Category: Semasa

  • Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh pokok dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Syafiq Sariff, 33, yng bekerja sebagai pegawai sumber manusia sebuah syarikat meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu tersepit dalam kereta yang remuk teruk selepas merempuh pokok dan anggota bomba dipanggil untuk memberi bantuan mengeluarkan mangsa.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas kilang berusia 36 tahun yang datang dari Kulim Hi-Tech hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa.

    “Pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kereta mangsa.

    “Akibatnya, kereta dipandu mangsa berpusing dan melanggar pokok di bahu jalan membuatkan dia tersepit dan meninggal dunia dalam kenderaannya yang remuk,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sazalee berkata, pemandu bas yang berasal dari Pelabuhan Klang dan pemandu wanita yang bekerja sebagai eksekutif serta berasal dari Kilang Lama, di sini tidak mengalami kecederaan.

    “Mayat dihantar ke Hospital Kulim dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan sebelum proses bedah siasat.

    “Setakat ini, kita menahan pemandu bas kilang terbabit dan dia akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Rosmah dakwa bekas pembantunya, Rizal Mansor, berkomplot dengan AGC

    Rosmah dakwa bekas pembantunya, Rizal Mansor, berkomplot dengan AGC

    DATIN Seri Rosmah Mansor mendakwa pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah beliau yang melibatkan projek solar telah berkomplot dengan bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor untuk membabitkannya meskipun mengaku tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC), Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

    Bagi mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian memperkenal Rosmah, 69, kepada tujuh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kesnya sebelum prosiding mahkamah hari ini dan beliau berkata “Saya hanya kenal kebanyakan mereka di mahkamah.”

    Antara Timbalan Pendakwa Raya yang diperkenal oleh Sri Ram ialah Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, Poh Yih Tinn dan Nadia Mohd Izhar.

    Rosmah kemudian menyoal mengapa Sri Ram tidak memperkenal dirinya dan beliau menjawab “kerana saya bukan dari AGC.” 

    Sebagai respons, Rosmah berkata “tapi anda telah dilantik (oleh AGC). Anda memiliki fiat (surat kuasa)” namun Sri Ram hanya berkata “mari kita teruskan kes ini.”

    Sri Ram: Pembelaan anda ialah mereka (Rizal dan pegawai AGC) membina satu kes palsu untuk membabitkan anda. 

    Rosmah: Betul.

    Rosmah bagaimanapun tidak bersetuju bahawa tidak ada asas untuk Rizal berkomplot dengan AGC dalam memberikan keterangan palsu terhadap beliau.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya yang membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Terdahulu, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata Rizal adalah seorang pekerja yang tidak cekap namun perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan secara terus kepada bekas pembantunya itu sebaliknya beliau memaklumkan pegawai khas Najib iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

    “Ketika dia mula-mula bekerja dengan saya, dia telah ditugaskan untuk menulis teks ucapan. Bahasa dan kandungannya amat hambar, ia bukan jenis ucapan yang sepatutnya disampaikan oleh isteri seorang perdana menteri,” katanya.

    Rosmah juga berkata beliau bukanlah individu yang memberikan gelaran ‘Datuk’ kepada Rizal namun telah membantu mencadangkan namanya kepada Sekretariat Negeri Pahang atas dasar kasihan.

    Sri Ram: Tapi cadangan anda telah diterima.

    Rosmah: Mungkin kerana saya adalah isteri PM.

    Kepada soalan berikutnya, Rosmah menafikan bahawa beliau mempunyai tabiat meminta orang lain “melakukan tugasan bagi pihaknya” apabila menginginkan sesuatu.

    Sri Ram kemudian memberikan contoh ketika Rosmah meminta kenalannya Aizulhaimi Mohd Termizi membuat laporan polis bagi pihaknya sebelum ini, yang dinafikan tertuduh dan beliau berkata “Saya tidak meminta tetapi beliau yang mencadangkannya kepada saya (untuk membuat laporan polis),”

    Sri Ram: Itulah yang saya maksudkan, ia sama seperti ketika anda mahukan wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin namun anda memintanya melalui Rizal.

    Rosmah: Saya tidak bersetuju.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek hibrid solar secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 21 Okt depan. 

    — BERNAMA

  • Sultan Johor murka tekong bot bawa pelancong ‘lalok’ dadah

    Sultan Johor murka tekong bot bawa pelancong ‘lalok’ dadah

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya di bawah pengaruh dadah.

    “Saya rasa kesal dengan kejadian yang berlaku betul-betul di depan mata saya.

    “Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa. Saya arahkan pihak polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua pengemudi bot berkenaan positif dadah jenis meth.

    Baginda turut mengarahkan semua agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

    “Setelah pihak polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.

    “Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.

    “Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan Negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda.

  • Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ORANG ramai yang ingin berkunjung ke Terengganu akan dikenakan syarat khusus, iaitu diminta terlebih dàhulu mengambil ujian saringan Covid-19.

    Ia penting bagi memastikan setiap individu ke negeri ini itu tidak menjadi ejen jangkitan Covid-19 sekaligus mengelak berlakunya penularan wabak tersebut.

    Begitulah penegasan dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, syarat itu dibuat ekoran berlakunya peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta di Terengganu.

    Malah katanya, kemunculan sebanyak 42 kes varian ganas itu yang direkodkan sejak Jun hingga Selasa lalu dilihat sebagai amat membimbangkan.

    DR ALIAS RAZAK

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini.

    “Orang ramai yang bercadang ke Terengganu boleh mendapatkan ujian saringan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan.

    “Selain itu, mereka juga boleh melakukan ujian saringan dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Dr Alias, perkara itu tidak menimbulkan masalah memandangkan harga kit ujian kendiri kini adalah murah dan mudah didapati di kebanyakan farmasi sekarang ini.

    Beliau berkata lagi, sekiranya keputusan ujian didapati positif, individu terbabit dinasihatkan supaya terlebih dahulu menangguhkan perjalanan mereka ke negeri ini.

    “Ia penting bagi mengelakkan mereka bakal menjadi ejen pembawa kepada wabak Covid-19 sekaligus akan menyusahkan orang lain termasuk ibu, bapa dan keluarga,” jelas beliau.

  • Tiada SOP tambahan bagi rentas negeri – Khairy

    Tiada SOP tambahan bagi rentas negeri – Khairy

    TIADA prosedur operasi standard (SOP) tambahan bagi aktiviti rentas negeri sekiranya ia dibenarkan nanti, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Bagaimanapun, beliau berkata SOP sedia ada masih digunakan, dengan Op Patuh terus dijalankan pihak berkuasa dan tiada sekatan jalan raya bagi memeriksa sama ada orang ramai menjalani ujian kendiri ketika merentas negeri.

    “Takkan kita nak ada sekatan jalan raya dan kita check (periksa) setiap orang yang keluar dan kalau dia tak vaksinasi kita suruh buat test (ujian) di situ? Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata ,situasi itu tidak sama dengan Gelembung Pelancongan Langkawi memandangkan jumlah orang terlibat tidak seramai berbanding ketika aktiviti rentas negeri serta tidak sebanyak laluan keluar dan masuk di seluruh negara.

    Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri COVID-19 yang akan diumumkan kelak.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau menjelaskan faktor masa peralihan perlu diambil kira bagi berlaku adil kepada pembekal yang sudah membuat pembelian awal kit itu.

    “Kita akan ambil kira sedikit masa peralihan supaya pembekal yang sudah beli, dapat menjual supply (bekalan) yang ada.

    Ada (pembekal) yang beri pandangan tak cukup masa untuk clearkan (habiskan) stok masa turunkan harga dulu. Kita bincang dengan KPDNHEP untuk harga siling ini dan biar ia adil kepada pengguna dan pembekal,” katanya.

    Harga siling kit ujian kendiri COVID-19 ditetapkan pada harga RM16 secara borong dan RM19.90 bagi runcit.

    Mengenai individu yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin, Khairy berkata satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan bagi orang ramai membuat tempahan seterusnya memperoleh janji temu vaksin.

    Sementara itu, beliau berkata dos penggalak tidak akan memberi kesan kepada status penerima lengkap dos vaksin COVID-19.

    Katanya pengambilan dos penggalak tidak diwajibkan namun, amat disarankan bagi individu yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh enam bulan. – BERNAMA

  • PRN Melaka: KKM bentang syor JK Pengurusan Pandemik esok

    PRN Melaka: KKM bentang syor JK Pengurusan Pandemik esok

    SYOR Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, PRN Melaka bukan sahaja melibatkan faktor kesihatan, malah ia menyentuh isu perundangan dan perlembagaan.

    “Kita (Kementerian Kesihatan) akan bincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok. Ini melibatkan faktor kesihatan, juga perundangan dan perlembangaan, kita akan ambil maklum apa sahaja keputusan daripada Jemaah Menteri nanti.

    KKM akan sediakan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sekiranya ia (pilihan raya negeri) diteruskan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ahlinya iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM akan memohon kepada Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan beberapa projek melibatkan HKL dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Ini termasuk projek menaik taraf bangunan Hospital Bersalin HKL yang lama kepada pusat obstetrik rawatan ambulatori dan menaik taraf Institut Pediatrik HKL ekoran permintaan yang meningkat untuk perubatan ibu dan kanak-kanak.

    KKM juga akan memohon untuk menaik taraf atau membina bangunan baharu hematologi dan patologi yang juga akan dijadikan bangunan simpanan rekod perkhidmatan sokongan yang baharu menggantikan Wisma Rekod HKL.

    “Ini antara projek-projek yang akan atau telah dicadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi dan kita harap dapat diluluskan dalam RMK12 supaya HKL kekal sebagai pusat rujukan nasional bertaraf dunia,” katanya.

    Menurut Khairy projek pembangunan komprehensif tersebut penting untuk memastikan peranan HKL kekal sebagai aset utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang selain terus menghasilkan penyelidikan klinikal bertaraf dunia.

    Khairy terdahulu diberi taklimat oleh Pengarah HKL Dr Rohana Johan dalam lawatan rasminya ke hospital itu. – BERNAMA

  • Dewan Rakyat lulus Rancangan Malaysia Ke-12

    Dewan Rakyat lulus Rancangan Malaysia Ke-12

    DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu disetujukan apabila menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 Sept oleh 106 Ahli Parlimen dan disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama tiga hari.

    Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai kesihatan, vaksin COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-COVID-19 dan pengurusan bekalan air negara.

    Persidangan hari ini menyaksikan tiga kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    Pada 27 Sept lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

    Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan pada Isnin ini akan diteruskan dengan Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA

  • Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan bahawa satu bahagian telah diwujudkan khusus untuk beliau dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Rosmah, 69, berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata gelaran itu adalah untuk ‘tujuan pentadbiran.’

    Sri Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Wanita Pertama Malaysia adalah gelaran yang anda gunakan untuk diri sendiri?

    Rosmah: Tidak.

    Sri Ram: Siapa berikan gelaran itu kepada anda?

    Rosmah: Tiada siapa yang berikan gelaran itu kepada saya. Ia hanya untuk tujuan pentadbiran.

    “Isteri-isteri perdana menteri (sebelum ini) tidak begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang menonjol seperti Permata Negara. Mereka mungkin jarang diundang untuk menyampaikan ucaptama di luar negara. Jadi, ketika suami saya menjadi Perdana Menteri, kehidupan saya menjadi teramat-amat sibuk,” kata Rosmah.

    Sri Ram kemudian menyoal sama ada terdapat bahagian dalam PMO yang dikenali sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia’ dan Rosmah menjawab “Saya tidak tahu.”

    “Itu bukan tugas saya. Saya tidak campur tangan dengan PMO,” katanya.

    Rosmah juga berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar sebagai Wanita Pertama Malaysia.

    “Saya tidak tahu. Mungkin di luar (negara) beliau digelar begitu (Wanita Pertama Malaysia),” katanya.

    Rosmah juga berkata, beliau sedia mengorbankan dirinya dan berdepan serangan di media sosial bagi pihak suaminya ketika Najib menjadi Perdana Menteri kerana Najib berkata serangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya namun beliau menjadi sasaran mudah di media sosial.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 21 Okt depan. – BERNAMA

  • 34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memindahkan 34 gelandangan dan pengemis di bandar raya ini ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling di sini pada malam semalam.

    MBJB menerusi satu kenyataan memberitahu, mereka dikesan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) Fasa 3 di sekitar bandar raya ini yang bermula pukul 11 malam.

    “Kesemua individu berkenaan akan menjalani saringan menyeluruh daripada segi Covid-19, pemeriksaan kesihatan, penyalahgunaan bahan terlarang, rekod kendiri dan lain-lain lagi.

    Polis melakukan pemeriksaan seorang gelandangan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) di Bandaraya Johor Bahru

    “Setelah mendapat keputusan saringan berkaitan, mereka akan ditempatkan di dewan tersebut dan sebahagian daripada mereka akan diserahkan kepada agensi berkaitan,” menurut MBJB dalam kenyataan, hari ini.

    MBJB katanya, menyediakan peruntukan bagi memastikan golongan berkenaan yang ditempatkan di dewan itu berjalan lancar dan teratur.

    Jelas MBJB, peruntukan yang disediakan melibatkan pembaikan dan ubah suai bangunan, penyediaan keperluan peralatan pembersihan diri, keperluan bilik tidur dan tuala, perkhidmatan dobi, utiliti, perubatan serta elaun harian petugas.

    Gelandangan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling, Johor Bahru untuk sementara

    “MBJB memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelamatkan golongan gelandangan ini yang terdedah dan berisiko tinggi kepada jangkitan wabak Covid-19 selain memelihara kebajikan mereka.

    “Ini adalah usaha berterusan melindungi warga bandar raya dari wabak Covid-19 dan memelihara kebajikan setiap warga bandar raya. Program seumpama ini akan dijalankan dari masa ke semasa,” kata MBJB lagi.

    Operasi bersepadu itu disertai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

    Dalam pada itu, MBJB memaklumkan, sehingga kini seramai 87 gelandangan di daerah ini telah diselamatkan.

  • 600 daripada 800 nelayan sampan khas di Terengganu dapat lesen

    600 daripada 800 nelayan sampan khas di Terengganu dapat lesen

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 600 daripada 800 permohonan lesen Sampan Khas telah diluluskan kepada nelayan di Terengganu sepanjang tahun ini.

    Malah, kelulusan tersebut disifatkan sebagai jumlah terbanyak setakat ini melalui komitmen dan usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan nasib golongan berkenaan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, isu mengenai lesen sampan khas nelayan telah diperkatakan sejak sekian lama.

    Katanya, kebanyakan golongan nelayan terbabit telah lama turun ke laut untuk mencari rezeki secara sepenuh masa, tetapi tidak mempunyai lesen sampan.

    Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan mereka dinafikan banyak hak termasuk gagal mendapat minyak subsidi, elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.

    “Sebab itulah, kita terus perjuangkan hak tersebut di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai wakil jabatan dan persatuan nelayan.

    “Kita telah membuat pemutihan ke atas 800 nelayan sampan yang belum mendapat lesen dengan mengemukakan permohonan ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh.

    Menurut Dr Azman, baki 200 lagi permohonan yang belum lulus akan diteliti melibatkan beberapa aspek teknikal.