Category: Semasa

  • RMK-12: Pergiat usaha lonjak pembangunan Sabah, Sarawak

    RMK-12: Pergiat usaha lonjak pembangunan Sabah, Sarawak

    RMK12

    PEMBANGUNAN Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selari komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Menerusi rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.

    Ismail Sabri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK-12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

    “Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.

    “Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.

    Seperti diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK-12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.

    Menyentuh aspek penjagaan kesihatan, Ismail Sabri menjelaskan dalam RMK-12, perkhidmatan berkenaan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak, selain pembinaan 26 klinik baharu di kedua-dua negeri itu.

    “Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Perdana Menteri berkata pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

    Selain itu, projek jalan dari sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Immigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022, katanya.

    Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, Perdana Menteri berkata aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar, manakala infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap. – BERNAMA

  • Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    RMK12

    DASAR nasional mengenai perpaduan akan diperkenal untuk menggalakkan kesepaduan sosial dan keharmonian serta memanfaatkan kepelbagaian sebagai aset bagi memperkukuh perpaduan rakyat.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini menyebut dasar tersebut akan menggariskan tiga teras bagi meneraju agenda perpaduan iaitu, membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional serta memperkukuh ekosistem perpaduan.

    “Pelan tindakan juga akan diperkenal untuk menterjemahkan dasar melalui pelaksanaan program dan inisiatif khusus merentasi pelbagai sektor dan agensi bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat,” katanya.

    Dasar berkenaan digariskan di bawah strategi memperkukuh tadbir urus bagi memperkukuh perpaduan untuk negara makmur, yang menjadi keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen itu lebih banyak program peningkatan keupayaan akan diadakan bagi memperkukuh kompetensi dan membangunkan pakar rujuk dalam bidang perpaduan.

    Bagi menggalakkan penggunaan platform digital secara beretika, beberapa peruntukan dalam perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan disemak semula dan diperkukuh, bagi mengawal penyebaran maklumat berniat jahat dan hasutan serta berita palsu, yang mengancam perpaduan dan keharmonian negara.

    Program advokasi mengenai penggunaan media digital yang beretika dan bertanggungjawab akan diperluas pada seluruh lapisan masyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

    Menurut dokumen itu, penggunaan media digital yang beretika akan dimasukkan ke dalam program akademik yang relevan serta aktiviti kokurikulum di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    Di samping itu, usaha akan dipergiat untuk menggalakkan rakyat mempelajari bahasa tempatan lain seperti bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa etnik lain.

    Kaedah pembelajaran bahasa tempatan lain akan dipelbagai dengan memanfaatkan teknologi digital. Inisiatif ini akan membolehkan rakyat lebih memahami pelbagai adat dan budaya serta meningkatkan tahap kepercayaan antara satu sama lain. – BERNAMA

  • Dasar tenaga dan komunikasi yang komprehensif dirangka

    Dasar tenaga dan komunikasi yang komprehensif dirangka

    RMK12

    DASAR tenaga baharu yang komprehensif akan dirangka supaya menjadi panduan dalam menangani pelbagai isu, merentas beberapa sektor yang menggunakan tenaga dan memastikan pembangunannya sejajar dengan trend peralihan tenaga global.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancangan Ekonomi, melalui dasar baharu itu prospek pertumbuhan masa hadapan yang berkaitan tenaga akan diteroka terutama potensi tenaga baharu daripada sumber tenaga bersih dan mampan, termasuk hidrogen.

    “Pada masa kini sektor tenaga tidak mempunyai dasar yang menyediakan hala tuju strategik jangka panjang yang menyeluruh dan ditadbir urus oleh beberapa kementerian berbeza, yang mengakibatkan penggunaan tenaga tidak cekap dalam pelbagai sektor terutama pengangkutan, perindustrian dan komersial.

    “Dasar tenaga baharu akan membolehkan Malaysia merangka pelan jangka panjang sasaran rendah karbon dalam sektor tenaga dan kelestarian alam sekitar, dapat ditangani dengan lebih baik melalui pelaksanaan dasar baharu ini,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, dokumen itu turut mencadangkan bagi mewujudkan pelan komunikasi yang komprehensif untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan, serta memudahkan usaha mendidik pengguna dan meningkatkan kesedaran mengenai kewajaran liberalisasi pasaran.

    Ini kerana pengguna mempunyai pemahaman yang terhad mengenai ekosistem tenaga, termasuk manfaat jangka panjang rasionalisasi subsidi dan kurangnya penyelarasan penyampaian maklumat mengenai pembaharuan pasaran dalam sektor tenaga, menyebabkan pengguna tidak berpuas hati.

    Pelan baharu itu katanya akan memastikan penerimaan yang lebih baik oleh pihak berkepentingan serta membolehkan pembaharuan industri tenaga dapat dilaksana dengan lancar.

    Dokumen itu turut menyebut bagi memastikan subsektor minyak dan gas berkembang secara progresif, penggunaan petrol dan diesel keluaran domestik akan diutamakan, selain pelaburan industri petrokimia bernilai akan digalakkan dan penggunaan biobahan api diperluaskan.

    “Usaha ini akan menambah baik imbangan dagangan, merangsang pertumbuhan ekonomi, serta memastikan kemampanan rantaian nilai industri minyak dan gas seterusnya meningkatkan jaminan bekalan,” katanya.

    Selain itu hala tuju industri kimia akan dirangka bagi memastikan ia memanfaatkan teknologi dan inovasi, dengan menghasilkan produk kimia khusus selain penubuhan konsortium pula dapat meningkatkan keupayaan pemain tempatan dalam subsektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Dasar Tenaga Negara komprehensif akan diperkenalkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

    “Saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050,” katanya ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan, perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022, katanya.

    Ismail Sabri berkata penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

    Menurutnya, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu.

    Ismail Sabri berkata akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.

    Menurutnya, penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

    Beliau berkata model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

    Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan, di samping menggalakkan pelaburan hijau termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta syarikat milik kerajaan (GLC), katanya.

    Perdana menteri berkata inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan.

    Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan dipergiatkan dengan 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan, dan kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV), katanya.

    Ismail Sabri berkata pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan, selain inisiatif perolehan hijau diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

    “Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025,” katanya.

    Mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara, beliau berkata mekanisme ecological fiscal transfer akan ditambah baik bagi menyokong usaha memulihara kawasan hutan, manakala santuari hidupan liar yang semakin terancam akan dipertingkatkan bagi tujuan konservasi.

    Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan pelan rangka tindakan ekonomi biru untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin.

    Beliau berkata beberapa projek di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta ramalan dan amaran banjir dengan kos sebanyak RM16 bilion akan dilaksanakan bagi tempoh RMK-12 dan RMK13.

    “Penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda,” katanya. – BERNAMA

  • Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    RMK12

    PELAN Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia akan diperkenal sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dalam merangka pelan rangka tindakan ini kajian akan dijalankan untuk memantapkan landskap sektor penjagaan kesihatan.

    “Kajian ini akan merangkumi transformasi sektor penjagaan kesihatan awam, pembaharuan peraturan sektor penjagaan kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan yang mampan,” katanya.

    Pelan dan kajian ini adalah langkah untuk memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan di bawah strategi memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan negara yang menjadi antara keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen RMK-12 itu beberapa dasar yang menyasarkan keperluan kesihatan khusus akan diperkenal seperti penjagaan kesihatan oral, kesihatan mental dan imunisasi.

    Di samping itu dasar keselamatan makanan akan dikaji semula untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam rantaian bekalan makanan termasuk penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, selain Akta kualiti air minum juga akan diperkenal.

    Menurut dokumen itu selain memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan, lima lagi langkah untuk memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit.

    “Tiga lagi langkah ialah memperkukuh program penjagaan kesihatan warga emas, meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengendali krisis kesihatan dan memastikan kualiti dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan,” menurut dokumen itu.

    Dua lagi strategi yang digariskan dalam RMK-12 untuk mempertingkat penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam serta memanfaatkan teknologi.

    Di bawah strategi kedua iaitu memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam, langkah akan diambil untuk menangani kenaikan kos dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

    Tiga langkah yang akan dilaksana ialah memastikan kemampanan kewangan untuk penjagaan kesihatan, memperkukuh perlindungan kesihatan dan mempertingkat literasi dan kesedaran mengenai kesihatan.

    Platform media sosial akan dimanfaatkan bagi meningkatkan literasi kesihatan dan menangani maklumat mengelirukan yang memburukkan lagi isu kesihatan.

    Strategi ketiga iaitu memanfaatkan teknologi bakal menyaksikan subsektor penjagaan kesihatan negara memanfaatkan teknologi baharu muncul bagi mengurangkan kos dan prosedur yang tidak perlu.

    Dua inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini ialah mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi. – BERNAMA

  • Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Kementerian Pertahanan melaksanakan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata program itu merupakan satu daripada inisiatif dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran ATM.

    Beliau berkata ia diuruskan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan ATM sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    “Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat mengenai situasi semasa warga Kementerian Pertahanan sepanjang negara dilanda isu pandemik COVID-19, khususnya ke atas warga Veteran ATM.

    “Justeru, kementerian melancarkan beberapa program dan sedang giat berusaha untuk mendukung hasrat Kerajaan dalam usaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ikmal Hisham berkata program yang diterajuinya itu turut berhasrat untuk memanjangkan pemberian vaksinasi kepada Veteran ATM dan keluarga termasuk anak atau cucu berumur 12 tahun ke atas.

    Jelasnya bagi memudahkan proses pendaftaran semasa di PPV kepada anak atau cucu, hanya ibu bapa atau wakil perlu hadir bersama tanpa kehadiran veteran ATM itu sendiri. 

    “Menerusi program ini pasukan vaksinasi ATM telah merancang program vaksinasi kepada veteran ATM bermula 4 Okt hingga 8 Okt ini di 59 PPV yang terdapat di dalam kem tentera di seluruh negara. Pemakluman awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemvaksinan adalah bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih,” katanya.

    Beliau berkata veteran ATM dan keluarga diminta untuk mendaftar melalui pautan yang terdapat di media sosial JHEV ATM (https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran).

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyelaras iaitu Mej Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-2980412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-20508173.

  • KSM akan bawa permintaan pengambilan pekerja asing ke Kabinet

    KSM akan bawa permintaan pengambilan pekerja asing ke Kabinet

    SELEPAS Kementerian Sumber Manusia (KSM) memutuskan tiada kemasukan pekerja asing bagi mengutamakan pekerja tempatan, rakyat Malaysia rata-rata didapati tidak berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pertanian, perladangan dan sektor pembersihan.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau akan membawa permintaan pihak industri berkenaan untuk mengambil pekerja asing kepada Kabinet untuk diteliti dan dipertimbang supaya mendapat satu penyelesaian terbaik berkaitan masalah itu.

    “Memang pelan asal kerajaan, peluang ini untuk pekerja tempatan…(tetapi) orang tempatan sudah tidak ambil pekerjaan khususnya dalam 3D (Dirty, Dangerous, Difficult – kotor, bahaya dan sukar) itu. Masalah mereka (pihak industri) hadapi hari ini adalah setelah pekerjaan ditawarkan kepada pekerja tempatan, masih tidak ada yang nak ambil pekerjaan-pekerjaan itu.

    “Sekarang kita berada dalam keadaan sama ada kita bagi mereka (mengambil pekerja asing) ataupun (pihak industri terpaksa) gulung tikar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini.

    Pada 19 September lepas, kerajaan memutuskan bahawa tiada kemasukan bagi pekerja asing ke negara ini termasuk pembantu rumah asing dari negara-negara sumber hingga 31 Disember 2021.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC berpandangan bahawa kerajaan perlu mengutamakan pekerja tempatan serta meminta dasar tidak membenarkan kemasukan pekerja asing itu diteruskan.

    Bagaimanapun, beliau akui kebanyakan industri seperti perladangan dan restoran terjejas serta berpendapat bahawa, mana-mana pekerjaan yang memerlukan pekerja asing seperti kerja-kerja buruh kasar akan dialu-alukan.

    “Tapi kita tekankan kepada menteri, tentang pengambilan pekerja asing ini perlu dibuat secara telus dan G2G (antara kerajaan dengan kerajaan), jangan biarkan kepada pihak ketiga untuk mengambil pekerja asing.

    “Ada (industri) yang memohon (kemasukan pekerja asing) hingga 26,000, 43,000 pekerja asing, jadi bila kita duduk semeja dengan pihak industri ini baru kita tahu kekurangan tersebut,” katanya. – Bernama

  • RMK-12: Cergaskan pelancongan antara strategi lonjak pertumbuhan industri

    RMK-12: Cergaskan pelancongan antara strategi lonjak pertumbuhan industri

    RMK12

    RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun ini sehingga 2025 menggariskan beberapa strategi bagi mencergaskan semula industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

    Industri pelancongan, yang menyediakan 3.6 juta pekerjaan iaitu 23.6 peratus daripada jumlah guna tenaga pada 2019, penting kerana ia mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada negara.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, strategi mencergaskan industri pelancongan itu antara lain akan menumpukan aspek keselamatan dan kebersihan yang lebih baik, mengembalikan keyakinan pelancong, menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti, meningkatkan kemampanan produk pelancongan, memperkukuh penjenamaan dan promosi, menginstitusi reformasi tadbir urus dan mempergiat pelancongan domestik.

    Ketibaan pelancong asing dijangka mula pulih pada 2023 mengambil kira kesan pandemik COVID-19 kepada industri pelancongan global.

    “Oleh itu, ketibaan pelancong dijangka mencapai 24.3 juta orang dengan pendapatan berjumlah RM73 bilion pada 2025.

    “Jumlah pelawat domestik dijangka meningkat pada kadar 5.5 peratus setahun dalam tempoh RMK-12 dengan sasaran seramai 212 juta pelawat dan pendapatan sebanyak RM100 bilion pada 2025,” menurut dokumen itu.

    Bagi mengembalikan keyakinan pelancong, usaha penjenamaan dan promosi yang mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan akan diberi penekanan, di samping mengadakan satu kempen untuk memupuk budaya tanggungjawab sosial.

    Dalam usaha meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, produk dan perkhidmatan ekopelancongan yang memberikan pengalaman unik di Malaysia akan dipromosi sebagai produk premium bagi menyasarkan pelancong yang berkualiti.

    “Mekanisme dan pemantauan khusus akan dibangunkan di destinasi ekopelancongan seperti Kilim Geoforest park di Kedah, Taman Negeri Royal Belum di Perak, Lembah Danum di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak untuk mengekalkan keaslian dan kemampanan destinasi ini,” menurut dokumen itu.

    Selain dapat menjana pendapatan dan aktiviti ekonomi, penglibatan masyarakat setempat akan dipergiat dalam menyediakan pengalaman inap desa yang unik, menghasilkan kraftangan dan menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong.

    Bagi memperkukuh penglibatan sektor swasta dalam pelancongan, model perniagaan yang lebih dinamik dan berkesan akan dibangunkan selain melaksanakan usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pertama bagi penganjuran program mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan membeli-belah.

    Bagi memperkukuh jenama Malaysia dan strategi pemasaran, slogan ‘Malaysia Truly Asia’ akan diberi nafas baharu dengan mempamerkan destinasi dan aktiviti termasuk elemen budaya, seni dan warisan.

    “Malaysia akan menerima guna pendigitalan dalam pengumpulan data dan trend pelancong bagi menambah baik perancangan, penggunaan sumber dan proses membuat keputusan,” menurut dokumen itu.

    Turut diberi perhatian dalam RMK-12 adalah meningkatkan keberkesanan kos dan penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk pejabat perwakilan di luar negara akan dirasionalisasi dan distruktur berdasarkan trend semasa.

    Bagi mewujudkan permintaan dan menyokong industri pelancongan, sektor pelancongan domestik akan dipergiatkan menerusi insentif dan kempen promosi.

    Platform digital akan digunakan secara agresif bagi menggalakkan pelancong tempatan meneroka pemandangan dan tempat menarik dalam negara, di samping pelancongan berasaskan komuniti yang menawarkan pengalaman inap desa masyarakat setempat. – BERNAMA

  • MOSTI sasar peruntukan RM100 juta untuk MGC tahun depan

    MOSTI sasar peruntukan RM100 juta untuk MGC tahun depan

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan peruntukan RM100 juta tahun depan sebagai dana bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Malaysia Grand Challenge (MGC).

    Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, RM80 juta diperuntukkan untuk program MGC tahun ini bagi membolehkan kementerian itu menggalakkan pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang sains, teknologi dan inovasi.

    “Dana MGC ini ditawarkan kepada individu termasuk golongan belia berusia 18 tahun ke atas serta syarikat pemula (start-up company) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    “Pemohon bawah 18 tahun juga boleh dipertimbangkan (memohon) dengan syarat mendapat sokongan daripada badan bertauliah selain memenuhi syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama tiga bakat muda yang menghasilkan inovasi kreatif baru-baru ini.

    Pada pertemuan itu MOSTI menyumbangkan RM3,000 kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist di Kuantan, Siti Maryam Muzzamir, 11, yang ciptaan beliau -inovasi makanan haiwan ‘Yam 2.0’ daripada kulit udang dan siput membolehkan beliau merangkul tiga pingat emas pada pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.

    Sumbangan RM3,000 juga diberikan kepada gandingan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri dan Mohd Fahad Saleem, masing-masing 24 tahun, kerana mencipta inovasi Smart Bandage sehingga dinobatkan pemenang 3M Inspire Challenge di peringkat Asia Tenggara.

    Dr Adham berkata, MOSTI komited untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada bakat muda tempatan bagi menghasilkan inovasi, bermula daripada peringkat awal.

    Justeru, untuk turut membantu bakat muda di kawasan luar bandar mengetengahkan produk sains dan teknologi mereka, Dr Adham berkata pihaknya akan berusaha memperluaskan program ‘Ruang Reka Komuniti’ ke setiap daerah yang ketika ini hanya dilaksanakan di Kuala Terengganu dan Paroi, Negeri Sembilan.

    “Ruang Reka Komuniti ini bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda untuk memahami lebih mendalam tentang sains tetapi juga memperjelaskan bentuk pembangunan kerjaya yang boleh diceburi selepas terlibat dengan inovasi,” katanya. – Bernama

  • Kerajaan teruskan bantuan bersasar

    Kerajaan teruskan bantuan bersasar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BANTUAN bersasar akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) walaupun negara berhadapan defisit fiskal yang kini mencecah kira-kira tujuh peratus.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan mengakui sebahagian masyarakat harus menerima bantuan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka.

    “Maknanya mereka yang terlantar, tak boleh bekerja, yang serius dari segi orang kurang upaya (OKU), ini tanggungjawab kerajaan untuk membela kepentingan mereka,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 hari ini berkata, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

    Mustapa berkata, berdasarkan laporan, setiap tahun kerajaan membelanjakan sekitar RM25 bilion untuk pelbagai bantuan termasuk menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, biasiswa dan subsidi.

    Sementara itu, beliau berkata sebuah pangkalan data menggabungkan semua jenis bantuan diperoleh setiap penerima yang kini sedang dibangunkan dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan hadapan.

    “Ia akan jadi rujukan tunggal untuk sampaikan bantuan, sebelum ini mungkin ada pertindihan atau ada yang tertinggal selepas ini kita harap dapat murnikan lagi,” katanya.

  • Meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam keutamaan RMK-12

    Meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam keutamaan RMK-12

    RMK12

    PENAMBAHBAIKAN infrastruktur pengangkutan untuk menyediakan mobiliti penumpang yang lancar menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dua strategi akan dilaksana bagi mencapai tujuan itu iaitu meningkatkan kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh dan menggalakkan perubahan tingkah laku daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

    Dokumen itu menyatakan antara strategi berkenaan adalah kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh akan ditambah baik dengan menyepadukan pelbagai mod pengangkutan dan menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

    “Inisiatif ini akan memastikan ketersambungan antara mod pengangkutan yang lebih berkesan di samping meningkatkan kecekapan mobiliti dan ketersambungan. Ini akan mengurangkan kebegantungan kepada kenderaan persendirian, meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat,” menurut dokumen itu.

    Selain itu, rangkaian rel dan jalan raya akan disepadukan bagi menyediakan ketersambungan yang lebih baik antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian dan bandar; pada masa sama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan disambung dengan rangkaian rel sedia ada.

    Langkah penyambungan itu akan membolehkan akses lebih baik ke lapangan terbang sedia ada dan melengkapkan rangkaian jalan raya di Pantai Timur, secara langsung meningkatkan penumpang pengangkutan awam darat, udara serta pergerakan kargo.

    Sistem pengangkutan alternatif berasaskan komuniti yang menawarkan perkhidmatan yang mampu bayar juga akan diperkenalkan dan salah satu pilihan ialah sistem dial-a-ride, iaitu perkhidmatan berasaskan panggilan telefon untuk komuniti yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan konvensional.

    Perubahan tingkah laku daripada penggunaan kenderaan persedirian kepada pengangkutan awam juga akan digalakkan bagi mendorong penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama.

    “Kerjasama antara pihak berkuasa berkaitan akan dieratkan bagi memastikan penguatkuasaan yang berkesan terhadap kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar. Mod pengangkutan yang bersesuaian akan dikenal pasti untuk dipadankan dengan pola pergerakan rakyat bagi menggalakkan perubahan tingkah laku,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu lagi, Blueprint (Rangka Tindakan) Mobiliti Rendah Karbon akan dilaksanakan untuk meminimumkan corak pergerakan yang tidak mampan, iaitu dalam sektor penerbangan dan antara pelan tindakan adalah membangunkan standard bahan api yang lebih bersih.

    Pada masa sama, standard bahan api itu juga mematuhi Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA) oleh The International Civil Aviation Organization (ICAO).

    “Bagi sektor pengangkutan darat, penggunaan kenderaan alternatif rendah karbon seperti kenderaan cekap tenaga, hibrid dan elektrik akan digalakkan. Pelaksanaan blueprint ini akan dipantau sewajarnya untuk memastikan kejayaan objektif mobiliti rendah karbon,” menurut dokumen itu.

    Dokumen itu juga menyatakan penggunaan mesra alam terutama bagi pengangkutan awam serta perkhidmatan logistik dan penghantaran akan diperluas, manakala peralihan mod pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel akan terus digalakkan.

    Menurut dokumen itu, usaha meningkatkan mobiliti penumpang dan barangan mesra alam akan diberi keutamaan dalam perancangan bandar serta luar bandar, dengan pelan tindakan mobiliti rendah karbon akan diperkenal sebagai panduan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif mobiliti mesra alam.

    Dalam RMK-11, penekanan diberi kepada pembangunan sistem pengangkutan yang bersepadu berdasarkan keperluan melalui penambahbaikan ketersambungan merentasi mod pengangkutan dan wilayah serta peningkatan kecekapan.

    Dua daripada lima sasaran telah dicapai pada RMK-11 iaitu penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2016 dan pelancaran Dasar Pengangkutan Negara pada 2019. – BERNAMA