Category: Semasa

  • Polis kepung kawasan, tahan 20 individu terlibat rusuhan depan tokong

    Polis kepung kawasan, tahan 20 individu terlibat rusuhan depan tokong

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan 20 individu termasuk enam wanita semalam dan kelmarin dipercayai terlibat rusuhan depan tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, pihaknya menahan semua suspek terbabit rusuhan itu, susulan penahanan individu berusia antara 18 hingga 84 tahun berkenaan.

    “Ini menjadikan keseluruhan tangkapan kepada 24 orang selepas empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan pada hari kejadian dan direman dua hari berakhir semalam.

    “Pada jam 1.30 pagi semalam, kita mengepung kawasan kejadian untuk membuat tangkapan. Pihak tokong menyerah diri dan menyerahkan surat permohonan maaf kepada polis. Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki dan enam wanita.

    “Kita juga menahan dua lelaki pada jam 8.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. Daripada semua tahanan hari ini dan semalam, dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia.

    “Permohonan reman dibuat ke atas baki 18 suspek dan hanya 10 direman sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

    Katanya, turut dicadangkan pertuduhan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, berikutan suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tempat awam.

    “Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian itu, susulan dakwaan satu video tular dalam media sosial.

    “Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, kira-kira 30 individu dikatakan membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong terbabit.

    Muhammad Idzam dipetik berkata, satu operasi dijalankan PTG Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah dan bukan meroboh binaan.

    Dalam operasi itu, pasukan dari IPD Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.

    Semasa operasi dijalankan, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita membawa kayu dan besi membantah tindakan itu.

    Kumpulan ini menghalang dan merosakkan jentolak, selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

  • Ni Hsin Ecologistics teroka logistik pihak kelima

    Ni Hsin Ecologistics teroka logistik pihak kelima

    NI Hsin Ecologistics Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin), hari ini memeterai Perjanjian Pelaburan bagi pengambilalihan 60 peratus kepentingan dalam syarikat Pride Logistics Alliance Sdn Bhd (PLA).

    Ditubuhkan pada 2014, PLA secara prinsipalnya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan barangan.

    Perniagaan syarikat merangkumi pengangkutan barangan, penghantaran, pengangkutan dan kenderaan pengangkut, gudang dan perkhidmatan agensi antarabangsa.

    Pengarah Urusan Ni Hsin Ecologistics Sdn Bhd, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya meneroka ke dalam industri logistik bagi menyokong perniagaan makanan dan minuman syarikatnya di mana pengambilalihan ini melengkapkan ekosistem dengan menggunakan kenderaan elektrik untuk penghantaran.

    “PLA memiliki pasukan berpengalaman dengan kepakaran dan pengetahuan di dalam logistik yang kami boleh peroleh manfaat.’’ katanya di sini hari ini.

    Khoo Chee Kong Ni Hsin
    KHOO CHEE KONG

    Ni Hsin juga menyifatkan pengambilalihan tersebut sebagai batu loncatan ke dalam perniagaan logistik, terutama sebagai logistik pihak kelima (5PL), di mana ia boleh menguruskan semua proses rantaian bekalan bagi pelanggan disokong oleh gudang besar dilengkapi Sistem Automasi Stor dan Mendapatkan Kembali (ASRS), yang direka untuk menampan, menyimpan dan mengambil produk dan inventori berasaskan permintaan.

    Mengulas lanjut, Chee Kong berkata, manfaat lain ASRS termasuk penggunaan ruang lantau yang lebih cekap, peningkatan muatan stor, meningkatkan ketepatan pengambilan pesanan dan menambah baik keselamatan produk bagi inventori premium.

    “Gudang kami yang dilengkapi ASRS terletak staregik di Lembah Klang dan menepati operasi 5PL serta memenuhi perkhidmatan perniagaan menerusi keseluruhan rantaian nilai dari stor ke perkapalan kepada menguruskan pulangan kepada pelanggan pada kos yang minimum. Pasaran pada masa ini berdepan dengan kekurangan ruang gudang dan sewaan telah meningkat tinggi.’’ ujarnya.

    Khoo menambah, disebabkan rantaian pembekalan yang semakin rumit ditambah pertumbuhan e-dagang dan jangkaan lebih tinggi daripada para pelanggan, banyak perniagaan kini melihat untuk menyumber luar pengurusan logistik mereka kepada pihak lain, dan kami berada di kedudukan terbaik untuk meraih peluang ini dengan sokongan PLA dan sumber-sumber gudang mereka.

    “Kami percaya perkongsian penyedia 5PL di dalam pasaran logistik global akan meningkat besar di dalam tempoh beberapa tahun ini.’’ katanya.

  • Agong terima menghadap panglima angkatan tentera UK

    Agong terima menghadap panglima angkatan tentera UK

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom (UK), Jeneral Sir Nicholas Patrick Carter, di London, kelmarin.

    Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Nicholas berkongsi pengalaman masing-masing sebagai Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, UK dalam pertemuan selama 45 minit itu.

    Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi itu dari 1978 hingga 1979.

    Selain itu, Seri Paduka dan Nicholas turut menyentuh hubungan dua hala pertahanan di antara Malaysia dan UK, serta peningkatan kerjasama berterusan di antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan pertahanan.

    “Antara isu-isu semasa lain yang disentuh pada sesi menghadap termasuk pandemik COVID-19, kemanusiaan, industri pertahanan, keselamatan serantau dan perkembangan terkini di Afghanistan,” menurut perkongsian itu.

    Perkongsian itu juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan dan menzahirkan hasrat Malaysia menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera kepada Nicholas.

    Penganugerahan yang akan dikendalikan Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat bagi menghargai peranan Nicholas yang dijadual bersara pada Disember depan, dalam meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan.

    Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia Charles Hay, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Penasihat Pertahanan Brigadier Jeneral Safwan @ Asri Ismail dan Ketua Staf kepada Panglima Angkatan Tentera UK, Laksamana Anthony Rimington.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula bersama rakan sepasukan semasa di Royal Military Academy Sandhurst di London.

    Pada majlis itu, Seri Paduka meluangkan masa menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbas kenangan manis masing-masing semasa berkhidmat sebagai pegawai kadet di akademi berkenaan, lebih 40 tahun lalu. – Bernama

  • Kerjasama KeTSA-TNB pacu peralihan sumber tenaga

    Kerjasama KeTSA-TNB pacu peralihan sumber tenaga

    KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia.

    Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen itu tepat pada masanya berikutan TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

    “Cadangan ini untuk dilaksanakan mulai tahun depan. Saya amat bangga dan cukup berpuas hati dengan penerangan serta penjelasan ke hadapan (way forward) yang telah disampaikan kepada saya.

    “Kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerjanya yang pertama di Ibu Pejabat TNB di Bangsar.

    Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula pada 1 Januari 2022 susulan tempoh RP2 dilanjutkan setahun sehingga 31 Disember ini berikutan pandemik Covid-19.

    KeTSA sedia bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu peralihan sumber tenaga di Malaysia

    Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk dari aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang, seiring untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

    Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyifatkan TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga dengan memberi jaminan untuk bersama-sama dengan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan kehendak industri, selain menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

    “Justeru, saya akan sentiasa berusaha untuk memastikan keseimbangan ini. Saya akan bersama-sama dengan kepimpinan TNB mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab ini,” katanya.

    Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB adalah antara agensi yang menggerakkan kemajuan negara, malah berpotensi menjadi pelopor kepada pembangunan ekonomi baharu negara.

    Sepanjang pandemik, beliau berkata, TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat, selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara bernilai RM2 juta.

  • 33 mati akibat keracunan metanol – Dr. Noor Hisham

    33 mati akibat keracunan metanol – Dr. Noor Hisham

    Sebanyak 33 kematian daripada 55 kes keracunan metanol dilaporkan bagi tempoh 9 hingga 30 September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Menurut beliau, daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara Malaysia.

    “Sementara 15 kes lagi membabitkan warga asing iaitu Myanmar (tujuh), India (lima) dan Nepal (tiga).

    “Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 25 kes keracunan metanol di Selangor, Perak (13), Pulau Pinang (enam), Pahang (lima), Kuala Lumpur (empat), Johor (satu) dan Negeri Sembilan (satu),” katanya, hari ini.

  • Mampukah kerajaan UMNO Melaka bertahan?

    Mampukah kerajaan UMNO Melaka bertahan?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEDUDUKAN kerajaan negeri Melaka yang kini diterajui UMNO menimbulkan tanda tanya selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada parti itu dikatakan akan menarik sokongan.

    Bagaimanapun, difahamkan ‘gerakan’ berkenaan tidak boleh diteruskan buat masa ini berikutan beberapa halangan tertentu termasuk tentangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sendiri sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan baharu.

    Daripada empat nama yang disebut-sebut, dua daripada mereka merupakan ADUN UMNO.

    Akhbar Sin Chew melaporkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron antara yang kuat menyokong kerjasama dengan pembangkang.

    Pemimpin lain yang turut disebut bersama ADUN Sungai Udang itu ialah, ADUN Pantai Kundor dari UMNO, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad serta ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Namun, Norhizam yang mewakili kerusi Pangkalan Batu menafikan dakwaan tersebut ketika dihubungi Astro AWANI petang ini.

    “Setakat 4.35 petang ini tidak ada apa-apa pun yang bergoyang, semuanya masih berjalan seperti biasa.

    “Ada yang kata saya nak masuk sana sini, apa punya cakap itu? Semua boleh cakap. Biarlah orang bercakap, terpulanglah mulut masing-masing.

    “Semua nampak saya dah bergaduh dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, takkan saya nak bergaduh lagi ? Saya selalu turun padang, mungkin mereka sakit hati nampak saya buat kerja dengan tenang sekarang ni,” katanya.

    Pada masa ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mempunyai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 11. Jika empat ADUN tersebut beralih arah, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 15 kerusi untuk kembali memerintah.

    Sebelum ini, PH yang memerintah Melaka sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terpaksa melepaskan tampuk kepimpinan selepas empat ADUN termasuk dari Bersatu iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyokong UMNO.

    Seorang lagi yang mengikut jejak mereka ketika itu ialah Noor Effandi sebelum Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka yang disandang ketika itu membuat pengumuman memberi sokongan kepada gabungan kerajaan negeri baru.

    Bagaimanapun, Norhizam kekal menjadi ADUN Bebas sehingga kini, manakala Muhammad Jailani yang sebelum itu berada dalam PKR menyertai UMNO pada Januari lalu.

    Dalam pada itu, difahamkan terdapat usaha pihak tertentu yang memohon untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, namun tiada maklumat lanjut diperolehi setakat ini.

  • Syarat vaksinasi lengkap kekal untuk sektor sosial, ekonomi dalam semua fasa PPN

    Syarat vaksinasi lengkap kekal untuk sektor sosial, ekonomi dalam semua fasa PPN

    SYARAT vaksinasi COVID-19 lengkap untuk setiap kemudahan sektor sosial dan ekonomi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kekal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap, kekal bagi semua fasa PPN.

    Katanya ia berikutan perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi semua negeri, serta mengambil kira dominasi varian Delta iaitu sebanyak 94.9 peratus dalam kalangan varian baharu COVID-19 yang dikesan dalam negara.

    “Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

    Ketika ini negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah berada dalam Fasa Dua PPN; manakala Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu serta Sarawak dalam Fasa Tiga; dan Negeri Sembilan serta Labuan dalam Fasa Empat.

    Khairy berkata individu akan diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi penerima vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac; manakala melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan bagi vaksin jenis dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

    Beliau berkata kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan sahaja tetapi juga kepada tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” katanya.

    Khairy berkata perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

  • 2,000 peluang pekerjaan melalui projek tanaman lada hitam di Terengganu

    2,000 peluang pekerjaan melalui projek tanaman lada hitam di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu menyasarkan 2,000 peluang pekerjaan baharu bakal wujud dengan penyertaan syarikat antarabangsa,MC Cormick yang bersetuju melabur sebanyak RM320 juta bagi mengusahakan projek tanaman lada hitam secara komersial tidak lama lagi.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim projek mega tersebut akan dibangunkan di kawasan Rhu Tapai, Setiu.

    Menurut beliau, bagi menjayakan projek itu, kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan ladang disamping mendirikan sebuah kilang pemprosesan tanaman lada hitam.

    “Apabila projek ini berjaya direalisasikan kelak, kita yakin kawasan Rhu Tapai bakal bertukar menjadi sebagai ‘Pekan Lada Hitam’,” katanya kepada media di Kuala Terengganu hari ini.

    Dr Azman memberitahu, selain itu projek itu juga merupakan sebagai percubaan pertama diusahakan di atas tanah beris di negara ini.

    Menurut beliau, kelulusan tanah diberikan bagi projek itu setelah ia melalui tempoh percubaan melalui kaedah ‘Proof Of Concept (POC) di mana ia terbukti boleh ditanam di atas tanah jenis beris.

    “Projek ini akan melibatkan komuniti setempat, bukan setakat kita ingin meraikan pelabur, tetapi apa yang penting ialah pertukaran teknologi dibawa syarikat tersebut dapat dikongsi bersama rakyat, sekaligus sosioekonomi masyarakat setempat boleh dioptimumkan,” ujar beliau.

    Berdasarkan perancangan awal ujarnya, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat berkenaan dengan kerajaan negeri sepatutnya diadakan lada bulan ini, namun disebabkan situasi pandemik Covid-19 kemungkinan ia mengalami sedikit kelewatan.

    Beliau memberitahu, Mc Cormick merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan beroperasi mebihi 20 buah negara.

  • Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    SEBUAH kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan kejiranan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini terjunam selepas sebahagian tembok penahan (retaining wall) di situ runtuh.

    Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi itu.

    Video kejadian itu turut tular dalam media sosial hari ini yang menunjukkan kereta tersebut yang diparkir tanpa pemandu terjunam bersama-sama runtuhan tembok penahan tersebut.

    Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

    Bagaimanapun jelasnya, pihaknya semalam mendapati terdapat rekahan pada tembok penahan itu dan sudah mengarahkan pemilik yang meletakkan kereta mereka di kawasan berkenaan mengalihkan kenderaan mereka segera.

    Ketika kejadian tambahnya, terdapat sebanyak enam buah kereta diparkir di lokasi kejadian, namun lima daripadanya telah dialihkan oleh pemilik kenderaan.

    “Kawasan itu merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kita telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

    “Ketika ini, kita menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

  • Pusat Warga Emas di semua kawasan Parlimen – PM

    Pusat Warga Emas di semua kawasan Parlimen – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan merancang untuk memperluas Pusat Warga Emas ke seluruh kawasan Parlimen di negara ini.

    Menurut Perdana Menteri, rancangan tersebut adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

    “Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluaskan usaha ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

    Katanya, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030 dengan 15 peratus daripada jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

    “Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada golongan ini,” katanya.

    Beliau berkata, negara juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.

    “Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” katanya.

    Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut memberi ucapan kepada warga emas sempena sambutan Hari Warga Emas.

    “Selamat menyambut Hari Warga Emas saya ucapkan kepada semua warga emas di seluruh Malaysia. Kesaksamaan digital merentasi usia,” katanya.