Category: Semasa

  • UMNO perlu hentikan penindasan terhadap pemimpin muda bersuara, contohi Bersatu

    UMNO perlu hentikan penindasan terhadap pemimpin muda bersuara, contohi Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO perlu menghentikan segala penindasan terhadap pelapis pimpinan muda mereka.

    Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Muhammad Zulfadhly Zulkifly berkata, ini termasuk tindakan memecat atau menggantung keahlian mereka.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Sri Gading berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan hanya kerana mereka melontarkan pendapat yang baik demi agama, bangsa dan tanah air tetapi bercanggah dengan pendapat Presiden UMNO.

    “UMNO juga boleh mencontohi corak kepimpinan Bersatu yang sentiasa membuka ruang kepada anak muda dan pelapis baru di mana kita ada Timbalan Presiden yang berumur 51 tahun dan Naib Presiden berumur 35 tahun.

    “Ini termasuk banyak lagi pimpinan muda lain diangkat ke peringkat tertinggi kepimpinan Bersatu yang mana saya sendiri juga sewaktu diangkat menjadi Exco Pemuda Bersatu Malaysia pada usia 25 tahun pada pemilihan parti tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas tindakan UMNO yang menggantung keahlian Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selepas membuat saranan supaya orang Melayu bersatu.

    Menurut Papgomo, beliau hanya membuat saranan tersebut dan bukan menyeru ahli UMNO untuk menyertai Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhammad Zulfadhly menyambut baik kenyataan dikeluarkan Papagomo itu yang menyatakan pendirian tiada salahnya jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu .

    “Saya menyambut baik saranan Papagomo kepada ahli UMNO ini dengan perasaan gembira dan besar hati.

    “Ini kerana akhirnya orang Melayu akan dapat disatukan semula dengan adanya kerjasama. Segala perselisihan pendapat dan perselisihan fahaman antara kedua-dua parti besar Melayu ini dapat diatasi, lantas bergerak di bawah satu wadah perjuangan yang sealiran,” katanya.

  • Pembinaan Hospital Papar baharu lewat, dewan bedah hospital lama pula tak dapat digunakan – KJ

    Pembinaan Hospital Papar baharu lewat, dewan bedah hospital lama pula tak dapat digunakan – KJ

    BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga, sudahlah kemajuan pembinaan Hospital Papar baharu yang sepatutnya siap tahun lalu hanya mencapai 22 peratus, dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama pula tidak dapat digunakan.

    Khairy Jamaluddin

    Demikian pendedahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Hospital Papar, kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Beliau sehubungan itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kepada beberapa pilihan termasuklah menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada.

    Namun tegas beliau, KKM akan membuat penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini sebelum membuat keputusan segera berhubung tindakan yang sepatutnya diambil ke atas kontraktor berkenaan.

    “Pada masa sama, saya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.

    “Sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar. Hospital yang sedia ada ini terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang datang mendapatkan rawatan.

    “Sebab itulah pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

    Mengulas mengenai dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama, Khairy berkata, fasiliti itu tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang betul untuk sebuah dewan bedah.

    Oleh itu katanya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha KKM
    untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak.

    “Saya telah arahkan supaya laporan dibentangkan kepada saya dalam waktu terdekat,” tegasnya.

    Sementara itu, Khairy meneruskan lawatan kerja untuk hari kedua ke Sabah hari ini dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna.

    “Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” tambahnya.

  • Wujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau bank pekerjaan

    Wujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau bank pekerjaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN disarankan agar mewujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau Job Bank (bank pekerjaan) sebagai usaha kelangsungan ekonomi negara buat jangka masa panjang.

    Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, menerusi pelaksanaan tersebut, kerajaan tidak akan bergantung kepada peluang pekerjaan di sektor swasta semata-mata.

    “Sambil merancang pembukaan dan kelonggaran itu, kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas.

    “Saya mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank di mana kerajaan tidak mengharapkan swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan, tetapi dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan beraksi lebih terus yakni menyediakan dan membiayai peluang pekerjaan yang sepatutnya.

    “Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksanakan segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Shahril berkata, strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh ketika negara bakal berdepan ke fasa endemik kerana menyedari bantuan wang tunai hanya bersifat sementara.

    “Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. Seramai 4.5 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000.

    Selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta pencarum tinggal hampir RM0.

    “Lebih 750,000 orang menganggur dan kebanyakannya orang muda.

    Mereka tidak menolak wang tunai atau kampit beras, tetapi mereka lebih mahukan peluang kerja dan peluang berniaga.

  • UPKK ditangguhkan ke 15 hingga 18 November

    UPKK ditangguhkan ke 15 hingga 18 November

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaklumkan, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ini bagi calon 2020 dan 2021 ditangguhkan.

    Beliau berkata, ujian tersebut ditangguhkan ke 15 hingga 18 November ini dan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.

  • Unit K9 digerak kesan kanak-kanak OKU hilang di Gopeng

    Unit K9 digerak kesan kanak-kanak OKU hilang di Gopeng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Kinta Baru Gopeng, Perak, semalam.

    Kehilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu itu disedari keluarganya pada pukul 6.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Hasron Nazri Hashim berkata mangsa, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya.

    “Polis telah menemubual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek yang menyatakan telah menyedari anak lelakinya itu tiada di ruang tamu rumah dan terus mencari di taman hadapan rumah pada jarak kira-kira 50 meter daripada rumah.

    “Namun, setelah hampir 10 minit mencari tetapi tidak berjumpa. Kemudian ibu mangsa balik ke rumah dan meminta bantuan daripada jirannya untuk mencari di sekitar taman perumahan itu lebih kurang 10 minit, tetapi masih tidak berjumpa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pintu depan rumah dan pintu pagar terbuka serta tidak berkunci semasa kejadian.

    Hasron Nazri berkata, pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.

    Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak tiba di tempat kejadian pada pukul 12.10 tengah malam tadi, selepas pihaknya menerima laporan pada pukul 10.07 malam.

    “Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • 5.49 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar seluruh dunia

    5.49 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar seluruh dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATA terbaharu Johns Hopkins University (JHU) memaklumkan, lebih 5.49 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik di seluruh dunia sehingga semalam.

    Menurut data tersebut, China mendahului dengan lebih 2.10 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India dengan sebanyak 698 juta dos vaksin dan Amerika Syarikat dengan lebih 373 juta dos.

    Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos vaksin didaftarkan adalah Brazil, Jepun dan Jerman.

    Turki dan United Kingdom pula masing-masing mencatatkan lebih 90 juta dos vaksin didaftar atau disuntik.

    Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 105 juta, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia (lebih 36 juta dos), Filipina dan Thailand (35 juta dos) dan Singapura di tangga kelima dengan lebih 8 juta dos.

  • Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    EMPAT sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi.

    Beliau berkata mangsa kebakaran dikenal pasti sebagai pasangan Matthew Wong, 50; dan Jecky Vun Kon Fung, 48; bersama dua anak mereka Brendan Wong, 18; dan Eric Wong, 15.

    “Pada awalnya kita diberitahu jiran mungkin penghuni rumah itu masih di dalam dan selepas JBPM berjaya mengawal kebakaran dan membuat pemeriksaan kebakaran rumah tersebut, empat mangsa itu ditemukan rentung kira-kira 5 pagi tadi.

    “Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Misran berkata 90 peratus daripada rumah teres teres itu terbakar, selain dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus.- BERNAMA

  • [Video] Muhyiddin akan pastikan peniaga kecil terus dibantu

    [Video] Muhyiddin akan pastikan peniaga kecil terus dibantu

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan memastikan sektor dan peniaga kecil terus dibantu dalam setiap perancangan Kerajaan membawa negara keluar dari kemelut ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

    Katanya, ruang yang luas perlu diberikan kepada usahawan dan peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan, seiring hasrat kerajaan memastikan mereka terus berupaya menjana pendapatan.

    ‘’Saya juga bangga melihat SOP diamalkan oleh para peniaga dan juga pembeli, yang kesemuanya memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal dalam berurusniaga,’’ katanya melalui catatan dalam Facebook beliau selepas meninjau kawasan perniagaan di Setapak Jaya.

    Ia merupakan kawasan atau wilayah ‘bebas berniaga’ di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah untuk terus membantu peniaga kecil akan beliau bangkitkan dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

    ‘’Insya-Allah, langkah yang sewajarnya akan saya ambil dalam perancangan kita untuk memastikan lebih banyak sektor ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain kembali pulih sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,’’ katanya.

    Mengenai lawatan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau amat gembira apabila rata-rata peniaga  menyatakan kehidupan mereka kembali bersinar melalui kebenaran menjalankan perniagaan diberikan kerajaan.

    ‘’Tambahan lagi, hampir kesemua yang meniaga menceritakan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin.  Keceriaan yang terpamer di wajah peniaga kecil ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas,’’ katanya.

    Beliau turut  menghargai usaha DBKL yang memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam tempoh ditetapkan di sekitar bandar raya tanpa dikenakan sebarang bayaran.

    ‘’Mari kita doakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta dan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus berusaha dan bekerja menjana pendapatan di mana sahaja anda berada. Moga anda dan kita sentiasa dilindungi-Nya,’’ katanya.

  • Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pemerhatian JAS Pulau Pinang mendapati pembakaran terbuka itu melibatkan sebahagian kawasan kebunnya yang tidak diselia dan berpotensi merebak ke kawasan lain.

    JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung berlakunya pencemaran udara ekoran aktiviti pembakaran terbuka di kebun tersebut.

    Katanya, mengikut seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Kompaun minimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar terutama ketika cuaca panas dan kering.

    “Ini kerana selain mencemar dan mengganggu masyarakat sekeliling, aktiviti pembakaran terbuka juga mudah merebak ke kawasan belukar atau hutan,” katanya.

    Sementara itu beliau menambah, JAS Pulau Pinang merekodkan sebanyak 547 aduan rasmi aktiviti pembakaran terbuka  sepanjang tahun ini setakat hari ini.

    Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat tentang pencemaran ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

  • Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan disarankan supaya hanya membenarkan pelajar tahun peperiksaan yang telah melengkapkan dos vaksin sahaja untuk bersekolah semula pada 3 Oktober ini.

    Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, selain itu, mereka juga mesti telah melepasi tempoh 14 hari selepas tarikh melengkapkan vaksinasi.

    Beliau turut mencadangkan agar sekolah dibuka semula untuk pelajar-pelajar tahun peperiksaan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh negara tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    pelajar perkara
    ANUAR AHMAD

    “Semua guru yang mengajar tahun peperiksaan, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari vaksinasi kedua.

    “Semua ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan murid-murid tahun peperiksaan telah lengkap dua doktor vaksin dan melepasi 14 hari vaksinasi kedua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar menambah, sebelum sekolah dibuka semula, Kementerian Pendidikan seharusnya telah selesai membentangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan secara terperinci, jelas dan mudah difahami oleh semua pihak.

    Menurut beliau, SOP tersebut merangkumi keluarga pelajar, perjalanan pergi dan balik sekolah serta peraturan di dalam kawasan sekolah.

    “Murid-murid lain (bukan tahun peperiksaan) boleh teruskan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baharu Covid-19 turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh Kementerian Kesihatan di negeri-negeri berkaitan.

    “Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu vaksin, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” jelasnya.

    Hari ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan, kementeriannya bersetuju untuk membuka semula sekolah di Labuan mulai 3 Oktober dengan fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan 5 dan 6.

    Beliau berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.