Category: Semasa

  • Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    PADAH menyebarkan berita tidak benar tentang vaksin menerusi hantaran video dalam aplikasi Facebook, seorang suri rumah hari ini didenda RM12,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selepas dia mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui hantaran video bertajuk ‘Siapa yang dah daftar! Lelaki ini bongkar bahayanya vaksin COVID-19?’ dalam Facebook.

    Dia mengaku menyebarkan video berkenaan dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam melalui aplikasi Facebook dengan nama profil ‘Kak Siti Wakembang’ pada 11.44 malam, 25 Mei lepas. 

    Hantaran itu kemudian dibaca pada 8.30 pagi, 3 Jun di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya dan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Edwin berkata kesalahan dilakukan Tengku Noor Azlin Wa Kembang berkemungkinan mendatangkan kegusaran kepada orang awam sekali gus membantutkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

    “Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah pada masa kerajaan sedang bertungkus lumus dalam menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh untuk membasmi penularan wabak COVID-19,” kata hakim itu.

    Tengku Noor Azlin Wa Kembang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tidak berniat untuk menjadikan video itu tular.

    “Saya mengaku bersalah…dalam kes ini niat saya hanyalah untuk mendapatkan komen sahabat-sahabat saya dan berikan pendapat mereka pada video itu,” katanya.

    Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum kerana perbuatannya boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • MRSM: Keputusan Mahdzir berwibawa, cakna rakyat

    MRSM: Keputusan Mahdzir berwibawa, cakna rakyat

    KEPUTUSAN berwibawa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk membuka kembali ruang buat semua pelajar memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera membuktikan beliau seorang cakna rakyat.

    Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor berpandangan, keputusan itu juga bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

    Mereka turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mahdzir dan kepimpinan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah mengambil keputusan bijak lagi prihatin bagi mengekalkan syarat asal layak memohon kemasukan ke MRSM seraya membatalkan perubahan pada syarat yang diumumkan baru-baru ini.

    “Kami terhutang budi dengan MARA yang selama ini telah banyak melahirkan modal insan yang telah menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional juga separa profesional dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara.

    “Pengumuman YB Menteri berkaitan pengekalan syarat lama serta membatalkan perubahan pada syarat telah memberi kelegaan malah menyuntik kembali semangat buat ibu bapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM,” kata jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan media, hari ini.

    Kenyataan itu ditandangani oleh YDP PIBG SRAI Seksyen 19 Shah Alam, Taqiyuddin Amini Abdul Satar; YDP PIBG SRAI Sungai Manggis, Banting, Hasnul Baharuddin; YDP PIBG SRAI Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin, Seksyen 7 Shah Alam, Dr Shahrizan Adzham Ahmad; YDP PIBG SRAI Bandar Baru Bangi, Ir Md Jaffry Masat dan YDP PIBG SRAI Tengku Ampuan Fatimah, Klang, Shamsudin Ali.

    Mereka yang lain ialah YDP PIBG SRAI Taman Keramat, Mohd Nasir Babas; YDP PIBG SRAI Bandar Baru Kuala Selangor, Abdul Aziz Mohd Ali; YDP PIBG SRAI Sungai Chinchin Gombak, Dr Mohamad Hakim Hamzah; YDP PIBG SRAI Salak Tinggi, Prof Dr Azman Ab Rahman; YDP PIBG SRAI Pekan Beranang, Ir Mohd Zamri Mohamud dan YDP PIBG SRAI Muhammadiah, Pekan Sabak, Mohamad Hairi Keliwon.

    Mereka selaku wakil ibu bapa, guru serta murid SRAI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mahdzir yang telah membuat keputusan yang tepat, adil lagi bijaksana.

    “Kami juga akan terus membantu murid-murid SRAI khususnya untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.

    “Kami menzahirkan terima kasih kami kepada semua pihak terutamanya pengamal media dan portal-portal berita yang membantu menyampaikan mesej kami. Serta doa-doa dari orang ramai,” jelas mereka.

    Semalam, Mahdzir mengumumkan, dasar dan syarat pengambilan pelajar ke MRSM dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

    Beliau berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat Keluarga Malaysia.

  • Lihat pelantikan Muhyiddin dari sudut positif

    Lihat pelantikan Muhyiddin dari sudut positif

    RIZQI ZABIDI

    PELANTIKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri, perlu dilihat daripada sudut positif.

    Malah menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, langkah tersebut merupakan hak mutlak Perdana Menteri yang perlu dihormati.

    Dr. Ismail Abd. Muttalib

    “Pertikaian mengenai pelantikan itu bagi saya perkara biasa. Kadang-kadang di negara ini lagi banyak orang pertikai daripada mereka yang tidak pertikai.

    “Dulu saya cakap sokong kerajaan pun ramai yang pertikai. Ini perkara biasa tetapi saya fikir, kita perlu sentiasa berfikiran positif daripada terlalu memandang aspek negatif,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di sini, hari ini.

    Dalam sesi lawatan kerja itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada para pegawai dan anggota yang terliba dalam misi mencari dan menyelamat tragedi kepala air yang berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

    Mengulas mengenai kunjungannya ke rumah keluarga arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim sebelum itu, Ismail berkata beliau bertanya khabar kepada keluarga wira negara itu.

    “Kami menganggap keluarga Muhammad Adib ini sebagai sebahagian daripada keluarga besar bomba. Sebab itu kami terus mahu mendampingi keluarga ini.

    “Saya juga pernah kehilangan anak remaja yang masih menuntut di tahun tiga di universiti, dan tahu betapa sukarnya untuk melupakan perkara itu. Mengenai kes melibatkan beliau, itu di bawah bidang kuasa polis dan saya tak boleh komen,” katanya.

  • Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    SEPASANG suami isteri yang juga bapa tiri dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan mendera kanak-kanak itu, bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia, 23, dan isterinya berusia 17 tahun, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Afiq yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak dan isterinya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak wanita itu sehingga mangsa mengalami kecederaan di kepala, mata, badan dan tapak kaki.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor Aks, Ayer Kuning Selatan, Tampin, pada 3 hingga 25 Ogos lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah membenarkan Muhammad Afiq diikat jamin RM10,000 manakala isterinya RM6,000 berserta syarat tambahan yakni perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis terdekat dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Sept depan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Anak Mawan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.- BERNAMA

  • Penerima anggap BKC rezeki terpijak, mampu kurangkan beban

    Penerima anggap BKC rezeki terpijak, mampu kurangkan beban

    PENOREH getah Nor Ain Wazir menyifatkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang dikreditkan ke dalam akaunnya hari ini, sebagai ‘rezeki terpijak’ buat ahli keluarganya kerana tidak pernah menjangka mempunyai wang tambahan bulan ini.

    Nor Ain, 25, yang merupakan Orang Asli suku Semelai berkata wang itu memberi kelegaan kepada dirinya memandangkan pendapatannya dan suami tidak menentu hanya mengambil upah menoreh getah di kebun penduduk kampung.

    “Saya mahu gunakan wang ini untuk membeli barangan dapur supaya kami boleh makan sedap sedikit hari ini. Saya juga mahu membeli kad tambah nilai untuk anak kerana dia mengikuti kelas secara dalam talian…ada masanya kami kehabisan data kerana perlu mengutamakan perbelanjaan dapur.

    “Pada waktu begitu, saya berterima kasih kepada guru yang membantu membelikan kad tambah nilai. Memandangkan sudah ada wang, lebih baik saya sediakan kad tambah nilai sendiri supaya anak boleh belajar dengan baik,” katanya, lapor Bernama.

    Ibu kepada empat anak berusia antara setahun dan 10 tahun itu mengakui tidak mengetahui mengenai BKC, sebaliknya datang ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Triang di Bera yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Gemuruh, untuk mengeluarkan wang simpanan bagi membeli barangan dapur.

    Sementara itu, peneroka Felda Mayam, Bera, C. Machap, 75, berkata beliau mula beratur di bank itu seawal 8.30 pagi selepas mengetahui BKC akan dikreditkan ke akaun penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hari ini, selepas membaca surat khabar pada minggu lepas.

    “Saya mahu mengeluarkan sedikit wang untuk memberi barang dapur manakala bakinya akan disimpan untuk kegunaan masa depan memandangkan harga buah sawit juga tidak menentu.

    “Lebih baik saya pastikan mempunyai wang tunai untuk perkara tidak dijangka seperti untuk urusan perubatan kerana saya dan isteri sudah tua dan berisiko mudah diserang penyakit,” katanya.

    Bagi mekanik Law Tek Yong, 69, bantuan wang tunai itu disifatkannya sebagai sangat membantu ekoran pendapatan bulanan yang berkurangan sejak pandemik Covid-19 sedangkan perbelanjaan semakin meningkat.

    Katanya, keutamaan adalah memastikan barangan makanan di rumah mencukupi selain keselesaan dan kebajikan ibunya yang sudah uzur dijaga dengan baik.

    Proses pengkreditan BKC bagi Fasa Satu bermula hari ini, melibatkan 10 juta penerima terdiri daripada miskin tegar, B40, M40, warga emas dan golongan bujang yang layak, melibatkan dana berjumlah RM3.1 bilion.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata beliau berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

  • 17,352 kes baharu Covid-19, Sarawak terajui kes tertinggi, Selangor 2,126 kes

    17,352 kes baharu Covid-19, Sarawak terajui kes tertinggi, Selangor 2,126 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun ke paras bawah 20,000 kes apabila merekodkan sebanyak 17,352 kes hari ini berbanding 20,396 jangkitan semalam.

    Penurunan jangkitan sebanyak 3,044 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,862,187 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak buat pertama kali merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 3,714 kes baharu berbanding 3,747 kes semalam.

    Malah buat pertama kali, kes harian Covid-19 di Selangor turun ke paras terendah dalam beberapa bulan selepas menjadi pusat utama pandemik di seluruh negara.

    Hari ini, Selangor mencatatkan sebanyak 2,126 kes berbanding 3,886 semalam diikuti Johor dengan 2,101 kes.

    Selain itu, lima negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Sabah (1,844 kes), Kedah (1,599 kes), Pulau Pinang (1,558 kes), Kelantan (1,213 kes) dan Perak (1,082 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (23 kes) dan Perlis (38 kes).

  • Aduhai Siti Kasim! Jam Buruj disangka Rolex

    Aduhai Siti Kasim! Jam Buruj disangka Rolex

    BARU-baru ini, peguam kontroversi, Siti Kasim secara semberono mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad memakai jam emas jenama Rolex.

    Dia membuat dakwaan itu melalui ciapan Twitter yang kini telah dipadamkan.

    Walau bagaimanapun, tangkap layar ciapan Twitter yang mengandungi tuduhan tidak berasas itu telah tular secara meluas dalam media sosial.

    Ciapan dalam bahasa Inggeris tersebut berbunyi, “Heard he’s the new Religious Minister now. Goes around praying on the floor of an office wherever he goes. Also wears Jawi name tag only. No BM. But check out his Rolex gold watch.”

    Terjemahan dalam bahasa Melayu: “Dengar beliau Menteri Agama yang baharu sekarang. Solat di atas lantai pejabat di mana-mana sahaja beliau pergi. Juga pakai tag nama Jawi sahaja. Tiada BM. Tetapi tengok jam emas Rolex dipakainya.”

    Entah apa yang difikirkan Siti ketika dia menulis ciapan tersebut kerana jam yang dipakai Idris bukan jenama Rolex.

    Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden PAS itu dalam hantaran Facebook, jam yang dilihat dalam gambar dikongsi oleh Siti adalah berjenama Buruj.

    “Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat. Boleh solat kat mana-mana.

    “Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” jelasnya.

    Sementara itu, Siti dalam ciapannya di Twitter memohon maaf kepada Idris yang didakwa memakai jam berjenama Rolex.

    “Minta maaf ustaz sebab saya memang salah,” katanya merujuk hantarannya sebelum ini.

    Pada masa yang sama, kontroversi semberono yang dicetuskan Siti telah menyebabkan model jam Buruj yang mempunyai warna sama dipakai oleh Idris laku keras.

    Rolex Buruj
    Sumber: Facebook Buruj Watches HQ

    Perkara itu disahkan oleh pengedar jam berkenaan dalam Facebook hari ini.

    Namun, model yang dipakai oleh Idris tersebut masih boleh didapati dalam warna selain rose gold stainless steel.

    Maklumat lanjut tentang jam Buruj boleh didapati dalam laman Facebook Buruj Watches HQ.

  • 32 ADUN Terengganu dinasihat tidak rentas negeri selama 14 hari

    32 ADUN Terengganu dinasihat tidak rentas negeri selama 14 hari

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEPANJANG 14 hari persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung bermula 13 September ini, kesemua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinasihatkan berada di kawasan masing-masing dan tidak rentas negeri.

    Speaker DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan tiada berlaku penularan Covid-19 yang dikhuatiri boleh mengganggu persidangan .

    ”Nasihat itu perlu diberi perhatian mengambil kira kemungkinan penularan varian Beta dan Delta ,” katanya menerusi sidang media secara atas talian di Kuala Terengganu, hari ini.

    Yahya berkata, persidangan DUN bagi mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-14 selama tiga hari minggu hadapan hanya ADUN dan petugas sahaja berada di dalam dewan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

    Beliau berkata, ia adalah selaras dengan garis panduan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun Terengganu kini berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Katanya, Sidang DUN bermula pukul 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.

    “Ketua jabatan pula diminta mengikuti secara atas talian bagi mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang jarak yang dekat). Kesemua mereka juga diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin dan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum sidang DUN berlangsung iaitu pada 9 September selain menjalani ujian pengesanan Covid-19 RTK-Antigen (Saliva Test) setiap hari sepanjang sidang,” ujarnya.

    Sementara itu beliau memberitahu, perkembangan sidang DUN boleh diikuti secara langsung melalui platform media kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.

    “Wakil media yang membuat liputan sepanjang sidang DUN perlu berada di tempat khas dan tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Sidang media atau temubual oleh pemberita boleh dibuat di tempat yang dikhaskan sahaja,” jelas beliau.

  • Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    MEREKA yang dalam tempoh rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak perlu bimbang kerana akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), selepas keputusan rayuan diketahui hujung bulan ini. 

    Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan B40 adalah berdasarkan data lulus BPR, memandangkan mereka masih berada dalam tempoh rayuan. 

    “Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan jika memenuhi syarat M40, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini. 

    “Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah diberikan kerajaan, namun bantuan ini juga mesti mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC di sebuah bank di Triang di sini hari ini. 

    Mohd Shahar mengakui pandemik yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini, juga menyebabkan berlaku situasi mereka dalam kategori T20 berubah menjadi M40, sekali gus layak untuk menerima bantuan kerajaan, jika memenuhi syarat. 

    Sehubungan itu, kementerian sentiasa melaksanakan proses semak dan imbang untuk mengemas kini data bagi mengurangkan risiko mereka yang layak tercicir, mengambil kira bantuan diberikan adalah secara bersasar dan berperingkat. 

    BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember. 

    Selain itu, Mohd Shahar berharap penerima BPR membuat semakan akaun bank kerana didapati masih ada yang tidak menyedari BKC dikreditkan ke akaun mereka kerana berpandangan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.  

    Pada 1 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40 yang layak, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah,  warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion. 

    Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lepas namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, sebelum perdana menteri mengarahkan pembayaran disegerakan sebaik sahaja Kabinet baharu memulakan kerja. 

    “Kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberi bantuan dan kerajaan menggunakan konsolidasi fiskal untuk kita melihat secara keseluruhan perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat bagi membantu mereka,” katanya.

    Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan  Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) telah dan akan diberikan kepada mereka yang layak. – BERNAMA 

  • 90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    KERAJAAN Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan Sarawak dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang 2022 menerusi pendekatan yang sedang dilaksanakan.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS). 

    “(Melalui pendekatan ini) kita akan dapat meningkatkan lagi kelajuan dan juga akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar atau di luar bandar (di Sarawak),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS).

    Menurutnya kepentingan kesalinghubungan ini ditekankan dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak yang diumumkannya Julai lepas dan perlu dimanfaatkan anggota perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan rakyat.

    “Strategi pembangunan ini akan membawa rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi,” katanya.

    Dalam pada itu, Abang Johari turut meminta agensi-agensi kerajaan lain di Sarawak untuk mencontohi langkah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    JTS Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman dalam majlis itu untuk mewujudkan Makmal Satelit JTS-UTM bagi tujuan R&D, menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.

    “(Kerjasama) ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada UTM untuk mendalami situasi sebenar dalam industri malah akan memberikan manfaat besar kepada JTS untuk berpeluang menjalankan penyelidikan yang lebih teliti dan terperinci,” katanya.

     Katanya kepentingan aspek R&D semakin terserlah sewaktu negara menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan menurutnya projek ekonomi digital yang dilancarkannya pada 2017 telah membolehkan Sarawak melaksanakan persiapan awal menghadapi keadaan ini.

    “Kalau kita tidak berinovasi, tiada R&D, tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pada ketika ini, dalam keadaan pandemik COVID-19,” tambahnya.- BERNAMA