Category: Semasa

  • Kerajaan kekal pendirian tak tambat ringgit

    Kerajaan kekal pendirian tak tambat ringgit

    KERAJAAN kekal dengan pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan kesan buruknya kepada rakyat.

    Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan menambat ringgit akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar monetari, seterusnya memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah AS yang kini di ambang 5.00-5.25%.

    “Alangkan OPR kita pada 3% rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25%,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

    “Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara.”

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.

    Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata, sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit dalam tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS, dan nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut susut.

    “Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun negara-negara tersebut mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.

    Ahmad berkata, Malaysia juga akan memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.

    Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran, di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik

    Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.

    Ini termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (NIP).

    “Kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makroekonomi yang stabil akan terus terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas seperti Dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan pada Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, BNM akan mengambil pendekatan untuk memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

    Malah, bagi menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, bank pusat itu akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

    “Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi,” katanya.

  • UMNO tidak serius mengenai pengampunan buat Najib, kata Zaid

    UMNO tidak serius mengenai pengampunan buat Najib, kata Zaid

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Zaid Ibrahim membidas UMNO kerana gagal meyakinkan orang ramai mengapa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak layak mendapat pengampunan.

    Zaid yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu mendakwa, UMNO tidak membuat sebarang usaha serius untuk mencadangkan pengampunan itu.

    Jelasnya, ini termasuk tiada perincian dikemukakan mengenai mengapa pengampunan itu wajar dan sesuai, serta apakah isu yang perlu diambil kira untuk pengampunan.

    “Tiada apa-apa. Mereka cuma berjanji dengan ahli mereka akan melakukan segala-galanya untuk Najib.

    “Sebab itu UMNO tidak akan berjaya dalam pilihan raya akan datang. Ahli akan tanya apakah janji yang akan UMNO berikan kali ini yang mereka akan tunaikan,” kata Zaid, yang merupakan ahli UMNO dan pernah berkhidmat sebagai peguam Najib.

    Zaid berkata, tindakan pemimpin utama UMNO adalah hanya dengan membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi alasan petisyen itu tidak pernah didedahkan.

    Sebaliknya, kata Zaid, bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menjelaskan sebab untuk meringankan hukuman penjara 35 tahun ke atas Chelsea Manning, yang membocorkan rahsia ketenteraan.

    “(Bekas presiden AS Gerald) Ford mengampuni (Richard) Nixon kerana dia mahukan perdamaian nasional. Dia menerima kongres adalah betul untuk mendakwa (Nixon) tetapi merasakan pengampunan perlu.

    “(Bekas presiden Afrika Selatan Nelson) Mandela dan (FW) de Klerk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah semasa apartheid untuk pembinaan semula negara,” ciap Zaid di akaun Twitternya, lapor Malaysiakini.

    Zaid menyentuh soal proses pengampunan itu ketika pendedahan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

    Perkara itu didedahkan kepada Dewan Negara semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menjawab soalan senator Pakatan Harapan (PH), Kesavadas A. Achyuthan Nair.

    Semasa peringkat rayuan, peguam pembelaan Najib telah banyak bergantung kepada cadangan supaya Nazlan tidak mendengar kes itu kerana dia didakwa mempunyai konflik kepentingan.

    Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak hujahan berkenaan, manakala Nazlan kini adalah hakim di Mahkamah Rayuan.

  • Bekas Ahli Parlimen DAP, PKR persoal pelantikan eksekutif Berjaya dalam lembaga CAAM

    Bekas Ahli Parlimen DAP, PKR persoal pelantikan eksekutif Berjaya dalam lembaga CAAM

    BEKAS Ahli Parlimen DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wee Choo Keong
    mempersoalkan pelantikan seorang eksekutif penerbangan dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang didakwanya wujud konflik kepentingan.

    Wee turut mendakwa pelantikan Chester Voo dalam lembaga pengawal selia penerbangan melanggar Akta CAAM 2017.

    Voo ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) penerbangan kumpulan bawah Berjaya Land.

    Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO CAAM antara 2020 dan 2022.

    “CAAM ialah pihak berkuasa yang mengawal selia industri penerbangan, jadi bagaimana seorang CEO syarikat penerbangan boleh jadi ahli lembaganya,” soal Wee.

    Wee berkata, Seksyen 5(4)(a) Akta CAAM menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menjadi ahli Pihak Berkuasa jika dia kini memegang jawatan atau pekerjaan dalam atau berkaitan dengan penerbangan.

    Pengecualian boleh dibuat jika individu tersebut dilantik sebagai wakil Kementerian Pengangkutan.

    Bagaimanapun kata Wee, tiada tanda-tanda menunjukkan Voo dilantik sebagai wakil kementerian.

    Justeru beliau meminta Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menjelaskan perkara itu.

    “Jika Voo dilantik sebagai wakil kementerian, maka kerajaan perlu memastikan Berjaya Land tidak mendapat kelebihan tidak adil berbanding pesaingnya..

    “Tidak digalakkan melantik kakitangan sebuah syarikat penerbangan untuk menganggotai lembaga pengarah CAAM. Loke mesti bersedia untuk menghadapi tuduhan wujudnya konflik kepentingan dan ketidakadilan,” katanya, lapor FMT.

    Wee merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang menwakili DAP dari tahun 1990 hingga 1995 dan Wangsa Maju mewakili PKR dari 2008 hingga 2010.

  • Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut selepas bumbung sekolah berhampiran diterbangkan angin kencang dan menghempap kediamannya dalam kejadian ribut di Kampung Tahang Rimau, Segamat, pukul 7.49 petang semalam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Rahmat berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai V. Mahadevi, 55.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung bumbung runtuh di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, pukul 7.41 petang.

    “Runtuhan bumbung berkeluasan 5,400 kaki persegi itu diterbangkan angin kencang dan menghempap rumah mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan lima anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

    Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, kejadian ribut yang melanda daerah berkenaan petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.

    Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat yang membabitkan 20 keluarga daripada Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.

    Kejadian itu dikatakan menjejaskan kira-kira 15 kediaman di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh selain beberapa gerai peniaga.

    Sementara itu, Ketua Polis Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

  • Perbaik UMNO sebelum nasihat kami-Mursyidul Am Pas

    Perbaik UMNO sebelum nasihat kami-Mursyidul Am Pas

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengingatkan Penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali supaya memperbaik UMNO terlebih dahulu sebelum menasihatkan Pas berkaitan penggunaan istilah Islam.

    Hashim berkata, Khairuddin bukan lagi ahli Pas maka beliau perlu menjaga UMNO sahaja.

    “Jadi apa yang saya nak kata, perbaik UMNO dulu sebelum nasihat Pas. Itu sahaja saya nak komen,” katanya memetik laporan FMT.

    Hashim mengulas kenyataan Khairuddin yang juga bekas setiausaha majlis syura Ulama bahawa Pas menyeleweng dan memyempitkan istilah Islam.

    Semalam, Khairuddin mendakwa Pas menggunakan beberapa istilah Islam seperti ‘perjuangan Islam’, ‘istiqamah’, ‘dakwah’, ‘jihad’, dan ‘jemaah Islam’ bagaimanapun ia disempitkan makna dengan merujuk kepada organisasi itu sahaja.

    Khairuddin berkata, tindakan Pas itu satu penyelewengan kepada istilah Islam.

    “Dakwaan dia tak betul, sebab tu saya kata seperti itu (perbaik UMNO),” katanya.

    “Dia bersama UMNO. Bukan bersama Pas lagi sekarang, jadi jaga UMNO sahajalah,” ujarnya lagi.

  • Tak mustahil kerajaan Anwar tumbang lepas PRN -Tuan Ibrahim

    Tak mustahil kerajaan Anwar tumbang lepas PRN -Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan enam negeri tidak lama lagi mampu menggugat kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, PRN kali ini amat unik dan boleh menggugat kerajaan Pusat jika Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu memperolehi kemenagan di lima daripada enam negeri.

    “Jika kita dapat pertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan tawan Selangor, Negeri Sembilan, insya-Allah kerajaan Pusat akan tergugat dan tidak mustahil akan jatuh,” katanya yang dipetik portal Harakah Daily.

    Tuan Ibrahim berkata demikian semasa berucap pada Ijtimak Pilihan raya PAS Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau dekat Temerloh, semalam.

    Beliau bagaimanapun tidak menyentuh mengenai Pulau Pinang dan menjelaskan bagaimana keputusan pilihan raya negeri akan memberi kesan kepada sokongan di Dewan Rakyat.

    Keenam-enam negeri berkenaan dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran DUN di negeri masing-masing mungkin berbeza.

    Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Perikatan Nasional (PN).

    Pada majlis itu, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengingatkan para petugas Pas supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah.

    “Tentera Islam akan mendapat pertolongan dari Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh.

    “Kalau bukan kerana maksiat tersebut, maka tentera Islam tiada kekuatan yang lebih daripada pihak musuh,” katanya.

    Justeru, Tuan Ibrahim meminta ahli jentera pilihan raya parti itu supaya bekerja dengan ikhlas dan sabar ketika berkempen.

  • Lelaki tidur atas landasan maut diseret kereta api

    Lelaki tidur atas landasan maut diseret kereta api

    SEORANG lelaki maut selepas diseret kereta api ekspres kira-kira 400 meter dalam kejadian di landasan kereta api di Kampung Palekbang, Tumpat pukul 12.40 tengah hari tadi.

    Semasa kejadian mangsa dikatakan sedang tidur di landasan sebelum dirempuh Kereta Api Ekspres Timuran dari Johor Bahru ke Tumpat.

    Saksi kejadian, Osman Mohd. Yussof, 57, berkata, ketika itu dia sedang minum air di kedai makan berdekatan landasan kereta api itu.

    Menceritakan situasi berkenaan, Osman berkata, tiba-tiba terdengar hon kereta api yang kuat sebelum berhenti kira-kira 200 meter dari kedai makan itu.

    “Saya kemudian berlari ke arah kereta api itu dan bertanyakan pemandu situasi menyebabkan dia memberhentikan kereta api itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut tukang rumah berkenaan, dia dimaklumkan pemandu bahawa kereta api itu terlanggar seorang lelaki yang sedang tidur di atas landasan.

    “Saya kemudian melihat mayat dalam keadaan parah mengakibatkan sebahagian badan hancur dan terdapat percikan darah di besi landasan kereta api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Bagaimanapun Osman mengakui tidak mengenali lelaki berkenaan kerana bukan dari kampung itu.

    “Mungkin dia ‘tidak sihat’ dan saya juga tidak pernah nampak mangsa sebelum ini,” katanya lagi.

    Osman memberitahu, mangsa dilihat memakai kain pelikat dan berbaju.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” ujar beliau.

  • Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang memandu kereta Proton Iswara tersepit di tempat duduknya ketika kenderaan itu terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, hari ini.

    Mangsa berusia 27 tahun ditemukan rentung setelah api berjaya dipadamkan dalam kejadian pada pukul 2.20 petang tadi.

    Isterinya yang berumur 28 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan empat tahun mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

    Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melalui jalan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

    “Kereta itu kemudian bertembung kereta Toyota Camry dari arah Baling ke Kulim, namun pemandunya yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Redzuan berkata, isteri dan anak-anak mangsa kini sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).

    Sementara itu, siasatan turut mendapati pemandu kereta Toyota Camry terbabit memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

  • Tikam rakan sebab gaji pungut sampah tidak adil

    Tikam rakan sebab gaji pungut sampah tidak adil

    SEORANG lelaki warga asing ditikam sekumpulan rakan senegara akibat puas hati dengan gaji daripada hasil memungut sampah di tepi Jalan Pandan Cahaya 2/2, Pandan Cahaya, di Ampang Jaya pada Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pekerja pembersihan ditikam pada pukul 10 malam.

    “Kejadian tersebut berlaku pada pukul 9 malam ketika mangsa baru sahaja pulang daripada majlis kenduri rumah majikannya di Kampung Pandan dan terus ke Jalan Cahaya untuk memandu lori sampah.

    “Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didatangi lima rakan sekerjanya lalu mencederakan pipi dan lengan kiri mangsa sehingga berdarah menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katany, kesemua suspek kemudian melarikan diri dan mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

    Mohd Azam berkata, unit forensik dari Bukit Aman ke tempat kejadian dan menjumpai sepasang kasut dan sebilah pisau berhulu hitam serta empat kesan darah di atas jalan.

    Lima suspek katanya, berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah Flat di Taman Impian Warisan, Hulu Langat pada pukul 5.10 petang, Sabtu.

    Katanya, punca kejadian disebabkan isu tidak puas hati berkenaan gaji yang diterima hasil kerja memungut sampah yang tidak dibahagi sama rata.

    Hasil ujian air kencing ke atas lima lelaki berusia 23 hingga 27 tahun mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamin, katanya.

    Menurutnya, kesemua mereka didapati tidak bekerja dan tiada rekod kesalahan lampau.

    “Mereka direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Isham Jalil tuntut kerajaan tubuh tribunal kehakiman siasat Nazlan

    Isham Jalil tuntut kerajaan tubuh tribunal kehakiman siasat Nazlan

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menuntut kerajaan menubuhkan stribunal kehakiman bagi menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan salah laku hakim, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengikut Artikel 125, Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melihat semula fakta membabitkan Mohd Nazlan, demi memberi keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    “Bagi tujuan keadilan dan mengelakkan penganiayaan, saya menyarankan supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri supaya melihat semula tentang pembabitan Mohd Nazlan (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd (SRC International) pada 2010.

    “Bagaimana fakta ini menyebabkan ketidakadilan ke atas Najib dalam penghakiman ke atasnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Isham mengulas kenyataan Anwar  di Dewan Negara, bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan, tidak menemukan sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah.

    Perdana Menteri berkata, SPRM sudah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan hakim terbabit dan dapatan siasatan itu juga dipersetujui Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan Najib ketika berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International.

    Penyokong Najib mendakwa hakim berkenaan terbabit dalam konflik kepentingan ketika mendengar perbicaraan itu serta melanggar kod etika.

    Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO, mendakwa sebelum ini Mohd Nazlan tidak pernah mendedahkan beliau pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Kumpulan Maybank di antara 2006 hingga 2015.

    “Beliau juga tidak memasukkan mana-mana kenyataan bahawa Maybank terbabit dalam penubuhan SRC International pada 2010, sedangkan Maybank mempunyai peranan dalam penubuhannya itu.

    “Ini memberi asas kepada mana-mana pihak yang rasional, bahawa Mohd Nazlan tidak dapat memberi kehakiman dengan minda yang objektif dan terbuka kerana pembabitannya dengan Maybank yang terbabit dengan penubuhan SRC International,” dakwanya.

    Isham berkata, Maybank juga pernah menasihatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menubuhkan SRC International sebagai sebuah syarikat khusus bagi tujuan perolehan aset strategik.

    “Fakta berkenaan pembabitan Mohd Nazlan ini boleh menyebabkan penghakimannya terhadap Najib sebagai berat sebelah dan bias.

    “Walaupun tindakan Mohd Nazlan yang tidak menyatakan pembabitannya dengan Maybank ini mungkin tidak sampai ke tahap jenayah, namun besar kemungkinan melanggar etika hakim dan asas kuat untuk kes SRC International dibicarakan semula dengan hakim yang dilihat tidak berat sebelah dan tidak bias supaya keadilan dapat ditegakkan untuk semua,” katanya.