Category: Semasa

  • Mayat wanita warga emas ditemukan tepi pantai

    Mayat wanita warga emas ditemukan tepi pantai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita warga emas lengkap berpakaian ditemukan di tepi pantai di Jalan Sultan Ibrahim, Stulang, Johor Bahru, hari ini.

    Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak bomba pada jam 11.27 pagi untuk mendapatkan bantuan.

    Mayat warga emas yang ditemui dikenali sebagai Tham Foong Seong@Ng Siew Leng, 74

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazli Yahaya berkata, seramai lapan anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dengan memakai pakaian perlindungan diri dan menyerahkan mayat tersebut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Mayat berkenaan dikenali sebagai Tham Foong Seong@Ng Siew Leng, 74, operasi tamat pada jam 12.23 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Hospital Selayang, Serdang bukan lagi hospital Covid-19 mulai bulan depan

    Hospital Selayang, Serdang bukan lagi hospital Covid-19 mulai bulan depan

    HOSPITAL Selayang dan Hospital Serdang dijangka tidak lagi menjadi hospital COVID-19 pada akhir bulan depan, susulan trend penurunan jangkitan wabak itu di Selangor.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata bagaimanapun Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Hospital Ampang masih kekal sebagai hospital COVID-19.

    Beliau berkata, sejak pertengahan bulan ini, Hospital Selayang dan Hospital Serdang sudah dihibridkan yang kedua-dua hospital itu bukan lagi hospital COVID-19 sepenuhnya.

    “Kami mahu dua hospital ini kembali kepada sedia kala iaitu katil untuk pesakit COVID-19 sudah banyak yang kosong (yang wajar diberi untuk merawat pesakit lain),” katanya pada sidang media, hari ini.

    Beliau berkata, negeri itu mencatatkan penurunan kes jangkitan wabak termasuk kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta turut mencatatkan penurunan kadar positiviti iaitu tujuh peratus pada minggu ke-37 berbanding yang tertinggi iaitu 22.3 peratus pada minggu ke-30.

    “Kita berada di landasan yang betul, walaupun jumlah saringan berkurang berbanding dulu, tetapi kadar peratus yang positif juga berkurang dengan kadar kebolehjangkitan kini bawah peringkat nasional iaitu 0.85,” katanya.

    Selain itu, Dr Siti Mariah berkata, kadar kesembuhan juga meningkat kepada 97.1 peratus dengan setakat ini, kes aktif sebanyak 10,656 orang yang kebanyakannya dikesan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Klang disebabkan faktor kepadatan penduduk.

    Katanya, perkembangan positif itu berikutan kerjasama semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi yang tinggi juga berjaya menurunkan jumlah kes jangkitan di negeri itu.

    Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya sentiasa berwaspada walaupun kes jangkitan di Selangor kini menurun.

    “Pada masa ini, kami turut membantu negeri lain dan kakitangan kami akan sentiasa siap siaga sekiranya ada keperluan,” katanya.

    Beliau berkata, ketika gelombang COVID-19 melanda negeri itu, aktiviti di klinik kesihatan dihadkan kepada 25 peratus dan hospital 50 peratus serta kini perkhidmatan itu akan dipertingkatkan semula.

    “Namun, jika berlaku semula peningkatan kes (COVID-19), kami akan kembali semula kepada keadaan sebelum ini,” katanya. – Bernama

  • RM9 bilion tangani isu pengurusan banjir-Tuan Ibrahim

    RM9 bilion tangani isu pengurusan banjir-Tuan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN memperuntukkan lebih RM9 bilion melibatkan hampir 100 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Saliran Bandar di seluruh negara bagi menangani isu pengurusan banjir negara.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan itu antara yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan turut merangkumi projek sambungan daripada RMK-11.

    “Sehingga September ini, tujuh (projek) telah siap dan dalam tempoh Defect Liability Period (Tempoh Liabiliti Kecacatan) (DLP), 27 projek dalam pelaksanaan dan 64 di peringkat prapelaksanaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

  • Demi rakyat Muhyiddin telan segala kepahitan

    Demi rakyat Muhyiddin telan segala kepahitan

    UKURAN pada kehebatan seorang pemimpin bukan terletak pada gah namanya mahupun jawatannya tetapi sejauh mana beliau sanggup berkorban demi kepentingan rakyatnya.

    Contoh terdekat bagi kita ialah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang mengorbankan segalanya oleh beliau demi memastikan negara mencapai kemerdekaan.

    Menganjak ke enam dekad selepas era Tunku Abdul Rahman, negara kembali dijajah kali ini oleh musuh halimunan bernama Covid-19.

    Covid-19 mula menjajah dan menjarah Malaysia pada ketika negara dilanda ketidakstabilan akibat kerakusan sesetengah pihak untuk merebut jawatan.

    Keadaan yang kucar-kacir pada ketika itu telah menyebabkan wabak itu mula menular bagaikan tiada kawalan sehingga pada waktu itu negara ini tersenarai sebagai salah sebuah negara yang paling teruk dilanda Covid-19.

    Dan, pada ketika itu kita semua menyaksikan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima amanah sebagai Perdana Menteri yang diberikan walaupun pada waktu itu beliau sedang bertarung dengan barah.

    Perkara pertama yang beliau lakukan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 ialah terus bekerja dan berusaha untuk mengekang pengeluaran Covid-19 dan bukannya membahagikan ‘gharimah’ atau ‘rampasan perang’ untuk mengukuhkan kedudukan.

    Langkah pertama yang dilakukan beliau ialah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara selari dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

    Bahkan, turut diberikan Bantuan Sara Hidup; Moratorium Pinjaman; bantuan untuk peniaga dan usahawan yang terjejas juga bantuan untuk pekerja dan majikan juga telah diadakan.

    Semua itu diadakan sementelaah kerajaan pimpinan beliau mengkaji dan merangka satu penyelesaian yang lebih menyeluruh iaitu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah diumumkan pada 24 Februari 2021 yang mana telah membawa Malaysia kepada mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

    Berdasarkan kejayaan yang dicapai dua bulan sebelum sasaran sebenarnya, program-program pemulihan ekonomi seperti pembukaan sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan dan sektor-sektor perniagaan lain mula digerakkan.

    Apa yang rakyat dapat? Sedikit kelegaan yang amat besar nilainya daripada segi ekonomi dan mental seperti yang dapat dilihat pada kemeriahan sektor ekonomi dari restoran mamak hinggalah kepada perusahaan-perusahaan besar.

    Apa yang Muhyiddin dapat? Cercaan, dituduh gagal dan juga pengkhianatan oleh pihak-pihak yang amat dahagakan nama dan pujian serta pengiktirafan.

    Apa yang Muhyiddin buat? Senyum, berdiam diri dan terus bekerja untuk rakyat sehinggalah beliau terpaksa melepaskan jawatan akibat pengkhianatan dan juga fitnah-fitnah yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bagai enau di dalam belukar hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing.

    Rakaman sejarah juga menunjukkan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin telah menjadi asas yang kukuh untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan perjuangan menentang ancaman Covid-19.

    Biarpun Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu namun bekas Perdana Menteri sudah ‘menyediakan tapak’ bagi memastikan PICK dan apa juga usaha bagi membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 berjaya.

    Walaupun terdapat gangguan politik termasuklah bergema slogan ‘kerajaan gagal’, PICK tidak pernah tergugat dan ia terbukti apabila laporan dari minggu keempat bulan Ogos 2021, Malaysia secara purata memberikan sekitar 448,900 dos vaksin setiap hari dan memberi bayangan bahawa negara akan mencapai kelompok imuniti lebih awal daripada sasaran.

    Usaha itu dimangkinkan lagi dengan sokongan barisan Kabinet khususnya Ismail Sabri dan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang terus berjuang bersama-sama Muhyiddin memerangi pandemik Covid-19 ketika parti mereka menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Jika dilihat pada semua itu, pasti bagi orang yang boleh berfikir dengan baik menilai semula tohmahan yang mengatakan Muhyiddin tidak layak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri mempertahan pelantikan itu dengan jawapan yang ringkas – Muhyiddin memegang jawatan tersebut sejak MPN  diwujudkan sekali gus kerajaan memberi kepercayaan kepada bekas Perdana Menteri itu menggalas tanggungjawab berkenaan.

    Dan, untuk menambah pencerahan kepada perkara itu, Muhyiddin setelah sekian lama berdiam diri menjelaskannya dalam temu bual rancangan Agenda AWANI pada Isnin lepas.

    “Kalau dulu saya jadi Perdana Menteri, keputusan saya buat segera. Sekarang ini walaupun saya tidak lagi, tetapi autoriti yang diberikan Perdana Menteri untuk saya membuat keputusan hampir serupa.

    “Sekarang ini, bagi saya perancangan yang penting. Antara bidang yang dilakukan MPN adalah mengukuhkan sistem kesihatan awam, ekonomi seperti pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, segerakan proses pendigitalan dan mencari jalan untuk mengukuhkan logistik,” katanya menerusi program Agenda AWANI pada malam Selasa.

    Muhyiddin juga menyatakan harapan kerajaan sedia ada akan meneruskan agenda untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

    “Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah, saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.

    “Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. That is what we have been doing and I think we have been quite successful in that area.

    “It is about recovery, itu penting bagi kita. Jadi itu kalau dapat kita kurangkan, kita dapat membantu rakyat,” kata beliau dalam wawancara itu. – WartaRakyat

  • Isu pindah wang MBI RM13 juta: Mukhriz cabar Sanusi buat laporan polis

    Isu pindah wang MBI RM13 juta: Mukhriz cabar Sanusi buat laporan polis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyarankan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah bernilai RM13 juta, semalam.

    Menurut Mukhriz, sekiranya laporan tersebut tidak dibuat, beliau menganggap dakwaan Muhammad Sanusi itu dibuat tanpa bukti dan asas.

    Justeru katanya, Muhammad Sanusi dicabar untuk memohon maaf dan menarik semula dakwaan tersebut.

    “Selain itu, saya tetap akan menimbangkan mengenai tindakan susulan yang akan dibuat berdasarkan perbincangan bersama penasihat undang-undang.

    “Saya terkejut dengan dakwaan atau tuduhan liar dibuat Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang yang langsung tidak berasas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah, hari ini.

    Menurut Mukhriz, apabila dakwaan liar itu dilaporkan secara meluas di dada akhbar, ia memberi gambaran buruk kepada dirinya, parti diwakili serta kerajaan negeri terdahulu kerana banyak perkara yang tidak jelas dalam kenyataan dikeluarkan Muhammad Sanusi.

    “Walaupun begitu, persepsi orang apabila tengok nama saya, angka RM13 juta, perkataan pindah wang dan kemudiannya Kanada, orang akan buat kesimpulan kononnya saya curi duit MBI Kedah sebanyak RM13 juta, masuk akaun di Kanada.

    “Saya dapat banyak mesej daripada rakan-rakan, media dan orang tidak dikenali mengenai hal ini.

    “Ini tentu jadi topik hangat untuk diperkatakan walhal tiada asas di sebalik dakwaan Muhammad Sanusi itu,” katanya.

    Tambahnya, Muhammad Sanusi diminta bertanggungjawab ke atas apa jua kenyataan dikeluarkan dan beliau mengambil serius akan tuduhan liar terbabit.

  • Stesen minyak, restoran dibenar buka hingga 12 tengah malam – PM

    Stesen minyak, restoran dibenar buka hingga 12 tengah malam – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    OPERASI kedai runcit, pasar mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam berkuat kuasa esok.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang sudah lengkap vaksin bermula 1 Oktober.

    “Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Boleh rentas negeri jika capai 90 peratus vaksinasi: PM

    Boleh rentas negeri jika capai 90 peratus vaksinasi: PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAKYAT dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara sudah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya hari ini.

    Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan.

    “Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

    “Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri mengumumkan selepas kira-kira lapan bulan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia berjaya mencapai kadar 80 peratus daripada penduduk dewasa lengkap menerima vaksin Covid-19.

    PICK yang dilaksanakan ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mencapai sasaran lebih awal daripada jangkaan apabila ketika ini, jumlah populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencapai 80 peratus.

    Sasaran itu dicapai sebulan lebih awal daripada jangkaan asal dan ketika ini, kumpulan remaja bawah 18 tahun sudah mula menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

  • Warga asing perlu tanggung kos ujian saringan – PM

    Warga asing perlu tanggung kos ujian saringan – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua warga asing yang tiba di pintu masuk negara perlu menanggung kos ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19, manakala bagi warganegara adalah percuma.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan menyeru dengan kelonggaran yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

    “Patuhilah setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Negeri Sembilan, Pahang, Johor beralih fasa PPN – PM

    Negeri Sembilan, Pahang, Johor beralih fasa PPN – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAWATANKUASA Khas Pengurusan Pandemik yang bermesyuarat pada hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Negeri Sembilan, Pahang dan Johor, berkuat kuasa 24 September.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan berkata, Negeri Sembilan beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, manakala Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

    “Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

    “Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat transaksi berkaitan yayasan kebajikan, Yayasan Akalbudi (YAB) yang dijalankan keluarganya.

    Ketua pendakwaan Datuk Raja Rozela Raja Toran  berkata tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai  kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan.

    Beliau berhujah pihak pembelaan bergantung kepada Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menuntut kekebalan tetapi seksyen itu tidak memberikan kekebalan hanya pengecualian daripada didakwa dengan pertimbangan pendakwa raya kepada orang tertentu yang membantu siasatan.  

    “Pihak pendakwa raya mengambil keputusan bahawa tertuduh tidak berhak untuk diberi kekebalan. Bahkan beliau tidak mempunyai hak untuk menuntut kekebalan di bawah Seksyen 30 (7).

    Seksyen 30 (7) apabila dibaca berdasarkan konteks menyeluruh perundangan, ia digubal untuk menggalakkan saksi-saksi untuk bekerjasama mendedahkan maklumat dan dokumen bagi membantu SPRM dalam siasatannya.

    “Seksyen ini terpakai kepada mereka yang mendedahkan maklumat atau dokumen dan maklumat atau dokumen itu sebaliknya mendedahkan individu berkenaan kepada penjenayah atau tindakan atau tuntutan sivil,” katanya dalam hujahan untuk mematahkan hujahan pembelaan mengenai kekebalan tertuduh di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Sebelum ini, ketua pembelaan Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018 dan dengan membuat pendedahan itu menerusi dua kenyataan, Presiden UMNO itu sepatutnya mendapat kekebalan daripada pendakwaan di bawah Seksyen 30 (7).  

    Raja Rozela berkata pihak pembelaan tersilap anggap bahawa kes pendakwaan dibicarakan berdasarkan kedua-dua kenyataan itu.

    “Sebaliknya, pihak pendakwaan bersandarkan kepada bukti daripada 99 saksi, kebanyakannya orang awam yang kenyataan mereka dirakamkan oleh SPRM.  Tidak pernah pendakwa raya atau SPRM melakukan sesuatu bagi menggalakkan tertuduh mempercayai bahawa beliau akan diberikan kekebalan. 

    Seksyen 30(7) tidak mengandungi perkataan kekebalan. Jika Parlimen merancang untuk menyediakan kekebalan di bawah Seksyen 30 (7), ia akan menyatakannya dengan jelas,” kata beliau. 

    Timbalan Pendakawa Raya itu kemudian berhujah bahawa SPRM mempunyai kuasa di bawah Seksyen 30(7) untuk memanggil siapa sahaja untuk memberikan maklumat termasuk mereka yang masih belum didakwa di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

    “Jika SPRM merekodkan kenyataan daripada saksi dan semua mereka dilindungi, setiap orang adalah kebal, maka apa tujuan siasatan dibuat? Di mana letaknya SPRM ? Adalah tidak masuk akal untuk menyatakan Ahmad Zahid tidak perlu didakwa hanya kerana beliau telah memberikan makluamt kepada SPRM,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan – 12 daripadanya adalah pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 mengenai pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit milik YAB. 

    Pihak pendakwaan akan menyambung penghujahannya pada 4 Okt ini.- BERNAMA