Category: Semasa

  • Khairy buat lawatan mengejut ke Hospital Kajang

    Khairy buat lawatan mengejut ke Hospital Kajang

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini membuat lawatan mengejut ke Hospital Kajang dipercayai bagi meninjau secara lebih dekat permasalahan di premis yang dibina pada 1989 itu.

    Menerusi perkongsian hantaran dan gambar pemilik akaun Facebook bernama Rozairi Abd Rahman, Khairy dirakam bertemu dan berbual dengan beberapa kakitangan hospital berkenaan.

    Khairy dirakam berbual dengan kakitangan Hospital Kajang, hari ini.

    Beliau yang memakai baju lengan panjang bewarna kelabu turut dirakam berbual dengan kakitangan perubatan di kaunter wad.

    “Yang ni aku hormat.Sempoi YB Khairy Jamaluddin Menteri Kesihatan datang diam-diam ke Hospital Kajang, bawa seorang pegawai, datang hari Sabtu.

    “Hujung minggu semua pengurusan tertinggi hospital tiada.Pasti Pengarah hospital pun tak tau Macam ni baru tahu keadaan sebenar Hospital Kajang, ok ke,” tulis Rozairi.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Kajang pada 2015.

    Kunjungan Najib antara lain bagi melihat sendiri persekitaran serta keselesaan di hospital yang dibina pada tahun 1889 itu.

    Lawatan itu kemudiannya menyaksikan pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak, yang merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf Hospital Kajang dan dijangka siap pada 2021 dengan kos pembinaan RM304.5 juta.

    Pembinaan bangunan tambahan itu dapat mengurangkan kesesakan pesakit di hospital yang telah berusia 129 tahun itu.

  • Tempoh sidang DUN Kedah ikut saranan KKM

    Tempoh sidang DUN Kedah ikut saranan KKM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN untuk memendekkan tempoh Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bermula Isnin ini daripada tujuh kepada hanya empat jam sehari, dibuat setelah menerima saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, saranan KKM itu bersandarkan kepada faktor keselamatan memandangkan Kedah masih berada di fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Sekali pun semua ADUN telah mendapat dua dos suntikan vaksin, namun untuk berada di tempat tertutup dalam tempoh lama tetap mendatangkan risiko.

    “Apatah lagi ketika ini kita sedang berdepan ancaman varian Delta dan Gamma,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Rabu lalu mempertikaikan langkah tersebut kerana mendakwa tempoh masa persidangan itu tidak mencukupi untuk semua pihak menyuarakan masalah serta isu-isu rakyat.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendesak supaya tempoh persidangan dipanjangkan dan jika tidak katanya, rakyat boleh beranggapan bahawa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor amat takut untuk menghadapi kritikan hebat pembangkang.

    Mengulas lanjut Mohd. Azam berkata, penjelasan berhubung perkara itu sebenarnya telah diberikan kepada ADUN-ADUN Kedah oleh KKM melalui sidang maya pada 13 September lalu namun Mukhriz tidak menyertainya dan sekadar menghantar wakil yang menyebabkannya tertinggal informasi.

    Katanya, sidang yang diadakan selama empat hari berturut-turut itu juga cukup untuk memutuskan perkara-perkara penting mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

    “Sekali pun persidangan ini disingkatkan, namun sesi soal jawab pertanyaan lisan, perbahasan ADUN dan penggulungan EXCO serta MB, tetapi diadakan.

    “Jika Mukhriz memiliki cadangan, soalan mahu pun kritikan demi kebaikan semua, beliau boleh mengemukakannya melalui pelbagai kaedah serta platform kerana tidak semua perkara harus diselesaikan dalam Sidang DUN semata-mata,” katanya.

    Tambahnya, beliau percaya Muhammad Sanusi juga sangat terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan dari Mukhriz pada bila-bila masa yang sesuai.

    “Oleh kerana sidang DUN kali ini singkat pada pandangannya, saya harap beliau dapat hadir sepenuhnya sepanjang tempoh persidangan berlangsung,” katanya.

  • Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    “Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut kenyataan itu.

    Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Ismail Sabri telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam yang memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS, yang bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

    Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    Kedua-dua pemimpin, menurut kenyataan itu turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

    “Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

    “Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif,” menurut Pejabat Perdana Menteri.– BERNAMA

  • Biarlah Dr.Mahathir dengan ‘politik labu-labunya’

    Biarlah Dr.Mahathir dengan ‘politik labu-labunya’

    PENEGASAN Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa parti Pejuang tidak akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan seperti mana dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) atas alasan seolah-olah terdapat unsur ‘rasuah’ dalam perjanjian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

    Lagipun  menjadi hak bekas Perdana Menteri itu dan partinya untuk membuat sedemikian, tiada siapa boleh halang. Bagaimanapun tindakan beliau tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana MoU tersebut bukannya bermotif politik.

    MoU itu semata-mata bertujuan bagi mewujudkan kestabilan politik supaya usaha dalam memulihkan negara berikutan ‘serangan’ pandemik Covid-19 tidak terganggu. Cukuplah 17 bulan gangguan politik berlaku sehingga ia menjejaskan tumpuan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerangi wabak tersebut.

    Apa sahaja dilakukan oleh beliau dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa sahaja dipertikai dan dipersoalkan tetapi selepas Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu, barulah orang nampak segala usaha yang beliau lakukan selama ini mula menampakkan hasil.

    Penulis tidak perlu membentangkan panjang lebar apa yang sudah dilakukan oleh Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Bagi mereka yang tiada apa-apa sentimen politik, mereka akan mengiktiraf usaha Ahli Parlimen Pagoh itu termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan sekaligus memahami slogan ‘Kerajaan gagal’ hanyalah satu dakyah.

    Atas sebab itulah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menerima nasib yang sama. Kesepakatan dengan pembangkang adalah salah satu usaha bagi mengelakkan negara terjebak dalam krisis politik.

    Pelbagai pihak menyambut baik langkah itu yang ‘diterokai’ oleh Muhyiddin lebih awal pada 13 Ogos iaitu tiga hari sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun hasrat Muhyiddin tidak tercapai kerana ditolak pembangkang dan 15 Ahli Parlimen UMNO tetapi mereka menerimanya apabila ditawarkan oleh Ismail Sabri.

    Keterbukaan parti-parti dalam kerajaan dan  PH untuk menandatangani MoU tersebut adalah langkah terbaik tetapi kalau Dr.Mahathir dan sekutunya parti Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal terus mahu menolak MoU tersebut, biarkan sahaja.

    Lagipun sejak bila pun Ahli Parlimen Langkawi itu bersetuju dengan mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri selain diri beliau sendiri? Siapapun jadi Perdana Menteri atau menjadi kerajaan yang bukan di bawah kepemimpinan beliau pasti akan ditolak atau ‘diganggu’ oleh Dr.Mahathir – itulah pandangan ramai orang.

    Bermula daripada Datuk Seri Najib Tun Razak hinggalah terakhir Muhyiddin, justeru kalau mahu diharapkan Dr.Mahathir akan menyokong Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada … bermimpi boleh la. Dr.Mahathir berpolitik mengikut cara dan kehendaknya.

    Tetapi Ismail Sabri dan kerajaan tidak perlu bimbang kerana selain biarkan sahaja Dr.Mahathir ibarat ‘terjun dengan labu-labunya’, ahli politik berusia 96 tahun itu sudah tidak mempunyai apa-apa cengkaman politik lagi. Pengaruh beliau pun tidak sehebat dahulu, sebab itulah parti-parti pembangkang pun dilihat tidak begitu sangat mempedulikan bekas Perdana Menteri tersebut.

    Apa yang penting MoU itu tidak akan melemahkan sesiapa  sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak sudah menegaskan perkara itu. Segala yang dilakukan semata-mata untuk memastikan tidak wujud politiking berlebihan sehingga menyusahkan rakyat.

  • Nilai kembali keputusan tidak tandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Nilai kembali keputusan tidak tandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI-parti pembangkang yang masih belum menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik, diminta memikirkan semula perkara itu bagi memastikan mereka dapat bersama dalam menangani cabaran dihadapi negara, terutamanya berkaitan ekonomi dan kesusahan dihadapi rakyat akibat Covid-19.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dengan menandatangani MoU tersebut, itu tidak bermakna mereka tidak lagi menjalankan tugas-tugas membangkang serta memainkan peranan semak dan imbang.

    Malah katanya, mereka juga tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana apa yang dibentuk bukanlah kerajaan perpaduan (unity government).

    “MoU ini persefahaman antara kerajaan dan pembangkang tetapi dia tetap membangkang. Dalam Parlimen pun mereka tetap ‘tibai’ kerajaan dan peranan semak serta imbang tetap dimainkan.

    “cumanya ada persefahaman atau limitasi mengenai hal dinyatakan dalam MoU itu yang akan melibatkan kerjasama dari kerajaan dan pembangkang. Oleh itu, kita berharap parti lain juga yang belum menandatangani MoU, dapat mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan, untuk bersama dalam urusan berkaitan Covid-19 dan pembangunan semula ekonomi,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima taklimat mengenai program tanam semula di Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, hari ini.

    Tiga parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda)sehingga kini masih enggan menandatangani memorandum tersebut dengan beberapa alasan diberikan mengenainya.

    Keadaan itu mendorong pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bersuara menerusi satu kenyataan semalam untuk mengajak ketiga-tiga parti tersebut agar bersama menandatanganinya demi masa depan yang baik untuk rakyat Malaysia.

    Mahdzir menambah, dalam keadaan sekarang, semua ahli politik tidak seharusya sibuk bermain politik, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Elok kita tumpukan kepada kesusahan rakyat dalam ekonomi dan bagaimana hendak berdepan dengan pandemik ini. Di pihak kerajaan, insya Allah tanggungjawab ini akan diambil secara serius dengan program ekonomi rakyat juga akan dibuat secara menyeluruh,” katanya.

  • KPDNHEP kesan 34 peniaga jual kit ujian kendiri melebihi harga kawalan

    KPDNHEP kesan 34 peniaga jual kit ujian kendiri melebihi harga kawalan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 34 peniaga dikesan menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

    Menurut Rosol, peniaga terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas lebih 1,800 farmasi, klinik dan premis yang menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 17 September.

    Daripada jumlah itu katanya, didapati 1,552 peniaga menjual kit ujian ini mengikut harga kawalan ditetapkan manakala 185 premis lagi menjual di bawah harga RM19.90.

    “Bagaimanapun, setakat ini hanya satu kompaun bernilai RM250 dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

    Sementara itu, mengenai kenaikan harga ikan hingga RM2 sekilogram dalam pasaran, Rosol mengesahkan berhubung perkara tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya ada menerima aduan mengenai kenaikan tersebut dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat pemantauan.

    Katanya, berdasarkan aduan diterima, ikan selayang sekarang dijual dengan harga RM16 satu kilogram manakala ikan kembung semalam dijual mencecah RM22 sekilogram.

  • Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    TIDAK timbul isu Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berkecuali dalam pengundian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengulas sedemikian susulan dakwaan terbabit.

    Beliau yang dipetik Astro Awani berkata, pemilihan jawatan itu telah ditangguhkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini.

    “Setakat sekarang, tidak salah saya, kita telah putuskan dalam persidangan (Dewan Rakyat) Menteri Parlimen dan Undang-Undang telah usulkan jawatan Timbalan Speaker ditangguhkan.

    “Maka, tidak timbul Ahli Parlimen Bersatu akan berkecuali dalam perkara tersebut,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, memetik laporan Sinar Harian, bahawa kesemua ahli Parlimen Parti Bersatu dijangka mengemukakan pendirian berkecuali dalam isu cadangan nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon tunggal kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.

    Terdahulu, Dewan Rakyat pada Selasa bersetuju usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa.

    Jelas Wan Junaidi, keputusan itu bagi membolehkan satu pindaan dibuat membabitkan Perkara 57(1)(b), iaitu membolehkan jawatan Timbalan Speaker yang ketiga diwujudkan.

  • Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia hari ini menurun sebanyak 2,000 kes kepada 15,549 kes berbanding 17,577 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 2,028 kes itu, sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,082,876 kes kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Facebook berkata, Sarawak mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi dengan 2,929 kes diikuti Johor, 2,208 kes.

    Selangor pula di tempat ketiga dengan 1,995 kes berbanding 2,646 kes semalam.

    Selain itu, lima negeri turut menyumbang lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Sabah (1,395 kes), Pulau Pinang (1,375 kes), Kelantan (1,214 kes), Perak (1,120 kes) dan Kedah (1,073 kes)

    Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing masing mencatatkan hanya tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 11 jangkitan diikuti, Putrajaya 31 kes dan Perlis 33 kes.

  • Sultan Johor gesa Peguam Negara batal rayuan isu hak kerakyatan

    Sultan Johor gesa Peguam Negara batal rayuan isu hak kerakyatan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak-anak dilahirkan warganegara Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik.

    Baginda bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

    “Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

    “Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka. Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza,” soal Sultan Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

    Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.

    Media kemudian melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

    Bertitah lanjut, Sultan Ibrahim juga menyatakan kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

    “Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah baginda.

    Titah Sultan Ibrahim lagi, dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peguam Negara harus segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu.

  • PM ucap tahniah kepada Komander Dr. Suzana

    PM ucap tahniah kepada Komander Dr. Suzana

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Komander (M) Dr Suzanna Razali Chan yang diiktiraf sebagai ikon wanita dunia dalam bidang carilamat oleh Persekutuan Penyelamat Maritim Antarabangsa (IMRF).

    Menerusi catatan di Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata pengiktirafan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia itu menjadi kebanggaan seluruh Keluarga Malaysia.

    “Malah (ia turut) menjadi sumber inspirasi dan semangat bagi semua pihak dalam menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.

    Perdana Menteri berkata Dr Suzanna, 40, adalah wanita pertama dari rantau Asia Tenggara yang dipilih menerima anugerah yang amat berprestij itu.

    Menerusi IMRF Awards 2021, Suzanna dinobat sebagai ikon bagi kategori itu berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang mencari dan menyelamat maritim (MSAR) malah, beliau juga adalah wanita pertama di rantau Asia Tenggara memenangi anugerah tersebut.

    Anugerah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif IMRF Theresa Crossley secara dalam talian menerusi Majlis Penganugerahan IMRF Awards 2021 yang berlangsung dari London, United Kingdom melalui akaun Youtube rasmi IMRF pada 14 Sept lepas.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan, Suzanna dianugerahkan IMRF Awards 2021 setelah berjaya menarik perhatian IMRF menerusi pencapaian dan prestasinya di dalam dan luar negara serta tersenarai dalam finalis Runner Up bagi kategori ‘Women in SAR’