Category: Semasa

  • JKNT tunggu garis panduan vaksinasi pelajar sekolah menengah

    JKNT tunggu garis panduan vaksinasi pelajar sekolah menengah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PROGRAM vaksinasi Covid19 membabitkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di Terengganu akan dilaksanakan sebaik sahaja garis panduan lengkap mengenai pelaksanaan imunasi ke atas golongan tersebut diterima.

    Justeru, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, pihaknya sudah bersedia untuk vaksin seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini.

    Beliau berkata, program vaksinasi ke atas pelajar dimulakan di Sarawak, namun JKNT sudah bersedia sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian.

    “Kita sudah bersedia dan sedang menunggu garis panduan lengkap pelaksanaannya, setelah dapat nanti, insya-Allah kita akan mulakan.

    “Sementara daripada segi kapasiti pula, kita memiliki kemampuan sumber manusia dan tempat, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin yang bakal diperoleh nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses suntikan vaksin Covid-19 secara terus (walk in) di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Utama Majlis Daerah Marang, hari ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

    Sementara itu, Dr. Kasemani memberitahu, sehingga ini sebanyak 86 peratus daripada 808,400 rakyat Terengganu yang layak divaksin sudah menerima suntikan pertama.

    Perkembangan terbaharu ini katanya, menjadikan baki penduduk yang masih belum divaksin ialah seramai 122,436 orang di mana daerah Dungun merekodkan jumlah paling ramai iaitu 37,843 orang.

    Menurutnya, bagi daerah Besut ialah seramai 36,181 penduduk masih belum divaksin diikuti Kuala Terengganu (26,096), Marang (7,706), Hulu Terengganu (7,039), Kemaman (3,362) dan Setiu (3,309).

    Oleh itu katanya, bagi meningkatkan jumlah penerima khususnya di daerah Dungun JKNT telah melakukan beberapa usaha sudah termasuk membuka PPV integrasi dan mengadakan program outreach untuk memberi suntikan kepada penduduk.

    “Oleh itu, kita amat menggalakkan agar lebih ramai masyarakat hadir ke mana-mana PPV sama ada secara janji temu atau terus bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha memastikan kita berjaya mencapai imuniti kelompok pada bulan depan,” jelas beliau.

  • Tumpu PICK di kawasan pedalaman Felda – Idris

    Tumpu PICK di kawasan pedalaman Felda – Idris

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menumpukan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan komuniti Felda di kawasan pedalaman.

    Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini kerana masih komuniti Felda yang berada di pedalaman tidak ada peluang divaksinasi.

    Justeru katanya, pihak Felda akan menyediakan bas bergerak bagi memudahkan penduduk menerima suntikan vaksinasi mereka bagi kawasan yang tidak mempunyai dewan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

    “Saya telah mengarahkan Yasayan Felda untuk turun padang ke kawasan-kawasan tersebut agar vaksinasi dapat diberikan segera.

    “Usaha ini sedang giat dijalankan dengan semalam kita telah pergi ke beberapa kawasan di Terengganu antaranya Kerteh dan Jerangau dan hari ini serta esok kita laksanakan di Pahang dengan purata lebih 1,000 orang menerima vaksin (Covid-19) di setiap lokasi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV di Dewan Orang Ramai Felda Mayam di sini hari ini yang turur dihadiri hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

    Ditanya mengenai bilangan individu yang menolak vaksin Covid-19 dalam kalangan warga Felda, Idris berkata, jumlahnya kecil dan usaha mendaftarkan mereka bagi menerima vaksin itu sedang giat dijalankan,” katanya.

    Katanya, kesedaran untuk menerima vaksin dalam kalangan warga Felda kini amat baik dan Pengurus Rancangan dan Ketua Peneroka akan membantu menguruskan daripada segi pendaftaran vaksin.

    Setakat ini seramai 67,837 peneroka daripada 101,866 atau hampir 91 peratus yang mendaftar telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menerusi 66 PPV ditubuhkan di kawasan Felda.

  • Muhyiddin memang sesuai pimpin MPN – Hadi Awang

    Muhyiddin memang sesuai pimpin MPN – Hadi Awang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

    Menurutnya, ini bersesuaian dengan pengalaman Muhyiddin dalam menangani pandemik Covid-19.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    “Semoga gandingan beliau bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook hari ini.

    Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri. Keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu.

    Pelantikan bekas Perdana Menteri kelapan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

  • Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN seorang bekas pembantu tadbir gred N19 di sebuah pejabat kerajaan negeri menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya menerima padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam projek pembekalan toner bernilai lebih RM1 juta dari tahun 2016 hingga dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek ditahan SPRM kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat SPRM Johor hari ini.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek semasa bertugas sebagai pembantu tadbir di pejabat kerajaan negeri telah menggunakan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner.

    “Suspek bertindak dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikatnya untuk mendapatkan projek membekalkan toner bernilai RM1.03 juta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Menurut sumber itu, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah tutup 2 minggu

    Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah tutup 2 minggu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TERMINAL Feri Penumpang Kuala Kedah akan ditutup selama dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua zon dalam mukim Kuala Kedah bermula esok hingga 19 September depan.

    Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan arahan PKPD itu melarang semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke lokaliti terlibat menyebabkan feri penumpang dihentikan sepenuhnya.

    “Begitu pun perkhidmatan feri antara Kuala Perlis ke Langkawi dan sebaliknya bagi membolehkan orang ramai keluar atau masuk ke Langkawi.

    “Setakat ini cuma terdapat satu trip sehari untuk keluar dan masuk ke Langkawi iaitu pukul 11 pagi dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis dan pukul 1 tengah hari dari Kuala Perlis ke Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, kekerapan perjalanan feri bagaimanapun akan ditambah mengikut permintaan, bergantung kepada jadual pasang surut air laut.

    “Jumlah penumpang yang dibenarkan pula hanya 50 peratus daripada keseluruhan tempat duduk dan pergerakan merentas negeri perlu mendapat kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Tambahnya, para penumpang yang telah menempah tiket feri dari Kuala Kedah ke Langkawi atau Langkawi ke Kuala Kedah dalam tempoh PKPD ini diberi beberapa alternatif untuk menyelesaikan isu itu.

    “Pertamanya mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik harga tiket melalui e-mel seperti tercatat dalam tiket bagi pembelian secara dalam talian.

    “Selain itu mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik di kaunter tiket bagi pembelian di kaunter,” katanya.

    Tambahnya, mereka yang terlibat juga boleh menukar perjalanan keluar atau masuk melalui kaunter tiket di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis.

    “Operasi Perkhidmatan Perlu Mod Pengangkutan Laut (Essential Services) di terminal Kargo Kuala Kedah dan Terminal Roll On Roll Off (RORO) Kuala Perlis bagaimanapun akan diteruskan sepertti biasa,” katanya.

  • Movak bantu percepatkan proses vaksin

    Movak bantu percepatkan proses vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEJAK Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) dilaksanakan sehingga 31 Ogos lalu, seramai 462,587 individu sudah menerima vaksin.

    Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, daripada jumlah itu seramai 281,938 menerima dos pertama manakala 180,648 lagi sudah melengkapkan dua dos vaksin.

    Beliau berkata, program Movak yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menyediakan 25 bas bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

    “Penggunaan bas ini sangat membantu terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar termasuk masyarakat yang tinggal di ladang-ladang.

    “Kita yakin Movak akan dapat mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di Malaysia terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Penyampaian Kotak Mitra di Ladang Tanah Merah dan Ladang Bukit Pelanduk, Port Dickson, hari ini.

    Halimah pada sidang akhbar di Dewan Ladang Tanah Merah, Port Dickson, hari ini.

    Dalam pada itu, Halimah turut memberitahu melalui program berkenaan, Kementerian Perpaduan Negara telah memperuntukkan RM12.4 juta untuk menyediakan 73,883 kotak makanan bagi masyarakat India B40 di seluruh negara.

    “Kita berharap program ini dapat membantu masyarakat India dalam kalangan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Insya-Allah program seperti ini akan diteruskan sepanjang tempoh pandemik ini bagi memastikan bekalan makanan sentiasa diterima oleh mereka yang memerlukan,” katanya.

  • 2 projek loji air baharu selesai krisis bekalan air

    2 projek loji air baharu selesai krisis bekalan air

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENDUDUK di kawasan Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu yang berhadapan dengan krisis bekalan air bakal menarik nafas lega, apabila siapnya dua projek pembinaan baharu Loji Air di Pulau Bahagia Manir dan Kuala Terengganu Utara (KTU).

    Malah, projek yang sedang dilaksanakan itu akan menyalurkan dua punca air sehingga ke Tangki Bukit Berangan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Loji Air Pulau Bahagia dengan kapasiti 20 juta liter sehari (MLD) air akan dapat menampung keperluan penduduk di kawasan Manir.

    Beliau berkata, projek itu menyediakan satu tangki besar menggunakan 450 paip untuk memberi kemudahan kepada penduduk di kawasam berdekatan.

    “Satu lagi projek ialah muka sauk (water intake point) membabitkan sebanyak 120 MLD air mentah yang belum dirawat dihantar melalui paip ke loji rawatan air Bukit Berapit sebelum air terawat disalurkan kepada pengguna melalui Tangki Air Bukit Berangan dan Tangki Air Bukit Sagu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat ke Loji Air Pulau Bahagia, Manir, hari ini.

    Menurut Dr. Mamad, apabila kedua-dua projek baharu itu siap kelak, ia dapat menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Manir (120 MLD) ke Bukit Berangan (120 MLD) iaitu membabitkan sebelah Kuala Terengganu Utara (KTU).

    “Kita sedang berusaha selesaikan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dalam waktu terdekat ini, bagi menghasilkan 60 MLD dahulu dan dengan sampainya alat pemasangan Variable Frequency Drive (VFD) Jumaat lepas.

    “Unit VFD masih di fasa pengujian bagi memastikan kesemua peralatan berada dalam keadaan bersedia untuk beroperasi mengikut jadual.

    “Alat ini akan mengaktifkan pam bagi menghasilkan 60 MLD air untuk kegunaan masa sekarang,” terangnya.

    Menurut beliau, apabila loji KTU beroperasi dan pembaikan paip di dasar sungai siap, semua masalah dijangka selesai.

    “Keupayaan paip dasar sungai sekarang ini ialah sebanyak 50 MLD (juta liter sehari) dan keupayaan KTU sebanyak 120 MLD ialah 2.4 kali keupayaan paip dasar sungai sedia ada,” jelas beliau.

  • Bayi 16 bulan mangsa dera bawah jagaan JKM

    Bayi 16 bulan mangsa dera bawah jagaan JKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAYI 16 bulan yang dipercayai didera ibu bapanya dalam kejadian di Felda Jalor Air Kuning Selatan, Tampin, Negeri Sembilan, dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar wad semalam.

    Mangsa dikatakan telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, bayi terbabit dipindahkan ke Hospital Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, mangsa juga turut diberi bantuan pernafasan kerana sukar bernafas pada 25 Ogos lalu.

    “Bayi itu dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar wad semalam. Dia diserahkan kepada JKM sebelum ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak di Seremban,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Menurut beliau, ibu bapanya yang masing-masing berusia 17 dan 23 tahun akan didakwa di mahkamah Tampin esok.

    Terdahulu, media melaporkan seorang bayi bukan sahaja ditumbuk pada muka, malah terpaksa menahan kesakitan apabila turut dicucuh puntung rokok.

    Kesan ditekap dengan seterika turut kelihatan pada badan bayi lelaki berkenaan.

    Mangsa yang mengalami sesak nafas dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis.

    Polis kemudiannya menahan pasangan itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak. 

  • Agensi kerajaan bantu mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai

    Agensi kerajaan bantu mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan digerakkan bagi memberi bantuan kepada mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara agensi terlibat adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Penjara Malaysia selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) yang sememangnya telah berada di lokasi kejadian sejak dari hari pertama kejadian itu berlaku.

    “Menerusi JPN dan JIM contohnya, kami akan menghantar trak jabatan itu ke sini supaya mereka yang kehilangan dokumen seperti Mykad, sijil kelahiran serta passport boleh melakukan penggantian. Dengan cara itu, insya Allah mereka boleh menerima dokumen dalam masa sejam dan semua perkhidmatan ini disediakan secara percuma.

    “Melalui Jabatan Penjara Malaysia pula, kita memiliki banduan yang diberi pelepasan melalui parol. Golongan ini bersedia untuk membantu membaiki rumah penduduk.

    “Saya telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad untuk menjalin kerjasama dengan mereka serta pegawai daerah di sini bagi memastikan rumah-rumah yang perlu dibantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Titi Hayun selepas mengadakan lawatan ke lokasi terlibat bersama timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, hari ini.

    Hamzah mengadakan sidang akhbar berkenaan agensi kerajaan digerakkan membantu mangsa yang terjejas teruk dalam tragedi kepala air di Guung Jerai, Kedah, bulan lalu.

    Dalam kunjungannya itu, beliau turut menyampaikan sebanyak 1,000 kotak makanan sumbangan KDN untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan dengan kejadian itu.

    Sementara itu katanya, kerajaan tidak sepatutnya dipersalahan 100 peratus terhadap kegagalan orang ramai terutamanya majikan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Katanya, meskipun kementerian diwakilinya dipertanggungjawabkan terhadap pematuhan SOP, namun masih ada tugasan lebih besar yang perlu dilaksanakan seperti mengawal sempadan tanah air serta memastikan keamanan negara terpelihara.

    “Apabila kita benarkan kilang beroperasi tetapi mereka tidak mematuhi SOP, mengapa pula hendak salahkan kerajaan sedangkan majikan yang bertanggungjawab menjaganya? Kalau kilang dibenarkan beroperasi, sepatutnya hal menjaga SOP terletak di bawah pihak pengurusan.

    “Begitu juga apabila majikan memaklumkan kononnya pekerja kilang itu memiliki dokumen lengkap. Bukan kerajaan yang gagal apabila majikan menipu sedangkan apabila kita periksa, ada juga dalam kalangan pekerja mereka yang tiada dokumen,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, sehingga kini sebanyak 96 peratus warga KDN sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19.

    “Segalanya berjalan lancar buat kami dengan para pegawai dan anggota PDRM sudah 91 peratus menerima vaksin manakala di Jabatan Penjara pula hampir mencecah 100 peratus,” katanya.

  • Sudah raih RM91,000, kakitangan kontraktor Petronas direman 4 hari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KAKITANGAN kontraktor di Petronas Pengerang sudah meraih kutipan sumbangan sehingga RM91,000 setelah membuat dakwaan palsu 14 ahli keluarganya mati akibat Covid-19.

    Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai mendapatkan sumbangan derma tersebut bermula bulan Jun lalu kononnya setelah dia mula kehilangan isteri dan tiga anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah menahan suspek semalam selepas lelaki itu hadir di Balai Polis Bayu Damai.

    Katanya, suspek ditahan dipercayai ketika ingin membuat laporan ‘covering’ bagi dirinya tentang kejadian itu.

    “Siasatan awal mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 bagi mendapatkan sumbangan derma.

    Katanya, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

    Sejak malam kelmarin, media sosial terutama Facebook dan WhatsApp dihebohkan dengan berita yang tular mendakwa seorang lelaki sedang berhadapan ujian berat apabila kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 sejak Jun lalu.

    Perkongsian yang turut memaparkan senarai nama 14 ahli keluarga itu turut ditularkan kononnya kematian itu melibatkan isteri, ibu, kakak, abang ipar serta anak-anaknya dan anak saudara kepada lelaki itu.

    Malah, difahamkan baru-baru ini satu majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya turut diadakan oleh pihak pengurusan tempat kerja lelaki itu yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Pengerang, Kota Tinggi.