Category: Semasa

  • Giliran Negeri Sembilan capai status imuniti kelompok

    Giliran Negeri Sembilan capai status imuniti kelompok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan berkata, Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 94.7 peratus, atau 64,899 orang daripada populasinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

    Lembah Klang yang mengikuti rapat merekodkan 94.1 peratus atau 5,798,337 orang populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin manakala 6,903,990 juta individu menerima satu dos.

    Sarawak kemudian mencatatkan 87.2 peratus atau 1,781,771 orang lengkap divaksinasi manakala 1,854,069 orang menerima satu dos.

    Sementara itu, empat negeri yang merekodkan kadar vaksinasi kurang daripada 50 peratus ialah Perak (48.9 peratus); Kedah (47.9 peratus); Kelantan (47.6 peratus) dan Sabah (41.5 peratus).

    Vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 369,280 dos semalam dengan 181,635 adalah dos pertama manakala 187,645 adalah dos kedua. Setakat ini, sebanyak 35,519,754 dos suntikan Covid-19 sudah diberikan.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, diperkenalkan pada 24 Feb bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19.

  • 4 kertas konsultasi awam kumpul input Bajet 2022

    4 kertas konsultasi awam kumpul input Bajet 2022

    KEMENTERIAN Kewangan akan menerbitkan empat kertas konsultasi awam (KKA) sebagai langkah permulaan untuk mendapatkan input Bajet 2022.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kertas yang pertama adalah berhubung Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/ Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera.

    Menurut beliau, kertas itu akan menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/ perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat bumiputera.

    “Ini antara lainnya adalah bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Tengku Zafrul menambah, kertas konsultasi awam yang kedua iaitu Penambahbaikan Program Bantuan Tunai akan mengenal pasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19.

    Selain itu, beliau memberitahu, kertas yang ketiga iaitu Kajian Insentif Cukai, yang merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh, bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan lanskap semasa perniagaan.

    “Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” jelasnya.

    Kertas yang keempat, kata Tengku Zafrul, adalah berhubung Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA), yang bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

    Menurut beliau, ia termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

    “Kementerian Kewangan yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masingmasing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara,” katanya.

    Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].

    KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman sesawang www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada pukul 5 petang, 15 September 2021.

  • Rosnah Shirlin dilantik Penasihat Khas Menteri Kesihatan

    Rosnah Shirlin dilantik Penasihat Khas Menteri Kesihatan

    DATUK Rosnah Abdul Rashid Shirlin kini berkhidmat sebagai Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Nama bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu disenaraikan dalam direktori Pejabat Menteri Kesihatan.

    Beliau merupakan Timbalan Menteri Kesihatan mulai 2009 hingga 2013 dalam Kabinet Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Selain itu, beliau yang juga bekas Ketua Puteri UMNO pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya mulai 2013 hingga 2018.

    Beliau yang merupakan seorang peguam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Papar mulai 2004 hingga 2013.

    Walau bagaimanapun, Rosnah tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Ahmad Hassan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Selain Rosnah, Menteri Kesihatan mempunyai dua lagi Penasihat Khas iaitu Dimishtra Steven Sittampalam dan Datuk Mohamad Iruan Bin Zulkefli.

    Mohamad Iruan pula merupakan bekas Exco Pemuda UMNO semasa Khairy mengetuai sayap tersebut.

  • Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Bukit Aman sudah mengambil keterangan seorang wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Menurut sumber, sepasukan anggota polis mengambil keterangan wanita berkenaan termasuk suaminya di rumahnya di Selangor, semalam.

    Pengikut-pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuatnya.

    “Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini telah menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini, perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

    Pihak polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar wanita itu dan sedang memantau pergerakannya.

    Pihak media melaporkan berita berkenaan ajaran sesat wanita tersebut yang menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan umat Islam

    Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berkenaan juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

  • Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENAMBAHBAIKAN dengan pengenalan ciri-ciri baharu akan dilakukan dalam aplikasi MySejahtera bagi memudahkan penggunanya memaparkan status kesihatan mereka.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan yang dipertanggungjawabkan akan memulakan proses penambahbaikan bagi memudahkan orang ramai memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi masing-masing.

    Khairy berkata, satu ciri terbaru dalam aplikasi MySejahtera ialah butang daftar keluar yang ditambah bagi menambah baik proses pengesanan kontak.

    “Sebaik saja meninggalkan satu tempat, perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang, tiada imbasan diperlukan.

    “Kami akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya,” katanya dalam akaun Tweeter miliknya, malam tadi.

    Ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera.

    Jelas beliau, ini akan memudahkan kehidupan rakyat di tengah-tengah penularan pancemik Covid.

    MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

  • Tak patut wanita bersalin sendirian di HSI – TMJ

    Tak patut wanita bersalin sendirian di HSI – TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kejadian seorang wanita yang bersalin secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru tidak sepatutnya berlaku.

    Tunku Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu dan individu berkenaan telah diberikan peringatan dan amaran.

    “Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan JKNJ.

    “Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.

    “Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” kata Tunku Mahkota Johor dalam satu ciapan menerusi Twitter miliknya, semalam.

    Tangkap layar daripada Tweeter TMJ yang mengingatkan supaya kejadian seorang wanita bersalin secara bersendirian di HSI tidak berlaku lagi

    Semalam, tular dalam media sosial seorang wanita melalui proses bersalin secara bersendirian di dewan bersalin HSI di sini, pada 31 Julai lalu.

    Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.

    Dr. Aman berkata, wanita berusia 36 tahun itu mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu hadir ke bilik saringan pada pukul 5.33 pagi, 23 Julai lalu kerana mempunyai tanda awal bersalin.

    “Pesakit merupakan kontak rapat kepada suami yang positif Covid-19 dan telah diperiksa pegawai perubatan yang mendapati dia di peringkat awal kelahiran (bukaan pangkal rahim 3 sentimeter) dan dimasukkan dalam bilik isolasi pada pukul 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian Covid PCR,” ujar Dr, Aman.

    Beliau berkata, perkara tersebut bagaimanapun akan disiasat pihak JKNJ.

  • SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada syarikat pengiklanan.

    Sumber SPRM berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek lelaki berusia 44 tahun sejak 2017 hingga tahun lepas sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek pembekalan pelekat.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor, katanya.

    Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

  • Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan ,agagihan vaksin CanSino diteruskan ke Pulau Mabul, Sabah pada hari ini.

    Perkara tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Rembau itu menerusi ciapan dalam Twitter miliknya.

    Dalam hantaran sama, beliau memuat naik dua keping gambar petugas kesihatan dalam perjalanan ke pulau itu

  • RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

    RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menggantikan dan membaik pulih paip di dasar Sungai Tangki Berangan yang pecah dalam dua kejadian bulan lalu.

    Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika ini kerja-kerja berkaitan sedang giat dijalankan dan proses pemasangan akan dilakukan sebaik sahaja paip berkenaan yang ditempah dari luar negara itu sampai.

    Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu menjangkakan penggantian paip dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

    “Jika tiada aral, Insya Allah, krisis bekalan air membabitkan dua daerah di negeri ini dijangka selesai pada 12 September,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berhampiran Pulau Sekati, Kuala Terengganu, petang ini.

    Menurut Tuan Ibrahim, paip baharu tersebut memiliki daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel.

    Krisis bekalan air 2.0 melibatkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak 23 Ogos lalu dijadualkan pulih pada 12 September ini.

    Berdasarkan siasatan awal mendapati punca kerosakan tersebut adalah disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu dijalankan.

    Sementara itu, beliau berkata, aktiviti perlombongan membabitkan korek pasir sungai di negara perlu dikawal dan diseragamkan di semua negeri.

    Tuan Ibrahim memberitahu, kementeriannya akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) supaya aktiviti tersebut melibatkan kawasan sungai dapat dikawal.

    Beliau berkata, garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sudah diterima dan diguna pakai oleh semua negeri, namun ada beberapa penambahbaikan perlu dibuat.

    Pertama sekali katanya, penandaan paip bawah air perlu dibuat kerana apabila tiada tanda, orang tidak tahu ada paip utama di lokasi itu, jadi ia perlu ada kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak dari bangunan termasuk jarak paip utama bagi aktiviti korek pasir.

    “Garis panduan ini adalah satu mekanisme oleh pihak kementerian supaya semua kerajaan negeri dapat mematuhinya. Itulah harapan kita,” katanya.


    Tuan Ibrahim memberitahu, garis panduan tersebut bertujuan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif ketika memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh negara dengan mengambil kira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

    “Selain itu, ia juga dapat bertindak sebagai salah satu kaedah bagi menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan dalam satu jangka masa ditetapkan dan mekanisme pemantauan perlu dijalankan,” jelas beliau.

  • [VIDEO]Pemandu lori, kelindan maut, kenderaan terbabas masuk gaung

    [VIDEO]Pemandu lori, kelindan maut, kenderaan terbabas masuk gaung

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, petang ini.

    Rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 20 saat itu turut tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu lori berusia 56 tahun bersama kelindannya berusia 25 tahun maut di tempat kejadian.

    Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub dan dipercayai hilang kawalan semasa melalui kawasan selekoh di tempat kejadian.

    “Lori itu kemudian terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya tersepit di bawah lori itu,” katanya, hari ini.

    Zaiham berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ujar beliau, individu yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong Azha Aris memberitahu bomba menerima panggilan pada 2.40 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 3.00 petang.

    “Sebanyak 13 anggota bomba terbabit dalam operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” tambahnya.