SEBELUM PRU15 terdengar berita angin bahawa orang Melayu sudah bosan dengan politik. Benarkah?
Dalam PRU15, 75% sahaja dari pengundi Melayu keluar mengundi. Apakah ini bermakna 25% Melayu bosan? Tetapi 95% dari orang Cina keluar mengundi. Apakah ini bermakna orang Cina tidak bosan dengan politik di Malaysia? Apakah ini bermakna mereka berminat dengan politik. Mengapa?
Apa kesannya? Pada PRU 14 DAP dapat 42 kerusi Dewan Rakyat. Tak pernah jumlah yang begini besar. Sebab – Pengundi Melayu dari parti Bersatu, yang benci dengan Najib, beri undi kepada DAP. Pada PRU15 Bersatu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH). Sudah tentu DAP tidak dapat undi Melayu. Tetapi DAP menang 40 kerusi Dewan Rakyat.
Sebab? Kerana 95% orang Cina keluar undi. Orang Cina tidak bosan. Hasilnya Pakatan Harapan yang lebih ramai bukan Melayu memperolehi 82 wakil rakyat. Sementara orang Melayu yang jadi majoriti penduduk di Malaysia dapat hanya 73 wakil rakyat (tidak termasuk Melayu Keadilan, Amanah dan DAP).
Hari ini parti yang terbesar dalam Kerajaan ialah DAP. Tentulah pengaruh DAP dalam Kerajaan Unity amat kuat.
*Dipetik daripada Twitter Tun Dr.Mahathir Mohamad.
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menangguhkan dulu dan meneliti semula cadangan untuk menaikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan.
Katanya, kenaikan kadar itu akan menambah beban terhadap rakyat yang kini sedang bergelut akibat kenaikan harga barangan, kadar inflasi dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR)
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut berharap kerajaan boleh mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan bayaran rawatan kesihatan bagi meringankan beban mereka.
“Tetapi kita tahu melalui kajian yang dibuat, ramai mereka yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan.
Beliau berkata, dalam beberapa kajian, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu dan dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.
“Justeru, jika ada cadangan kerajaan menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dulu dan diteliti semula,’’ katanya.
Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut bahawa kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula
Menurut dokumen 57 halaman itu, struktur fi sedia ada telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan.
Pada masa sama, Muhyiddin turut menyambut baik cadangan kerajaan meningkatkan pembiayaan kesihatan daripada pelbagai sumber secara berperingkat kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Malah, katanya, cadangan itu adalah satu perkara yang terkandung dalam manifesto PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lalu.
“Saya faham bahawa dalam keadaan berhadapan dengan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, maka sumber lain perlu dicari untuk menampung perbelanjaan kerajaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.
“Namun, saya mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat,” tambahnya.
POLIS menahan dua lelaki termasuk seorang warga Iran kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran 143 kilogram (kg) dadah dianggar bernilai RM3.7 juta dalam dua serbuan di ibu negara, pada Selasa lepas.
Polis telah menyerbu dua kondominium di Taman Segambut Aman dan Jalan Ampang, di Kuala Lumpur dalam operasi yang bermula sekitar 6 petang hingga 11 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia 39 dan 48 tahun itu telah bergiat aktif mengedar sejak Mei lepas.
Beliau berkata modus operandi kegiatan mereka adalah dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, hari ini polis turut merampas 4.2kg syabu, 103.3kg syabu serta 34.7kg ganja dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran bagi kegunaan pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 1.4 juta orang pengguna dadah,“ katanya.
Selain itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Estima dan Perodua Alza serta wang tunai bernilai RM30,500.
“Hasil siasatan mendapati suspek lelaki tempatan merupakan seorang penganggur yang menjadi runner kepada suspek warga Iran iaitu seorang jurutera duda kepada tiga anak.
“Suspek warga Iran ini telah masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong sejak Mei lepas dan polis percaya suspek adalah pembekal kepada sindiket dadah tempatan dan telah terlibat dengan sindiket ini di Iran sejak 2014,“ katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi suspek lelaki tempatan disahkan positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.
Mohd Shuhaily berkata mereka direman selama tujuh hari sehingga 20 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu negara diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat.
“Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),“ katanya.-Bernama
DUA daripada enam warga Bangladesh maut akibat terhidu asap dalam satu kejadian kebakaran di sebuah kilang percetakan di Jalan P10/18, Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Liton, 34, dan Murade, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kedua-dua mangsa terhidu asap disebabkan kawasan kilang berkenaan tiada ruang pengudaraan.
Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 4.14 pagi daripada orang awam dan mengarahkan seramai 36 keanggotaan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, BBP Kajang, BBP Semenyih dan BBP Serdang.
“Setibanya di lokasi bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan dan pemadaman dilakukan secara terus ke dalam bangunan oleh anggota bomba.
“Kebakaran melibatkan kertas kitar semula yang terdapat di dalam bangunan dan api berjaya dikawal dan dipadam kira-kira 4.50 pagi tadi. Kerja-kerja overhaul masih dilakukan di lokasi kejadian.,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Wan Md Razali berkata kesemua mangsa terlibat adalah lelaki merupakan pekerja di kilang pencetakan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
REGU terbaharu pembangkang Terengganu, gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dikatakan semakin panik dengan kebangkitan ‘Gelombang PN’ di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam suasana politik tidak menentu ini para pemimpin parti terbabit dilihat berasa amat bimbang sekiranya para pengundi tidak akan berpihak kepada calon-calon yang bakal ditampilkan.
Justeru, berdasarkan perkembangan itulah pihak pembangkang khususnya UMNO terpaksa mencari jalan dengan menyerang ‘seterunya’ iaitu Pas dan Perikatan Nasional (PN) dengan ‘menabur peluru secara rambang’.
Antaranya termasuklah membangkitkan pelbagai isu yang didakwa melibatkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pas di negeri ini. Ia termasuklah dakwaan mengenai isu penjualan tanah yang dikatakan dijual kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar supaya berdebat secara terbuka dengannya berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri enggan menyahut cabaran berkenaan dengan mengambil pendekatan berdiam diri serta tidak menjawab setiap isu dibangkitkan oleh UMNO terutama melibatkan pemilikan tanah strategik di pusat bandaraya Kuala Terengganu.
Ketika bercakap kepada media di Kuala Terengganu pada Selasa lalu, Ahmad Samsuri bukan sahaja tidak melayang cabaran tersebut, sebaliknya menyifatkan ia sebagai senjata dan serangan UMNO menjelang PRN.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, buat masa ini pihaknya belum bercadang untuk menyerang balas.
Ini kerana ujarnya, Pas Terengganu hanya menunggu masa yang sesuai untuk kembali melontarkan peluru ekoran serangan secara bertali arus dilakukan UMNO menjelang PRN kali ini.
Menurutnya, buat masa ini semua strategi telah diatur dan akan menunggu masa sesuai sahaja untuk beraksi dalam peperangan sebenar sekali gus memastikan kemenangan bergaya Pas dan PN di Terengganu nanti.
Katanya, ketika nak berperang lah, baru dikeluarkan peluru mengenai pelbagai salah laku dalam pentadbiran UMNO, buat ketika ini banyak lagi disimpan dalam poket, semua peluru itu akan dikeluarkan ketika kempen PRN.
Dalam PRU 14 pada 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 kerusi manakala UMNO-BN hanya menang 10 kerusi. Perkembangan itu sekaligus menyaksikan Pas kembali menjadi kerajaan semula selepas 14 tahun.
Kali terakhir Pas memerintah Terengganu ialah ketika PRU 10 pada tahun 1999 di mana Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar. Namun kerajaan Pas ketika itu hanya bertahan selama sepenggal sahaja apabila tewas semula kepada UMNO-BN pada tahun 2004.
Apa pun, banyak pihak berpendapat dalam PRN kali ini Pas bersama PN yang dinaungi bersama parti Bersatu dan Gerakan dijangka terus kekal memerintah Terengganu. Walaupun ketika ini serangan bertali arus dihadapi kerajaan Terengganu dilakukan oleh PH dan BN diketuai Ahmad Said.
Namun, banyak pihak berpendapat isu-isu dimainkan dikatakan tidak akan memberi kesan besar dan tidak menjadi ‘kudis gatal’ buat PN bagi menghadapi PRN nanti. Ini kerana rakyat sudah tahu siapa penyerangnya di samping semakin muak dengan politik yang dimainkan pembangkang sekarang ini.
SEORANG anggota polis marin berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu, enam tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Che Ani Ramli, 56, yang masih bertugas di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah Satu, Batu Uban, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Koperal Polis YA3 di Gerakan Polis Marin, Batu Uban didakwa menerima suapan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Plaza MWE, Georgetown dan Agrobank Taman Seri Indah, Balik Pulau antara 19 Mac 2017 sehingga 21 Mei 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Che Ani kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana masih menanggung isteri dan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.
KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Perlis tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu selepas tamat tempoh operasi tahun hadapan.
Ketika ini terdapat enam premis perjudian di Perlis dan ia tidak akan disambung untuk menjalankan operasi selepas tamat tempoh pada Mac 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, selepas tempoh tersebut tamat, tiada pengusaha premis judi akan diberi kelulusan lesen operasi.
Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti perjudian selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya ingin tegaskan usaha kerajaan negeri menghentikan lesen premis judi adalah konsisten sejak dari awal lagi seperti disebut Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli pada kenyataan media atau ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini,” katanya pada sidang media, di Kangar, semalam, laper HarakahDaily
Fakhrul Anwar juga berkata, tindakan tersebut tidak dibuat secara drastik malah pihaknya mengambil pendekatan lunak berdasarkan tarikh penamatan tempoh lesen.
Tambah beliau, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberi taklimat secara lisan dan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengusaha terlibat.
“Kita mengambil pendekatan lunak bagi memastikan pengusaha terbabit tidak terkejut dengan tindakan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Indera Kayangan, Gan Ay Ling mendakwa tindakan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen premis judi tanpa sebarang pengumuman.
Merungkai dakwaan itu, Fakhrul berkata, isu penutupan premis judi bukan perkara baharu yang mengejutkan malah pelaksanaannya sudah lama di Kelantan, Terengganu dan Kedah
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan seboleh-bolehnya mahu mekanisme subsidi bersasar dilaksanakan sesegera yang mungkin.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedar penetapan mekanisme berkenaan, termasuk bagi diesel dan RON95 tidak mudah dan agak kompleks.
Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa kertas kerja dan cadangan berhubung mekanisme berkenaan, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan segera.
“Kami sedang berusaha ke arah itu, sebenarnya ada satu pasukan sedang mengusahakannya sekarang ini, dan terdapat beberapa cadangan tetapi kami tidak beberapa yakin dari segi keberkesanan pelaksanaannya.
“… tidak seperti bekalan elektrik kita tahu rumah itu, kilang,… tetapi diesel suatu yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Temu Mesra di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan hanya golongan yang selayaknya, dapat menikmati kemudahan tersebut.
Sebelum ini Perdana Menteri berkata adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik, kepada golongan T20.
“Ia memandangkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin sebelum ini, turut dinikmati oleh golongan terbabit,” kata Anwar.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada Mei berkata penetapan mekanisme bagi pemberian subsidi bersasar, sudah 75 peratus selesai dan hasil perbincangan berhubung mekanisme itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa, akan dibentangkan di Kabinet, sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.
PAKEJ Rahmah untuk menunaikan haji yang diperkenalkan pada tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila menjadi pilihan 35 peratus daripada kira-kira 8,500 jemaah haji.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd Zawawi Bostam berkata, Pakej Rahmah RM50,000 ke bawah yang ditawarkan 22 syarikat PJH menarik minat jemaah kerana jurang yang tidak ketara daripada bayaran penuh muassasah sebanyak RM30,850.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jemaah haji yang hadir ke Tanah Suci dengan PJH meningkat kepada 27 peratus berbanding 20 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.
“Angka tahun ini meningkat mungkin selepas Covid-19 jemaah agak yakin untuk pilih pakej berkenaan dibantu tawaran dan promosi menarik yang diberikan syarikat terlibat,”katanya pada sidang media di Hotel Abraj Janadriyah di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.
Mohd Zawawi berkata, pada tahun ini pakej syarikat PJH bermula dari RM43,257 sehingga RM250,000 dan dua peratus jemaah memilih pakej RM100,000 ke atas.
“Terdapat 250 pakej yang ditawarkan dan keistimewaannya seperti jarak yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik selesa, sajian bufet, nisbah petugas menjaga jemaah dan lain-lain lagi. Syarikat berkenaan juga menawarkan nilai tambah kepada jemaah iaitu ada pakej tambahan ketika operasi Masyair, jarak penginapan ke tempat melontar lebih dekat dan sajian makanan,” katanya.
Wakil syarikat PJH (tengah) yang hadir mengemukakan dokumen di pejabat operasi PJH di Abraj Janadriyah.
Oleh itu pihaknya bertanggungjawab untuk memantau operasi yang diuruskan oleh syarikat terlibat supaya mereka mematuhi standard yang ditetapkan TH.
“Pada tahun ini kita membawa seramai 25 anggota untuk pantau syarikat terlibat yang terdiri daripada dua pasukan yang ditempatkan di Mekah dan Madinah. Pasukan ini akan pastikan apa yang ditawarkan syarikat berkenaan melalui iklan dan sebagainya sama seperti disediakan di 47 hotel di Mekah dan 21 hotel di Madinah,”katanya.
Ujar beliau, jika syarikat berkenaan tidak mematuhi standard ditetapkan maka ada beberapa peringkat tindakan seperti amaran lisan, amaran bertulis, denda kewangan atau pun digantung lesen perkhidmatan.
“Syarikat terlibat perlu mendapat markah melebihi 80 peratus bagi melayakkan mereka untuk mohon lesen pada tahun berikutnya. Mereka juga perlu mematuhi beberapa syarat ketat seperti kewangan syarikat kukuh sekurang-kurangnya modal berbayar RM500,000 dan kriteria lain yang telah dipersetujui bersama TH,”katanya.
Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini termasuk mereka yang mengikuti pakej PJH.
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
“Untuk mengatakan Malaysia ini bebas naungan politik judi dalam talian, orang akan ketawakannya…jadi ya, memang wujud elemen naungan politik kepada pemain ini (judi dalam talian).
“Dari situ wujudnya pengaruh dan perlindungan, dari situ juga datangnya rasuah dan sogokan, …tipis kehendak politik untuk mengadakan dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan, jadi pusingannya adalah pemaindinaungi dan dia membalas tuan politik yang melindunginya agar tindakan tidak diambil…. polis faham sungguh-sungguh dengan pola ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) sama ada wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk membanteras jenayah itu.
Saifuddin Nasution berkata hal itu memerlukan perhatian berat dan KDN akan menyemak sama ada terdapat kelulusan lesen-lesen (perjudian) baharu dan wujud atau tidak naungan ini membabitkan orang politik tertentu.
Pada masa yang sama, beliau berkata KDN juga sedang meneliti dan akan mempercepatkan proses untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.
Beliau berkata terdapat usaha meminda akta itu pada 2019 namun prosesnya agak perlahan, justeru KDN akan berbincang dengan Perdana Menteri agar pindaan dapat dibuat segera.
“Tahun 1953 ketika itu judi hanya laga ayam, kini dah 2023, judi secara dalam talian. Akta yang kita guna masih sama…kalau polis ambil tindakan dan mereka (penjudi) cabar di mahkamah…judi dalam talian tak termasuk dalam kedua-dua akta ini, mereka akan menang,” katanya.
Menurutnya, antara usaha lain membanteras kegiatan itu termasuk menyekat laman web judi yang menyaksikan sebanyak 2,119 laman web judi telah disekat bagi tempoh 2021 hingga Mei lepas.
“Dalam aplikasi Telegram juga banyak judi dalam talian, kalau kerajaan sekat aplikasi ini kita dikatakan tidak mesra perniagaan dan ini menjadi ancaman baharu.
“Saya beri jaminan tekad politik baharu kerajaan ini ialah pindaan kepada akta lama ini dibuat segera dan memperkasakan keupayaan PDRM dalam membanteras masalah ini,” katanya menjawab soalan asal Ramanan mengenai langkah KDN menangani kegiatan judi dalam talian.