Category: Semasa

  • Bersatu serah kebijaksanaan Ismail Sabri lantik TPM

    Bersatu serah kebijaksanaan Ismail Sabri lantik TPM

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, selaku ketua kerajaan, Ismail sudan pasti mahu membentuk Kabinet yang dirasakan boleh bekerjasama dengannya.

    Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, pelantikan Timbalan Perdana Menteri jika dibuat dalam kalangan pemimpin hebat sekalipun tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tidak boleh bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan baharu ketika ini.

    “Jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama tidak ada gunanya juga, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya. 

    “Jadi itu (lantikan TPM) terpulanglah kepada PM,” katanya. 

    Mohd. Redzuan mengulas mengenai desas-desus pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Ketika ini, dua pemimpin daripada Bersatu disebut-sebut bakal menyandang jawatan nombor dua negara itu iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan seorang lagi Ahli MPT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

    Malah, kedua-dua pemimpin itu juga difahamkan sudah mendapat kebenaran daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Terdahulu, Mohd. Redzuan mengetuai pemimpin Bersatu Pulau Pinang menyampaikan bantuan berupa bantal dan tilam serta wang tunai kepada kira-kira 100 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. 

    Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, beliau bersedia sekiranya dipilih sekali lagi sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu kerana masih mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang belum diselesaikan ketika menjadi menteri dalam dua kerajaan terdahulu.

    Antaranya kata beliau, merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selain mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta melaksanakan dasar pembangunan kepada bumiputera serta kaum-kaum lain. 

    Malah, beliau turut berharap semua ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang menolak perbezaan politik dan bersama-sama membawa negara mendepani cabaran semasa.

    “Pilihan raya umum akan datang juga tidak terlalu jauh, maka kerajaan baharu hari ini adalah sangat penting. 

    “Saya tidak rasa kita boleh adakan dasar baharu, jika ada pun, mungkin hanya penambahbaikan terhadap kelemahan sebelum ini untuk kebaikan semua kaum,” katanya. 

  • Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman denda RM20,000 terhadap guru matematik yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang murid lelakinya berumur 11 tahun.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kamarul Azamin Mohamad terhadap sabitan dan hukuman dalam kes itu.

    Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M. Gunalan, turut menolak rayuan pendakwaan agar hukuman penjara dikenakan ke atas Kamarul Azamin.

    Dalam penghakimannya, Suraya berkata hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah memadai.

    Beliau berkata Kamarul Azamin adalah pesalah pertama dan dia juga berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta pencen.

    Bagaimanapun, Suraya berkata sabitan terhadap Kamarul Azamin bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat kerana mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan berhubung insiden yang berlaku di dalam bilik guru itu telah disokong oleh rakannya.

    Kamarul Azamin, 43, pada asalnya didakwa atas dua pertuduhan merangsang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau di dalam bilik guru pada 4 Mei 2016 dan sekali lagi pada 6 Mei tahun sama di dalam bilik komputer di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

    Pada 26 Dis 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Kamarul Azamin bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

    Kamarul Azamin kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang menggantikan pertuduhan itu dengan mencabul kehormatan dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Kamarul Azamin bagi setiap kesalahan atau penjara 10 bulan.

    Tertuduh diwakili peguam Taqiyuddin Yahya manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.- BERNAMA

  • Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai kini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat jangkitan COVID-19.

    Memetik laporan Astro AWANI, Tun Sakaran, 91 yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke 8 itu dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak Rabu lalu dan semalam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Menurut Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, bapanya dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti COVID-19.

    “Keadaan beliau (Tun Sakaran) stabil. Bagaimanapun semalam, beliau dimasukkan ke ICU atas nasihat doktor bagi pemantauan yang lebih terperinci dan rapi.

    “Setakat ini, ahli keluarga dan anak-anak ada berhubung dengan Tun Sakaran melalui panggilan video,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

    Nasir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang memberitahu, beliau ada berhubung dengan Tun Sakaran pagi tadi melalui panggilan video.

    Katanya, Tun Sakaran juga memaklumkan kesihatannya baik dan dijaga dengan rapi oleh pihak hospital.

    “Tadi ayah saya ada mohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali sihat dan cepat sembuh,” kata Nasir sambil berterima kasih atas doa yang dipanjatkan kepada ayahnya.

  • 26 orang guru di Perlis masih tolak vaksin

    26 orang guru di Perlis masih tolak vaksin

    MASIH terdapat 26 orang guru daripada 4,710 orang guru di Perlis menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Exco Pendidikan negeri Rozieana Ahmad.

    Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memujuk guru-guru tersebut sebelum sesi persekolahan dibuka nanti bagi memastikan bahawa sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar dan selamat, untuk semua.

    Roziena yang ditemui pemberita di luar dewan Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perlis di Kompleks DUN Perlis hari ini berkata, guru dan kakitangan sekolah perlu menerima vaksin dan masih terdapat segelintir yang masih belum bersedia untuk divaksin atas sebab-sebab tertentu antaranya kerana menghidap penyakit kronik.

    “Saya merayu agar mereka (guru) mengutamakan kepentingan pelajar daripada kepentingan diri sendiri, kerana kita tidak mahu pelajar terus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

    Rozieana berkata pembelajaran secara bersemuka amat penting bagi pelajar, kerana itulah satu-satu cara bagi memastikan pelajar tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

    Beliau berkata, sebelum ini terdapat 91 guru di negeri ini yang menolak untuk menerima suntikan vaksin namun hasil perbincangan yang dilakukan seramai 65 orang guru, akhirnya berjaya dipujuk.

    Katanya sehingga kini, seramai 206 orang guru masih belum divaksin dan seramai 4,504 orang guru telah menerima vaksin di negeri ini.- BERNAMA

  • Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    SEORANG wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

    Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.- BERNAMA

  • Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    BERSATU telah menyenaraikan nama ahli-ahli yang sesuai untuk mengisi jawatan di dalam Kabinet Persekutuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pertimbangan lanjut.

    Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, senarai nama tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, baru-baru ini.

    “Dalam mesyuarat tersebut, kami telah putuskan untuk serahkan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden kami, untuk cadang nama-nama daripada Bersatu dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

    “Saya percaya Perdana Menteri akan putuskan dan membawa senarai tersebut untuk disembah maklum kepada Agong. Sekiranya proses ini berjalan baik tentunya Perdana Menteri akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata demikian dalam sidang media secara maya, selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Persidangan empat hari tersebut dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang bertitah, agar semua Ahli Dewan di negeri ini mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat, sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan bersedih sekiranya tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, Ahmad Faizal berkata ketika ini tanggungjawab dan tugas hakikinya sebagai wakil rakyat, kini menjadi fokusnya.

    “Semua sedia maklum walaupun saya pernah jadi Menteri Besar Perak dan sekarang tidak lagi pegang jawatan itu, saya percaya semua orang boleh nampak yang saya tidak bersedih.

    “Malahan saya tambah semangat untuk memberi khidmat kepada rakyat dalam apa juga kapasiti, sekarang saya kembali dalam kapasti sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang,” katanya.

    Pada Isnin, Ismail Sabri memaklumkan senarai nama menteri Kabinet beliau akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- BERNAMA

  • India dijangka tingkat import minyak sawit

    India dijangka tingkat import minyak sawit

    INDIA yang merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar dunia dijangka meningkatkan pembelian daripada pengeluar utama komoditi berkenaan, Malaysia dan Indonesia apabila musim hujan monsun yang tidak menentu di negara itu menjejaskan tanaman kacang soya serta kacang tanah.

    Memetik laporab Bloomberg, India yang juga mempunyai kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia bergantung kepada bekalan minyak masak dari luar negara sehingga 70 peratus.

    Kebimbangan semakin meningkat apabila musim hujan ketika ini akan menjejaskan tanaman selain berpotensi meningkatkan harga makanan, mengancam pemulihan ekonomi serta menyebabkannya terpaksa mengimport lebih banyak produk pertanian.

    Penghantaran minyak sawit akan lebih tinggi tahun ini bermula 1 November depan berbanding anggaran lapan juta tan pada 2020-2021, kata seorang peniaga veteran dan rakan urusan GGN Research, G. G. Patel.

    Beliau bagaimanapun tidak memberikan anggaran untuk tahun depan.

    India mengimport kebanyakan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia.

    Hujan lebat di Gujarat, yang juga kawasan tanaman kacang tanah terbesar India serta di Madhya Pradesh, pengeluar kacang soya utama negara itu berpotensi mengurangkan pengeluaran.

    Peramal cuaca swasta, Skymet Weather Services Pvt pada Isnin berkata, India mungkin tidak menepati ramalan monsun biasa disebabkan hujang sekejap-kejap pada Julai dan Ogos, selain corak cuaca yang kurang baik.

    Menurut Jabatan Meterologi India, jumlah taburan hujan pada musim hujan Jun hingga September setakat ini adalah sembilan peratus di bawah paras biasa.

    Pengeluaran kacang soya pada 2021 dan 2022 akan lebih rendah dari anggaran awal sebanyak 9.2 juta tan untuk tahun sebelumnya, sementara pengeluaran kacang tanah berkemungkin turun daripada 5.4 juta tan.

    Kementerian Pertanian negara itu juga menjelaskan, jumlah kawasan yang terkesan akibat fenomena hujan lebat adalah 18.8 juta hektar pada 20 Ogos lalu berbanding 19 juta hektar tahun sebelumnya.

  • Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    ANGKA kes harian COVID-19 dalam negara tidak berganjak dari paras 20,000 apabila sebanyak 22,642 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebook dan Twitter, Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Malaysia kini 1,616,244.

    Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 6,325 kes, diikuti Sabah (3,224), Kedah (2,279), Johor (1,832), Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Kelantan (1,424), Perak (1,390) dan Kuala Lumpur (1,128).

    Negeri lain yang mencatat kes di bawah angka 1,000 adalah Terengganu dengan 744 kes, Pahang (522), Melaka 342, Negeri Sembilan (269), Perlis  (44), Putrajaya (21) dan Labuan (empat).

    Malaysia kembali mencatat kes baharu di paras 20,000 dengan 20,837 kes, semalam.- BERNAMA

  • Muhyiddin PM terbaik yang pernah ada untuk Malaysia

    Muhyiddin PM terbaik yang pernah ada untuk Malaysia

    TAN Sri Muhyiddin Yassin bukanlah Perdana Menteri (PM) terburuk seperti didakwa sebaliknya adalah antara yang terbaik pernah ada untuk negara ini.

    Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju dalam satu kenyataan berkata demikian bagi menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali bahawa Muhyiddin adalah PM ‘terburuk’ yang pernah ada.

    Ali menegaskan, tiada PM sebelum Muhyiddin yang sanggup mengorbankan tugasnya dengan menolak berkompromi atas prinsip penting.

    “Beliau sanggup mengorbankan kedudukan sebagai PM daripada menyerahkan kepada kleptokrat atau campur tangan urusan mahkamah.

    “Jauh sekali untuk menjadi PM yang gagal, beliau malahan meletakkan satu standard pada tingkah laku sebagai Perdana Menteri,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai portal berita dalam talian, Syed Husin menyatakan bahawa sejarah tidak akan menilai Muhyiddin Yassin sebagai PM.

    Ali berkata, sekiranya diminta menilai Muhyiddin sebagai PM, beliau merasakan pasti ramai yang tidak dapat mengatakan bahawa Muhyiddin adalah seorang terbaik pernah ada tetapi secara jujurnya hampir menjadi PM yang terburuk pernah ada.

    Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan serangan Syed Husin kepada bekas PM itu kerana Syed Husin telah lama menjadi pemimpin PKR dan merupakan penyokong tegar kepada Anwar Ibrahim.

    “Ia adalah demi kepentingan politik pembangkang dan penyokongnya untuk menunjukkan penyalahgunaan terhadap Muhyiddin tetapi sejarah akan menilai beliau dengan cara berbeza,” tegasnya.

    Selain itu kata Ali, Syed Husin menyalahkan Muhyiddin kerana tidak ‘memiliki cukup majoriti’ apabila PH bersatu dengan kleptokrat mengancam majoriti Muhyiddin semasa negara berdepan dengan krisis kesihatan.

    Katanya, tetapi lebih buruk lagi meskipun tidak mempunyai jumlah mencukupi tersendiri, PH menjatuhkan kerajaan kerana keinginan mereka mendapat kuasa persekutuan.

    “Jangan kita lupa, Muhyiddin merupakan satu-satunya Perdana Menteri menawarkan tujuh perkara untuk pembaharuan dalam landskap politik negara,” katanya.

  • Krisis bekalan air, Terengganu salur bantuan segera RM2.9 juta

    Krisis bekalan air, Terengganu salur bantuan segera RM2.9 juta

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK RM2.9 juta bantuan segera disalurkan bagi membantu penduduk yang berhadapan masalah terputus bekalan air melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

    Bantuan oleh Kerajaan Negeri Terengganu itu dibuat melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) dalam masa terdekat ini.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.04 juta akan disalurkan kepada 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan bantuan bekalan air harian.

    Selain itu katanya, sebanyak RM500,000 pula adalah melibatkan pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan
    di semua kawasan terbabit.

    “Bantuan juga akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Penyelaras DUN berdasarkan jumlah penduduk dan pengguna di setiap kawasan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Dr. Ahmad Samsuri, bantuan bekalan air bersih untuk minuman akan terus dibekalkan kepada semua rumah terlibat.

    Oleh itu katanya, sebanyak RM1.25 juta diperuntukkan membabitkan air minuman dalam kotak.

    “Kita akan memastikan bekalan air bersih dihantar dengan kekerapan yang sesuai sehingga masalah ini selesai,”ujarnya.

    Dr. Ahmad turut melahirkan rasa kesal mengenai
    kejadian berulang paip pecah di dasar sungai Terengganu sehingga menjejaskan bekalan air kepada rakyat di dua daerah.

    Justeru katanya, beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Siasatan bagi memperincikan kes berkenaan bermula daripada kejadian pertama hingga yang terkini.

    “Ia penting untuk membolehkan kita dapat merencanakan tindakan jangka masa panjang. 

    “Sama-samalah kita doakan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan urusan harian mereka yang terlibat dipermudahkan,” tambah beliau.