernah gagal tidak harus kembali disenaraikan, beliau perlukan pemimpin yang kuat dan meyakinkan untuk mengepalai kluster keselamatan, kesihatan, pendidikan, vaksinasi dan hubungan antarabangsa,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, saiz Kabinet juga perlu lebih mengecil dan fokus dengan mengambil kira perumpamaan ‘Kabinet perang’.

    “Banyak kecacatan pada kabinet lalu, hakikat ini perlu diterima, ia bukan lagi persepsi.

    Banyak penambahbaikan perlu dibuat selain mengambil risiko walaupun pahit.

    “Pada masa sama, semangat kerajaan bersama atau perpaduan perlu wujud untuk mendapatkan sokongan semua pihak, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu diwujudkan ‘kerajaan untuk semua’ dalam memerangi pandemik,” katanya.

  • Jokowi ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Jokowi ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia.

    Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi, menzahirkan ucapan itu menerusi akaun Twitter Jokowi @jokowi.

    “Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Ismail Sabri Yaakob@IsmailSabri60 atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia.

    “Bersedia untuk terus menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh hubungan dua hala Indonesia-Malaysia,” kata Jokowi pada malam Sabtu.

    Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

  • Ismail Sabri kunjungi Muhyiddin selepas angkat sumpah PM

    Ismail Sabri kunjungi Muhyiddin selepas angkat sumpah PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

    Melalui Facebook, Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas beliau atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

    ‘’Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,’’ katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau turut mendoakan Ismail Sabri akan dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan.

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

  • Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    TIDAK hanya boleh merebak dalam tempoh lima hingga 15 saat serta tersebar melalui udara, kajian baharu mengenai varian Delta, mendapati varian berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksinasi seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.

    Menurutnya, virus itu yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi.

    “Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

    Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

    Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, meskipun terdapat kemungkinan varian Delta itu boleh menjangkiti orang lain, individu yang divaksin masih dapat dilindungi daripada gejala yang lebih teruk serta kematian.

    Ujar beliau, ini sekali gus mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan ICU.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berharap semua orang mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi mengelakkan risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan varian Delta itu.

  • Macam tak percaya “Yee” jadi PM – Abang

    Macam tak percaya “Yee” jadi PM – Abang

    MOHD LAZIM ENDUT

    ABANG kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seakan tidak percaya bahawa adiknya yang merupakan seorang budak kampung akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Malah, Abdul Manaf Yaakob, 81, menyifatkan pelantikan adik bongsunya yang mesra dengan panggilan Yee sebagai satu kejutan buat keluarganya.

    “Ya, kami rasa macam tak percaya anak kampung boleh jadi Perdana Menteri,” katanya selepas Ahli Parlimen Bera itu dilantik selaku Perdana Menteri ke-9 petang ini.

    Menurut Abdul Manaf, apa yang berlaku merupakan satu khabar gembira yang tidak terduga buat keluarganya.

    Katanya, memang pada mulanya ada rasa macam tidak masuk akal adik menjadi PM selain terkejut, namun pada masa sama tetap bersyukur dan tahu ia dalam aturan Allah SWT walaupun dilihat perjalanan karier politik adiknya itu agak mendatar.

    Bagaimanapun, Abdul Manaf tetap menaruh harapan adiknya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan sebaik-baiknya.

    “Kalau ikutkan ketokohan Yee dalam bidang politik hanya saya nampak ketika dia menuntut di Universiti Malaya (UM),” ceritanya.

    Abdul Manaf yang juga bekas ahli perniagaan itu ditemui di kediamannya di Taman Sri Semantan,Temerloh Pahang, hari ini.

    Ujar anak kedua daripada lapan beradik yang mesra dengan panggilan Abang Nik itu, sebagai anak bongsu, Ismail Sabri seorang adik yang manja dan low-profile sejak kecil.

    “Selain itu, sebagai anak kampung, yee pun macam budak lain, suka mandi sungai dan lain-lain.

    “Bila adik dah jadi menteri saya lihat dia (Yee) masih menunjukkan sifat manjanya dan masih gemar makan ketupat cicah gula kabung (nisan).

    “Saya harap Yee dapat menggalas tanggungjawab sebagai PM sebaik mungkin.

    “Jalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan amanah selain mampu mengatasi pandemik Covid-19 yang sangat diharapkan oleh rakyat di negara ini,” jelasnya.

  • Individu dakwa dirinya Sultan Melaka meninggal dunia

    Individu dakwa dirinya Sultan Melaka meninggal dunia

    INDIVIDU yang pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’, Noor Jan Tuah dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, hari ini.

    Allahyarham, 64, difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi hari ini.

    Kematian Noor Jan dari Taman Seri Gombak dimaklumkan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook, miliknya.

    “Assalamualaikum. Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja Noor Jan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

    “Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat,” katanya hari ini.

    Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda Gombak pada pukul 3 petang ini.

    Noor Jan yang mendakwa dirinya Sultan Melaka pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka pada 2016 dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.

    Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dengan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun, pada 28 Disember 2013.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, namun pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan itu.

    Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan Noor Jan.

    Keputusan dicapai berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berhubung empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka dan Mahkamah Rayuan Putrajaya turut mengekal pembebasan Noor Jan pada Januari tahun lalu.