Category: Semasa

  • Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    BEKALAN vaksin COVID-19 bagi program pemberian dos ketiga (dos penggalak) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) adalah mencukupi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Dari segi bekalan insya-Allah cukup,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran PICK Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8, di sini hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

    Suntikan ketiga itu memberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi, serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

    Khairy berkata perincian mengenai program dos ketiga akan diumumkan dalam tempoh ‘seminggu dua lagi’.

    Ditanya keperluan pemberian dos penggalak bagi vaksin dos tunggal jenis CanSino, Khairy berkata CanSino telah mengemukakan permohonan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), dengan menyatakan kemungkinan keperluan untuk dos kedua selepas enam bulan individu menerima suntikan.

    Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau data dari negara lain yang menggunakan vaksin CanSino untuk mendapatkan maklumat lanjutan, sama ada dos penggalak diperlukan selepas enam bulan.

    Beliau juga berkata tiada masalah dari segi perolehan vaksin jenis CanSino dan Sinovac untuk dos penggalak, kerana kilang pembotolan berpangkalan di Malaysia.

    Mengenai perancangan pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Khairy berkata beberapa syarikat telah menghantar maklumat ujian klinikal bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, namun belum ada vaksin yang diluluskan NPRA untuk mereka di bawah 12 tahun.

    Beliau berkata KKM telah berbincang dengan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengenai cara-cara pembukaan tadika dan sekolah rendah, dengan memastikan persekitaran yang selamat.

    Beliau berkata strateginya adalah memastikan semua petugas di tadika dan sekolah rendah termasuk guru, pengendali dan pekerja, lengkap vaksinasi.

    “Itu cara terbaik yang boleh kita lakukan sekarang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan Kementerian Pendidikan, sehingga mendapat kelulusan penggunaan vaksin untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun,” katanya.

    Turut hadir pada pelancaran PICK Remaja itu ialah Radzi dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga penyelaras PICK Remaja.- BERNAMA

  • Covid-19:Lebih 228 juta kes jangkitan, 4.69 juta kematian

    Covid-19:Lebih 228 juta kes jangkitan, 4.69 juta kematian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KUMULATIF kes positif Covid-19 di peringkat global ketika ini sudah melebihi 228 juta.

    Berikutan hampir 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, angka terkini kes jangkitan Covid-19 global ialah 228,432,429.

    Data Johns Hopkins University (JHU) menunjukkan Amerika Syarikat (AS) paling terjejas dengan 42,085,220 kes.

    Ini diikuti India dengan 33,448,163 kes dan Brazil dengan 21,230,325 kes.

    United Kingdom, Rusia dan Perancis antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan 4,190,763 kes.

    Ini diikuti dengan Filipina dengan 2,366,749, Malaysia 2,082,876 kes dan Thailand dengan 1,476,477 kes.

    Sementara itu, angka kematian seluruh dunia kini melebihi 4.69 juta, iaitu sebanyak 4,690,029.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 673,761 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan 590,508 kes, India 444,838 kes, Mexico 271,303 kes.

    Sementara itu, United Kingdom kini mencatat 135,534 kematian, Rusia, Itali dan Perancis juga merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan 140,468 kes.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan 36,788, diikuti Malaysia dengan 23,067 kes manakala Thailand merekodkan 15,363 angka korban.

  • Lelaki maut dilanggar kereta api

    Lelaki maut dilanggar kereta api

    SEORANG lelaki warga tempatan berusia 40-an maut selepas dilanggar kereta api di Kilometer (KM) 4.5 Landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran kawasan perusahaan Perai di Kampung Jawa, Butterworth, Pulau Pinang.

    Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi melibatkan sebuah kereta api yang dalam laluan landasan dari arah Butterworth menghala ke Bukit Mertajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian itu mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada seluruh badan.

    “Mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk tujuan saringan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Shafee, siasatan awal polis mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dipagari atau cuba melintas landasan milik KTMB kerana boleh membahayakan nyawa serta mengundang kepada kerosakan harta benda.

  • KPM kerjasama dengan KKM, CITF bantu pendaftaran vaksinasi murid

    KPM kerjasama dengan KKM, CITF bantu pendaftaran vaksinasi murid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin berkata, ini termasuk mengenal pasti sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid sekolah.

    “KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.

    “Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau bersama-sama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

    Dr. Radzi berkata, PICK Remaja adalah program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

    “Seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja ini.

    “Secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara. Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun,” katanya.

    Katanya, sejurus tiba di sekolah, murid yang ditemani ibu bapa ataupenjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin.

  • Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas di Taman Kanak-Kanak Pekan Semporna, Sabah pada Jumaat lepas setelah disyaki terlibat dengan penipuan vaksinasi COVID-19.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Farhan Lee Abdullah berkata suspek warga tempatan berusia 61 tahun yang tidak bekerja itu ditahan pada 2.35 petang.

    “Suspek menawarkan perkhidmatan mengurus vaksinasi di Dewan Masyarakat Semporna dengan bayaran RM20 setiap seorang dan setakat ini dikesan terdapat 16 mangsa penipuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata polis memandang serius perkara itu sama ada membabitkan individu atau sindiket yang cuba mengambil peluang menjalankan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan vaksinasi berbayar. 

    “Kerajaan Malaysia memberikan vaksinasi secara percuma dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Farhan meminta 16 mangsa yang terlibat itu agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohamad Hayazi Hariff Fazilah di talian 017-895 4967 atau 089-782020. – BERNAMA

  • Sajat ditahan di Thailand, rundingan bawa pulang ke Malaysia

    Sajat ditahan di Thailand, rundingan bawa pulang ke Malaysia

    MISTERI ‘kehilangan’ usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

    Nur Sajat ditahan pihak berkuasa negara itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

    Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama-sama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

    Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

    “Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

    “Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

    “Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” lapor Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

    “Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    “Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

    Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

    “Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.

    Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

    “Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

    “Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.

  • Tiga pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, penyelewengan

    Tiga pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, penyelewengan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya  bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

    Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga semalam.

    ‘’SPRM menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

    ‘’Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,’’ kata kenyataan tersebut.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat semalam berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.

    Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

    Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

    Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.

  • Negeri Sembilan mampu beralih ke fasa empat PPN: Aminuddin

    Negeri Sembilan mampu beralih ke fasa empat PPN: Aminuddin

    DASARKAN beberapa indikator berkaitan penggunaan fasiliti kesihatan di Negeri Sembilan ketika ini, negeri itu dilihat mampu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Dalam catatan di Facebook rasminya hari ini, beliau menjelaskan antara indikatornya adalah tahap penggunaan alat bantuan pernafasan dan katil di Unit Rawatan Rapi serta penggunaan pusat kuarantin di negeri ini yang berada di bawah 50 peratus, manakala katil hospital pula mencatatkan kadar penggunaan di bawah 65 peratus.

    “Menurut portal Covid-19 Kementerian Kesihatan (covidnow.gov.my), Negeri Sembilan juga mencatatkan 2.6 kes per 1,000 orang wabak itu iaitu merupakan kadar kedua terendah dalam Malaysia dan menunjukkan peluang cerah untuk beralih ke Fasa Empat PPN,” katanya.

    Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa Empat PPN dalam tempoh seminggu lagi susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan lebih 90 peratus individu melengkapkan dos kedua, namun ia perlu mengambil kira bilangan kes positif Covid-19 harian.

    Sementara itu, beliau berkata 93.1 peratus atau 757,897 penduduk di negeri ini telah lengkap divaksin manakala 101.1 peratus (823,163) menerima dos pertama vaksin setakat Sabtu.

    Beliau turut menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat PPN dengan cepat, sekali gus dapat merancakkan semula ekonomi penduduk dan negeri ini. – Bernama

  • Dua kampung Orang Asli di Pahang dikenakan PKPD

    Dua kampung Orang Asli di Pahang dikenakan PKPD

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Orang Asli Sungai Koi, Jerantut dan Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, Pahang berkuat kuasa esok hingga 3 Oktober ini.

    Menurut Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad, kesemua kawasan itu dikenakan PKPD setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

  • Bomba sedia hadapi banjir, 20 peratus cuti sahaja dibenarkan

    Bomba sedia hadapi banjir, 20 peratus cuti sahaja dibenarkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersiap sedia dalam menghadapi musim tengkujuh termasuk hanya memberikan 20 peratus cuti kepada anggotanya.

    Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, pembekuan cuti kebanyakan anggota JBPM itu bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan semasa banjir.

    “Cuti anggota hanya sekitar 20 peratus (diberikan) kerana ada anggota yang perlu bercuti dalam tempoh tersebut tetapi kita akan beri keutamaan kepada usaha membantu menguruskan mangsa bencana.

    “Bulan September monsun timur laut hampir tiba khususnya melibatkan negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor yang memang biasanya terdedah kepada banjir,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

    Dr. Ismail berharap anggota bomba akan menggunakan pengalaman sebelum ini untuk meningkatkan kecekapan berdepan dengan banjir.

    Sementara itu, Yahaya dalam ucapannya berkata, JBPM Johor telah menerima sejumlah 12,986 panggilan kecemasan dalam tempoh bermula Januari hingga Ogos tahun ini, peningkatan berbanding jumlah panggilan 11,801 yang diterima pihaknya dalam tempoh sama tahun lalu.

    “Daripada jumlah tersebut, 3,623 adalah panggilan kebakaran, 6,516 adalah panggilan penyelamatan dan 2,840 adalah panggilan khas seperti khidmat kemanusiaan,” ujarnya.

    Untuk rekod, hanya tujuh panggilan merupakan panggilan palsu daripada keseluruhan 12,986 panggilan yang diterima.