Category: Semasa

  • DAP bertolak ansur walaupun dapat jawatan Kabinet lebih rendah – Anthony

    DAP bertolak ansur walaupun dapat jawatan Kabinet lebih rendah – Anthony

     DAP menerima bilangan jawatan dalam Kabinet yang lebih rendah dan tidak seimbang kerana parti itu memilih untuk bertolak ansur dengan menjangkakan masalah yang mungkin timbul berikutan landskap politik yang semakin terpolarisasi di negara ini, terutama berkaitan isu kaum dan agama.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga berkata pelantikan menteri Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri.

    “Sudah tentu (polarisasi) membimbangkan kami dan itulah sebabnya kami membuat keputusan tertentu seperti yang kami buat. Jika kita tidak sentiasa sedar tentang isu-isu itu, saya boleh saja buat bising. Seperti kenapa kita hanya diberi empat jawatan menteri? Kerana pada fikiran saya, kita tahu terdapat polarisasi dalam masyarakat.

    “Ia berbahaya kepada fabrik negara kita dan itulah sebabnya kami mengambil langkah tertentu untuk memastikan kerajaan ini dapat berfungsi,” kata Loke dalam temu bual di BFM Breakfast Grill, hari ini lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata, bagi memastikan negara berbilang kaum seperti Malaysia makmur, beliau berkata tiada pilihan lain untuk Perdana Menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini.

    Jika pentadbiran pimpinan Anwar tumbang, satu-satunya pilihan yang ada ialah Perikatan Nasional yang menurut Loke bukan merupakan pilihan DAP.

    “Jika hari ini kerajaan ini tidak berfungsi, jika kerajaan ini gagal, apakah pilihannya? Pilihannya ialah anda mendapat gabungan yang tidak mempercayai kepelbagaian budaya.

    “Itu bukan pilihan bagi kita, setakat apa yang DAP tahu, jadi kita kena buat kerajaan ini berfungsi kerana kerajaan ini menjunjung fabrik masyarakat dan negara kita yang berbilang kaum dan Perdana Menteri komited kepadanya.

    “Itulah sebabnya kami membuat keputusan yang kami buat,” kata Loke, yang juga Menteri Pengangkutan.

  • Allahyarham Isa pernah gadai gelang,rantai isteri bantu rakyat – Sanusi

    Allahyarham Isa pernah gadai gelang,rantai isteri bantu rakyat – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Isa Shafie yang meninggal dunia malam tadi disifatkan sebagai seorang pemimpin serta pejuang tegas yang berprinsip sepanjang hidupnya.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, jasa dan pengorbanan Mohd. Isa telalu banyak untuk dikenang sepanjang hayat.

    Sambil mengakui cukup terasa dengan pemergian Mohd. Isa, Muhammad Sanusi mendedahkan bahawa Allahyarham pernah menggadai gelang serta rantai isterinya dikenali sebagai Kak Dah semata-mata untuk membantu orang ramai setelah semua simpanannya habis.

    “Walaupun dilanda kesempitan kewangan yang meruncing ketika mula menjadi Adun pada 1999 bersama ADUN Jeneri, Dato’ Hj Yahya Abdullah dan Ahli Parlimen, Datuk Prof. Emiritus Shahnon Ahmad ketika itu, Mohd. Isa terus berkhidmat membantu orang ramai yang memerlukan sumbangan, sehingga menggadai gelang dan rantai isterinya (Kak Dah) setelah semua simpanannya tidak berbaki lagi.

    “Belantek adalah DUN paling luas (sebesar Negeri Perlis) dan penduduknya memang dikenali kaya dengan kemiskinan. Di sanalah beliau bergelumang selama bertahun-tahun menabur khidmat bakti, mendengar masalah dan menyelesaikan urusan orang ramai,” katanya dalam laman Facebooknya di sini, hari ini.

    Mohd. Isa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 11.23 malam tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    Awal Mei lalu, beliau dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau mula bekerja bersama Allahyarham sejak 1999 setelah Mohd. Isa dipilih sebagai ADUN Belantek buat kali pertama pada usia 46 tahu.

    “Mohd. Isa meletak jawatan sebagai pegawai bomba lapang terbang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999. Banyak kebolehan beliau diasah bersama PAS dan kerjayanya.

    “Beliau aktif dalam PAS sebagai penceramah sejak 1970-an lagi, berulang alik antara Sik ke Pulau Pinang setiap kali pilihanraya berlansung. Beliau kaya dengan kisah tentang orang dulu-dulu berjuang dan sangat memotivasikan,” katanya.

    Tambahnya, Mohd. Isa pernah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Sik dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah sewaktu Allahyarham Tan Sri Azizan Razak menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah.

    “Pas meminta saya bertanding di DUN Belantek menggantikannya pada PRU-12 pada 2008 setelah dua penggal beliau berkhidmat. Malangnya saya kalah kepada calon BN (252 undi) akibat kemasukan undi tentera secara besar-besaran (1,031 pengundi) ke DUN Belantek menjelang DUN dan Parlimen dibubarkan.

    “Beliau kembali bertanding setelah diarahkan oleh parti walaupun sedikit keuzuran pada 2018 dan menang lebih besar dengan majoriti 2,574 undi mengalahkan calon BN dan PH,” katanya.

    Menurut Muhammad Sanusi lagi, Mohd. Isa merupakan tempat beliau belajar, bertanya pandangan, meminta dan mendengar nasihat, menimba ilmu dan petua, bertanya tentang latar belakang si ‘fulan’ dan ‘si fulan’ yang lebih dikenalinya.

    “Mohd. Isa sering menelefon bertanya khabar dan berpesan pelbagai perkara bila lama tak dapat bersua muka. Beliau sangat mengambil berat tentang keselamatan saya.

    “Beliau adalah guru, sahabat, dan teman suka duka dalam perjuangan. Disiplin dan kefahamannya tentang jemaah dan parti teguh dan kukuh tanpa ada sesiapa yang boleh mengubah pendiriannya selama beliau berpegang kepada keputusan parti dan pimpinan. Beliau tetap taat dan setia sewaktu orang lain melonggar,” katanya.

  • ADUN Belantek meninggal dunia 

    ADUN Belantek meninggal dunia 

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini.

    Berita kematian Mohd Isa dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di laman Facebooknya malam ini.

    “Saya menerima berita bahawa YB (Yang Berhormat) Dato (Allahyarham Mohd Isa) telah meninggal dunia lebih kurang pukul 11.23 malam  di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga (Allahyarham),” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, lapor BERNAMA.

    Sebelum ini media melaporkan Mohd Isa, 69, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang pada bulan lepas.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mohd Isa dari PAS menang kerusi DUN Belantek dengan majoriti 2,574 undi selepas mendapat 9,600 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mohd Tajudin Abdullah (7,026 undi) dan calon PKR Abdul Rashid Abdullah (2,376 undi).

    Kedah yang tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU ke-15 pada November lepas akan mengadakan PRN dalam masa terdekat bersama lima negeri lain.

  • Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    LETIH dan mengantuk ketika memandu dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan hingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

    Lebih mengejutkan, lelaki berusia 26 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu, namun bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol hasil saringan air kencing terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, kejadian itu berlaku selepas seorang wanita yang memandu kereta Perodua Viva memberhentikan keretanya di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 11.6 jambatan berkenaan kerana mengalami kerosakan kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

    Ekoran itu, katanya, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

    Bagaimanapun, jelasnya, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, sebuah lori datang dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelonsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

    Lee Chong Chern

    “Akibatnya, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu.

    “Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

    Jelasnya, penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala pemandu Perodua Viva berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

  • 3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang disebut-sebut seorang daripada tiga bekas panglima perang UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) ‘mengunci mulut’ apabila ditanya berkenaan perkara terbabit.

    “Saya tak nak komen apa-apa dulu dan biarlah masa yang menentukan,” katanya yang tidak menafi atau mengiyakan beliau antara tiga panglima perang UMNO yang akan menyertai PN.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram ketika dihubungi berkata, apa yang mahu dilakukan ketika ini ialah mahu berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.

    Ditanya sama ada pernah dihubungi atau didekati pemimpin PN, beliau mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin PN.

    “Saya memang mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan pemimpin. Saya berkawan dengan sampai sekarang,” ujar beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

    Dalam pada itu, beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO berkata, pemimpin parti itu kini sudah ‘tersasar’ daripada perjuangan asal.

    Namun Maulizan mengakui tidak pernah menyalahkan parti atas penggantungan keahliannya.

    “Parti tak salah, cuma pemimpin-pemimpin yang mengemudi parti sudah lari jauh daripada matlamat perjuangan asal,” katanya yang sebelum ini memberitahu, tidak pernah dipanggil lembaga displin parti atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan itu.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini.

    Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.

  • Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEAKAN tiada apa yang berlaku, seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan perasaan, selamba duduk di meja depan rumahnya sambil menemani anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme berusia 9 tahun menjamah nasi, ketika jasad isterinya terkulai di dalam bilik.

    Menurut Ruhaina Radzali, 41, dia hadir ke rumah pasangan tersebut di Pekan Ayer Hitam dekat Jerlun, Kedah kira-kira pukul 12.15 tengah hari bagi menghantar nasi ayam dimasaknya sebagai bekalan makanan tengah hari keluarga itu.

    Katanya, isteri lelaki tersebut yang juga OKU lembam, Nur Syahani Safarina Ibrahim, 42, merupakan birasnya dan dia memang selalu menghantar makanan kepada keluarga tersebut.

    “Sebaik tiba di rumah mereka, saya bertanyakan lelaki itu di mana isterinya. Dengan selamba lelaki itu mendakwa isterinya tiada kerana sudah mati.

    “Saya terkejut mendengarnya dan bertanyakan sekali lagi mengenai perkara itu. Lelaki tersebut lalu menyuruh saya masuk ke rumah untuk melihat keadaan isterinya sendiri jika tidak percaya,” katanya.

    Berikutan itu katanya, dia masuk ke dalam rumah tersebut dan ternampak wanita berkenaan terkulai di tepi katil dengan kepalanya terlentok atas tilam.

    “Saya memanggilnya beberapa kali namun tiada maklum balas. Apabila saya memegangnya, badannya sudah sejuk.

    “Ekoran itu, saya berlari ke rumah jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada petugas klinik kesihatan berhampiran. Petugas yang hadir bersama ambulans kemudiannya mengesahkan Nur Syahani sudah meninggal dunia,” katanya.

    Ruhaina menambah, suami Nur Syahani asalnya seorang yang sihat dan mula bercakap sendirian dan kerap menjerit siang malam sejak berhenti kerja dari sebuah pasar Raya kira-kira setahun lalu.

    “Memang dia sering bercakap seorang diri dan sukar difahami tetapi tak pernah pula dia dilihat memarahi isterinya,” katanya.

    Dalam pada itu Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan dijalankan termasuk oleh Unit Forensik mendapati tiada unsur-unsur jenayah, pergelutan mahu pun darah di lokasi kejadian.
    Selain itu keluarga wanita berkenaan memaklumkan mangsa ada mengadu terasa penat semalam dan dia dikatakan memang menghidap penyakit semput selain kencing manis.

    “Suami wanita itu turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Jasad wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya.

  • Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    SEORANG lelaki maut selepas tercampak daripada motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya sebelum jatuh dari jejambat (flyover) di susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) menghala Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang hari ini.

    Penunggang motosikal jenis Ducati berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, sebelum mangsa terbabas dan terjatuh ke bawah jejambat itu, lapor Sinar Harian.

    Video dan gambar yang memaparkan kemalangan berkenaan tular dalam media sosial.

    Kes berkenaan masih dalam siasatan dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.

    Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat memaparkan motosikal melawan arus tular di media sosial.

    Sejurus selepas itu, motosikal berkuasa tinggi dilihat hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan terpelanting ke bawah.

  • LFL: Zahid ‘jamu’ Najib makan di penjara tak adil, persenda undang-undang

    LFL: Zahid ‘jamu’ Najib makan di penjara tak adil, persenda undang-undang

    KERAJAAN hari ini dikecam berhubung layanan istimewa yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika mereka melawat Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang.

    Menurut laporan MalaysiaKini, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata, peruntukan sedemikian untuk Najib dan tahanan VIP lain ‘hampir tidak pernah didengar’.

    Katanya, layanan istimewa yang diberikan kepada Najib adalah satu penghinaan terhadap prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

    “Kerajaan yang diamanahkan untuk menegakkan Perlembagaan mesti menjawab bagaimana ini boleh dibenarkan.

    “Tahanan dan banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya atau pembebasan sementara ehsan apabila kehilangan orang tersayang.

    “Layanan terhadap tahanan dan banduan lain dianggap keji dan bersempadan dengan hampir tidak berperikemanusiaan,” katanya.

    Zahid semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu memaklumkan kepada perwakilan bahawa beliau dan Shamsul membawa makanan kegemaran Najib ketika melawat bekas perdana menteri itu dan sempat bersarapan bersama selama setengah jam. Berikutan itu, Zahid berkata dia juga meluangkan masa 90 minit lagi bersendirian dengan Najib.

    Beberapa bekas banduan memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah di luar kelaziman kerana lawatan biasanya berlangsung antara 45 hingga 60 minit. Banduan dan pelawat turut dipisahkan oleh penghadang kaca dan makanan dari luar sama sekali tidak dibenarkan.

    Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Zahid dan Shamsul Anuar mendapat kebenaran khas daripada Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Nordin Muhamad mengikut Peraturan 86 dan 99 Peraturan Penjara 2000.

    Saifuddin berkata dia dimaklumkan mengenai kebenaran khas yang diberikan Nordin sebelum lawatan itu. Menurut Peraturan Penjara 2000, hanya menteri dan komisioner jeneral penjara yang mempunyai kuasa untuk mengetepikan peruntukan tertentu.

    ‘Jamuan mini’

    Turut mempersoalkan lawatan itu adalah Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

    “Pelbagai persoalan kini timbul. Antara yang paling penting adalah bagaimana pertemuan ini diluluskan?

    “Tambahan pula bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?” soalnya menerusi satu kenyataan .

    Sambil mengecam Putrajaya, dia berkata, pertemuan dalam penjara dengan banduan atau tahanan lazimnya terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa.

    “Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian sewaktu perayaan?

    “Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang,” soalnya lagi.

  • Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    POLIS Johor menerima dua laporan berhubung tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang menghina dan memperlekehkan Malaysia pada rancangan komedinya yang videonya tular sejak minggu lalu.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang turut memaklumkan pihaknya komited dalam siasatan kes ini.

    Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai tidak memainkan isu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

    “Sehingga kini kita terima dua laporan polis berhubung isu pelawak itu yang menghina dan memperlekeh negara.

    “Permohonan Interpol telah dibuat pada semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM akan membuat permohonan kepada Interpol bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini Jocelyn untuk membantu siasatan berhubung klip videonya yang tular di media sosial.

    Sebelum ini, tindakan Jocelyn yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

    Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

    Susulan itu, TikTok mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

  • Simpanan RM739,050 hilang diperdaya ‘pegawai polis’

    Simpanan RM739,050 hilang diperdaya ‘pegawai polis’

    PESARA guru di Kuching hilang wang simpanan RM739,050 selepas terpedaya dengan panggilan telefon ‘Inspektor Khoo’ yang mendakwa dia terbabit pengubahan wang haram.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, wanita berusia 63 tahun itu menerima panggilan terbabit bulan lalu serta dimaklum bahawa wang simpanannya perlu diperiksa Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Suspek meminta mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun itu untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada 12 Mei, mangsa membuka dua akaun bank berlainan di Kuching dan dia yang panik memindahkan wang RM369,525 dan RM369,525 daripada simpanan banknya serta suami ke dalam dua akaun berkenaan.

    Menuruntya, mangsa juga diarahkan oleh Inspektor Khoo untuk memberikan semua maklumat perbankan akaun bank baharunya kepada suspek.

    Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat beberapa transaksi pemindahan wang keluar yang berjumlah RM739,050 daripada kedua-dua akaun itu ke atas akaun bank milik individu tidak dikenali.

    Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis baru-baru ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.