Category: Semasa

  • Sekularisme,’Malaysian Malaysia’ pengaruhi Kerajaan Perpaduan

    Sekularisme,’Malaysian Malaysia’ pengaruhi Kerajaan Perpaduan

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa pentadbiran kerajaan ketika ini ‘lebih hanyut’ daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini atas alasan didominasi agenda DAP.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, DAP ketika ini masih kekal memperjuangkan sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia,’ yang disifatkannya sebagai ‘kemungkaran besar’ dan perlu ditentang umat Islam negara ini.

    Beliau percaya, kedua-dua konsep itu kini mempengaruhi Kerajaan Perpaduan berikutan Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP, yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan itu.

    Katanya, UMNO yang kini bersama Kerajaan Perpaduan pula, didakwa sudah meninggalkan dasar perjuangan asalnya selepas bersekongkol dengan PH dan DAP, semata-mata demi menyelamatkan diri selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Kedua-duanya (sekularisme ekstrem dan Malaysian Malaysia) menjadi konsep yang tetap mempengaruhi kerajaan PH yang bercampur dan didominasi DAP kerana mereka parti paling besar jumlahnya, dicampurkan dengan golongan bukan Islam yang ekstrem dan kelompok Islam liberal dalam PKR.

    “PH telah didominasi oleh DAP yang tidak pernah berganjak dalam mempertahankan sekularisme yang salah itu dalam perlembagaannya.

    “Adapun PKR sebuah parti yang berkonsepkan liberal pragmatik sekular kerana partinya menerima siapa sahaja untuk bersamanya, dan parti yang lain laksana melukut di tepi gantang sahaja. Maka, negara dan rakyat berada dalam keadaan yang lebih hanyut daripada pemerintahan BN dahulu yang berteraskan UMNO.

    “Kini, UMNO pula telah dialih hala tuju perjuangannya bersama DAP dan PH kerana ingin menyelamatkan diri, mengejar jawatan, serta kalangan yang memburu harta dan takhta,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS, hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi mendakwa konsep sekularisme ekstrem yang diperjuangkan DAP adalah ‘salah dan sesat’ kerana ia adalah ideologi yang cuba memisahkan antara agama dengan pentadbiran kerajaan.

    Menurut Ahli Parlimen Marang itu, agenda Malaysian Malaysia pula, yang dikatakan dicetuskan oleh ahli politik Singapura pada 1960-an sebelum diperjuangkan DAP, didakwa bertujuan membantah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

    Laman sesawang DAP pula mentafsirkan Malaysia Malaysia sebagai konsep di mana ‘semua rakyat boleh menikmati keadilan, kebebasan, demokrasi, dan tadbir urus yang baik tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.’

    Abdul Hadi berpandangan konsep itu tidak boleh diguna pakai dan wajib ditentang oleh orang Melayu dan Bumiputera, khususnya dengan memastikan mereka ‘tidak tersalah memilih parti’ dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Kini, kita menghadapi UMNO yang telah meninggalkan dasar perjuangan asalnya apabila sanggup bersekongkol bersama DAP dalam PH, kerana ingin menyelamatkan diri masing-masing setelah kalah dalam PRU15 dan mengejar jawatan dalam kerajaan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaannya.

    “Maka, jangan salah mengundi dengan memilih parti dan pemimpin yang salah. Jangan tidak keluar mengundi kerana berlepas tangan. Kita sedang menghadapi kemungkaran yang besar iaitu sekularisme dan Malaysian Malaysia,” katanya.

  • Amang seksual anak tiri, pemotong rumput dipenjara 7 tahun, 6 sebatan

    Amang seksual anak tiri, pemotong rumput dipenjara 7 tahun, 6 sebatan

    SEORANG pemotong rumput dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta enam sebatan di Mahkamah Sesyen di Muar, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

    Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 38 tahun mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya berusia 12 tahun, awal bulan ini.

    Tertuduh yang berhadapan dua pertuduhan pindaan sebelum itu merayu supaya mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menanggung keluarga serta anak masih kecil.

    “Saya harap, kamu balik nanti (selesai jalani hukuman), jadilah orang baru. Sepatutnya kamu menjaga anak tiri kerana ia satu amanah,” kata Abu Bakar sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kluang-Batu Pahat dekat sini pada jam 12 tengah hari, 3 Jun lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibawa bersama Seksyen 16.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi mengulangi perkara sama pada pukul 4 pagi, 11 Jun lalu, dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.

    Mengikut Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16 yang juga tambahan hukuman, dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

    Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala, lima tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

    Selain itu, mahkamah juga mengenakan hukuman tambahan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 iaitu masing-masing dua tahun penjara dan dua sebatan.

    Semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu 13 Jun lalu, kecuali hukuman Seksyen 16 dijalankan secara berasingan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman dan Muhammad Hidayat Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • SUHAKAM perlu patuh perlembagaan persekutuan, tolak acuan barat – NGO

    SUHAKAM perlu patuh perlembagaan persekutuan, tolak acuan barat – NGO

    SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menimbulkan kegusaran selepas dilihat ‘mesra’ agenda liberal yang mampu mengelirukan masyarakat umum terutamanya orang Islam.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terdiri daripada PEMBELA, PPMM, MACSA yang turut mewakili 100 organisasi lain menzahirkan kerisauan apabila SUHAKAM lebih terlibat dalam advokasi Hak Asasi Manusia (HAM).

    Menurut Wakil NGO Islam Lukman Sheriff, meskipun berpegang kepada konsep Hak Asasi Manusia (HAM), SUHAKAM terlebih dahulu perlu memastikan sesebuah ‘hak asasi’ tidak membelakangi Perlembagaan negara.

    “Pada setiap masa HAM mestilah berlandaskan Perlembagaan sepertimana termaktub dalam Akta SUHAKAM. Ini berbeza dengan pendekatan SUHAKAM sebelum ini yang dilihat oleh masyarakat seperti mengiktiraf HAM acuan Barat secara bulat-bulat kerana menganggap semua yang diformulasikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sebagai sesuatu yang bersifat “universal”.

    “Kami menolak cadangan meratifikasikan secara pukal konvensyen-konvensyen yang tidak mengambil kira peruntukan Perlembagaan Malaysia seperti ICERD dan kajian untuk mengiktiraf jantina ketiga yang dipelopori SUHAKAM sebelum ini.

    “SUHAKAM mestilah pada setiap waktu berpaksikan kepada Akta SUHAKAM dan Perlembagaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    SUHAKAM juga perlu ‘bebas’ daripada dana luar agar dilindungi daripada kepentingan kuasa asing mempergunakan SUHAKAM bagi manfaat dan agenda mereka.

    “Kami melihat kemelut dalam SUHAKAM turut berpunca dari dana European Union (EU). Tuduh menuduh dan pertikaian timbul akibat pihak tertentu mahu mengawal dana tersebut.

    “Kami mengambil maklum bahawa penerimaan dana asing ini berlaku dari dahulu lagi,” jelasnya.

    Tegas NGO-NGO Islam ini, adalah lebih baik dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM.

    “Adalah lebih baik bagi kami dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM.

    “Selain itu butir penerimaan dana asing oleh SUHAKAM sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana tersebut patut diumumkan secara terbuka,” tegas beliau, lapor SatuBerita.

    Kumpulan NGO itu turut berharap SUHAKAM terus kekal menjadi lebih inklusif dengan melibatkan suara orang Islam dalam advokasi hak asasi manusia yang akan datang.

  • Polis tumpaskan Sindiket curi ‘Catalytic Converter’ kereta

    Polis tumpaskan Sindiket curi ‘Catalytic Converter’ kereta

    POLIS Selangor berjaya menumpaskan kegiatan mencuri tabung penapis sisa karbon kenderaan baru-baru ini yang dipercayai turut melibatkan sindiket antarabangsa.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, terdapat sindiket melibatkan warga tempatan melakukan jenayah mencuri tabung ekzos kenderaan yang dikenali sebagai ‘Catalytic Converter’.

    Kata beliau, sindiket tempatan itu seterusnya menjual di pasaran antarabangsa seperti di Amerika Syarikat dan Jepun.

    Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek utama berusia 34 dan 43 tahun di dua lokasi berbeza di Petaling Jaya, Selangor serta Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas berjaya menahan dua suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dengan tertangkapnya dua suspek ini, kita yakin dapat melumpuhkan sindiket menjual komponen kereta ini ke pasaran luar negara.

    “Polis juga masih lagi menyiasat modus operandi sindiket warga tempatan ini menjual di pasaran antarabangsa, selain melakukan siasatan lanjut bagi menangkap mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, selain boleh menjual komponen tersebut di pasaran tempatan dengan mudah iaitu antara RM300 hingga RM600 bagi satu unit, Catalytic Converter mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.

    Sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas polis berjaya menahan dua suspek ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, sisa toksik yang terdapat di dalam Catalytic Converter seperti rhodium, paladium serta platinum mempunyai nilai tinggi iaitu RM130 hingga RM350 untuk satu gram.

    Katanya, sisa yang terdapat di dalam Catalytic Converter digunakan untuk industri elektronik, pergigian serta bidang perubatan iaitu membuat plate tulang yang patah.

    Ekoran itu katanya, hasil soal siasat mendapati suspek mencuri komponen tersebut kerana terdapat permintaan menjualnya di pasaran luar negara dan mendapatkan wang tunai dengan mudah.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Anggaran komponen ini boleh dijual di pasaran luar negara antara RM500 hingga RM2,500 bagi satu unit,” ujarnya.

    Hussein berkata, pihaknya merekodkan 46 kes kecurian peralatan tersebut pada 2021, manakala 34 kes pada 2022 dan sebanyak 16 kes untuk tempoh setengah tahun ini iaitu sehingga 17 Jun.

    Beliau berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif setahun lalu mensasarkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan raya dan kawasan sunyi.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas berjaya menahan dua suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kata beliau, sindiket dipercayai sangat mahir melakukan pemotongan komponen berharga itu kerana bekerja di kedai alat ganti kenderaan.

    “Mereka ini dipercayai sangat pantas melakukan jenayah mencuri komponen ekzos kenderaan dan hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk memotongnya.

    “Dengan hanya menaiki motosikal dan membawa gergasi besi, mereka bertindak memotong komponen yang diperlukan dengan cepat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Wanita warga emas cedera diserang beruk ketika beriadah

    Wanita warga emas cedera diserang beruk ketika beriadah

    HASRAT seorang wanita warga emas beriadah di Dataran Kedamaian Taman Tasik Taiping pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila dia cedera selepas diserang sekumpulan beruk.

    Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan berada di kawasan tersebut bersama rakan-rakannya.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat mengenainya.

    Jurucakap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pula berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian serangan beruk itu.

    Menurutnya, aduan mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah menghantar kakitangan daripada Perhilitan Selama ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

    “Kita akan pasang perangkap dan akan melakukan operasi pelupusan khususnya beruk yang dipercayai menyerang mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Bakar al-Quran: Mahkamah arah penganggur jalani pemeriksaan mental

    Bakar al-Quran: Mahkamah arah penganggur jalani pemeriksaan mental

    SEORANG penganggur yang didakwa membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid diarahkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini untuk menjalani rawatan mental di hospital psikiatri.

    Hakim Nooriah Osman memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din agar Mohd. Ridzuan Mohd Kamal, 33, menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membakar empat naskhah al-Quran dan tiga helai sejadah, lapor Sinar Harian.

    Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di tepi sebuah pusat hemodialisis di lokasi sama pukul 10.50 pagi pada 12 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri dari Hospital Permai, Tampoi di Johor Bahru.

  • Murid Tahun 1 maut dalam perjalanan ke sekolah

    Murid Tahun 1 maut dalam perjalanan ke sekolah

    SEORANG kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke sekolah maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Lintas di Kota Kinabalu pukul 5.48 pagi tadi.

    Budak perempuan itu yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, dua lagi mangsa iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun dan pemandu wanita berusia 59 tahun cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan treler.

    “Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pemandu treler lelaki berusia 38 tahun dari Tawau menghala ke Penampang ketika melalui Jalan Lintas telah meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat masih hijau.

    “Ketika tiba di satu simpang, pemandu Proton Saga yang berada disusur pusingan U dari arah bertentangan tiba-tiba keluar menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian tepi kiri treler tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan kejadian itu, Mohd. Zaidi berkata, Proton Saga yang dinaiki tiga mangsa telah terbabas ke bahu kiri jalan.

    “Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang telah telah dibawa oleh pihak ambulan ke hospital untuk rawatan selanjutnya manakala seorang lagi penumpang kanak-kanak cedera di bahagian kepala.

    “Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di lokasi pada pukul 6.15 pagi dan mayat kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian.

    “Operasi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan segera dilakukan,” katanya.

    Agustavia dalam pada itu turut memaklumkan bahawa mangsa yang maut tiada hubungan kekeluargaan dengan pemandu.

    “Mangsa yang maut ialah anak kepada rakan pemandu dan ketika kejadian berkemungkinan mangsa menumpang kenderaan itu untuk ke sekolah,” katanya.

  • Ayob Khan bakal Timbalan Ketua Polis Negara?

    Ayob Khan bakal Timbalan Ketua Polis Negara?

    DATUK Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dikatakan antara calon dipertimbangkan bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara susulan keputusan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk berundur dari jawatan pegawai tertinggi polis.

    Ayob, kini pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dikatakan antara empat nama disenarai pendek mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Razarudin Husain, yang dijangka menggantikan Acryl bulan depan.

    Sumber memberitahu FMT bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis sudah menghantar nama-nama terpilih kepada Kementerian Dalam Negeri.

    “Senarai itu termasuk Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali,” kata sumber itu.

    Bagaimanapun sumber tidak mendedahkan dua nama calon lain.

    September lalu, Hazani dinamakan pengarah operasi Bukit Aman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 untuk memastikan kelancaran pilihan raya.

    Sebelum ini, Ayob mengetuai bahagian anti-pengganas dan kemudian dilantik Ketua Polis Johor, pada 2020.

    Ketika di Johor, beliau menerima ugutan bunuh, yang dikatakan daripada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah dibubarkan.

    Ini dipercayai berkaitan penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang didakwa mempunyai hubung kait dengan kumpulan berkenaan.

    Pada Disember 2021, Ayob kembali ke Bukit Aman sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, sebelum dipindahkan ke JSJ pada April lalu.

    Acryl memberitahu media bahawa beliau akan bersara pada minggu pertama Julai ini, tiga bulan lebih awal selepas menerima tawaran pekerjaan di luar pasukan.

    Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Oktober.

    Dalam pada itu, sumber memberitahu FMT, Acryl dijangka dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan.

    FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak bank.

  • Kes tetak ibu hingga mati: Suspek pernah mengamuk, rosakkan beberapa kenderaan jiran

    SEORANG lelaki yang menetak leher dan kepala ibunya menggunakan kapak hingga mati di Taman Temiang Utama, Muar malam pernah merosakkan beberapa kenderaan penduduk kawasan perumahan berkenaan.

    Seorang jiran suspek yang enggan dikenali berkata, mereka yang tinggal di situ mengetahui lelaki tersebut menghidap masalah mental, namun jarang melihatnya di luar kawasan rumah.

    “Kejadian beberapa tahun lalu menyebabkan kereta milik penduduk taman ini rosak, cermin pecah. Suspek melarikan diri ke rumah abangnya di Sungai Abong, namun polis ke sana dan menahannya selepas penduduk membuat laporan.

    “Dia cukup dikenali penduduk di sini, ahli keluarganya tidak begitu bergaul dengan orang lain, mungkin malu dengan perbuatan suspek.

    “Saya tak sangka tindakan suspek hingga ke tahap ini (membunuh ibu) selepas dimaklumkan jiran mengenai kejadian malam tadi,” kata yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui hari ini.

    Suspek kes tetak ibu hingga mati dibawa keluar dari mahkamah selepas direman tujuh hari. - NSTP/Alias Abd Rani
    Suspek kes tetak ibu hingga mati dibawa keluar dari mahkamah selepas direman tujuh hari. – Foto Berita Harian

    Dalam kejadian 8 malam tadi, ibu suspek yang berusia 73 tahun maut selepas kepala dan lehernya didakwa ditetak berkali-kali oleh suspek yang berusia 47 tahun sebelum mayat ditemui di ruang tamu rumah.

    Suspek yang tidak bekerja juga dilaporkan mengalami masalah mental kerana siasatan polis pada malam kejadian menemui beberapa kad laporan psikiatrik.

    Menurut jiran suspek itu lagi, ketika kejadian malam tadi, dia mendapat tahu salah seorang cucu mangsa berusia belasan tahun berada dalam rumah, namun berjaya keluar menyelamatkan diri.

    “Tidak ramai ahli keluarganya dalam rumah ketika itu. Cucu mangsa kemudian memberitahu jiran mengenai kejadian itu sebelum menghubungi polis,” katanya, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi penduduk memberitahu, ahli keluarga suspek jarang keluar rumah bercampur dengan penduduk di taman berkenaan, menyebabkan mereka tidak begitu dikenali.

    Katanya, malam kejadian, dia baru pulang dari minum di kedai makan berhampiran sebelum melihat beberapa kereta peronda polis di rumah mangsa.

    “Saya kemudian ke lokasi dan dimaklumkan seorang wanita mati dibunuh anaknya. Sepanjang menetap di sini beberapa tahun lalu, ini kali pertama kejadian mengerikan seperti ini di sini,” katanya yang berusia 56 tahun.

    Tinjauan mendapati beberapa ahli keluarga mangsa sibuk mengemas rumah, namun enggan ditemui media.

  • KJ, Muhyiddin tersenyum ketika bertemu, cetuskan tanda tanya

    KJ, Muhyiddin tersenyum ketika bertemu, cetuskan tanda tanya

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi mencetuskan tanda tanya apabila hari ini menyiarkan gambarnya bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Gambar berkenaan dimuatkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu pada ruangan media sosial InstaStory kira-kira dua jam lalu tanpa menyatakan sebarang keterangan.

    Kedua-dua tokoh politik berkenaan kelihatan tersenyum.

    Sebelum ini media melaporkan, Khairy akan mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan PN bagi membincangkan mengenai penyertaannya dalam gabungan politik itu.

    Muhyiddin pula dilaporkan berkata, beliau sudah menetapkan tarikh iaitu dalam minggu hadapan untuk perjumpaan itu diadakan.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebelum ini dilaporkan menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mengesahkan pertemuan Muhyiddin dan Khairy itu.

    Beliau turut mengesahkan pertemuan itu diadakan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara bagi membincangkan mengenai tawaran Bersatu, namun enggan mendedahkan keputusan mengenainya.

    “Memang ada pertemuan di rumah Tan Sri (Muhyiddin), namun kita tunggu nanti kenyataan presiden.

    “Namun, saya sahkan Khairy tidak akan menubuhkan parti baharu dan parti mana akan disertainya. Kita tunggu kenyataan rasmi beliau sendiri,” katanya memetik laporan BH.