Category: Semasa

  • ‘Kalih bagi sama’, kempen politik songsang – Sanusi

    ‘Kalih bagi sama’, kempen politik songsang – Sanusi

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md.Nor menyifatkan kempen ‘kalih bagi sama’ yang menjadi slogan PH-BN untuk merampas Kedah dalam PRN tidak lama lagi sebagai kempen politik songsang.

    Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar Kedah itu berkata, kempen berkenaan tidak menggambarkan demokrasi dan tidak selari dengan Perlembagaan negara.

    Beliau menegaskan , adalah menjadi hak rakyat untuk memilih kepimpinan dalam pilihan raya seperti termaktub dalam undang-undang.

    “Ada orang sedang adakan kempen supaya ‘kalih bagi sama’. Tujuannya supaya kerajaan negeri dengan peringkat Pusat sama, barulah berlaku keadilan. Ini adalah satu kempen yang songsang. Kempen ini songsang kerana hak rakyat untuk memilih dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

    Menteri Besar Kedah itu mengingatkan agar kempen politik menjelang PRN hendaklah berada dalam landasan dibenarkan dan tidak menyalahi perundangan.

    “Rakyat sudah pilih, kerajaan sudah terbentuk (di Kedah) tetapi apabila pemimpin itu dari parti lain, diuarkan sebegitu. Undang-undang tidak pernah menyatakan hanya apabila parti di Pusat dan negeri sama, barulah proses keadilan boleh berlaku. Itu di luar batas undang-undang. Jadi tak perlu kempen sehingga tak peduli undang-undang,” katanya.

    Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata,  segala urusan pentadbiran khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mesti berlandaskan kepada undang-undang.

    “Perlu adil kepada Kedah biarpun negeri ini ditadbir oleh parti yang tidak sealiran dengan parti pemimpin itu. Kempen seperti ‘kalih bagi sama’ barulah ada keadilan atau akan diberikan layanan sama rata, ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya..

    Pada awal Mei lalu, PH dan BN Kedah melancarkan slogan ‘kalih bagi sama’ sebagai kempen PRN bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan sealiran.

    Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar meminta rakyat Kedah memanfaatkan peluang sebaik mungkin dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi untuk memastikan pentadbiran negeri sealiran dengan Persekutuan.

  • Guru wanita tabika cedera selamatkan 9 murid daripada lelaki amuk

    Guru wanita tabika cedera selamatkan 9 murid daripada lelaki amuk

    SEORANG guru wanita cedera semasa menyelamatkan sembilan muridnya daripada seorang lelaki yang mengamuk di sebuah tadika di Sarikei pukul 8.20 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, suspek dipercayai datang secara tiba-tiba di tabika terbabit dan cuba memasukinya.

    “Suspek berusia 17 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Dia bertindak memecahkan tingkap serta pintu belakang tabika berkenaan sebelum bergelut dengan mangsa,” katanya di Sarikei, hari ini.

    Katanya, guru terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan belakang badan akibat pergelutan berkenaan.

    Difahamkan, guru wanita itu kemudian dibantu pengawal keselamatan yang berjaya menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan masing-masing kerana melakukan khianat harta benda dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja,” katanya, lapor Astro Awani.

  • OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Datuk, Kuala Nerus, Terengganu.

    Dalam kejadian pukul 11.50 pagi, Senik Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia selepas gagal menyelamatkan diri.

    Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad @ Arshad, berkata pihaknya menerima panggilan 12.01 tengah hari sebelum menggerakkan 28 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Jalan Kota ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik sampai, api sedang marak membakar rumah berkenaan sebelum kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

    “Api berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum kita menemui mayat mangsa dalam bilik. Ketika ini, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    “Mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi kebakaran pada 2.10 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.

  • Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kontraktor perabot dan renovasi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada hukuman gantung atas tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

    Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman berkatm, pihkanya menimbangkan secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

    “Pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692.

    “Fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

    “Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut.

    “Mahkamah ini berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

    Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram (g), Monoacetymorphines 116.1g dan Methamphetamine 1.7 kilogram.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.30 petang dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di Johor Bahru pada 31 Oktober 2018.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

    Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung. 

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying. 

  • Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    SEORANG kakitangan Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika membantu pemandu kereta yang rosak di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap JKSB, mangsa, Musyiri Bakar, 49, berada di kawasan berkenaan untuk membantu sebuah kenderaan Perodua Viva yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.

    Bagaimanapun, katanya, sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda (Hilux) menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.

    “Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.

    “Bagaimanapun, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah jurucakap itu, pihak JKSB masih menunggu siasatan lanjut daripada polis berhubung kejadian berkenaan.

    Difahamkan, jenazah Musyiri akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung, Simpang Empat dekat sini untuk disolatkan dan dikebumikan petang ini.

  • Polis tahan tujuh lelaki warga Pakistan disyaki terlibat pemerdagangan orang

    Polis tahan tujuh lelaki warga Pakistan disyaki terlibat pemerdagangan orang

    POLIS menahan tujuh lelaki warga Pakistan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan orang, di sebuah apartmen di Taman Pandan Perdana, Ampang, di Kuala Lumpur, Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua mereka berumur antara 21 hingga 44 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki yang juga warga Pakistan berusia 23 tahun telah dipukul oleh empat lelaki senegara yang merupakan ejen yang membawanya masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

    “Pasportnya juga telah dirampas serta mangsa dipukul dan diugut tidak dibenarkan keluar dari rumah, mangsa mengalami kecederaan sakit pada bahagian badan dan lengan serta tangan bahagian kiri.

    “Semasa tangkapan, polis turut menyelamatkan empat mangsa lelaki warga Pakistan yang lain serta merampas 22 pasport Pakistan milik mangsa, lima beg pakaian, tiga telefon bimbit, serta batang penyapu yang digunakan untuk memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Azam berkata modus operandi mereka ialah melakukan tipu daya bagi warganegara asing dengan melakukan pekerjaan secara paksa.

    “Semakan rekod jenayah terhadap semua tangkapan mendapati tiada rekod ditemukan manakala ujian air kencing ke atas tangkapan pertama hingga ketujuh negatif dadah.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu memperdagangkan orang dengan maksud eksploitasi,” katanya.

  • Jangan sampai berpecah belah kerana pilihan raya – Polis Kedah

    Jangan sampai berpecah belah kerana pilihan raya – Polis Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang turut melibatkan negeri itu tidak seharusnya menjadi medan perpecahan masyarakat yang sepatutnya sentiasa bersatu padu membina kemakmuran buat negeri serta negara.

    Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keamanan sedia ada sentiasa terpelihara.

    Justeru katanya, polis Kedah mengingatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati supaya tidak melampaui batas terutamanya melibatkan aspek ‘3R’ iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) dalam usaha memenangi hati rakyat sempena PRN tidak lama lagi.

    Katanya, sebarang perhimpunan juga perlu dimaklumkan kepada pihak polis selaras syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan aktiviti dijalankan tidak menyalahi undang-undang.

    “Saya ingin mengingatkan bahawa polis kini telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas 3R sejak Mac lalu bagi menangani isu berkaitan agama, raja dan kaum. Jadi kalau ada pihak yang menyentuh perkara ini dan didokumenkan termasuk dalam bentuk video, jangan dipolemikkan perkara itu apabila polis buka kertas siasatan.

    “Begitu juga dengan perhimpunan yang semakin rancak diadakan kebelakangan ini. Perlu pastikan ada permohonan dibuat kepada polis agar kami dapat sama-sama membantu mengawal keadaan di lokasi tersebut.

    “Kita sayang semua orang tanpa mengira perbezaan fahaman politik namun janganlah ada mana-mana pihak ambil langkah menggusarkan satu sama lain. Janganlah sampai ada percakapan mahupun perbuatan yang melarat menjadi sentimen negatif, ketika kita berada dalam negara sama dan memiliki tanggungjawab untuk memelihara keamanan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah yang pertama buatnya selepas melapor diri sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu pada 6 Jun lalu.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Kedah memiliki 20 lokasi yang dikenal pasti sebagai antara 190 ‘kawasan panas’ membabitkan enam negeri yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi.

    Dalam pada itu, ketika ditanya trend konvoi besar-besaran yang turut popular dalam kalangan parti-parti politik bagi menarik penyertaan golongan muda, Fisol berkata, penganjur perlu memastikan semua penunggang mematuhi undang-undang termasuk memiliki cukai jalan dan lesen sah.

    “Kita faham masing-masing akan cuba menunjukkan kekuatan menjelang PRN ini tetapi kalau perkara itu diselaraskan dengan baik, saya fikir tak ada masalah. Perlu ada keprihatinan terhadap pengguna jalan raya lain dan jangan fikir tentang diri mahu pun parti sendiri semata-mata.

    “Jangan semata-mata kerana mahu menunjukkan ramai orang bersama mereka, maka disertakan sekali mereka yang tidak ada lesen serta cukai jalan. Perlu pastikan pergerakan kumpulan itu dikawal dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini akibat kecuaian penganjur, maka polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

  • Puteri Sarah reda bercerai dengan Syamsul, harap tiada lagi persengketaan

    Puteri Sarah reda bercerai dengan Syamsul, harap tiada lagi persengketaan

    PELAKON Puteri Sarah Liyana, 38, reda apabila dia kini sah sudah bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tengah hari tadi.

    Puteri Sarah berharap hubungannya dengan Syamsul, 39, selepas ini baik dan tiada persengketaan.

    “Alhamdulillah semua selesai. Semalam kami ada berjumpa dan sudah selesaikan semuanya dari A hingga Z (perkara yang melibatkan dua pihak).

    “Harapan saya agar selepas ini tiada lagi persengketaan dan kita berbaik macam biasa. Macam kita dah berjanji,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak, sebaik sahaja selesai prosiding pengesahan perceraian itu.

    Ditanya momen ketika bersalaman buat kali terakhir dengan Syamsul, Puteri Sarah tersenyum.

    “Biar saya seorang saja tahu,” jawabnya ringkas.

    Sementara itu, hak jagaan anak-anak sepenuhnya diberikan kepada Puteri Sarah.

    Apabila ditanya mengenai hak penjagaan anak, Puteri Sarah memberitahu meskipun diberikan sepenuhnya kepada dia, namun tetap terbuka untuk membenarkan Syamsul melawat pada bila-bila masa.

    “Hak penjagaan anak-anak dekat saya. Tapi Syamsul boleh jumpa tanpa halangan.

    “Tiada jadual untuk Syamsul untuk berjumpa dengan anak-anak. Saya rasa tak perlulah,” ujarnya.

    Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.

    Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.

    Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.

    Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.

    Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur, Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

    Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.

    Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.

    Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Bercerai dengan Puteri Sarah: “Tiada dendam, ini ujian hidup, saya reda” – Syamsul

    Bercerai dengan Puteri Sarah: “Tiada dendam, ini ujian hidup, saya reda” – Syamsul

    PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof menyifatkan perceraiannya dengan pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai ujian dalam hidupnya.

    Dia reda dengan apa yang berlaku dengan harapan ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

    “Saya anggap ini ujian hidup, kami pun bukan muda lagi jadi kami perlu kuat untuk menghadapinya.

    “Alhamdulillah pengakhirannya baik. Saya berharap Sarah dapat teruskan kehidupan dengan baik, begitu juga saya.

    “Kami masing-masing mendoakan satu sama lain, walaupun sudah berpisah tapi tiada dendam antara kami,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

    Katanya, mereka memilih untuk mengambil keputusan yang tidak akan memberi implikasi negatif terhadap anak-anak.

    Dua anak pasangan itu, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, berada di bawah jagaan Puteri Sarah, namun tiada halangan untuk Syamsul datang melawat atau bertemu pada bila-bila masa.

    Sementara itu, Puteri Sarah berharap tiada lagi persengketaan dan hubungan baik dapat terus terjalin demi kebaikan anak-anak.

    “Saya berharap tiada lagi persengketaan dan kami berbaik seperti dijanjikan.

    “Sambut hari raya pun macam biasa, kami akan sambut bersama keluarga. Saya tetap berbaik dengan keluarga mentua, masih pergi ke rumah mereka dan tidur di sana,” katanya.

    Sementara itu, Puteri Sarah enggan mengulas lanjut tentang isteri Syamsul, Ira Kazar namun memberi bayangan segalanya sudah selesai.

    “Tiada komen. Mengenai kes dengan Ira, saya tak boleh dedahkan lebih lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, peguam Syamsul, Azmi Rais mengklasifikasikan kes pasangan itu sebagai ‘penyelesaian penuh’.

    “Saya tak boleh komen secara terperinci tetapi apa yang boleh dikatakan mereka capai penyelesaian secara baik, tiada lagi dakwa-dakwi antara kedua belah pihak.

    “Cuma sekarang kena ke Mahkamah Tinggi, ada terma yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi, untuk merekodkan berdasarkan perjanjian yang telah ditangani pada 13 Jun antara kedua-dua belah pihak,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Haji tanpa permit: Boleh dipenjara, denda, tidak boleh masuk Arab Saudi 10 tahun

    Haji tanpa permit: Boleh dipenjara, denda, tidak boleh masuk Arab Saudi 10 tahun

    KERAJAAN Arab Saudi mengulangi amaran akan mengenakan hukuman berat kepada mana-mana individu yang mengerjakan ibadah haji tanpa permit yang sah.

    Jabatan Keselamatan Awam Arab Saudi berkata jemaah haji tanpa permit bakal berdepan dengan hukuman penjara, denda dan larangan memasuki negara berkenaan selama 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

    “Mana-mana rakyat tempatan yang ditahan membawa jemaah haji tanpa permit pula bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SAR50,000 (RM61.600) bagi setiap kesalahan”, menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA). 

    Menurut kenyataan itu, pesalah dalam kalangan warga asing pula akan dihantar pulang ke negara masing-masing selepas selesai menjalani hukuman dan membayar denda, selain dihalang daripada memasuki Arab Saudi bagi tempoh yang ditetapkan”.

    Arab Saudi mula mengenakan hukuman tegas bagi kesalahan operasi haji tanpa permit sejak tahun 2013.

    Hukuman bagi pesalah warga asing termasuklah dihantar pulang serta-merta dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

    Walaupun Arab Saudi membenarkan pemegang semua jenis visa menunaikan umrah sepanjang tahun, namun visa ini adalah terpakai di luar musim haji sahaja.