Category: Semasa

  • 45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin OP BENTENG LAUT dan OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.

    Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Menurut beliau, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

    “Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM 5,400.00 dan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Abd. Rasak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambah beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    Katanya, jika disabitkan kesalahan nelayan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    “Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang,” katanya.

    Tanbah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Lelaki tumbuk pintu cermin masjid meninggal dunia

    Lelaki tumbuk pintu cermin masjid meninggal dunia

    SEORANG lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini pagi Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berumur 28 tahun itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

    “Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kakak lelaki itu memberitahu bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan.

    Katanya polis menerima makluman mengenai lelaki itu pada kira-kira 7.35 pagi Ahad, dan mayat telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” tambahnya.- BERNAMA

  • Najib bakal dilantik penasihat ekonomi bertaraf menteri?

    Najib bakal dilantik penasihat ekonomi bertaraf menteri?

    DATUK Seri Najib Tun Razak disebut-sebut mungkin akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob.

    Cakap-cakap mengenai pelantikan itu mula bertebaran  semalam apabila Ismail Sabri menerima kunjungan bekas Perdana Menteri itu selama sejam di Putrajaya.

    Perdana Menteri melalui Facebooknya berkata, mereka  telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19. ‘’Dato’ Sri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,’’ katanya.

    Walaupun Ismail Sabri tidak menyebut apa-apa berhubung kedudukan Najib tetapi satu sumber mendakwa pengumuman mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri akan dibuat tidak lama lagi.

    Najib pula ketika mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berkata, ia bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil.

    ‘’Make no mistake. Terus terang saya kata. Malaysia masih berada dalam krisis. Malah akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.

    ‘’Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran. Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018. Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing,’’ katanya.

    Bagaimanapun jika benar pelantikan Najib mahu dilakukan, adakah ia sudah mendapat persetujuan daripada parti-parti lain dalam kerajaan?

    Ia memandangkan Najib merupakan antara pemimpin yang didakwa berada dalam ‘Kluster mahkamah’ kerana berhadapan pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa berkaitan dana SRC International dan 1MDB.

    Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Kes itu di peringkat rayuan.

    Selain itu Najib juga sedang menjalani perbicaraan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Sebelum ini, parti-parti yang berada dalam kerajaan meletakkan syarat mereka bersedia menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan syarat tidak ada mana-mana pemimpin dalam ‘kluster mahkamah’ dilantik dalam Kabinet atau apa-apa jawatan kerajaan. Malah parti-parti pembangkang juga dikatakan meletakkan syarat yang sama jika Ismail Sabri mahu bekerjasama dengan mereka.

    Apapun pelantikan Najib itu sekadar ura-ura, belum lagi rasmi, justeru sama-sama kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri.

  • Ambulans terbalik selepas bertembung treler, satu maut empat cedera

    Ambulans terbalik selepas bertembung treler, satu maut empat cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pembantu pegawai perubatan (MA) maut manakala empat lagi cedera selepas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, ambulans berkenaan membawa tiga pesakit dari Machap ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk menerima rawatan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, ambulans berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar.

    “Susulan itu seramai 15 anggota dari BBP Renggam dan BBP Ayer Hitam dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dihantar ke tempat kejadian.

    “Ketika sampai di tempat berlaku kebakaran kecil kira-kira 5 peratus pada bahagian hadapan ambulans berkenaan dan api telah dipadamkan orang awam menggunakan satu unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Pihak bomba mengeluarkan pemandu dan tiga pesakit selepas ambulans dinaiki terbalik dan mengakibatkan mereka terperangkap

    Katanya, pemandu ambulan, Othman Ghafan, 50, cedera parah manakala pembantu perubatan, Aidil Hamidun, 27, meninggal dunia di tempat kejadian sementara pesakit lelaki, Sukiman Hassan, 59 dan dua pesakit wanita yang tidak diketahui identitinya cedera ringan.

    Beliau berkata, tiga pesakit berkenaan yang terperangkap dalam ambulans berjaya dikeluarkan pihak bomba dan mereka dibawa ke hospital berkenaan dengan menggunakan ambulans KKM.

    Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.

    Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 9.24 malam.

    Seorang pesakit yang cedera dapat dikeluarkan pihak bomba sebelum dihantar ke hospital

    Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.

    Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 9.24 malam.

  • Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    SERAMAI 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 esok menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

    “Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak…kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

    “Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini hari ini.

    Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

    Khairy berkata selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Sementara itu, beliau berkata sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes COVID-19

    Menurutnya sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes COVID-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

    Terdahulu pada lawatan rasminya ke Tawau, Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas.- BERNAMA

  • Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    SEBANYAK 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu COVID-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

    “12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

    “239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif COVID-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

    Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

    Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini 252,002,

    Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan COVID-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

    Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

    Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.- BERNAMA

  • PKPD di dua lokaliti di Sabah

    PKPD di dua lokaliti di Sabah

    DUA lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 9 hingga 22 Sept ini susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokaliti itu melibatkan Kampung Sugiang Baru, Tenom dan Kampung Rapak, Ranau.

    PKPD di Kampung Rempayan Laut, Kota Belud juga di Sabah yang sepatutnya tamat esok pula dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 22 Sept.

    Sementara itu, PKPD yang dilaksana di tiga lokaliti di Pahang dan lapan di Sabah ditamatkan hari ini seperti dijadualkan manakala lapan lagi PKPD di Sabah, dua di Pahang serta tiga di Kelantan turut ditamatkan hari ini, masing-masing lebih awal daripada yang ditetapkan.- BERNAMA

  • KPDNHEP sahkan kenaikan harga ayam di Terengganu

    KPDNHEP sahkan kenaikan harga ayam di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KELUHAN pengguna khususnya peniaga restoran di negeri ini berhubung kenaikan harga ayam sehingga RM10 sekilogram menarik perhatian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu.

    Sambil mengesahkan kenaikan tersebut, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia memberitahu, berdasarkan pemeriksaan dilakukan pihaknya di 18 pasar basah, 24 pasar raya dan empat pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negeri, mendapati kenaikan memang berlaku sepertimana dakwaan pengguna.

    Beliau berkata, ia disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara itu.

    “Hasil pemeriksaa kita mendapati data menunjukkan harga runcit ayam di pasar dijual antara RM8 hingga RM10 sekilogram, di hypermarket antara RM6.90 dan RM8.49 manakala pasar raya antara RM6.90 hingga RM8.89. Peniaga mendakwa punca kenaikan harga ayam disebabkan berlaku pengurangan bekalan di peringkat ladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saharuddin, selain itu ada juga peniaga mendakwa kenaikan harga makanan ayam turut mendorong kepada kenaikan kos di peringkat pembekal dan peladang.

    Bagaimanapun katanya, bagi mengesahkan dakwaan tersebut, pemeriksaan sedang dilaksanakan di peringkat rantaian pembekalan bagi mendapat maklumat harga serta kos dan siasatan di bawah perundangan pencatutan.

    Justeru, beliau berkata, tindaka tegas akan diambil sekiranya didapati ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

    Sementara itu, Saharuddin memberi jaminan bahawa bekalan ayam di Terengganu mencukupi bagi menampung keperluan pengguna walaupun berlaku kenaikan harga.

    “Kita meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada saluran aduan KPDNHEP jika mengetahui berlaku salah guna dalam kalangan peniaga ayam,” ujar beliau.

  • Radzi adakan sesi libat urus di negeri Fasa 3 PPN

    Radzi adakan sesi libat urus di negeri Fasa 3 PPN

    DALAM usaha memastikan pembukaan sekolah bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Menteri Pendidikan Datuk Dr.Mohd.Radzi Jidin mengadakan sesi libat urus bersama PIBG, guru, guru besar dan pengetua dari seluruh Negeri Sembilan.

    Mohd, Radzi melalui Facebooknya berkata, melalui sesi libat urus itu, KementerianPendidikan mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah mengenai persekolahan negeri yang memasuki Fasa 3 PPN.

    ‘’Ini adalah penting dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah.  Segala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus ini akan kami teliti dan perhalusi. Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara. InsyaAllah,’’ katanya.

    Sebelum sesi ketiga libat urus hari ini, beliau mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan turut  dihadiri pengurusan tertinggi suruhanjaya itu dan KPM.

    ‘’Perkara utama yang kami bincangkan adalah mengenai status pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off.

    ‘’Saya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan guru. Usaha ini akan dapat melancarkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,’’ katanya.

  • Berita gembira untuk industri kreatif, PM umum kelonggaran SOP Fasa 1

    Berita gembira untuk industri kreatif, PM umum kelonggaran SOP Fasa 1

    MULAI  Khamis ini semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

    ‘’Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, aktiviti-aktiviti yang dibenarkan ialah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung; penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio.

    Turut dibenarkan kata Perdana Menteri ialah penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin; Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin dan  persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin;

    Selain itu turut dibenarkan ialah  aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam; persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis

    ismail sabri kontak rapat
    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dan aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.

    Ismail Sabri berkata, kelonggaran itu diharap dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja.

    ‘’Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif,’’ katanya.

    Bagaimanapun beliau menegaskan, persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

    ‘’Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok,’’ katanya.

    Beliau menjelaskan,  industri kreatif menyumbang sebanyak 2% atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

    ‘’Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

    ‘’Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),’’ katanya.