Category: Semasa

  • Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

    Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

    SEORANG bekas banduan yang tidak pernah serik keluar masuk penjara kerana menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di media sosial, dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan sama.

    Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd Sarif, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos lepas dan akan dipenjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

    Tertuduh turut didenda RM1,000, jika gagal bayar dipenjara tiga bulan selepas mahkamah mengguna pakai proviso kes tersebut di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (di mana setiap kesalahan selepas pensabitan OKS boleh didenda RM1,000).

    Edwin ketika menjatuhkan hukuman berkata OKS telah melampaui batas dan tindakannya menghina Agong, melanggar kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “OKS langsung tidak serik, walaupun mahkamah telah memberi beberapa kali peluang tetap mengulangi kesilapan sama,” kata Edwin.

    Sharil didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil ‘Sharil bin Mohd Sarif’ pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.30 petang, 20 April lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap atas alasan dia mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya sudah meninggal dunia, Jun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman berat kerana sebelum ini, tertuduh pernah dihukum penjara dua kali atas kesalahan sama.

    “OKS tidak menunjukkan kekesalan walaupun telah dipenjara sebelum ini, kesemua kesalahan adalah sama yang bersifat jelik dan menyakitkan hati.

    “Hukuman-hukuman yang dijatuhkan tidak mendatangkan keinsafan kepada OKS. Mohon hukuman lebih berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.

    Sebelum ini, tertuduh pernah dipenjara dua bulan pada 2019 dan 10 bulan pada tahun lalu oleh mahkamah sama atas kesalahan serupa.- BERNAMA

  • Pengangguran, peluang kerja antara tumpuan mesyuarat pertama MPN

    Pengangguran, peluang kerja antara tumpuan mesyuarat pertama MPN

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESYUARAT pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN), Isnin ini akan menyentuh beberapa perkara penting termasuk masalah pengurangan gaji dan isu pengangguran dalam kalangan siswazah.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana masalah berkenaan telah menjadi tumpuan utama dalam negara yang dilihat semakin merosot sejak kebelakangan ini.

    “Kesan daripada pandemik ramai yang sudah tidak bekerja atau diberhentikan. Sebab itu antara langkah yang kerajaan di bawah saya dahulu dan saya kira masih diteruskan sehingga kini ialah membantu pekerja menjaga pekerjaan mereka.

    “Ini termasuk dengan memberikan subsidi kepada majikan bagi memastikan mereka tidak memberhentikan pekerja masing-masing. Tetapi, pengangguran dalam kalangan siswazah tidak hanya terjadi ketika waktu wabak Covid-19 melanda negara tetapi isu berkenaan sudah lama berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

    Menurut Muhyiddin, beliau pernah mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara sewaktu menjadi Perdana Menteri dan mengharapkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskannya serta mencapai objektif dalam menjana 500,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

    “Saya percaya kita semakin dekat dengan sasaran kerana Malaysia memiliki banyak peluang pekerjaan dan ini tidak mempertimbangkan pelaburan baharu yang masuk ke negara ini.

    “Pelaburan di Malaysia melonjak hingga 200 peratus daripada tahun lalu ia akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa terdekat,” katanya.

    Beliau berkata, Majlis Pekerjaan Negara bukan sahaja menangani masalah pekerjaan tetapi membantu pekerja yang mengalami pengurangan gaji untuk meningkatkan pendapatan mereka.

    “Ketika ini banyak sektor ekonomi dibuka, sekali gus akan membantu mereka mendapatkan tawaran kerja yang lebih baik termasuk gaji yang lebih tinggi,” katanya.

  • Keputusan kes SUV terjunam bawah Jambatan Pulau Pinang Rabu depan

    Keputusan kes SUV terjunam bawah Jambatan Pulau Pinang Rabu depan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    NASIB seorang pemuda yang terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke bawah Jambatan Pulau Pinang yang menggemparkan negara dua tahun lalu akan diketahui Rabu depan.

    Keputusan ke atas M. Vaitheswaran, 23, itu sepatutnya dijatuhkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini namun ditetapkan Rabu depan oleh Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

    Ini berikutan peguam Vaitheswaran, K. Paramanathan memberitahu mahkamah pihaknya hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam dan tidak sempat membalasnya.

    Sehubungan itu menurut Paramanathan, pihaknya meminta mahkamah sedikit masa untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut sebelum mahkamah menetapkan Rabu depan untuk memutuskan sama ada Vaitheswaran perlu membela diri bersabit pertuduhan tersebut.

    Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

    Pada 2019, Vaitheswaran, yang juga bekas pekerja salon didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej, Moey Yun Peng.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi 20 Januari 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

    Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan kenderaan yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 tersebut hilang kawalan dan terhumban ke laut.

  • Belum jelas Bersatu-UMNO bekerjasama pada PRU-15-Muhyiddin

    Belum jelas Bersatu-UMNO bekerjasama pada PRU-15-Muhyiddin

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti berkenaan tidak ada masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika parti itu memilih untuk bersama.

    Meskipun menjalin kerjasama membentuk kerajaan pada hari ini, Muhyiddin berkata, Bersatu masih kurang jelas dengan hala tuju UMNO pada masa hadapan sama ada akan terus kekal dengan kerjasama seperti sekarang atau sebaliknya.

    “Hubungan kita dengan parti-parti lain seperti UMNO dalam kerajaan sekarang memang ada di peringkat nasional dan negeri, cuma kita kurang jelas hala tuju ke depan sama ada UMNO akan terus bersama begini atau ada pilihan tersendiri, itu bukan hak saya untuk tentukan.

    “Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu.

    “Setakat ini apa yang kita yakin, kita akan terus berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan, ini cuma andaian (UMNO tidak sokong PN), sesuatu yang kita pun masih tidak pasti. Jadi, adalah sukar untuk saya ramalkan apa perkara yang akan berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, disebabkan keadaan itu, Bersatu bersama-sama Pas dan Gerakan akan terus bergerak ke arah memperkukuh Perikatan Nasional (PN) termasuk memperkemas jentera masing-masing sebagai persediaan menjelang pilihan raya.

    “Saya minta setiap bahagian (Bersatu) perkemas jentera masing-masing, ini tidak bermakna PRU akan tiba esok tetapi biasa lah apabila sampai masa pilihan raya diadakan nanti kita harap dapat mencapai kejayaan.

    “Di Johor, saya minta Bersatu bergerak rapat dengan PN, kita pakai warna biru untuk bendera, logistik dan cenderahati yang wajar untuk beri impak besar kepada pengundi termasuk di seluruh negara.

    “Langkah itu agar kita lebih akrab dalam menjalankan program bersama-sama dan tidak berasingan supaya rakyat mendapat mesej PN Johor memang berfungsi,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin yakin Pas akan terus bersama dalam PN terutama bagi menghadapi PRU-15 berdasarkan sokongan sehingga kini daripada pucuk pimpinan Pas dan ahli parti itu dalam mesyuarat berkaitan agenda yang diperjuangkan PN.

    “Setakat yang saya sedar waktu mula kita daftar PN, Pas adalah penajanya dan Pas telah bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan dan kemudian barulah parti lain menyertainya.

    “Sehingga ke hari ini saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, wakil Pas dan Presidennya di peringkat pusat serta pucuk pimpinan Pas datang bersama-sama berbincang banyak perkara berhubung kait dengan kerajaan dalam PN. Jadi setahu saya ini tidak berubah sehingga sekarang,” katanya.

  • SOP masjid, surau ditambah baik- Ahmad Marzuk

    SOP masjid, surau ditambah baik- Ahmad Marzuk

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KERAJAAN sentiasa berusaha menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan pandemik Covid-19 membabitkan aktiviti ibadah di surau dan masjid di seluruh negara.

    Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, beberapa kaedah seperti muzakarah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) sentiasa diadakan.

    Beliau berkata, kaedah muzakarah yang turut melibatkan mufti dan pihak berkuasa agama negeri diadakan paling kurang setiap dua bulan untuk membincangkan isu berkaitan agama Islam termasuk mengenai solat dan sebagainya.

    “Apa sahaja SOP baharu, kita akan sentiasa kemas kini berdasarkan situasi semasa, namun tidak banyak perubahan dalam SOP jika jangkitan Covid-19 masih tinggi,” katanya kepada media selepas Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 di pekarangan Stesen Teksi, chukai Kemaman, hari ini.

    Beliau memberitahu demikian ketika ditanya kebenaran melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid dan surau di Pahang kepada semua jemaah termasuk individu yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

    Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan semalam memaklumkan SOP itu berkuat kuasa Rabu lepas, dengan bilangan jemaah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dengan mengamalkan penjarakan fizikal, kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Ahmad Marzuk, langkah dilaksanakan di Pahang adalah terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.

    Katanya, kalau mengikut SOP di Wilayah Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kebenaran solat mesti melengkapkan vaksin, namun ia terpulang kepada negeri lain.

    Mengenai isu gangguan seksual yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal, Ahmad Marzuk memberitahu, tiada sesiapa pun termasuk golongan agamawan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut terbukti melakukan kesalahan.

    Namun katanya, masyarakat seharusnya bertenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan tanpa membuat sebarang spekulasi.

  • Pelancong terjejas Covid-19 boleh tunda tarikh tempahan hotel

    Pelancong terjejas Covid-19 boleh tunda tarikh tempahan hotel

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KALANGAN pelancong yang terpaksa menunda perjalanan ke Langkawi akibat menjadi kontak rapat atau disahkan positif Covid-19 sebelum berlepas ke destinasi pelancongan popular itu, boleh menunda tarikh penginapan di hotel-hotel mereka ke satu tarikh yang lain.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan kalangan pelancong tersebut tidak berdepan kesulitan untuk tetap berkunjung ke Langkawi setelah mereka bebas daripada Covid-19.

    Malah katanya, setakat ini sudah terdapat persetujuan lisan dengan pihak berkaitan untuk turut membenarkan mereka yang sudah pun membeli tiket penerbangan menikmati kemudahan serupa.

    “Pelancong yang terpaksa menangguhkan perjalan kerana arahan kerajaan, boleh menunda tarikh dan jika berlaku peningkatan harga pada kadar sewa hotel kerana tempoh promosi sudah tamat, mereka hanya perlu membayar bakinya saja.

    “Sebagai contoh jika mereka sudah membayar RM100 untuk satu bilik pada masa ini tetapi dalam masa dua minggu lagi harganya meningkat ke RM170, maka mereka cuma perlu bayar tambahan RM70 saja,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Terminal Feri Kuala Kedah bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin bagi memantau pelaksanaan program gelembung pelancongan ke Langkawi hari ini.

    Mengulas lanjut Mohd. Firdaus berkata, setakat 22 September lalu seramai 12,607 pelancong didapati telah berkunjung ke Langkawi sejak sektor pelancongan kembali dibuka di pulau legenda itu pada 16 September 2021.

    “Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat terutamanya pada November dan Disember, bersandarkan kepada trend sebelum ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai yang hendak ke Langkawi agar menjalani ujian pengesanan Covid-19 lebih awal, sebelum datang ke lapangan terbang atau jeti bagi membuat perjalanan ke Langkawi.

    “Dengan cara itu jika mereka didapati positif, setidak-tidaknya ia mengurangkan risiko untuk orang lain dijangkiti.

    “Selain itu saya juga memohon Kementerian Kesihatan dapat membuat pembaharuan terhadap aplikasi MySejahtera supaya mereka yang bertatus kontak rapat dihalang daripada mendaftar masuk di mana-mana lokasi. Mungkin sesuatu dapat dilakukan bagi memastikan aplikasi tersebut tidak mendaftar masuk untuk golongan berkenaan,” katanya.

  • Maqis rampas 200 kg putik bunga kering dari India

    Maqis rampas 200 kg putik bunga kering dari India

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk kira-kira 200 kilogram (kg) putik bunga kering ke negara ini tanpa dokumen dan permit import yang sah.

    Produk pertanian dari India itu dirampas ketika pemeriksaan rutin jabatan berkenaan di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth pukul 5.55 petang semalam.

    Maqis negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, putik bunga asam Belanda kering atau Hibiscus Roselle dan daun Moringa kering yang dianggarkan bernilai RM5,009 disita untuk siasatan lanjut.

    Maqis rampas 200 kg putik bunga kering dari India

    “Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

    “Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” demikian menurut kenyataan itu.

  • Bantuan RM500 sekali-beri untuk pemandu bas ekspres

    Bantuan RM500 sekali-beri untuk pemandu bas ekspres

    KERAJAAN bersetuju memberi bantuan kewangan secara sekali-beri RM500 kepada semua pemandu bas ekspres di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata pemberian bantuan itu melibatkan anggaran 6,600 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

    Syarat utama penerima bantuan tersebut ialah individu atau pemandu bas ekspres adalah warganegara Malaysia dan berdaftar secara rasmi sebagai pekerja dengan syarikat bas ekspres, serta mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang masih sah.

    “Individu atau pemandu yang telah menerima bantuan sebagai pemandu bas sekolah, bas pelancongan, teksi atau e-hailing sebelum ini, tidak lagi layak menerima bantuan kepada pemandu bas ekspres,” kata Wee dalam satu kenyataan hari ini.

    Syarat lain adalah individu atau pemandu bas ekspres mempunyai Lesen Vokasional yang sah dengan mengambil kira tempoh pengecualian pembaharuan Lesen Vokasional yang telah diberikan Kementerian Pengangkutan (MOT) sepanjang 2021.

    Beliau berkata hanya syarikat atau pengusaha bas ekspres yang mempunyai lesen pengendali dan/atau lesen/permit kenderaan bas ekspres yang sah, dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak, layak memohon bantuan berkenaan.

    Wee berkata pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres dikehendaki mengemukakan maklumat individu atau pemandu bas ekspres di bawah syarikat masing-masing yang lengkap, kepada pihak APAD dan LPKP Sabah dan LPKP Sarawak bagi tujuan saringan kelayakan dan penyaluran bantuan.

    “Pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres boleh mula menghubungi pejabat APAD dan LPKP  Sabah dan LPKP Sarawak terdekat bagi tujuan penyelarasan pemberian bantuan itu,” katanya.

    Wee berkata proses penyaluran bantuan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja peruntukan bantuan diterima MOT dan agensi pelaksana berkaitan.

    “Mudah-mudahan bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada pemandu bas ekspres dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19, dan seterusnya kembali bangkit untuk meneruskan operasi apabila keadaan beransur pulih sepenuhnya kelak,” katanya.

    Wee berkata MOT juga akan mengenal pasti langkah dan meneliti garis panduan bagi membantu pihak pengusaha bas ekspres dapat menyediakan perkhidmatan ke tahap yang normal, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berwajib lain dan persatuan syarikat serta pengusaha bas ekspres.

    Beliau berkata garis panduan dan langkah pengoperasian yang selamat akan dibangunkan, bagi membantu pengusaha bas ekspres memberikan perkhidmatan dengan baik apabila perjalanan rentas sempadan dibenarkan kelak, serta menyokong pelaksanaan perjalanan pelancongan domestik terhad yang akan dibenarkan oleh kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).- BERNAMA

  • ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.

    “Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.

    “Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

    Sebahagian daripada senjata serta hasil samun kedai emas yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.

    “Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.

    Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.

    Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Warga Bangladesh dipenjara 9 bulan tipu pasport dapat vaksin

    Warga Bangladesh dipenjara 9 bulan tipu pasport dapat vaksin

    SEORANG lelaki warga Bangladesh dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan nombor pasport dan nama individu lain bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, bulan ini. 

    Tertuduh, Mizan Nur Rahman, 26, turut dipenjara tiga bulan kerana didapati tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke negara ini.

    Majistret Norzaliza Tesmin memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak berkuat kuasa hari ini dan tertuduh dihantar ke Penjara Jelebu bagi menjalani hukuman berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Mizan didapati memperdaya seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan mengatakan dirinya adalah pemilik kepada nombor pasport milik seorang individu lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di PPV Institut Pengajian Tinggi Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, kira-kira 10 pagi pada 13 Sept lepas, yang mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Mizan yang juga pekerja pembersihan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA