Category: Semasa

  • Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KADAR kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend menurun sejak empat hari lalu.

    Semalam kadar tersebut direkodkan pada 1.01 berbanding 1.02 pada hari sebelumnya.

    Sebanyak sembilan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

    Sarawak mencatat nilai Rt tertinggi dengan 1.23, diikuti Perlis (1.21), Sabah (1.18), Pulau Pinang (1.13), Johor (1.08), Perak (1.06), Kelantan (1.06), Kedah (1.04) dan Terengganu (1.03).

    Sementara Pahang mencatat Rt sama dengan purata kebangsaan dan negeri/wilayah dengan nilai Rt lebih rendah ialah Melaka (0.99), Selangor (0.96), Kuala Lumpur (0.83), Negeri Sembilan (0.79) dan Putrajaya (0.78).

    Labuan pula mencatatkan lapan kes baharu.

    Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, sementara yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah tepat apabila mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri daripada kerajaan terdahulu, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Sulaiman berkata, keputusan itu penting bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan segala pelan perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan cabaran pandemik Covid-19.

    Ia termasuk usaha memulihkan ekonomi negara, mengekalkan kestabilan, menjamin kelangsungan hidup rakyat serta mengembalikan semula keyakinan pelabur dapat dilakukan dengan lebih pantas serta berkesan.

    “Bagi pihak kerajaan negeri, saya menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana telah memperkenan senarai anggota jemaah menteri Persekutuan baharu.

    “Tindakan Perdana Menteri mengekalkan sebahagian besar ahli jemaah menteri Persekutuan dalam Kabinet Persekutuan yang baharu ini dianggap sebagai langkah tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Selain itu, ujar Sulaiman, pelantikan beberapa muka baharu yang dilihat berpengalaman juga dapat membantu Perdana Menteri dalam memperkasakan lagi fungsi dan peranan Kabinet Persekutuan sebagai pasukan pengurusan yang tertinggi serta utama.

    “Saya berharap dan mendoakan semoga Allah memberi kejayaan kepada Keluarga Malaysia dan merahmati pertiwi bertuah ini,” katanya.

  • Kompleks Rawatan Harian HTAR dibuka semula Isnin ini

    Kompleks Rawatan Harian HTAR dibuka semula Isnin ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KOMPLEKS Rawatan Harian (ACC) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang sebelum ini telah dijadikan wad sementara bagi menempatkan pesakit COVID-19 akan dibuka semula Isnin ini.

    HTAR memaklumkan pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama-sama dengan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam telah datang ke hospital berkenaan bagi melaksanakan proses sanitasi dan dekontaminasi ACC yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

    “Ia merupakan proses sanitasi dan dekontaminasi terakhir sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan,” menurut hospital itu menerusi hantarannya dalam Facebook.

    HTAR memaklumkan bagi pengoperasian semula klinik-klinik di ACC pula, ia dijangka akan bermula pada September ini.

  • Dua kanak-kanak mangsa dera ibu tunggal, kekasihnya diselamatkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera diselamatkan polis di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, siasatan mendapati kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun didera ibu tunggal dan kekasihnya.

    “Turut dirampas tiga rotan pelbagai saiz digunakan suspek untuk mendera kanak-kanak lelaki dan perempuan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Pemergian Ahmad Sarji kehilangan besar untuk negara – Muhyiddin

    Pemergian Ahmad Sarji kehilangan besar untuk negara – Muhyiddin

    PEMERGIAN Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, pada awal pagi hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Allahyarham merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.

    “Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.

    “Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

    Muhyiddin berkata semasa menjawat jawatan KSN, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

    Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarji di atas pemergian itu.

    Ahmad Sarji, 82, yang menyertai Pentadbiran Tanah Melayu sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah Klang pada Januari 1961, berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996.

    Sementara itu, Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun media sosial miliknya turut melahirkan rasa duka citanya atas pemergian Allahyarham hari ini dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

    Dalam pada itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara kehilangan seorang lagi tokoh yang banyak jasanya kepada perkhidmatan awam dan perkembangan agama Islam.

    “Semoga segala jasanya kepada Malaysia selama ini akan menjadi simpanan berharga di akhirat. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga mereka akan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya dalam hantaran di media sosial.

  • Lelaki berputih mata wang simpanan RM24,291 lesap ditipu Macau Scam

    Lelaki berputih mata wang simpanan RM24,291 lesap ditipu Macau Scam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    IMPIAN seorang lelaki untuk mendapat pekerjaan bukan sahaja menemui kegagalan, sebaliknya dia terpaksa berputih mata apabila wang simpanan miliknya berjumlah RM24,291 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada 20 Ogos lalu.

    Mangsa berusia 41 tahun yang juga seorang penganggur dikatakan berminat untuk mendapatkan pekerjaan itu selepas melihat iklan tawaran kerja sambilan di laman sosial Facebook (FB) miliknya.

    Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa pada mulanya bertindak menekan link iklan berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut berhubung tawaran pekerjaan itu menerusi pesanan aplikasi WhatsApp suspek.

    Katanya, setelah berhubung, suspek menawarkan kerja sambilan agak lumayan dengan pembayaran komisen sehingga 10 peratus sekiranya tugasan diberi dapat diselesaikan mangsa.

    Bagaimanapun katanya, suspek meminta mangsa membayar RM3,000 terlebih dahulu sebagai wang proses dan ia akan dipulangkan semula.

    “Berikutan itu, pada Jumaat lalu, suspek memberi mangsa tugasan pertama dan kedua di mana mangsa berjaya memperoleh kembali wang proses dibayarnya berserta komisen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, suspek mula meneruskan modus operandinya dengan memberi tugasan berikutnya dalam usaha untuk memperdaya mangsa.

    Beliau berkata, mangsa kemudian diberikan sebanyak 12 tugasan lagi selain perlu membayar wang proses untuk tugasan tersebut.

    “Mangsa akhirnya telah memasukkan wang ke tiga akaun bank berbeza dengan 12 transaksi berjumlah RM24,291.

    Namun katanya, sehingga ini mangsa masih belum menerima semula wang proses tersebut, begitu juga dengan komisen seperti dijanjikan suspek.

    Kemudian, ujar Mohd Wazir, mangsa yang merasakan dirinya ditipu oleh sindiket telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • AS serang sasaran Daesh di Afghanistan

    AS serang sasaran Daesh di Afghanistan

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AMERIKA Syarikat (AS) mula bertindak balas terhadap kematian 13 tenteranya di lapangan terbang di Kabul, Afghanistan kelmarin, dengan melancarkan serangan dron terhadap sasaran Daesh di negara itu, hari ini.

    Serangan negara yang dianggap ‘polis dunia itu’ dilakukan ketika operasi pemindahan kini memasuki peringkat akhir dan semakin genting.

    Perkembangan itu sekali gus menyaksikan tentera AS yang mengawal proses pemindahan keluar dari Afghanistan terpaksa menjalinkan kerjasama keselamatan lebih rapat dengan Taliban untuk mencegah berulangnya insiden berkenaan.

    Pentagon mengumumkan, pihaknya melakukan serangan dron ke atas ‘perancang’ daripada kumpulan terbabit di timur Afghanistan.

    “Petunjuk awal ialah kami membunuh sasaran,” kata Kapten Bill Urban daripada Komando Pusat AS.

    Kelmarin, Afghanistan digemparkan dengan letupan bom terbaharu yang mengorbankan 20 orang awam dan 13 tentera AS yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul.

    Kejadian tersebut belaku ketika mereka yang berada di lapangan terbang itu mahu meninggalkan negara tersebut, menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk AS dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan,

    Setakat ini kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar.

    Walaupun masih tiada bukti siapa melakukan serangan itu, media barat melaporkan kumpulan IS bertanggungjawab atas serangan tersebut.

  • Penduduk di lima pulau capai imuniti kelompok 100 peratus

    Penduduk di lima pulau capai imuniti kelompok 100 peratus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK di lima pulau di Mersing berjaya mencapai imuniti kelompok 100 peratus selepas lengkap menerima dos kedua vaksin menerusi Program Pemberian Vaksin (PPV) bergerak, semalam.

    Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Dr. Norzaher Ismail berkata, pemberian dos kedua itu melibatkan 1,000 penduduk termasuk pekerja dalam sektor pelancongan di pulau-pulau di daerah berkenaan.

    “Setakat ini tiada masalah membabitkan penduduk di pulau dan tiada yang menolak menerima suntikan vaksin.

    “Ini berikutan tahap kesedaran dan juga kerjasama amat baik melibatkan sektor pelancongan, pejabat daerah, Mersing Tourism Association (MTA),” katanya ketika ditemui pemberita pada PPV Dos Kedua Secara PPV bergerak Mukim Pulau Daerah Mersing di Pulau Besar, Mersing, semalam.

    Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau-Pulau/Tenggaroh Daerah Mersing, Muhammad Nur Fahmi Zulkifli berharap dengan tercapainya kolompok imuniti itu akan kembali merancakkan sektor pelancongan di pulau-pulau di Mersing.

    “Kita bersedia terima kehadiran pelancong pada bila-bila masa jika aktiviti pelancongan sudah dibenarkan,” katanya.

    Dalam pada itu, penduduk Pulau Besar, Nurul Akma Kamal, 33, berkata, dia sememangnya sudah sekian lama menanti untuk mendapatkan janji temu vaksin malah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkannya.

    “Saya sendiri memang mahu cepat-cepat vaksin sebab bekerja di resort di pulau ini dan kini saya diminta kerja di darat menjaga cafe. Bila ramai yang sudah vaksin di pulau ini, diharapkan pelancongan di sini dapat dibuka dengan cepat,” katanya.

    Mariana Nawang, 45, pula lega sudah lengkap menerima vaksin dan juga berharap pelancong mula kembali datang ke pulau berkenaan.

    Setiausaha Mersing Tourism Association (MTA), Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata, MTA sudah memulakan Kempen Pendaftaran Vaksinasi Pelancongan pada 1 hingga 6 April lalu. 

    Katanya, bermula dengan 100 nama akhirnya meningkat menjadi 600 peserta terdiri daripada pekerja dalam sektor pelancongan meliputi penginapan, bot sewa pelancong, agensi pengembaraan dan pemandu pelancong. 

    “Semoga usaha pelbagai pihak ini dapat memberikan persediaan awal sebelum tibanya musim monsun pada November nanti. Dijangka pelancongan bakal bergerak aktif menjelang Februari 2022,” katanya.

  • Bonnie raih emas pertama Malaysia di Paralimpik Tokyo

    Bonnie raih emas pertama Malaysia di Paralimpik Tokyo

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    MALAYSIA raih pingat emas pertama menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam acara Powerlifting kategori lelaki 72 kilogram Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

    Bonnie melakukan angkatan seberat 228kg sekali gus memecah rekod baharu sukan Paralimpik.

    Anak kelahiran Sarawak itu sekali cuba untuk memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 231 kg namun tidak berjaya.

    Bonnie sebelum ini memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

    Sementara itu, pencabarnya dari Mesir, Mahmoud Attia melakukan angkatan 191kg bagi pingat perak, manakala wakil Great Britain, Mickey Yuli meraih pingat gangsa dengan angkatan seberat 182kg

  • Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini.

    Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik dalam Facebook hari ini, Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

    “Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikianmenurut kenyataan Istana Negara tersebut.

    Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

    Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

    Allahyarham juga adalah pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.