SEORANG bayi lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang tandas sebaik sahaja dilahirkan di sebuah rumah di Parit 7, Sekinchan, Shah Alam, petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira 4.03 petang itu, seorang wanita yang sedang mengandung kira-kira tujuh bulan melahirkan bayinya secara tidak sengaja di dalam tandas ketika hendak membuang air besar.
“Bayi yang dilahirkan telah terjatuh ke dalam (lubang) mangkuk tandas dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa 10 minit setelah memecahkan tandas tersebut,” katanya.
Beliau berkata bayi tersebut disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan ibunya yang berumur 37 tahun berada dalam keadaan stabil serta telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang menggunakan ambulans. – Bernama
AGENDA transformasi sektor air 2040 (WST 2040) akan diperkenalkan untuk menetapkan hala tuju strategik bagi memastikan sektor air sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik, di samping memastikan jaminan bekalan air untuk semua.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, transformasi itu akan dilaksanakan melalui empat fasa mengikut tempoh Rancangan Malaysia dengan tumpuan khusus dalam setiap fasa dengan hasrat Malaysia menjadi hab industri air serantau pada 2040.
Empat fasa transformasi sektor air ialah fasa satu RMK-12 (2021-2025), mempergiatkan penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM); fasa dua RMK13 (2026-2030) membangunkan teknologi tempatan setanding dengan standard antarabangsa; fasa ketiga RMK14 (2031-2035) mencapai ekonomi bidangan dan fasa keempat RMK15 (2036-2040), menjadi hab industri air serantau.
“Fasa satu iaitu penerimagunaan IWRM akan dipergiatkan kerana ia paling kritikal dan merupakan asas kepada transformasi ini. Pasukan petugas khas yang dianggotai oleh wakil sektor awam dan swasta akan ditubuhkan di bawah Majlis Air Negara yang berperanan memberi panduan, menyelaras, memantau dan melapor kemajuan pelaksanaan agenda WST 2040.
“Pasukan ini juga akan bertanggungjawab mengkaji dan menjajar semula serta menyediakan syor penambahbaikan untuk menjayakan agenda ini,” menurut dokumen itu.
Dalam pada itu, dokumen tersebut turut mencadangkan platform perundingan awam diwujudkan pada peringkat negeri dan daerah yang melibatkan orang awam secara aktif dalam pengurusan sektor air.
Bagi memastikan keberkesanannya, keupayaan dan kemahiran ahli akan dipertingkatkan, terutama dalam penyelesaian konflik dan perundingan selain pelan komunikasi strategik juga akan dirangka untuk memastikan transformasi sektor air dilaksanakan dengan berkesan
Selain itu, usaha memperkukuhkan tadbir urus pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah akan dilakukan termasuk semakan semula perundangan berkaitan air supaya selari dengan Rang Undang-Undang Sumber Air 2016.
“Semakan ini akan menyediakan asas perundangan bagi penubuhan pihak berkuasa pengurusan sumber air di semua negeri untuk memastikan pelaksanaan IWRM yang berkesan dan perancangan guna tanah yang lebih baik pada peringkat daerah dan negeri,” menurut dokumen itu.
Di samping itu, penggunaan Sistem Imbangan Air Negara (Nawabs) akan diperluaskan untuk menyediakan data yang komprehensif pada masa nyata dan penyedia perkhidmatan air akan digesa untuk mengkaji alternatif bagi menjana hasil bukan berasaskan tarif terutama daripada aktiviti kitar semula air.
Turut disyorkan penggunaan teknologi berasaskan alam semula jadi iaitu tanah lembap buatan yang menggunakan teknologi biokejuruteraan yang bersesuaian akan dibina bagi merawat air sisa dan air yang terkumpul dalam kolam takungan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan RMK-12 berkata, pelaksanaan agenda tersebut melibatkan empat fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiatkan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.
“Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan pencemaran,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan tadbir urus air melalui pemerkasaan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang.
Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air di samping penyediaan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) yang dapat mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada 2050. – BERNAMA
PERTUMBUHAN ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita juga dijangka lebih tinggi iaitu RM57,882, atau AS$14,482 menjelang 2025.
Situasi itu dijangka dalam tempoh lima tahun seterusnya, selepas ekonomi negara dijangka kembali mencapai momentum pertumbuhan, berikutan pemulihan daripada pandemik COVID-19.
Selain itu, perdagangan dunia dijangka meningkat sebanyak 5.3 peratus setahun, disokong terutamanya oleh prestasi perdagangan yang lebih baik daripada pasaran baru muncul, dan negara membangun.
“Usaha mempercepat peningkatan produktiviti di bawah RMK-12, akan menyumbang kepada pertumbuhan buruh yang lebih tinggi.
“Tumpuan akan diberikan untuk mempercepat kesediaan mendepani 4IR, menyediakan persekitaran bagi ekonomi digital, mempergiat R&D&C&I, serta membangunkan bakat yang diperlukan,” menurut dokumen itu lagi yang dilaporkan Astro Awani, hari ini.
Jangkaan keadaan pasar buruh yang lebih baik, membolehkan Malaysia mencapai semula tahap guna tenaga penuh dalam tempoh RMK-12, termasuk jangkaan peningkatan kadar upah dan gaji seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Ini seterusnya akan menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi. Kesejahteraan rakyat dijangka terus ditambah baik, disokong oleh kemajuan ekonomi dan sosial, serta keterangkuman pembangunan wilayah,” menurut dokumen itu lagi.
Dalam pada itu, RMK-12 menyebut, ekonomi Malaysia pada lima tahun akan datang bakal berhadapan dengan beberapa cabaran dan peluang.
Kadar pemulihan ekonomi, menurut dokumen itu, bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi stanrad (SOP), serta keberkesanan langkah yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan.
“Peningkatan hutang dan defisit fiskal untuk membiayai pakej rangsangan tersebut, akan menjejaskan kemampanan fiskal, melainkan jika langkah tersebut disertai usaha konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana.
“Pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam jangka sederhana akan bergantung juga kepada keupayaan meningkatkan kadar transformasi struktur, serta peralihan kepada penghasilan produk dan perkhidmatan bernilai tambah yang lebih tinggi, dalam semua sektor ekonomi,” menurut dokumen itu lagi.
Selain itu RMK-12 turut menggariskan cabaran yang bakal timbul dari aspek sosial, ekoran peningkatan risiko kesihatan dan perubahan demografi.
“Peningkatan insiden tidak berjangkit (NCD) dan keperluan untuk menguruskan COVID-19, termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memberi tekanan lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan.
“Malaysia perlu membuat persiapan menyeluruh untuk menghadapi cabaran yang wujud, berikutan peningkatan peratusan masyarakat tua menjelang 2030,” menurut dokumen itu lagi.
KERAJAAN memperuntukkan RM2.25 bilion bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata peruntukan itu adalah untuk membina dan membaik pulih 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Bagaimanapun, ia tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO),” katanya ketika membentangkan RMK-12 yang bermatlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga akan membina 500,000 unit lagi rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah selaras Dasar Perumahan Negara.
Di samping itu, kerajaan juga akan menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan tersebut tidak terbeban dengan bayaran ansuran. – BERNAMA
SABAH dan Sarawak masing-masing akan menerima antara 15 peratus hingga 18 peratus setahun daripada jumlah peruntukan pembangunan asas dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, peratusan yang lebih tinggi daripada peruntukan itu akan diagih kepada sektor ekonomi di kedua-dua negeri yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, sepanjang tempoh 2021-2025, lima bangunan Mahkamah Anak Negeri akan dibina di Sabah, sementara 10 Mahkamah Bumiputera di Sarawak bakal dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada komuniti.
“Kerajaan juga menetapkan sasaran untuk melaksanakan pemetaan tanah adat seluas 65,000 hektar di Sabah dan 397,000 di Sarawak sepanjang lima tahun RMK-12,” demikian menurut dokumen itu yang dikeluarkan hari ini.
Turut diberi perhatian adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) yang proses penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik di bawah perjanjian tersebut akan diteruskan dalam RMK-12 dengan pindaan terhadap beberapa klausa perundangan selain mewujudkan badan kawal selia.
Sementara itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan merangkumi pelbagai agensi utama Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab dalam perancangan wilayah, penyelarasan serta penilaian seterusnya merapatkan jurang pembangunan di seluruh wilayah dan negeri.
Dalam RMK-12, sebanyak tujuh projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dijenamakan sebagai Rumah Malaysia di Sabah dan Sarawak melibatkan 3,202 rumah kos rendah akan disiapkan untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik adalah mampan dalam jangka panjang.
“Selain itu, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina untuk kumpulan sasar di Sabah dan Sarawak termasuk 2,400 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad,” demikian menurut dokumen itu.
Kerajaan juga akan menambah bilangan pos keselamatan di sepanjang sempadan antarabangsa Sabah dan Sarawak untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Menurut dokumen itu, pelan yang menyeluruh akan dilaksanakan untuk menguruskan pendatang tanpa izin merangkumi strategi penguatkuasaan yang komprehensif melibatkan agensi berkaitan, kerajaan negeri dan orang awam.
Berdasarkan potensi Leburaya Pan Borneo sebagai pemacu perubahan di Sabah dan Sarawak, hub pengumpulan yang bersepadu akan diwujudkan di sepanjang laluan itu bagi menambah naik kecekapan pengendalian kargo.
Selain itu, peraturan pendaftaran perniagaan akan dikaji semula dan diperbaharui untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan lagi pertumbuhan perniagaan di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA
MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan tujuh lokaliti di Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 12 Oktober depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, tiga rancangan Felda di Bera, Pahang dan empat kampung dalam Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan di Perak dikenakan PKPD.
Jelas beliau, tiga Felda yang terbabit adalah Felda Rentam, Felda Tementi dan Felda Sebertak.
“PKPD di Perkampungan Orang Asli Seri Makmur pula meliputi Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.
Sementara itu Rodzi berkata, PKPD di Kampung Orang Asli Gangai, Mukim Slim, Mualim di Perak ditamatkan pada Selasa lebih awal dari yang dijadualkan pada 6 Oktober.
PKPD di beberapa lokaliti lain turut ditamatkan pada Selasa mengikut jadual iaitu Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub dan Kampung Paya Pelong, Kerdau, Temerloh di Pahang serta Kampung Rugading, Kota Marudu dan Kilang Fu Yee, Brantian, Kalabakan di Sabah.
“Selain itu, PKPD di dua lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah melibatkan Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru juga ditamatkan esok seperti yang dijadualkan,” katanya.
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik seluruh sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.
Antara langkah utama yang akan dilaksana bagi menambah baik sistem pendidikan negara termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 (4IR).
“Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022; dan sebanyak empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.
“Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” katanya semasa membentangkan RMK-12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai pendidikan tinggi, Ismail Sabri berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan selain meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.
Katanya naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilaksanakan, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
RMK-12 juga akan memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.
Sementara itu perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif seperti menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi.
Inisiatif lain termasuk menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi; mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.
“Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya. – BERNAMA
PENINGKATAN insiden penyakit tidak berjangkit dan keperluan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara cabaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut dokumen RMK-12 dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dua perkara tersebut dilihat akan memberi tekanan lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan dalam aspek sosial.
Selain itu, perubahan demografi bermakna Malaysia perlu membuat persiapan menyeluruh dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 untuk menghadapi cabaran yang wujud berikutan peningkatan peratusan masyarakat tua menjelang 2030.
“Negara berhadapan cabaran menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan serta keperluan meningkatkan taraf hidup B40 dan M40 dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“Usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah juga menjadi cabaran. Walaupun kadar urbanisasi yang pesat menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, namun ia memberi cabaran untuk menyediakan infrastruktur serta bekalan tenaga dan bekalan air yang mencukupi,” menurut dokumen itu.
Sementara itu, kadar pemulihan ekonomi dalam tempoh lima tahun ini bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta keberkesanan langkah yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan.
Penyampaian perkhidmatan awam pula akan diperkukuh bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan. – BERNAMA
ENAM negeri kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu akan terus diberi keutamaan dalam agihan peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, kerajaan menggariskan tiga bidang keutamaan iaitu memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang pembangunan dengan lebih penekanan akan diberi untuk pembangunan di enam negeri terbabit.
“Enam negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan dengan agihan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Asas Persekutuan. Kerjasama yang lebih baik antara agensi persekutuan dan negeri akan diwujudkan untuk memastikan program dan projek pembangunan bersasar dilaksana dengan berkesan dan cekap.
“Ini akan mempercepat penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas serta menjana lebih banyak peluang ekonomi di negeri kurang membangun dan mengurangkan jurang pembangunan,” demikian menurut dokumen itu.
Menurut dokumen itu, di bawah bidang keutamaan memanfaatkan potensi wilayah, kerajaan menyasarkan pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh 2021 hingga 2025 sebanyak 5.6 peratus bagi wilayah Utara, Tengah (4.3 peratus), Selatan (5.1 peratus), Timur (6.5 peratus), Sabah (6.4 peratus) dan Sarawak (5.3 peratus).
Bagi pendapatan penengah bulanan isi rumah antara wilayah pula, kerajaan menyasarkan pendapatan penengah bulanan isi rumah bagi wilayah Utara akan meningkat kepada RM5,560; Tengah (RM9,290); Selatan (RM7,480); Timur (RM5,210); Sabah (RM5,380) dan Sarawak (5,430) menjelang 2025.
Wilayah Utara melibatkan negeri Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Kedah; Tengah (Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan); Selatan (Johor); Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan); Sabah (Labuan, Sabah) dan Sarawak.
Menurut dokumen itu, bagi merealisasikan bidang keutamaan itu, tumpuan akan diberi untuk mempercepat pembangunan berasaskan nod pertumbuhan utama dan kawasan titik tumpuan, menarik pelaburan berkualiti, menambah baik ekosistem perniagaan dan mempertingkat kerjasama strategik.
Selain itu, penyelarasan serta meningkatkan kerjasama di bawah Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Di bawah bidang keutamaan membangun bandar yang mampan, sasaran ialah 120 bandar mencapai status bandar mampan berdasarkan Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets) pada tahun 2025 berbanding 75 bandar pada tahun 2019.
Sebanyak 14 bandar akan melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Hijau di bawah IMT-GT dan BIMP-EAGA menjelang 2025.
“Menjelang tahun 2040, sebanyak 85 peratus daripada jumlah populasi dijangka tinggal di kawasan bandar. Keutamaan akan diberi untuk menggalakkan perancangan dan tadbir urus bandar yang berkesan, mempergiat ekonomi bandar yang mampan, mengutamakan pembangunan bandar hijau dan berdaya tahan serta membangunkan masyarakat luar bandar yang mampan.
“Ini akan menggalakkan keterangkuman yang lebih baik dan meningkatkan kesejahteraan penduduk bandar. Langkah ini juga selaras dengan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) yang menyokong Agenda 2030,” demikian menurut dokumen itu.
Di bawah bidang keutamaan mentransformasikan kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan, kerajaan menyasarkan untuk membina dan menaik taraf 2,800 kilometer (km) jalan luar bandar berturap.
Dokumen itu memaklumkan bekalan elektrik akan diperluas untuk mencapai liputan 99 peratus manakala liputan bekalan air akan diperluas untuk mencapai 98 peratus daripada isi rumah luar bandar, termasuk penyediaan bekalan air alternatif dan sistem retikulasi. – BERNAMA
USAHA bersepadu akan dilaksana bagi membangunkan potensi industri kreatif negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sekali gus membuka peluang Malaysia untuk menjadi pengeksport industri kreatif.
Langkah untuk mempercepat pertumbuhan industri kreatif ini termasuk membangunkan ekosistem yang menyeluruh, meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri serta memperkukuh pembangunan dan promosi produk.
Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, kreativiti rakyat Malaysia dan perkembangan teknologi digital akan dimanfaatkan untuk memaksimumkan potensi industri kreatif, selain memelihara budaya, seni dan warisan negara.
“Penambahbaikan pemboleh daya pertumbuhan ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan serta menyokong pengukuhan identiti kebudayaan tempatan yang unik.
“Usaha ini akan membantu industri kreatif berkembang pada kadar 3.6 peratus setahun dalam tempoh RMK-12 dan menyumbang sebanyak RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025,” menurut dokumen itu.
Bagi membangunkan ekosistem industri kreatif sebagai pemangkin pertumbuhan dalam merangsang semula ekonomi, dasar sedia ada khususnya Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dan rangka kerja institusi berkaitan akan disemak semula bagi menentukan hala tuju baharu industri.
Selain menyokong syarikat tempatan menembusi pasaran serantau dan global, rangka kerja pembangunan kandungan digital akan ditambah baik untuk meningkatkan eksport dan menarik pelaburan dan memanfaatkan sepenuhnya bakat serta memperkukuh perkongsian awam dan swasta.
Akaun satelit bagi industri kreatif akan dibangunkan untuk mempermudah pengumpulan dan analisis data bagi memudahkan perancangan, pemantauan dan penilaian yang lebih baik, demikian menurut dokumen itu.
Bagi meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri, latihan kemahiran akan dipergiat dalam pelbagai bidang termasuk animasi, pembikinan filem dan pemainan elektronik. Platform serantau untuk eSports, hab serantau kandungan digital dan Creator’s Studio akan turut diwujudkan.
Pengajaran dan pembelajaran subjek berkaitan industry kreatif iaitu multimedia, teknologi digital dan rekaan akan diperluas melibat instititusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Menurut dokumen RMK-12 itu, aplikasi mudah alih dan platform dalam talian akan digunakan bagi memperkukuh pembangunan dan promosi produk serta poerkhidmatan industri kreatif jenama Malaysia. – BERNAMA