Category: Semasa

  • 78.2 peratus populasi dewasa Malaysia sudah divaksin

    78.2 peratus populasi dewasa Malaysia sudah divaksin

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KADAR vaksinasi bagi populasi dewasa yang disasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus di negara ini akan dicapai setelah hanya tinggal 1.8 peratus golongan itu yang belum divaksin atau lengkap dua dos suntikan.

    Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Malaysia telah merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi sehingga semalam.

    Justeru, kata beliau, tumpuan kini diberikan kepada negeri-negeri tertentu untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksin menjelang akhir September.

    “Pada bulan ini, kadar liputan adalah lebih tinggi apabila usaha melakukan vaksinasi rakyat ditumpukan di negeri-negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah seperti yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.

    Terdahulu Dr. Adham melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral yang turut dihadiri Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini juga berada pada landasan baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    “Trend penurunan kadar vaksinasi dapat dilihat di kawasan tersebut tetapi itu tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan yang tertentu termasuk bagi menyasarkan kumpulan yang tercicir,” katanya.

    Tambahnya, kadar vaksinasi negara yang dicatatkan semalam pula adalah sebanyak 232,559 suntikan dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang.

    Sementara itu, Dr. Adham memaklumkan proses vaksinasi melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) telah mencapai 89.9 peratus atau seramai 517,447 orang daripada 575,564 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    “Seramai 401,425 daripada mereka telah lengkap vaksinasi penuh iaitu sekitar 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi,” jelasnya.

    Dalam pada itu, bermula esok hingga 30 Sepetang ini, PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin akan mula dibuka untuk orang ramai secara ‘walk-in’ pandu lalu.

  • JKNP nafi pesakit Coivd-19 Orang Asli lari ke hutan

    JKNP nafi pesakit Coivd-19 Orang Asli lari ke hutan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kesihatan Negeri Perak (JKNP) memaklumkan tidak menerima laporan ada pesakit Covid-19 Orang Asli melarikan diri masuk ke hutan.

    Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming, sehingga kini tiada laporan rasmi diterima Pejabat Kesihatan Daerah Kampar mengenai khabar angin yang tersebar sejak dua hari lalu dan tular dalam media sosial.

    Jelasnya, video yang tular itu adalah video pengebumian pesakit Covid-19 Orang Asli, yang berkemungkinan berlaku pada 14 September lalu.

    “Jenazah sampai ke kampung lewat petang kira-kira jam 7 lebih dan pengebumian diteruskan kerana petugas serta waris sudah menunggu di sana.

    “Dimaklumkan, lokasi tapak pengebumian adalah di seberang sungai di kampung itu dan hanya satu cara untuk menyeberangi sungai itu iaitu melalui jambatan buluh.

    “Jenazah diuruskan seperti urusan jenazah pesakit Covid-19 iaitu dibalut dengan lapisan pelindung yang dibuat prosedur disinfeksi dan jenazah berkenaan ditanam di tapak perkuburan kampung Orang Asli terbabit,” katanya, hari ini.

    Selain itu, Dr Lay Ming berkata, keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Orang Asli dikawal rapi oleh polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penempatan anggota secara tetap.

    Katanya, bantuan makanan asas di kawasan berkenaan turut disediakan dan diselaras Jawatankuasa Bencana Daerah Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

    Beliau berkata, PKPD dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Ulu Geroh, Gopeng bermula 12 hingga 25 September susulan pengesanan 52 kes positif COVID-19 dengan satu kematian pada 8 September lalu.

    Menurutnya, setakat ini, sebanyak 204 kes positif kumulatif Covid-19 dilaporkan di Kampung Ulu Groh, Gopeng dengan enam kematian direkodkan dalam kalangan penduduk Orang Asli di situ sehingga Jumaat lalu.

    “Daripada keseluruhan jumlah kes positif yang direkodkan sehingga kini, seramai 191 kes positif Orang Asli dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai, dua kes ke PKRC Arena Ipoh, 10 kes dimasukkan ke hospital dan satu kematian di rumah atau BID,” katanya.

  • 14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEJADIAN ceroboh hutan simpan kekal di Terengganu membabitkan penganjuran aktiviti kenderaan lasak terus berulang.

    Semalam, seramai 14 pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) ditahan Jabatan Perhutanan Terengganu setelah didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Petuang, di Hulu Terengganu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penahanan lelaki berusia antara 21 hingga 65 tahun itu dibuat melalui serbuan pada pukul 11. 30 pagi.

    Katanya, mereka ditahan kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Petuang tanpa sebarang permit.

    Menurut beliau, operasi dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu bersama anggota Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat setelah menerima aduan terdapat pencerobohan di kawasan tersebut.

    Melalui operasi itu katanya, anggota terbabit telah menahan 14 lelaki bersama kenderaan 4×4 dinaiki, dipercayai digunakan untuk memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran bertulis atau permit.

    Beliau berkata, sewaktu serbuan dibuat, mereka sedang berehat di tepi sungai berhampiran dan mendakwa memasuki kawasan hutan simpan itu untuk menikmati keindahan alam sempena cuti hujung minggu.

    “Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan tersebut turut disita,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Roslan memberitahu, Khamis lalu, pihaknya menahan 13 penunggang motosikal lasak di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.

    Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu pencerobohan memandangkan kawasan hutan simpan kekal tidak boleh diceroboh tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    “Kita bukan hanya menahan mereka yang mencuri hasil hutan sahaja, tetapi menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang masuk ke dalam hutan simpan tanpa kebenaran,” ujar beliau.

    Katanya, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • Tiada kemasukan amah asing sehingga 31 Disember

    Tiada kemasukan amah asing sehingga 31 Disember

    KERAJAAN memutuskan bahawa tiada kemasukan pekerja asing termasuk pembantu rumah ke negara ini sehingga 31 Disember 2021.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, peraturan itu berkuat kuasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020.

    Menurut beliau, sebarang keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk pembantu rumah dari negara lain akan diumumkan oleh kerajaan secara rasmi selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan.

    “Saya menyeru dan menasihatkan agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dan diberikan lesen oleh Kementerian Sumber Manusia untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau pengiklanan yang mengelirukan majikan berhubung kemasukan pembantu rumah asing dari negara sumber.

    “Umum mengetahui, majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Indonesia. Ketika ini, Kementerian Sumber Manusia masih di peringkat rundingan bersama pihak Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang telah tamat pada 30 Mei 2016,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  • Kelantan dijangka beralih Fasa 3 PPN – Dr. Zaini

    Kelantan dijangka beralih Fasa 3 PPN – Dr. Zaini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELANTAN dijangka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir bulan ini atau selewat-lewatnya awal Oktober.

    Ini susulan 75 peratus individu dewasa di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat semalam.

    Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata beberapa kriteria perlu dipertimbangkan seperti liputan vaksinasi dan trend kes harian COVID-19, sebelum peralihan tersebut.

    “Insya-Allah kita akan terus melakukan aktiviti-aktiviti termasuk program jangkauan luar (outreach) kepada golongan yang belum disuntik dan kita yakin sasaran 80 peratus rakyat disuntik akan tercapai pada akhir bulan ini atau awal bulan depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Vaksinasi Orang Asli Gua Musang di Pos Gob di sini, semalam.

    Mengulas lanjut, beliau berkata setakat semalam penduduk negeri ini yang telah menerima vaksinasi penuh ialah kira-kira 35 peratus.

    Dr. Zaini berkata peningkatan kadar suntikan vaksin juga menunjukkan perkembangan positif apabila kemasukan pesakit COVID-19 tahap serius ke hospital telah berkurangan.

    “Walaupun kes harian Covid-19 di negeri ini masih mencatat empat angka sejak 10 September lepas, namun secara majoriti, iaitu 95 hingga 97 peratus pesakit Covid-19 yang kita terima adalah kategori satu dan dua.

    “Bagaimanapun, saya ingin tegaskan kepada rakyat Kelantan, walaupun telah disuntik jangan berasa kita 100 peratus dilindungi. Prosedur operasi standard (SOP) norma baharu perlu terus kekal dipatuhi dan diamalkan,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai bekalan vaksin sebanyak 1.2 juta dos yang diterima sepanjang bulan ini, Dr Zaini berkata, pihaknya mengambil inisiatif melakukan pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) untuk memaksimumkan kadar vaksinasi.

    Katanya kira-kira 120,000 penduduk daripada 1.2 juta populasi dewasa di negeri itu yang layak divaksin masih belum menerima suntikan.

    “Kita belum pasti sama ada mereka berada di Kelantan atau di luar, namun saya berharap mereka yang belum disuntik agar segera datang ke mana-mana pusat pemberian vaksin untuk menerima suntikan memandangkan kita telah melakukannya secara ‘walk-in’,” katanya.

  • Kerajaan tingkat siling Kumpulan Wang COVID-19 RM110b

    Kerajaan tingkat siling Kumpulan Wang COVID-19 RM110b

    HAD siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM65 bilion ketika ini akan dinaikkan kepada RM110 bilion.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, had siling itu akan ditingkatkan selepas menerima kelulusan Kabinet.

    “Had statutori hutang kerajaan Persekutuan juga akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 65 peratus daripada KDNK.

    “Peruntukan ini akan digunakan untuk menolong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi dibuka semula kerana sememangnya kita tahu, banyak peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutamanya dalam sektor runcit dan pelancongan banyak terjejas,” katanya dalam rancangan temu bual Optik@Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) menambah, kerajaan juga sedang memberi fokus kepada pembukaan ekonomi terutamanya untuk tahun depan dengan seluruh ekonomi dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir tahun ini dengan norma baharu.

    Tengku Zafrul memberitahu, PPN adalah pelan yang dinamik dan kerajaan menggunakan data semasa yang terkini untuk membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

    “Di sini juga kita akan menggunakan laporan terbaharu yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa untuk kita membuat keputusan.

    “Jadi apa yang kita dapat lihat, sebagai contoh, dos penggalak, kita akan membuat dos penggalak dalam masa terdekat. Perkara ini pun sudah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkongsi dalam hantaran Facebook maklumat tentang program penyampaian bakul makanan kepada para penerima di sekitar Johor Bahru.

    Beliau berkata, acara tersebut menyaksikan Kementerian Kewangan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermuafakat dan berganding bahu bagi menjayakannya.

    “Syukur, acara ‘BSN Care—Bakul Makanan Untuk Yang Memerlukan’ telah berjalan dengan lancar. Turut bersama saya dalam program itu adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato Asri Hamidon, YB Datuk Samsolbari Jamali mewakili Kerajaan Negeri Johor, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pengarah BSN Negeri Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail.

    “Sumbangan bakul makanan ini turut dijayakan dengan kerjasama jawatankuasa masjid, surau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum India, Cina dan lain-lain. Melalui kerjasama mereka, 1,000 bakul makanan dapat disalurkan kepada penerima yang layak. Sememangnya program ini menghidupkan lagi erti ‘Keluarga Malaysia’,” jelasnya.

    Tengku Zafrul berkata, program itu sangat bermakna kerana ia merupakan peluang bertemu dengan rakyat di Johor Bahru sambil membantu mereka pada musim serba mencabar ini.

  • Perbahasan Titah Diraja minggu kedua sidang Dewan Rakyat

    Perbahasan Titah Diraja minggu kedua sidang Dewan Rakyat

    PERBAHASAN Titah Diraja akan mendominasi minggu kedua Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang akan bermula esok.

    Ahli-ahli Parlimen bakal meneruskan perbahasan tersebut pada Isnin dan Selasa ini berkait pelbagai isu yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada 13 September lalu.

    Barisan Jemaah Menteri pula dijadual untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen sepanjang empat hari perbahasan, pada Rabu dan Khamis ini.

    Selain isu setempat, beberapa isu nasional bakal mendominasi minggu kedua ini termasuk usaha penggemblengan nasional menangani Covid-19, pemulihan ekonomi, dan pendidikan.

    Sepanjang sidang kali ini juga, isu-isu nasional semasa tidak boleh dikesampingkan apabila Jemaah Menteri perlu menjawab perkara yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dan Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

    Pada Isnin juga, sejumlah 11 risalat/dokumen laporan tahunan dan penyata kewangan bagi tahun 2019/2020 akan dibentang ke Dewan Rakyat melibatkan beberapa suruhanjaya, perbadanan dan pihak berkuasa antaranya Lembaga Pemantauan Audit, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia dan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB).

    Selain itu, sidang Kamar Khas juga akan berlangsung pada Isnin melibatkan dua isu setempat iaitu status tindakan penyelesaian perumahan generasi kedua Felda di kawasan Parlimen Pengerang serta pertimbangan mengkaji semula premium insurans perubatan. – Awani

  • 324 kematian akibat Covid-19, 70 kes BID-KKM

    324 kematian akibat Covid-19, 70 kes BID-KKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 324 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan setakat tengah malam tadi.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 23,067 kes, iaitu 1.1 peratus daripada 2,082,876 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

    Data KKM menerusi portal COVIDNOW memaklumkan, sejumlah 70 daripada 324 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

    Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

    Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat wabak itu, memakan masa.

    Portal Github menunjukkan hanya tujuh kes kematian dilaporkan berlaku semalam, namun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang masih belum dikemas kini.

    Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Setakat semalam, sejumlah 56 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, dan 67.2 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

    Daripada 324 kes kematian yang dilaporkan semalam, 146 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Johor (54), Pulau Pinang (25), Kedah (24), Perak (15), Sabah (13), Kelantan (12), Sarawak (11), Kuala Lumpur (tujuh), Melaka (tujuh), Pahang (lima) dan Negeri Sembilan (lima).
    Dua negeri dan dua wilayah lagi tidak merekodkan sebarang kes kematian iaitu Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

  • Bekas ADUN Kunak, veteran politik Sabah meninggal dunia akibat Covid-19

    Bekas ADUN Kunak, veteran politik Sabah meninggal dunia akibat Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu, awal pagi ini, akibat jangkitan Covid-19.

    Bekas veteran politik Sabah itu yang sebelum ini sudah sebulan bertarung nyawa melawan virus tersebut, meninggal dunia pukul 3.45 pagi.

    Nilwan, 71 tahun, yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, sebelum ini mendapat rawatan di hospital tersebut pada awal bulan ini.

    Rakan terdekat yang juga merupakan anak angkat beliau, Datuk Seri Dr. Anil Jeet, ketika dihubungi memaklumkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Negeri Sabah pada pukul 10 pagi tadi.

    Pengkebumian dijangka berlangsung di Makam Pahlawan.

    Menurut Anil, selain berperwatakan sederhana dan bersahaja dalam kehidupan seharian, Allahyarham Nilwan juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat disenangi serta mudah didekati masyarakat akar umbi.

    Pemimpin veteran USNO dan UMNO Sabah ini meninggalkan isteri dan tujuh orang anak.

    Sebelum ini, rakyat Sabah dikejutkan dengan kehilangan tokoh pemimpin veteran yang amat berjasa kepada negeri, Tun Sakaran Dandai dan Datuk Seri Lajim Ukin, kedua-duanya juga meninggal akibat Covid-19.

    Allahyarham Nilwan dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat disenangi serta mudah didekati masyarakat akar umbi.

  • 78.2 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    78.2 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 18,295,014 individu atau 78.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Menerusi perkongsian infografik dalam Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.1 peratus atau 21,938,426 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 232,559 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 73,106 dos pertama dan 159,453 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 40,155,975 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.