Category: Semasa

  • SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan mengenai ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya ada menerima laporan dan maklumat tertentu berkaitan isu berkenaan.

    “Kita juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di Serdang hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan PDRM telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

    Kelmarin media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Justeru, Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

    Saiffuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R. Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

    Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan

  • Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

    Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

    MAYAT wanita tanpa kepala dan kedua-dua tangan ditemui di Sungai Kampung Sapat, Papar, Sabah, Khamis lalu dipercayai akibat dibaham buaya.

    Ketua Polis Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata keadaan anggota badan tidak sempurna turut menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa.

    “Setakat ini, kita belum dapat kenal pasti sepenuhnya identiti mangsa kerana keadaan yang tidak sempurna.

    “Kepala tiada, kedua belah tangan tiada serta kaki kirinya juga tiada, jadi memang tidak dapat cam identiti mangsa.

    “Dipercayai kehilangan anggota badan mangsa disebabkan dibaham buaya,” katanya menurut Sinar Harian.

    Khamis lalu, akhbar itu melaporkan mayat dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun ditemui terapung dan tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai terbabit.

    Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan hanya tinggal kaki kanan, iaitu bahagian paha ke paras lutut dengan selebihnya hilang.

    Polis sebelum ini meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan tampil ke IPD Papar untuk pengecaman mayat.

  • Teka teki Khairy sertai PN terjawab minggu depan-Muhyiddin

    Teka teki Khairy sertai PN terjawab minggu depan-Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan `rombongan’ Khairy Jamaluddin akan berjumpa dengan beliau pada minggu depan.

    Jelasnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tujuannya bagi memberi jawapan keputusan bekas Ketua Pemuda UMNO itu untuk menyertai PN atau sebaliknya.

    “Saya sudah tetapkan tarikh dan delegasi (rombongan) Khairy akan jumpa saya minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Muhyiddin mengulas sama ada Khairy sudah memutuskan untuk menyertai PN terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

    Tawaran itu dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada UMNO mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

    Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini memaklumkan, Khairy masih belum memuktamadkan keputusannya untuk bersama PN.

    Kemungkinan Khairy menyertai PN itu juga bagaimanapun kembali menjadi tanda-tanya apabila bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ahli ekonomi dan pakar industri semalam bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara.

    Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan peranan Khairy dalam perjumpaan bersama Anwar tersebut yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap Khairy akan membuat keputusan menyertai PN, namun menyerahkan keputusan tersebut sepenuhnya kepada Khairy.

    “Kita yakin dia cukup bijak dan cerdik untuk membuat keputusan,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

  • Shahidan tarik diri tanding Presiden DPMM

    Shahidan tarik diri tanding Presiden DPMM

    AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada pemilihan persatuan itu yang dijadualkan hari ini.

    Bekas Menteri Besar Perlis itu berkata keputusan berkenaan dibuat demi menjaga perpaduan dalam kalangan ahli persatuan itu.

    “Demi perpaduan dan keharmonian dan juga masa depan DPMM yang lebih cemerlang, maka dengan ini saya menarik diri daripada bertanding dan saya berdoa semoga kawan-kawan yang akan memegang jawatan nanti membuat yang terbaik demi masa depan DPMM,” katanya kepada pemberita sebelum mesyuarat agung persatuan itu, di Kuala Lumpur hari ini.

    Shahidan yang juga Presiden DPMM Perlis berkata beliau akan memberikan sokongan dan bersedia untuk membantu kepimpinan DPMM pusat dari semasa ke semasa.

    Sementara itu, mengulas mengenai sama ada dirinya akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, Shahidan berkata keputusan mengenainya terletak pada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN)

  • Tangisan dua beradik di kubur tidak bertanda

    Tangisan dua beradik di kubur tidak bertanda

    DUA beradik, Nurul Syazwani Sajari, 32, dan adiknya Nurul Farhanah Sajari, 29, yang menunaikan haji ke Tanah Suci pada tahun ini amat bermakna kerana dapat menziarahi kubur ayah mereka yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

    Meskipun tidak mengetahui kedudukan sebenar kubur berkenaan kerana di Makkah semua persemadian tidak ditanda siapa penghuninya, sekurang-kurangnya ziarah itu dapat mengubat kerinduan yang menebal sejak sekian lama.

    Sebaik tiba di Perkuburan Syaraek yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah, Nurul Syazwani dan adiknya tidak dapat menahan sebak lalu menangis.

    Doa yang dititipkan kepada ayah mereka berhampiran kawasan perkuburan Syaraek.
    Doa yang dititipkan kepada ayah mereka berhampiran kawasan perkuburan Syaraek. – Foto Sinar Harian

    Dua beradik itu amat sedih kerana pemergian insan tersayang itu amat mengejutkan di saat mereka sekeluarga masih memerlukan limpahan kasih seorang ayah.

    Paling memilukan hati, sejak kematian itu, kehidupan Nurul Syazwani, Nurul Farhanah dan adik bongsu, Muhammad Syamil, 28, yang tidak dapat datang bersama ke Makkah kali ini berubah dengan sekelip mata.

    Nurul Syazwani ditenangkan petugas haji ketika berada di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah.
    Nurul Syazwani ditenangkan petugas haji ketika berada di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah. – Foto Sinar Harian

    Detik-detik manis perjalanan sebuah keluarga yang sentiasa bahagia dengan kasih sayang ayah dan ibu hilang direntap dengan pantas.

    Mengimbas kembali hari duka mereka sekeluarga, Nurul Farhanah berkata, semuanya bermula apabila ibunya Faridah Harun, 58, yang berada di rumah mereka di Puchong Indah menerima panggilan kematian berkenaan dari Arab Saudi.

    “Saya ada bersama mak pada waktu itu, mak sedang bercakap di telefon dengan muka yang cukup terkejut dan sedih sambil mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kita adalah milik Allahdan semuanya akan kembali kepada Allah SWT).

    “Mak menjerit kesedihan dan menangis. Saya rasa lama juga kami bersedih dengan kematian ayah. Kami sekeluarga pernah merancang nak datang buat umrah untuk tengok kawasan perkuburan ayah tapi tak kesampaian,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada 14 September 2016, Sajari Sawi, telah meninggal dunia di Khemah Mina, Maktab 83, Arab Saudi, akibat serangan jantung.

    Allahyarham adalah anggota di Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi, Ibu Pejabat TH Kuala Lumpur dan telah berkhidmat dengan TH sejak tahun 1985.

    Pada musim haji berkenaan, Allahyarham bertugas sebagai Penolong Pengurus Zon 1 (Madinah) dan telah beberapa kali bertugas di Tanah Suci.

    Sajari
    Sajari Sawi – Foto Sinar Harian

    Menceritakan detik-detik terakhir pertemuan dengan Allahyarham, Nurul Farhanah berkata, ayahnya kelihatan amat gembira untuk bertugas di Tanah Suci pada waktu itu.

    “Kami selalu hantar ayah untuk bertugas di Tanah Suci, tapi yang kali terakhir itu cukup berbeza kerana ayah nampak terlalu gembira tidak seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

    Ujar Nurul Farhanah, kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah kerajinan ayahnya memasak untuk mereka sekeluarga.

    “Ayah suka masak, setiap kali hari raya pasti ayah akan masak sesuatu yang istimewa terutamanya Nasi Arab. Selepas kehilangannya, hari raya bagaikan kosong,” katanya.

    Menceritakan lebih lanjut, Nurul Syazwani berkata, setahun selepas kematian ayah, ibunya pula disahkan menghidap kanser gusi tahap dua.

    Katanya, mereka ibarat jatuh ditimpa tangga apabila kesedihan yang belum reda ditambah dengan berita yang cukup memeritkan itu.

    “Bermula dari saat itu kami tiga beradik berulang-alik membawa ibu mendapatkan rawatan di hospital.

    “Genap dua tahun, ibu kembali kepada Maha Pencipta yang menjadikan kami berasakan dugaan yang dilalui pada waktu itu cukup berat,” katanya.

    Nurul Syazwani berkata, untuk meneruskan hidup sebagai yatim piatu amat mencabar bagi mereka, namun hasil sokongan dan bantuan saudara mara sebelah bapa dan ibu, mereka dapat harunginya sampai hari ini.

    Mengakhiri perkongsian mereka, dua beradik itu berdoa agar Allah SWT mengasihi kedua-dua ibu bapa mereka sepertimana mereka mengasihi anak-anaknya.

  • UMNO tak boleh lama tumpang PH jadi kerajaan, kata Shahidan

    UMNO tak boleh lama tumpang PH jadi kerajaan, kata Shahidan

    UMNO tidak boleh menumpang dengan Pakatan Harapan (PH) selama-lamanya untuk kekal sebagai parti pemerintah, kata Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    “UMNO sepatutnya perlu berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
    UMNO sekarang mempunyai 26 kerus Parlimen. Parti itu memang parti besar. Tapi, daripada segi penyertaan dalam kerajaan itu kecil.

    “Jadi, sebenarnya dia tak boleh memerintah hanya dengan menumpang orang. Ini tak boleh lama. Kadang-kadang orang memberi tumpang ini tidak boleh bagi semua.

    “UMNO ini menumpang dengan PH. Sepatutnya, UMNO perlu kerjasama dengan PN,” katanya kepada pemberita di sidang media, Hotel Furama, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Shahidan menyertai PN selepas digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

    Bagaimanapun, bekas pemimpin UMNO itu berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Arau.

    Walaupun, BN dan PN bekerjasama membentuk kerajaan selepas Langkah Sheraton yang meruntuhkan pentadbiran PH pada 2022, UMNO tidak meneruskan kerjasama itu pada PRU15.

    Sebaliknya, BN menubuhkan kerajaan pusat bersama PH, setelah tiada gabungan mendapat majoriti mudah menyebabkan parlimen tergantung.

    Terdahulu, Shahidan berkata, sokongan pemimpin UMNO kepada PN semakin bertambah.

    “Saya ada dengar cerita di PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ada 10 ‘warlords’ (pemimpin berpengaruh) UMNO akan memasuki PN. Pemimpin UMNO ini saya tak ada maklumat.

    “Tapi, UMNO kat bawah (akar umbi) sokong PN itu betul-betul ramai. Ramai pemimpin UMNO akan sokong PN (pada PRN).

    “(Pada PRU)… PN menang bukan kerana Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tetapi rakyat sokong kami. Kita menang undi dengan izin Allah luar biasa,” katanya ketika ditanya adakah pemimpin UMNO akan bertindak sokong PN pada PRN di enam negeri.

    Sementara itu, Shahidan berkata, bukan menjadi misi utamanya untuk bertanding pada PRN negeri.

    “Misi utama membantu memenangkan PRN di enam negeri. Yang saya tanding itu adalah perkara kedua.

    “Sudah pasti, saya tidak ada masalah bertanding. Tapi, terpulang kepada kepimpinan utama PN.

    “Saya boleh tanding mana-mana sahaja. Tapi, membantu kemenangan PN masih menjadi perkara utam kepada saya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Sebelum ini, Shahidan disebut-sebut bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang.

  • MB: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN

    MB: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN

    TARIKH pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diputuskan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bagaimanapun beliau berkata tarikh-tarikh tertentu berkenaan perkara itu sudah difikirkan, namun ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dahulu untuk diperkenan baginda.

    “Bila untuk saya menghadap Tuanku Sultan pun belum tahu lagi. Saya belum hantar permohonan untuk menghadap Tuanku Sultan berhubung perkara itu.

    “Cuma gambaran awal itu sudah ada, biar saya maklumkan kepada Tuanku Sultan dahulu kemudian saya akan umumkan. Kita masih ada masa hingga 30 Jun (terbubar secara automatik),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) kawasan Marang, malam tadi.

    Selain Terengganu, Kerajaan Negeri Kedah dan Selangor juga masih belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing, manakala DUN Kelantan dilaporkan akan dibubarkan pada 22 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), dan Negeri Sembilan (30 Jun).

    Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turut hadir pada majlis itu berkata Majlis Presiden PN akan bersidang pada Rabu bagi menoktahkan perbincangan agihan kerusi parti dalam gabungan itu untuk berdepan PRN akan datang.

    Beliau berkata ketika ini, hanya berbaki beberapa kerusi lagi yang belum selesai, mengambil kira kesesuaian parti-parti komponen PN untuk bertanding di sesuatu kawasan.

  • Polis siasat video tular tembak di Bandar Sunway

    Polis siasat video tular tembak di Bandar Sunway

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video tular kejadian kes mati ditembak di kawasan Bandar Sunway.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya terkesan beberapa video dan gambar ditularkan di laman media sosial berkenaan kejadian kes tembak di kawasan Bandar Sunway pada pukul 7 malam tadi.

    “Satu laporan polis dibuat berkaitan video yang tular itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video kejadian mati ditembak yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata beliau, sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

    Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Faiz NaufalZakaria (019-4858907).

    “Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pemandu dan kelindan maut, lori alami masalah brek

    Pemandu dan kelindan maut, lori alami masalah brek

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang di Jelebu, pukul 5.15 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, nahas itu membabitkan sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki tempatan berusia 50-an bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.

    “Sebaik sampai jalan menurun di Bukit Tangga pemandu berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di tepi bukit.

    “Akibat kemalangan tersebut pemandu dan seorang kelindannya berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, seorang lagi kelindan terselamat telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

    Katanya, bedah siasat terhadap dua mangsa maut akan dijalankan pada hari ini (Sabtu) di Hospital Jelebu.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu SM Baharuddin Jamil di talian 010- 7706864,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: Agihan kerusi PN dimuktamad minggu depan, kata Hamzah

    PRN: Agihan kerusi PN dimuktamad minggu depan, kata Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama parti-parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Rabu depan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa siri perbincangan telah dilakukan dan setakat ini hanya beberapa kerusi sahaja yang masih belum diputuskan.

    “Pintu rundingan akan ditutup sejurus Persidangan Majlis Presiden pada minggu hadapan,” ujarnya Ahli Parlimen Larut itu.

    Beliau berkata, apabila Majlis Presiden PN bersidang, ini bermakna tiada lagi ruang untuk berbincang dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan nama calon sahaja.

    “Bila dah ada kerusi-kerusi yang telah siapkan (melaui rundingan), maka (nama) calon-calon itu kita serahkan juga pada parti-parti komponen contohnya, kalau kita dah serahkan di kawasan kita ini DUN Pengkalan Berangan kalau kita beri pada Pas (maka) Pas (kena) cari calon yang sesuai untuk kawasan ini, begitulah cara yang akan ditentukan,” kata Hamzah, lapor Astro Awani.

    Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN di Binjai Rendah, Marang malam tadi.

    Sebelum ini, media melaporkan proses pembahagian kerusi antara parti komponen dalam PN bagi menghadapi PRN sudah siap 97 peratus.
    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan untuk beberapa kerusi yang masih berbaki akan dilakukan dalam keputusan akhir yang akan diputuskan dalam tempoh terdekat.
    PRN akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.