Category: Semasa

  • 2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    DUA beradik maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan malam tadi.

    Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mereka yang maut ialah Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, berasal dari Felda Lepar Hilir Satu.

    “Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kejadian berlaku ketika hujan itu menyebabkan kereta dipandu Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Zahari berkata, pemandu lori tangki berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dilakukan negatif.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • MN bantu PN hadapi PRN

    MN bantu PN hadapi PRN

    MUAFAKAT Nasional (MN) turut serta membantu Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden MN, Datuk Zuraida Kamaruddin telah berkongsi gambar bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Saleh menerusi satu hantaran di Facebook rasmi miliknya.

    Tambah beliau, sokongan penuh akan tertumpu kepada PN dan keterlibatan ini adalah sejajar dengan hasrat pelbagai pihak.

    “Ia kerana perlu direalisasikan agar ukiran kemenangan dapat dinyatakan dalam natijah yang sebenar,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sah menyertai Pas.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Takiyudin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan yang diadakan Senawang, Jun lalu lapor Sinar Harian.

  • ‘RM42 juta kecil’ – Zaid minta Anwar bebaskan Najib

    ‘RM42 juta kecil’ – Zaid minta Anwar bebaskan Najib

    BEKAS menteri undang-undang Datuk Seri Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ‘demi rakyat’.

    Katanya, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah SRC International yang Najib disabit bersalah, hanyalah perkara kecil, berbanding kes lain dalam negara.

    “Ke hadapan perdana menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib demi rakyat. Biarkan dia bebas.

    “Dalam pilihan raya negeri akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang; anda perlu jadi perdana menteri untuk beberapa tahun lagi,” ciap Zaid hari ini.

    Zaid berkata, UMNO, kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri nanti.

    “Sudah tentu, dia sudah didapati bersalah, tetapi dalam ‘scheme of things’, RM42 juta adalah ‘small change’.

    “Lagipun, mulai sekarang, rasuah adalah perkara yang sudah berlalu di bawah kepimpinan anda yang tegas dan bersih. Tiada siapa boleh kata anda berlembut dengan rasuah jika mengampuni Najib,” katanya lagi.

    Zaid kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa dia bukannya menyokong Najib, tetapi hanya menyatakan RM42 juta dalam kes bekas perdana menteri itu adalah ‘lebih kecil’ berbanding kes rasuah lain yang melibatkan ratusan juta atau malah berbilion ringgit.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berikutan tuduhan rasuah terhadapnya dalam kes SRC International berjumlah RM42 juta.

    UMNO sebelum ini telah membuat permohonan agar bekas perdana menteri itu diberi pengampunan diraja.

    Anwar yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan telah menjelaskan setiap individu yang disabitkan bersalah ada hak untuk mendapatkan pembebasan dengan memfailkan permohonan dengan lembaga itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

  • Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    DATIN Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasportnya agar dia boleh ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib.

    Peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader baru-baru ini mengesahkan dengan Malaysiakini berhubung pemfailan permohonan itu pada 2 Jun lalu.

    Pada masa ini, pasport Rosmah ditahan mahkamah sementara permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuahnya berjalan.

    Pelepasan sementara pernah diberikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 untuk Rosmah ke Singapura ketika Nooryana bersalin serta pada 21 Mac tahun ini untuk dia melawat Nooryana dan cucunya yang tidak sihat.

    Menurut permohonan terbaru ini, Rosmah memohon pelepasan semantara untuk di ke Singapura pada 6 Jun hingga 7 Julai tahun ini.

    Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Rosmah mendakwa dia ingin melawat Nooryana yang kini tinggal di republik itu bersama-sama suaminya, Daniyar Kessikbayev.

    “Atas dasar ini, saya dengan rendah diri ingin memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.

    Katanya lagi, dia telah dinasihati peguamnya bahawa permohonan itu dibuat secara teratur dan pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan berdasarkan surat-menyurat antara pendakwaan dan peguamnya yang bertarikh 26 Mei dan 1 Jun lalu.

    “Saya sedar akan natijah sekiranya saya ingkar dan/atau enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan.

    “Saya sehingga hari ini tidak pernah gagal dan/atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab dan/atau alasan yang munasabah,” katanya lagi, lapor MalaysiaKini.

    Rosmah juga berjanji akan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah, selewat-lewatnya seminggu setelah dia pulang dari Singapura nanti.

    Malaysiakini sedang menghubungi pihak pendakwaan berhubung permohonan ini.

    Permohonan ini dijangka akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.

  • Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    SEORANG tukang urut tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis tanpa kebenaran, bulan lalu.

    Tertuduh, Nor Muhamad Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan perhubungan seks dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan seorang gadis berusia 21 tahun tanpa kebenaran.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Mei lalu lebih kurang jam 10.30 malam bertempat di ruang tamu dalam rumah di Kuala Klawang, Jelebu.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    SEORANG lelaki maut dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dengan sebuah lori balak tanpa muatan di Jalan Temerloh – Mentakab, Temerloh, pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 pagi sebelum tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan melanggar sebuah kereta Perodua Viva.

    “Berikutan kejadian itu, mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Komander Operasi melaporkan, pasukan Bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” jelasnya, lapor Astro Awani.

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh - Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. - Foto JBPM

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh – Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. – Foto JBPM

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dengan lori tangki minyak di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir, di Kuantan, semalam.

    Mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan kakaknya Siti Mazurah, 30, dari Felda Lepar Hilir, yang menaiki kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Zulfadli berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Taman Tas termasuk pasukan Bomba bantuan dari BPP Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 malam.

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang - Kampung Lepar Hilir. - Foto JBPM

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir. – Foto JBPM

    “Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit. Pasukan Bomba melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.

    “Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori tangki mengawal kenderaan ketika memandu.

    “Kejadian itu menyebabkan lori tangki terbabit merempuh Proton Wira dinaiki dua beradik terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit, dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Berdasarkan siasatan awal, keadaan jalan lurus, sistem jalan satu lorong satu hala, permukaan jalan rata tetapi permukaan jalan basah kerana hujan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pemandu lori itu turut ditahan untuk siasatan lanjut tetapi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati ketika kejadian bebas daripada pengaruh dadah.

  • ‘Saya bukan calon MB Negeri Sembilan’ – Faizal Azumu

    ‘Saya bukan calon MB Negeri Sembilan’ – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan akan mengetengahkan calon tempatan sebagai Menteri Besar bagi memimpin negeri itu jika diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kenyataan itu sekali gus menafikan desas desus beliau akan dilantik memimpin negeri berkenaan.

    “Calon MB? Bukan saya kerana saya tidak bertanding. Saya cuma mengambil alih jawatan pengerusi PN dan Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan supaya saya dapat membantu serta membenarkan pemimpin tempatan dapat memberi fokus kepada kawasan masing-masing,” katanya dalam wawancara bersama Malaysianow.

    Ahmad Faizal berkata, di Negeri Sembilan, PN mempunyai ramai calon berkemahiran untuk diketengahkan sebagai pemimpin utama.

    “Jika dapat sokongan nama besar seperti Khairy, kita alu-alukan, namun apa yang kita ada sekarang ini memadai untuk tarik sokongan kepada kami,” tambah beliau.

  • Wanita Malaysia, anak 3 tahun maut dalam kebakaran di Toronto

    Wanita Malaysia, anak 3 tahun maut dalam kebakaran di Toronto

    SEORANG wanita Malaysia dan anak perempuannya berusia tiga tahun maut, manakala suaminya cedera parah, dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kanada.

    Melissa Archana John, 38, maut pada hari kejadian manakala anaknya, Aria Jeanne Phoenix, meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan yang dialami apabila rumah mereka di Brampton, Toronto, terbakar pada 2 Jun.

    Suami Melissa, Omar Watson, yang cedera parah kini berada dalam keadaan koma.

    Sepupu Melissa, Philip Subash, yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu FMT bahawa ibu bapanya, Eappen K. John dan Daisy Mathews, sedang mendapatkan visa untuk terbang ke Kanada sesegera mungkin.

    “Ibu bapanya hanya tahu tentang kejadian itu empat hari kemudian selepas tidak mendengar khabar daripada Melissa selama beberapa hari. Mereka menghubungi kakak Watson, yang kemudian menyampaikan berita tragis itu.

    “Aria dan Watson masih hidup ketika bomba mengeluarkan mereka dari rumah (yang terbakar).

    “Aria meninggal dunia pada keesokan harinya, manakala Omar masih dalam keadaan koma di hospital,” ujarnya lagi.

    Menurut Philip, punca kebakaran masih disiasat.

    Beliau berkata, pengebumian mereka akan diuruskan selepas pihak berkuasa di Kanada mengenal pasti mayat Melissa.

  • ‘’Tiada sebab merayu, Zahid telah buat keputusan’’ – kata Khairy,Shahril

    ‘’Tiada sebab merayu, Zahid telah buat keputusan’’ – kata Khairy,Shahril

    BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat daripada UMNO dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian yang digantung keahlian menegaskan, tiada sebab untuk mereka merayu terhadap hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

    Sambil menegaskan akan terus melangkah ke hadapan, dua pemimpin muda itu berkata, mereka melakukan demikian kerana keputusan menggantung keahlian atau memecat mereka telah dibuat Presiden UMNO , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “We have to move on… kita pun rasa keputusan dah dibuat. Kita pun tak tahu kenapa kita dipecat. Nak minta kita rayu. There is no point,” katanya dalam episod terbaru ‘Keluar Sekejap’.

    Bagaimanapun  Shahril berkata, tindakan tidak menerima pelawaan itu bukanlah menunjukkan mereka ego.

    Menurut Shahril, Zahid boleh melakukan apa sahaja dirasakan terbaik untuk UMNO, bagaimanapun jika harapan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu mereka mencontohi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Lokman Adam barulah diterima semula, maka beliau menolak untuk berbuat demikian.

    “Tak apalah, kita duduk kat luar dan boleh teruskanlah dengan apa yang presiden dan juga kepimpinan UMNO rasa terbaik. Saya tak sombong, saya rasa itu adalah pandangan datang daripada kawan tapi pada saya, kamu tak boleh ubah apa yang dah berlaku dan jika mereka nak kita move on, kita akan move dengan senyap dan terhormat,” katanya.

    Mereka mengulas kenyataan Zahid di Perhimpunan Agung UMNO Sabtu yang berkata MKT bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.

    Bagaimanapun, Zahid berkata, UMNO mempunyai Perlembagaan dan juga peraturan perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli dipecat atau digantung.

    Semalam, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan keikhlasan pelawaan Zahid untuk menerima kembali mana-mana ahli yang dikenakan tindakan  digantung atau dipecat.

    Mengenai isu kapal LCS yang dibangkitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat, Khairy berkata, Ahli Parlimen Muar membangkitkan  lebih kepada isu ketirisan yang berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan perlunya usaha menyelamatkan projek berkenaan.

    “Itu yang dimaksudkan oleh Syed Saddiq dan dirujuk kepada kenyataan dibuat sebelum pilihan raya untuk membawa mereka bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

  • PRN : 50 peratus penyokong BN akan sokong PN – Khairy

    PRN : 50 peratus penyokong BN akan sokong PN – Khairy

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menjangkakan sekurang-kurangnya 50% penyokong Barisan Nasional (BN) akan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya di enam negeri akan datang.

    Beliau berkata walaupun penyokong Pakatan Harapan (PH) mungkin mengundi BN kerana mereka mendapati PN sebagai “existential threat”, manakala peluang penyokong BN membalas dengan mengundi calon PH adalah sangat tipis. 

    ‘’Parti komponen dalam kerajaan campuran mencapai kata sepakat untuk mengelak bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya negeri. Ini bermakna hanya satu parti komponen, sama ada PH atau BN, akan meletakkan calon menentang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    “Dia (pengundi PH) tak nak bagi kepada PN kerana dia nampak PN ni sebagai ‘existential threat’ ataupun ancaman kepada gaya hidup mereka,” katanya dalam siaran podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan, lapor MalaysiaNow.

    Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun berkata, keadaan mungkin berbeza bagi penyokong BN kerana mereka tidak akan menghadapi masalah untuk membuang undi dan mengalihkan sokongan kepada PN, sebuah gabungan berasaskan Melayu-Islam.

    “Adakah pengundi UMNO asal, BN asal akan bagi undi kepada PH? Saya berpendapat kemungkinan itu berlaku adalah jauh lebih rendah daripada keadaan yang kontra,’’ katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan keyakinan tinggi apabila parti itu dijangka memperoleh 80% undi terutama daripada penduduk Melayu pada pilihan raya negeri akan datang.

    Muhyiddin berkata keyakinan itu berdasarkan kajian gabungan itu yang menunjukkan Bersatu, Gerakan, dan PAS berada di hadapan dari segi populariti dan kepimpinan.

    Katanya, PRN akan datang akan menjadi penanda aras baru berhubung masa depan politik Malaysia.