Category: Semasa

  • ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    TULAR video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

    Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

    “Kau lans koperal lah, tak layak cakap dengan aku, cara cakap macam OCPD, kau tak layaklah.

    “Kau jadi pegawai dululah lans koperal, hei lans koperal berlagak macam apa, pangkat dah la rendah,” katanya kepada anggota polis tersebut.

    Bagaimanapun tidak dinyatakan punca wanita terbabit bertindak sedemikian menerusi video tular berkenaan.

    Tinjauan Sinar Harian dalam media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit.

    Mereka turut mempersoalkan tindakan wanita itu yang disifatkan tidak sopan selain memalukan anggota polis berkenaan.

    Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

  • Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    SEORANG wanita warga Bangladesh ditemui mati di sebuah apartment di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan pada pukul 3.06 petang.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dilihat berada dalam keadaan kemurungan ketika menghadiri majlis makan malam bersama rakannya.

    “Rakan mangsa memaklumkan mangsa telah kematian ibu dan hanya tinggal bapa dan suaminya di kampung.

    “Mangsa dikatakan tidak gembira untuk pulang ke Bangladesh atas masalah peribadi dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa yang baharu tamat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam lulusan perniagaan itu ditemui penjaga apartment terbabit setelah dimaklumkan mangsa tidak dapat dihubungi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kematian dan motif sebenar kejadian.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • 38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    SERAMAI 38 suspek termasuk empat wanita ditahan selepas dipercayai menjadi ahli sindiket ah long dalam operasi khas yang dijalankan polis Pulau Pinang bermula 5 Jun lalu sehingga semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 72 tahun itu ditahan di sekitar Pulau Pinang dan negeri jiran dalam usaha berterusan pihaknya membanteras aktiviti pinjaman wang tidak berlesen di negeri itu.

    “Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang, bagaimanapun terdapat beberapa tangkapan yang dibuat di negeri jiran selepas mereka melarikan diri.

    “Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Georgetown, Pulau Pinanh hari ini.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan ahlong yang berani mencabar serta mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

    Surat layang tersebut yang ditujukan kepada Kok Chin dimasukkan di dalam sampul surat dan diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

    Sementara itu, ditanya sama ada suspek-suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap beliau, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

    “Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat, cuma apa yang saya boleh maklumkan, kita ada modus operandi untuk mengesan (ahlong) yang terlibat dengan ugutan jenayah ini,” katanya.

  • ‘Urusan badan penyiasat’, kata Anwar berkait serbuan di rumah Hamzah

    ‘Urusan badan penyiasat’, kata Anwar berkait serbuan di rumah Hamzah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dimaklumkan rumah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Damansara, Kuala Lumpur, diserbu dan digeledah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kelmarin.

    Beliau menyerahkan urusan itu kepada LHDN sebagai badan yang melakukan penyiasatan.

    “Itu urusan LHDN, urusan badan-badan penyiasat.

    “Saya tidak dimaklum,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah.

    Media semalam melaporkan rumah ketua pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

    Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.

    Beliau kemudian menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.

    Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta suapan RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

    Pendakwa raya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn. Bhd. mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.

  • Saifuddin: Serbuan LHDN di rumah Hamzah langkah politik terdesak

    Saifuddin: Serbuan LHDN di rumah Hamzah langkah politik terdesak

    SERBUAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kediaman Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, malam semalam adalah tindakan terdesak kerajaan.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, turut menganggap langkah tersebut hanyalah strategi politik murahan bagi memburukkan pimpinan kanan dalam parti itu.

    “Ketika dia (pemimpin kerajaan) tak berkesan sebagai kerajaan, dia harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam Bersatu dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.

    “Saya menganggap ia helah politik murahan ketika PH-BN terdesak untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.

    Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berita mengenai serbuan pegawai LHDN terhadap rumah bekas menteri dalam negeri kerajaan PN semalam.

    Kediaman itu terletak di Damansara, Kuala Lumpur semalam.

    Media melaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan malam semalam itu, beberapa dokumen turut dirampas.

    “Saya sendiri menghubungi Datuk Hamzah semalam bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang berlaku.

    “(Menurut Hamzah) Yang dikatakan nak disiasat itu ialah perkara yang sama sebelum ini kononnya telah disiasat.

    “Apa niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa dia keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betulkah dari LHDN atau dari pejabat orang lain?” katanya, lapor Malaysiakini.

    Nama dikaitkan kes rasuah

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mendakwa mendapat tahu maklumat mengenai serbuan tersebut bukan datang dari sumber LHDN sebaliknya pihak lain.

    Media semalam melaporkan rumah ketua pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

    Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.

    Beliau kemudian menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.

    Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta suapan RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

    Pendakwa raya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn. Bhd. mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.

    Sim juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada kementerian sama.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan itu.

  • Dipenjara tiga bulan curi seluar dalam wanita

    Dipenjara tiga bulan curi seluar dalam wanita

    SEORANG pekerja pusat hiburan warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini kerana mencuri pakaian dalam wanita.

    Tertuduh Hossain Md. Iqbal, 32, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam bernilai RM5 milik seorang wanita berusia 57 tahun di sebuah rumah di Taman Hilir Kota 1, Jalan Merdeka di Melaka kira-kira pukul 3.30 petang, 7 Jun lalu.

    Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes pengadu ketika berada di rumahnya mendapati sehelai pakaian dalam miliknya yang dijemur di hadapan rumah telah hilang.

    Pengadu memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri berkenaan dan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati warga asing yang dikenali telah mencuri pakaian dalamnya itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara lebih-lebih lagi kegusaran masyarakat sekiranya mangsa bebas dan kembali ke kawasan berkenaan seandainya tertuduh dikenakan denda sahaja.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

  • Dua pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

    Dua pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

    DUA pelajar sekolah menengah di Pitas yang berada dalam keadaan kritikal kerana keracunan metanol pada minggu lepas dilaporkan telah meninggal dunia.

    Sinar Harian melaporkan kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan semalam di Hospital Queen Elizabeth (QHE1) dan QHEII di Kota Kinabalu.

    Kematian pelajar pertama dilaporkan pada 4.08 petang kelmarin manakala seorang lagi pelajar pada 4 petang semalam, menurut Ketua Polis Kota Marudu Zairolnizal Ishak.

    “Punca kematian (pelajar pertama ialah) kegagalan fungsi pelbagai organ disebabkan keracunan metanol.

    “Pelajar kedua pula dilaporkan meninggal dunia disebabkan beberapa kecederaan pada otak akibat keracunan metanol,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, mayat kedua-dua pelajar itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan punca kematian telah diperoleh dan mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.

    Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Dilaporkan pada 9 Jun seramai 20 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Pitas mengalami keracunan metanol, dipercayai berpunca akibat minum campuran air berkarbonat dan ‘spirit’.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) Dr. Asits Sanna berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun, dan lapan daripadanya mengalami gejala seperti lemah badan, sakit perut, muntah, kabur penglihatan serta pening kepala, manakala 12 lagi tidak bergejala.

  • ‘Kumpulan Baby’ aktif samun warga emas tumpas

    ‘Kumpulan Baby’ aktif samun warga emas tumpas

    POLIS Sarawak menumpaskan sekumpulan penyamun dan peragut dikenali sebagai ‘Kumpulan Baby’ yang aktif memburu warga emas sebagai mangsa di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan sejak tiga bulan lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kumpulan yang diketuai seorang lelaki yang menggunakan nama samaran ‘Baby’ itu terdiri daripada tujuh warga tempatan dengan lingkungan umur antara 23 hingga 30 tahun.

    “Kumpulan ini terdiri daripada dua wanita serta lima lelaki dan menyasarkan warga emas yang keluar berjalan pada awal pagi dengan mengacukan senjata tajam kepada mangsa, namun tiada yang mendatangkan kecederaan,” katanya dalam sidang media mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching di Kuching hari ini.

    Beliau berkata, menerusi tangkapan berkenaan, polis telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun dan ragut, dua kes curi dalam bangunan serta satu kes curi motosikal.

    Turut dirampas, sebuah motosikal yang dilaporkan hilang serta sembilan telefon bimbit, empat kad bank dan 11 senjata tajam dengan nilai kerugian sepanjang kegiatan melibatkan kira-kira RM42,000.

    Mohd Azman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat ahli kumpulan lain yang belum ditahan dan meneliti kes seumpama yang menggunakan modus operandi sama.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, 380 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan. Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari yang tamat esok,” katanya dan menambah suspek turut didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah samun.

  • Polis rampas 18.6 kg syabu di inap desa

    Polis rampas 18.6 kg syabu di inap desa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA lelaki ditahan bersama 18.6 kilogram dadah dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, kedua-dua individu berkenaan yang berumur 34 dan 35 tahun ditahan kira-kira pukul 11.55 malam ketika sedang mengeluarkan sebuah kotak dari bonet sebuah kereta jenis Honda City di pekarangan inap desa tersebut.

    Katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap kotak itu menemukan 18 bungkusan plastik teh cina berwarna hijau mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 18.6 kilogram bernilai RM671,220.

    “Selain dadah tersebut, pihak kami turut merampas dua kenderaan jenis Honda City dan Perodua Bezza serta wang tunai RM500.

    “Mereka dipercayai mula aktif dalam kegiatan tersebut sejak Januari lalu. Dipercayai mereka menyewa inap desa tersebut untuk dijadikan lokasi transit dadah sebelum dipasarkan di negeri ini.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah itu boleh digunakan oleh kira-kira 40,000 penagih. Kedua-dua suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, ujian urin dijalankan terhadap dua lelaki tersebut mendapati kedua-duanya positif syabu dan memiliki rekod jenayah lampau.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata, seramai 20 individu ditahan ketika asyik bermain judi belangkas di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Titi Akar di Pendang, pada hari sama.

    Menurutnya, tangkapan itu dilakukan kira-kira pukul 7.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

    “Hasil serbuan tersebut, pihak polis berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan dalam permainan judi belangkas serta wang tunai berjumlah RM28,624. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 78 tahun.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Pendang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM5,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya sejak Januari 2023, sebanyak 955 serbuan pelbagai jenis judi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah melibatkan 982 tangkapan.

    “Sebanyak 955 kertas siasatan dibuka dengan 477 kes telah berjaya dituduh di mahkamah iaitu 251 kes judi ekor haram, 222 judi dalam talian dan empat kes lain-lain judi,” katanya.

  • Jemaah haji puas hati khidmat TH

    Jemaah haji puas hati khidmat TH

    JEMAAH haji yang berada di Tanah Suci berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang disediakan Tabung Haji (TH) terutama pada musim haji kali ini.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata,

    Maklum balas itu diperolehi hasil dapatan dan tinjauan dilakukan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ke hotel-hotel penginapan dalam siri ramah mesra dengan jemaah haji.

    “Pemerhatian saya dari siri-siri lawatan ke Unit-Unit Operasi di Makkah dan Madinah, Maktab-Maktab (penginapan), Pusat Rawatan TH dan bersama petugas menyambut ketibaan jemaah haji menunjukkan hasil positif.

    “Laporan harian operasi haji dari pelbagai Pengurusan Peringkat Operasi (PPO) yang lain juga menunjukkan ia berjalan dengan baik dan lancar,” katanya pada Majlis Perhimpunan Petugas Musim Haji 1444H/2023M di Abraj Janadriyah, di Makkah, semalam.

    Syed Saleh berkata, tahap kepuasan jemaah haji menunjukkan petanda baik bahawa perancangan yang teratur, komitmen dan pengorbanan petugas membuahkan hasil.

    “Marilah kita terus menyantuni jemaah haji dengan semangat juang yang tinggi dan fokus kepada tugasan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kelancaran operasi haji yang kita rasai pada masa ini akan berterusan hingga akhir.

    “Semangat dan komitmen para petugas haji di musim-musim lalu menyantuni Dhuyufurrahman dan selalu diperkatakan oleh ramai pihak sebagai petugas yang komited dan berdedikasi perlu ditingkatkan.

    “Kini giliran kita pula untuk memastikan pengurusan haji pada tahun ini menjadi tahun terbaik perkhidmatan kepada jemaah haji berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Syed Saleh turut menghargai jasa petugas yang banyak berkorban meninggalkan ahli keluarga masing-masing bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.

    “Program ziarah di Madinah juga telah bertambah di samping Ziarah Masjid Nabawi dan ziarah luar. Tahun ini ziarah Raudhah juga perlu dikendalikan secara berkumpulan.

    “Ini belum kira ketibaan dan pelepasan penerbangan setiap hari. Komitmen dan pengorbanan tenaga dan masa oleh petugas amat saya kagumi,” katanya.

    Menurutnya, kemasukan jemaah haji dari Madinah ataupun Jeddah ke maktab di Makkah dengan jumlah keseluruhan 98 penerbangan pada tahun ini mengakibatkan pergerakan yang agak padat.

    “Terdapat maktab yang telah menguruskan kemasukan tujuh penerbangan jemaah haji dan tujuh pergerakan lori bagasi sehari sudah tentu memerlukan komitmen, dedikasi serta kerja dalam satu pasukan yang mantap,” ujar beliau.

    Sehingga kini, seramai 26,420 jemaah haji telah tiba di Makkah daripada jumlah keseluruhan kuota haji Malaysia seramai 31,600 jemaah.

    Tahap kepuasan jemaah terhadap khidmat TH dicapai 94 peratus pada tahun lalu.

    Sementara itu, TH telah melancarkan Tabung Nikmatul Khair (nikmat kebaikan) bagi memberi peluang kepada petugas haji untuk menyalurkan sumbangan kepada jemaah yang berada di Tanah Suci pada musim ini.

    Syed Saleh berkata, pada tahun lalu kutipan sebanyak 33,000 Riyal telah berjaya dikumpul dan digunakan untuk menyediakan sarapan pagi kepada jemaah haji.

    “Pada tahun ini kita akan lihat berapa jumlah kutipan dan daripada situ kita akan putuskan bentuk bantuan sama ada bantuan sama seperti tahun lepas atau sumbangan terus kepada jemaah memerlukan.

    “Objektif kita nak kongsi rezeki bersama jemaah, Insya-Allah pahala berlipat ganda, selain sumbang tenaga ada ruang untuk sumbang wang ringgit,” katanya.