Category: Semasa

  • Pemandu lori rempuh Myvi direman empat hari

    Pemandu lori rempuh Myvi direman empat hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU lori yang merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam, direman empat hari.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh dalam kenyataan hari ini berkata, reman terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bermula hari ini. 

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beberapa kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam

    Semalam, pemandu lori yang positif dadah itu ditahan selepas kenderaan dipandunya merempuh dua kereta Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL pada 2.40 petang.

    Dalam kejadian itu, seorang pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun turut terperangkap dalam keretanya dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian. 

  • Suntikan vaksin Covid-19 pelajar sekolah dimuktamadkan Khamis ini

    Suntikan vaksin Covid-19 pelajar sekolah dimuktamadkan Khamis ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan akan memuktamadkan keputusan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah dalam mesyuarat penyelarasan Khamis ini.

    Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebentar tadi.

  • SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember patuhi keputusan mahkamah

    SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember patuhi keputusan mahkamah

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diarahkan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini bagi mematuhi keputusan mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    “SPR diminta untuk melaksanakan apa sahaja yang perlu berlandaskan kuasa di bawah SPR yang disebut hakim di Sarawak untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SPR di sini hari ini.

    Mahkamah Tinggi Kuching Jumaat lepas memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

    Wan Junaidi berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut dan arahan daripada Mahkamah Tinggi Kuching itu masih kekal sebagai undang-undang yang perlu dipatuhi.

    “Belum lagi diputuskan, kena dapat perbincangan mendalam dengan Jabatan Peguam Negara dan mendapat keputusan dasar daripada Jemaah Menteri,” katanya.

    Wan Junaidi berkata antara perkara berbangkit selepas Parlimen meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur pengundi dan calon adalah apabila terdapat negeri yang belum membuat pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi melaksanakan pencalonan 18 tahun sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri terbabit.

    Beliau berkata perbincangan menyeluruh perlu diadakan antara SPR dan Jabatan Peguam Negara mengenai tindakan yang perlu diambil jika negeri-negeri berkenaan masih tidak bersetuju dengan penurunan umur menjadi calon ADUN.- BERNAMA

  • Hujan, banjir di beberapa kawasan disebabkan monsun barat daya melemah

    Hujan, banjir di beberapa kawasan disebabkan monsun barat daya melemah

    KEADAAN hujan dan banjir di beberapa kawasan ketika ini disebabkan negara sedang mengalami tempoh Monsun Barat Daya yang melemah (monsoon break), kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

    Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila terdapat perubahan tiupan angin memasuki kawasan negara, sekali gus menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan keadaan cuaca lembap.

    “Lazimnya, pada tempoh Monsun Barat Daya keadaan lebih kering dan berjerebu dengan negara mengalami hujan bulanan minimum, biasanya antara 100 dan 150 milimeter serta atmosfera yang stabil di kawasan Khatulistiwa.

    “Bagaimanapun, fenomena garis badai (squall line) yang boleh terjadi semasa Monsun Barat Daya menyebabkan cuaca hujan lebat dan angin kencang berserta petir pada awal pagi, terutama di kawasan pantai barat Semenanjung dan barat Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Shelf of Sustenance (SOS) Met Malaysia, iaitu bantuan keperluan asas kepada petugas yang memerlukan di ibu pejabat jabatan berkenaan di sini hari ini. 

    Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata keadaan hujan itu semakin berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

    Dalam pada itu, beliau berkata negara dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada sebelah petang dan menjelang malam ketika fasa Peralihan Monsun pada Oktober ini, khususnya di negeri-negeri Pantai Barat. 

    Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil maklum amaran cuaca di tempat masing-masing kerana lazimnya berlaku keadaan banjir kilat dan insiden pokok tumbang semasa tempoh itu.

    Mengenai jangkaan situasi banjir di negeri Pantai Timur semasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, beliau berkata MetMalaysia hanya boleh meramalkan keadaan itu dalam tempoh satu hingga dua hari sebelum sebarang fenomena cuaca berlaku. – BERNAMA

  • 18,547 kes baharu Covid-19, Sarawak kekal tertinggi, Selangor 2,407 kes

    18,547 kes baharu Covid-19, Sarawak kekal tertinggi, Selangor 2,407 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini naik sedikit berbanding semalam apabila merekodkan sebanyak 18,547 kes hari ini berbanding 17,352 jangkitan semalam.

    Kenaikan 1,195 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,880,734 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak buat dua hari berturut-turut merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 3,200 kes baharu berbanding 3,714 kes semalam.

    Selangor yang mengekalkan kes harian jangkitan pada paras 2,000 kes iaitu 2,407 kes buat dua hari berturut-turut berada di tempat kedua.

    Johor dan Sabah turut mencatatkan lebih 2,000 kes untuk berada di tempat ketiga dan keempat masing-masing dengan 2,174 kes dan 2,107 kes.

    Selain itu, empat negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,776 kes), Kedah (1,487 kes), Kelantan (1,458 kes) dan Perak (1,197 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu empat jangkitan diikuti Perlis (20 kes) dan Putrajaya (22 kes).

  • Hospital Medan ATM JB rawat 944 pesakit Covid – Hishammuddin

    Hospital Medan ATM JB rawat 944 pesakit Covid – Hishammuddin

    SERAMAI 944 pesakit Covid-19 telah menerima rawatan di Hospital Medan ATM di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu sejak ia mula dibuka pada 21 Jun lalu, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Menteri Pertahanan itu berkata, daripada jumlah itu 877 pesakit sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat rawatan di hospital yang mempunyai 80 katil biasa dan empat katil Unit Rawatan Rapi  (ICU).

    ‘’ Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota-anggota Tentera Darat Malaysia khususnya dari Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sepanjang masa demi membantu pasukan KKM perangi Covid-19,’’ katanya melalui catatan dalam Facebook beliau.

    Hishammuddin berkata, usahasama antara ATM dan KKM akan diperkukuhkan dan Hospital Medan akan ditambah di negeri-negeri yang memerlukan seberapa segera

    ‘’ATM kini hanya tunggu lampu hijau KKM untuk diaturgerak. Covid-19 ialah musuh negara. Menerusi apa jua cara, ATM akan peranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air,’’ tegasnya.

  • Geng proses, jual ketum tumpas diserbu polis

    Geng proses, jual ketum tumpas diserbu polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEGIATAN memproses dan menjual air ketum membabitkan tiga sindiket kecundang susulan penahanan 17 individu dalam tujuh serbuan di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Tangkak dan Johor Bahru.

    Seramai 13 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi selama seminggu bermula 27 Ogos lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN daerah.

    Malah, tiga penjawat awam berusia antara 32 hingga 42 tahun turut ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan ketum.

    Anggota polis menunjuklkan daun ketum yang dirampas dalam tujuh serbuan dilakukan JSJN Johor

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Polis Johor berjaya merampas 542.73 kilogram (kg) daun ketum dan 300 liter air ketum bernilai RM8,435 selain beberapa peralatan memproses ketum turut dirampas dalam operasi itu.

    “Modus operandi kegiatan ini adalah menggunakan lori dan mengisytiharkan sebagai barangan ‘essential’ yang dibawa bersama barang keperluan lain bagi mengaburi pihak berkuasa dengan bekalan ketum yang diperolehi di utara tanah air.

    “Kegiatan itu menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum yang tinggi selain permintaan yang meningkat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Antara daun dan air ketum yang sudah siap diproses dirampas dalam tujuh serbuan sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri dan Tangkak pada 27 Ogos hingga 4 September lalu.

    Ayob Khan berkata, sindiket terbabit dikesan beroperasi di rumah dan gudang sebagai tempat memproses air ketum itu sebelum dijual kepada pembeli sama ada dengan cara penghantaran terus kepada pelanggan, menjual di rumah atau secara atas talian.

    Katanya, hasil risikan yang dijalankan sebulan lalu mendapati tiga sindiket berkenaan telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan menjual air ketum antara RM15 hingga RM20 bagi satu liter.

    Tambah beliau, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan oleh seramai 11,155 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.

    Ayob menunjukan rampasan daun dan air ketum yang dirampasa selepas melakukan risikan selama sebulan

    Sementara itu, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin, manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Mahkamah Tinggi tolak saman pemula Anwar cabar pelaksanaan Akta MKN 2016

    Mahkamah Tinggi tolak saman pemula Anwar cabar pelaksanaan Akta MKN 2016

    MAHKAMAH Tinggi di sini menolak saman pemula difailkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016).

    Peguam J. Leela, yang mewakili Anwar memaklumkan perkara itu kepada Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid hari ini yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy bertindak bagi pihak MKN dan kerajaan selaku defendan.

    Leela berkata Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula itu tanpa perintah untuk kos berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan  yang memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan.

    “Mahkamah Persekutuan pada 6 Ogos telah mengeluarkan perintah supaya kes saman itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi dan berdasarkan perintah tersebut, Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula berkenaan,” kata peguam itu.

    Dalam keputusan majoriti 5-2, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan selepas menjawab persoalan perundangan mengenai keperlembagaan akta itu yang dibangkitkan Anwar berkaitan saman pemula tersebut.

    Persoalan perundangan itu didengar semula selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Sept tahun lepas membenarkan permohonan Anwar untuk mengetepikan satu keputusan majoriti pada 11 Feb yang enggan menjawab persoalan perlembagaan berhubung kesahan akta berkenaan.

    Pada 11 Feb tahun lepas, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.

    Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan dan menamakan MKN dan kerajaan sebagai defendan.

    Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.- BERNAMA

  • 30-40 gajah liar daripada lima kumpulan dikenal pasti di seluruh Johor

    30-40 gajah liar daripada lima kumpulan dikenal pasti di seluruh Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR telah mengenal pasti lima kumpulan gajah liar yang terdapat di seluruh negeri ini yang dianggarkan melibatkan sejumlah antara 30 hingga 40 ekor gajah.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memberi perhatian serius ke atas gangguan gajah yang berlaku di Johor terutamanya di Endau.

    “Mengikut rekod sepanjang tahun 2015 hingga Julai 2021, pihak Perhilitan Johor telah menerima 210 aduan konflik gajah di Kota Tinggi dan telah menjalankan 716 aktiviti pemantauan dan kawalan konflik gajah di kawasan-kawasan tersebut.

    “Dalam tempoh itu, 24 Operasi Tangkapan Gajah telah dijalankan di mana sebanyak 20 ekor gajah yang menimbulkan konflik telah berjaya dipindahkan ke habitat yang baharu dengan kos pemindahan berjumlah RM1.2 juta ditanggung Perhilitan,” katanya

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Tambahnya, faktor penting wujudnya konflik antara manusia dan gajah adalah disebabkan fragmentasi hutan yang terkepung dan terputus di sebabkan oleh ladang dan jalanraya membuatkan haiwan berkenaan sukar bergerak.

    “Perhilitan telah mengambil inisiatif memasang kolar satelit bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan pergerakan gajah dan Perhilitan juga dalam usaha membentuk kerjasama antara ladang-ladang yang terkesan daripada serangan gajah ini.

    “Buat masa ini sebanyak empat kolar satelit telah dipasang ke atas kumpulan gajah ini bermula tahun 2019 hingga 2020 di mana pergerakan kumpulan gajah ini sentiasa dipantau Perhilitan Johor.

    “Pemasangan kolar satelit ini berfungsi sebagai Sistem Amaran Awal bagi mengesan pergerakan kumpulan gajah agar tindakan proaktif dapat diambil segera apabila ia mendekati kawasan perkampungan atau pertanian,” katanya.

    Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu cadangan penubuhan Santuari Gajah Johor (JES) adalah untuk memperkasa pengurusan gajah di negeri ini dengan mengurangkan masalah gangguan gajah liar di kawasan pertanian dan penempatan.

    “Antara lain fungsi JES adalah turut menyediakan peluang aktiviti berasaskan eko-pelancongan yang lestari dan mampu menjana sosio-ekonomi kepada penduduk setempat,” jelasnya.

  • Rakyat Malaysia di Singapura dinasihati baharui pasport enam bulan luput

    Rakyat Malaysia di Singapura dinasihati baharui pasport enam bulan luput

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAKYAT Malaysia di republik itu yang mahu memohon atau memperbaharui pasport masing-masing sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh luput.

    Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura memaklumkan, langkah itu penting ekoran peningkatan drastik permohonan dan pembaharuan pasport di republik berkenaan.

    Dalam makluman dalam laman Facebook rasminya, Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan, peningkatan berlaku berikutan pelaksanaan langkah-langkah kawalan sempadan oleh Malaysia dan Singapura sejak April 2020.

    Menurutnya, sejumlah 60,387 pasport dikeluarkan pada 2020 berbanding 24,000 pasport pada 2019, meningkat 151 peratus.

    Sementara itu, sejak Januari 2021, sejumlah 69,993 pasport telah dikeluarkan setakat ini.

    Tempoh pemprosesan permohonan baharu dan pembaharuan pasport di Suruhanjaya Tinggi adalah lapan minggu, ‘dengan syarat semua dokumen sokongan yang diserahkan lengkap’.

    Rakyat Malaysia diingatkan bahawa permohonan dan pembaharuan pasport serta pengambilan di Suruhanjaya Tinggi hanya menerusi janji temu selaras dengan langkah-langkah kesihatan yang ditetapkan Singapura.

    Pasport perlu segera diambil sebaik mendapat pemberitahuan dari Suruhanjaya Tinggi.

    Pihak Suruhanjaya Tinggi juga telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengendalikan peningkatan drastik permohonan/pembaharuan dan pengambilan pasport.

    Antaranya, waktu perkhidmatan kaunter dilanjutkan sehingga 7 malam sejak Julai 2020; pencetakan pasport di Pejabat Imigresen di Johor sejak September 2020; dan pelaksanaan sistem e-janji temu dan sistem ‘dropbox’ sejak Februari 2021.